DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 12

“Adik... oooo adik!” Bertalu-talu pintu
bilik Melissa diketuk dari luar. Nyaring suara Yasmin Hani
memanggil nama adiknya yang masih dibuai lena.
Bersusah payah Melissa membuka matanya
dengan kadar segera apabila terdengar namanya dipanggil
berulang-ulang kali.
“Ya... sekejap...” Serak suaranya menjawab.
Perlahan dengan mata yang terpisat-pisat, dia berjalan
terhuyung-hayang ke arah pintu kamar dan membukanya.
“Ya Allah... tidur lagi budak ni. Rupa macam hantu
dah. Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” Terkejut
Yasmin Hani melihat imej adiknya saat ini. Dengan rambut
kusut-masai dan muka yang masih jelas mengantuk. Kalah
langsuir!
“Pukul 7.” Melissa menjawab selamba sambil
menayangkan giginya dengan mata yang masih terpejam.
Tubuhnya disandarkan di jenang pintu, ingin menyambung
lena yang terganggu.
“Pukul 7 apanya, dik! Dah pukul 9 pagi ni. Bangun,
bangun! Pergi mandi cepat. Bertuah punya budak! Tetamu
datang rumah dia... yang tetamu ni dah bangun, tuan rumah
masih tak habis-habis membuta.” Yasmin Hani membebel.
“Yalah... yalah. Karang adik turun.” Berdesing
telinga Melissa. Bersama hati yang tidak rela, dengan mata
yang masih memberat, kaki dihalakan juga ke bilik air lalu
dia mula membersihkan diri.
Usai mandi, dia hanya mengenakan tracksuit dan
T-shirt, lantas berlari anak turun ke bawah.
“Morning everybody,” ucap Melissa mesra dan riang
sewaktu terlihat semua ahli keluarganya duduk berkumpul
di ruang tamu.
“Amboi... senang hati, bangun lambat ya?” soal Puan
Faridah tatkala melihat anak gadisnya mengambil sekeping
sandwic sardin yang telah dihidangkan di atas meja.
“Sorrylah ibu... Iddya tak sedarlah. Terlajak tidur.
Hehehe...” Melissa hanya menayangkan senyuman semanis
gula buat ibunya. Semoga ibunya tidak berleter. Cukuplah
leteran kakaknya yang kedengaran sebentar tadi.
“Malam tadi Iddya buat apa sampai terlajak tidur?”
Encik Akmal bertanya.
“Iddya tengok movie. Tu yang tidur lewat. Lepas
tu terlajak bangun lambat.” Melissa berkata jujur, menanti
dengan penuh pengharapan agar penjelasan yang diberikan
memuaskan.
Encik Akmal mengangguk faham.
“Iddya, ayah nak cakap sesuatu, boleh?” tanya Encik
Akmal lagi.
Semua ahli keluarganya yang berada di ruang
tamu mula memberi perhatian. Masing-masing mengunci
mulut. Hanya bola mata mereka sahaja yang bergerak-gerak
memandang Melissa dan Encik Akmal silih berganti.
Melissa yang perasan akan perubahan suasana itu
mula berasa tidak enak. Apa sebenarnya yang telah terjadi?
“Kenapa semua diam? Macam Iddya buat salah
besar pulak. Padahal, Iddya terlajak tidur aje...” ujar Melissa
sambil menundukkan muka memandang lantai. Jarinya mula
memintal-mintal hujung baju yang dipakai. Terasa sedih.
Bibirnya mencebik tanpa disedari.
Encik Akmal yang mula perasan perubahan nada
suara dan air muka anak gadisnya itu mula rasa serba salah.
“Laaaa... ayah bukan nak marah Iddya pasal bangun
lambat.” Encik Akmal cuba memujuk anaknya yang tersalah
sangka. Dia bangun, lalu melabuhkan duduk di sebelah anak
gadisnya. Biarpun anak gadisnya sudah besar panjang, tapi
perangai cengeng Melissa tidak pernah berubah.
Mendengarkan jawapan itu, dada Melissa yang
terasa sesak, lapang semula. Ayah yang sedang duduk di sisi
dipandang.
“Habis, ayah nak tanya pasal apa?” soal Melissa
kehairanan.
Encik Akmal sedikit keberatan hendak memulakan
bicara. Tertanya-tanya sesuaikah waktunya untuk
membicarakan perkara yang penting dengan anaknya ini.
Isteri yang sedang duduk bertentangan dengannya dipandang,
seolah-olah meminta sokongan untuk meneruskan
perbincangan ini. Apabila isterinya mengangguk, anak
sulung dan menantunya juga dipandang. Kedua-duanya juga
menganggukkan kepala tanda memberikan sokongan.
“Kenapa semua main angguk-angguk kepala ni?”
Melissa tertanya-tanya sendiri.
“Baiklah... memandangkan semua dah bersetuju,
ayah akan teruskan perkara yang ayah nak bincang ni,” ujar
Encik Akmal lagi.
Melissa semakin tidak keruan. Perkara apakah yang
perlu dibincangkan?
“Iddya kenal Umar?” Encik Akmal cuba berdiplomasi
memulakan perbincangan.
“Umar? Umar mana pulak ni ayah?” Melissa menyoal.
Wajah ayahnya dipandang hairan. Mengapa ayahnya secara
tiba-tiba bertanya tentang Umar? Siapakah Umar? Dia cuba
mengingati kalau-kalau dia pernah mengenali lelaki yang
bernama Umar. Puas diperah otaknya, tiada sebarang imej
Umar tersimpan dalam kotak memorinya.
“Umar Izdham Syah. Kenal?” soal Encik Akmal
sekali lagi, biar terang dan jelas akan siapakah gerangan yang
disebutkannya.
Petir dan kilat sabung-menyabung di langit hati.
Jantung Melissa berdegup laju seolah-olah baru habis
memecut larian maraton, mendaki puncak Gunung Everest.
Dia benar-benar tersentak apabila sebaris nama itu meluncur
laju dari mulut ayahnya. Dia terkaku seketika, dingin
membeku di tempat dia berdiam. Dalam pada itu, dia cuba
mencerna sebaris nama yang didengari. Perlahan-lahan
wajah dipalingkan, menoleh memandang ayah di sisi.
“Izd... Izdham! Macam mana ayah boleh tahu pasal
dia?” Melissa bertanya dengan nada yang terkejut.
“Dia datang rumah kita, melamar Iddya tempoh
hari,” beritahu Encik Akmal berterus terang tanpa rahsia.
“Apa?” Serta-merta Melissa bangun mengejut
sebaik mendengar perkhabaran yang diberitakan. Kepalanya
dipegang dengan kedua-dua belah tangan. Tak semena-mena
fikirannya terasa berpusing ligat. Apa yang sedang berlaku
saat ini? Semua ini dirasakan terlalu drastik. Ya Tuhan... kala
dia sendiri masih belum bersedia untuk mengkhabarkan
kewujudan lelaki itu kepada ahli keluarganya, rupa-rupanya
apa yang berlaku sebaliknya pula.
Ya, dia amat jelas Izdham benar-benar mencintainya.
Dia tidak menyangka lelaki itu begitu berani datang ke
rumah untuk melamar tanpa memaklumkan kepada dirinya
terlebih dahulu. Sementelahan lagi, semasa mereka bercuti
ke Cameron Highlands tempoh hari, tiada langsung rentetan
peristiwa ini meniti di bibir Izdham. Bagaimana semua ini
boleh berlaku? Dia bingung.
Encik Akmal dan Puan Faridah yang melihