DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 November 2017

Cinta Zara - Bab 5

“LIA... kan tengah breakfast... boleh tak makan
elok-elok? Ini sibuk dengan telefon. Call siapa?” Ammar
menegur Amelia yang sedari tadi asyik dengan telefon. Bihun
yang terhidang belum dijamah.
Amelia diam seakan tidak mendengar soalan Ammar.
Dia menjeling Ammar kemudian sambung menghadap
telefon. Ammar tak faham kalau dia begitu risaukan Zara.
Ammar faham kalau Amelia marah. Sudah seminggu
Amelia melancarkan perang dingin. Enggan bertegur sapa
dengannya. Mamanya pun cuma berbicara ala kadar, mana
yang penting saja. Begitu juga along dengan Kak Ita. Mereka
tidak membantah atau menyokong perbuatannya.
“Kat depan rezeki, makan dulu Lia. Tak elok
membazir. Along tengok Lia jarang habiskan makanan
sekarang ni. Lia ada masalah ke?” Aiman bersuara. Jarang
Aiman menegur melainkan perkara penting.
“Along tanya ada masalah atau tak? Hah... kenapa
semua orang jadi tak betul ni?” Amelia bersuara. Dia sangat
tak faham dengan keluarganya. Kenapa semua diam apabila
abangnya menceraikan Zara.
“Apa maksud Lia? Along tak faham...” Aiman faham
apa maksud adiknya. Namun dia mahu lihat sendiri apa reaksi
Ammar. Dia sebagai abang tak mampu menasihati Ammar
yang terlampau ego. Berkali-kali dia suruh Ammar mencari
Zara dan kembali semula kepada bekas adik iparnya. Tapi
Ammar tetap berdegil.
“Lia rasa semua orang dalam rumah ni ada masalah
hati. Macam tak ada apa-apa aje yang berlaku. Semua orang
lupa agaknya macam mana bijaknya angah buat surprise.
Tengah malam buta ceraikan isteri. Orang gila dan pentingkan
diri sendiri aje buat macam itu. Macam dah tak boleh tunggu
hari siang. Campak anak orang macam sampah!” Amelia naik
angin. Dia memang sedang marah ketika ini. Sudah puas
dia cuba menghubungi Zara namun gagal. Panggilan tak
berangkat. SMS tak berjawab.
“Lia jangan cakap abang ngah gila. Dia adik-beradik
kita... Kenapa mesti Lia lebihkan orang luar?” Aiman
meninggikan suara. Dia tengok Ammar langsung tak beriak.
Memang Ammar tak ada perasaan ke apa.
“Along yang bijaksana. Bijak ke seorang lelaki yang
menceraikan isterinya yang cukup baik tengah malam buta?
Tanpa sebarang klu atau hint terus aje angah tersayang Lia
ceraikan Kak Zara. Senang macam campak sampah dalam
tong. Padahal sebelum ni cukup romantik. Very loving
couple. Kak Zara tengah masak sibuk nak peluklah nak
ciumlah. Pandai abang ngah berlakon, kan. Adik pun tertipu.
Memang hebat betul penderitaan angah.” Amelia sebak. Air
matanya mengalir perlahan. Walaupun dia muda pada usia
tapi dia boleh memahami perasaan Zara.
“Angah boleh tipu kami semua cakap angah terseksa
dan menderita hidup dengan Kak Zara. Tapi angah tak boleh
tipu diri angah sendiri. Angah cintakan Kak Zara kan. Angah
ceraikan dia sebab perempuan plastik tu. Kenapa angah bodoh
sangat termakan hasutan perempuan tu!” Amelia betul-betul
marah. Kebisuan Ammar menandakan tuduhannya benar.
Memang abangnya di bawah telunjuk perempuan plastik itu.
Ammar tidak betah duduk. Segala tuduhan Amelia
tidak mampu dia sangkal.
Aiman biarkan adiknya melepaskan perasaan. Biar
Ammar sedar sikit apa yang dia buat adalah tidak wajar. Juwita
dan Puan Sri Aisyah diam. Masing-masing tak mahu masuk
campur. Mereka juga tertipu dengan sandiwara Ammar.
“Dah seminggu angah... Lia tak nampak pun
senyuman gembira angah sebab terlepas dari penderitaan. Lia
tak nampak langsung senyuman manis angah pagi-pagi bila
turun dari lif. Kenapa angah ego sangat? Kak Zara perempuan
yang baik. Kenapa angah layan dia macam tu? Apa si plastik
tu jampi angah?” Amelia pandang Ammar yang gelisah. Dia
mahu abangnya sedar. Menceraikan Zara merupakan satu
kesalahan terbesar yang abangnya sudah lakukan. Masih ada
ruang untuk berpatah balik dan menyambung semula ikatan.
“Kesian Kak Zara, angah... Terkejut sangat sampai
tak boleh nak cakap apa-apa. Kalau Lia kat tempat Kak Zara
mungkin Lia dah hilang waras agaknya. Tak ada angin tak ada
ribut kena cerai macam tu aje. Hati Kak Zara hancur lumat
angah. Dia cintakan angah tapi apa yang angah cakap? Angah
derita hidup dengan dia...” Amelia tak dapat meneruskan
butir bicaranya. Dia cuba menahan tangisnya namun gagal.
Seminggu lamanya dipendam marah kepada abangnya
sendiri.
Ammar diam. Dia tahu itu memang salahnya. Dia
akui dirinya terseksa tapi janji harus ditunaikan. Zara harus
dilepaskan demi sebuah janji.
Aiman pun diam. Tak guna juga dia membela Ammar
sedangkan nampak sangat kesalahan yang Ammar lakukan.
Mungkin marah Amelia boleh meruntuhkan ego Ammar.
“Angah tahu tak dia sedih sangat. Dia menyesal.
Menyesal sebab mahkota diri yang dijaga selama ini
diserahkan kepada seorang suami yang konon-kononnya
mencintai dia. Kalau angah tak suka dia kenapa angah sentuh
dia?” Amelia bersuara penuh emosi. Tangan menahan dada
yang sesak. Dia ada semasa Zara ucapkan semua itu. Kalau
dia di tempat kakak iparnya, tentu dia dah jadi gila sekarang.
“Ya Allah...” Puan Sri Aisyah dan Juwita sama-sama
terkejut. Tak sangka itu perasaan Zara. Sebagai perempuan
mereka faham perasaan Zara. Tangisan mula muncul dari
tubir mata kedua-dua wanita itu.
Ammar terkejut. Memang dia tidak sangka itu
yang keluar dari mulut Zara. Mungkin juga Amelia yang
menipu. Namun dia kenal adiknya, Amelia memang suka
berterus terang. Dia akui janjinya untuk tidak menyentuh
Zara terpaksa dimungkiri. Dia tidak dapat menahan dirinya
daripada menyentuh bekas isterinya.
“Orang yang patut angah singkirkan perempuan
plastik tu... bukan Kak Zara!” Amelia tahu abangnya seorang
yang baik dan bertimbang rasa. Mesti ada orang yang
menghasutnya.
“Dah seminggu Lia cuba call Kak Zara tapi tak dapat.
Malam tu sepatutnya kami pergi rumah Humairah. Tapi bila
sampai luar, Lia tak jumpa pun Kak Zara. Sampai sekarang
Lia tak tahu Kak Zara kat mana. Angah memang tak risau
sebab angah dah buang dia... Seronok kan jadi lelaki ni,
habis madu sepah dibuang!” Pedas sungguh sindiran Amelia.
Segalanya diluahkan hari ini. Biarlah semua memarahinya
asalkan dia puas!
“Kalau ada apa-apa terjadi kat Kak Zara... ini semua
sebab angah.” Amelia bangun meninggalkan ruang makan.
Marahnya terhadap Ammar entah bila akan surut.
Suasana sudah berubah. Tiada lagi kedamaian. Amelia
rasa dia tidak mampu memaafkan abangnya itu kerana terlalu
lemah. Membuat keputusan gila kerana seorang perempuan
pendusta. Kenapalah abangnya buta untuk melihat yang
mana kaca dan yang mana permata. Amelia menapak keluar
dari ruang makan.
“Mama... angah pergi kerja dulu.” Ammar meminta
diri untuk ke pejabat. Duduk di situ ibarat pesalah menanti
hukuman.
“Jangan ambil hati dengan Lia. Budak-budak lagi.”
Puan Sri Aisyah cuba membela Amelia.
Ammar senyum. Dia tidak ambil hati dengan katakata
Amelia. Memang betul dia yang salah. Bertindak tanpa
berfikir. Tangan mamanya dicium. Keluar saja dari ruang
makan, dia terus keluarkan telefon bimbit. Sejak seminggu
lalu dia cuba menghubungi Zara, namun gagal. Semua
panggilan masuk ke voicemail. Dia boleh agak Zara di mana
saat ini. Tapi diteguhkan hati demi janjinya kepada Karina.

“ALHAMDULILLAH... DAH nampak okey sikit. Dah boleh
masak pun... Rindu aku nak makan Mi Goreng Seafood Cef
Zara.” Maria berasa lega melihat penampilan Zara pagi ini.
Zara sudah boleh senyum dan kelihatan tenang walaupun
wajahnya agak sedikit pucat dan sembap. Setelah seminggu
baru nampak sinar senyuman di bibir sahabatnya.
“Aku dah penat menangis Mar... Menangis bukannya
boleh selesai masalah. Cerita aku dengan dia dah habis. Dah
tamat. Aku nak mulakan hidup baru.” Zara teguhkan diri dan
berazam untuk keluar dari kepompong kesedihan. Dia cuba
untuk tabahkan diri. Dia sedar tak guna menangis. Semuanya
sudah terjadi. Talak sudah pun jatuh.
“Aku nak minta tolong sikit boleh tak?”
Maria yang sedang makan menghentikan suapannya.
Garpu di tangan diletakkan di atas pinggan. Dia memberi
sepenuh perhatian kepada Zara. Dia sudah pun berjanji akan
menolong Zara sedaya upayanya. Dia tak mahu Zara terus
melayan perasaan sedihnya.
“Eh, makanlah dulu. Habis makan nanti aku cerita.
Penat aku masak ni. Aku letak kerang banyak-banyak spesial
untuk kau. Makanlah...” Zara senyum. Suka dengan perhatian
sahabatnya itu. Dia tahu Maria pasti akan menolongnya. Dia
menyendukkan lagi mi goreng untuk Maria apabila dilihat
pinggan kawannya sudah separuh kosong.
“Okey aku makan dulu. Nanti kau cerita tau. Dah
lama aku tak makan masakan kau. Kurus sangat dah aku ni
sebab rindu nak makan air tangan kau.” Maria cuba melawak.
Memang Zara handal bab masak memasak. Mengikut kata
Zara, arwah mak dan ayahnya handal memasak. Maria
beruntung jadi tukang makan.
“Aku tengok kau sama aje. Tak kurus pun.”
Zara ketawa. Pandai Maria bergurau. Telefon bimbitnya
berbunyi lagi. Sejak pagi asyik berdering. Dia tahu siapa
yang menelefonnya. Amelia sejak seminggu lalu cuba
menghubunginya. Puluhan SMS dari Amelia belum
dibacanya. Bukan dia membenci bekas adik iparnya itu, tapi
dia belum bersedia lagi untuk bersemuka dengan keluarga
bekas suaminya.
Dia tahu pasti Amelia risaukan ke mana dia pergi.
Kebetulan semasa dia keluar dari Vila Aisyah pada malam
itu, tiba-tiba ada sebuah teksi sedang lalu. Dia menahan teksi
dan terus ke rumah sewa lamanya. Perancangan awal dia
sepatutnya menginap di rumah Humairah, sahabat Amelia.
Namun dia menukar rancangan sebaik saja terlihat teksi
sedang lalu.
Apakah agaknya yang terjadi di Vila Aisyah?
Bagaimana keadaan Ammar? Selama seminggu dia di sini
tidak sedetik pun ingatannya teralih daripada risaukan
Ammar. Setiap detik dia bertanya kepada dirinya sendiri.
Suaminya dah makan ke? Suaminya sudah sarapan atau
apakah agaknya Ammar makan hari ini? Dia tidak mampu
membenci Ammar kerana rasa cinta yang mendalam.
“Zara... time macam ni pun sempat lagi kau
berkhayal. Ingatkan Ammarlah tu. Jangan ingatlah jantan tak
guna tu!”
Zara senyum. Pandai Maria meneka. Memang dia
sedang memikirkan Ammar. Tiba-tiba nada dering berlainan
kedengaran dari telefon Zara. Zara tahu nada dering itu
khas untuk seorang insan di muka bumi ini. Air mata mula
membasahi kedua-dua belah pipinya.
“Siapa? Kenapa tak angkat?” Maria menegur. Pelik
melihat Zara menangis sambil merenung saja telefon yang
berbunyi.
“Adik ipar kau ke?”
Zara geleng kepala.
“Ammar ke?” tanya Maria. Bila Zara diam tak
menjawab dia tahu tekaannya betul. Maria bangun dan
memeluk Zara. Cuba berkongsi kesedihan Zara.
“Mar aku tak kuat Mar... Macam mana aku nak
jumpa Ammar kat mahkamah nanti kalau sekarang pun aku
tak boleh kawal diri aku. Aku rindukan dia...”
Maria membiarkan Zara menangis. ‘Menangislah
Zara... Kalau tangisan itu mampu membuatkan hati kau
tenang.’ Selepas selesai semua ini dia akan pastikan setitik
pun air mata Zara tak akan tumpah!

“AMMAR SAYANG... I love you.” Karina menghadiahkan
ciuman buat Ammar. Dia tergelak apabila melihat kesan
lipstik di pipi Ammar. Tangannya mengusap pipi Ammar yang
ada kesan lipstik perlahan. Cap mohor seorang kekasih.
“Karina... please behave. Kita kat public ni.” Ammar
tak selesa. Ammar ambil sapu tangan dari kocek dan kesat
pipinya. Sedikit merah akibat kesan lipstik. Entah kenapa
dia rasa perangai Karina sangat menjengkelkan. Dia menarik
kerusi untuk Karina.
“Tiba-tiba jadi baik. Sebelum ni tak kisah pun kalau
I kiss pipi you. Ini mesti sebab...”
“Stop it Karina... tak perlu sebut nama dia lagi.”
Ammar memotong percakapan Karina. Kurang senang
apabila kekasihnya itu asyik membangkitkan nama Zara.
Seolah-olah Karina berdendam dengan Zara. Kerusi ditarik
kemudian dia duduk.
“You dah jatuh cinta dengan dia kan?” soal Karina
tak puas hati. Dia tahu tekaannya betul. Perubahan Ammar
menceritakan segala-galanya. Ammar dah tak seperti dulu.
Buktinya tadi Ammar tidak teruja pun apabila pipinya dicium.
Ammar angkat tangan memanggil pelayan. Dia
membiarkan Karina dengan prasangkanya. Perutnya sudah
lapar dan minta diisi. Selesai membuat pesanan baru dia
kembali menghadap Karina.
“Bukan macam tu. Cinta I milik you sorang. I cuma
stres sikit sebab my family macam endah tak endah kat I. My
mom pun tak nak cakap dengan I. Rasanya elok tangguhkan
dulu plan kita nak nikah ni.” Ammar mengharapkan Karina
faham apa yang dialaminya.
Karina mencerlung ke arah Ammar. Kalau tak
kerana difikirkan statusnya sebagai selebriti, sanggup dia
simbah Ammar dengan kuah tomyam dari meja sebelah.
Berani Ammar berfikir tentang menangguhkan perkahwinan
mereka. Dia sudah susun semuanya dengan teliti. Tak ada
satu pun yang boleh tersasar.
“Kalau you berani mungkir janji, I akan pastikan
keluarga you dapat malu. Janji you kita akan nikah secepat
mungkin.” Kata-kata berbaur amaran Karina tujukan tepat
kepada Ammar. Tiada siapa boleh bantah kata-kata dia.
Ammar menyandarkan badan ke belakang. Sambil
jari mengetuk meja, dia memerhatikan sekeliling restoran.
Berharap ada sesuatu yang mampu membuatkan dia tenang.
Pertemuan dengan Karina bukan lagi sesuatu yang indah.
Keindahan bercinta dengan Karina sudah hilang.
“Janji you kita akan nikah sebaik saja tamat idah kan.
Jangan berfikir nak tangguh ke apa. Kita yang nak kahwin
bukan famili you!” Karina tegas dengan keputusannya.
Dia akan menyingkirkan siapa saja yang jadi batu
penghalang hasratnya untuk memiliki Ammar. Zara adalah
mangsa pertama. Entah macam mana anak pemandu itu
boleh muncul di tengah-tengah perancangannya. Dia tak
halang Ammar berkahwin dengan Zara kerana tak mahu
Tan Sri Amir marah dan seterusnya singkirkan Ammar dari
senarai penerima harta. Dia hanya perlu menunggu Tan Sri
Amir mati dan meneruskan rancangannya.
“I nak buat PC. Nak umumkan pernikahan kita.”
Ammar mengeluh. Tak boleh ke Karina bagi dia
ruang untuk bernafas? Selalu sangat mendesak hingga dia
jadi buntu.
“Tunggu sampai idah bekas isteri I habis nanti.”
Senyuman manis Karina bertukar masam. Ammar
memang sengaja melambat-lambatkan proses pernikahan
mereka. Sekarang dia terpaksa menunggu lagi 4 bulan baru
boleh bergelar isteri Ammar.
“You memang sengaja kan...”
“Kena tunggu habis idah. Kalau dia pregnant macam
mana?”
“You sentuh dia, Ammar?” Karina ketap bibir. Sudah
berkali-kali dia pesan kepada Ammar agar jangan sekali-kali
sentuh Zara. Senang nak bercerai kalau Zara masih suci.
“Dia isteri I, mestilah sentuh. Tanggungjawab suami
bagi nafkah zahir dan batin.” Salahkah dia menyentuh Zara?
Zara isterinya, lagipun dia lelaki normal yang punya nafsu.
Apa yang ada dalam fikiran Karina?
“You jangan macam-macam. Kalau anak driver tu
pregnant, siap you!” Hakikat yang Ammar bakal punya anak
bersama Zara memang tak terjangka. Dia tak mahu berkongsi
harta Ammar dengan orang lain.
“Kalau you asyik dengan perangai macam ni, lebih
baik tak payah jumpa.” Ammar naik muak dengan ugutan
Karina. Ammar ingin bangun tapi kehadiran pelayan
membawa pesanan membuatkan dia membatalkan hasratnya.
Dia buat tak endah wajah Karina yang mencuka.
Rezeki ada di depan mata. Lebih baik dia makan. Dia rindu
masakan Zara tapi saat ini mustahil dia akan dapat rasa.

No comments:

Post a Comment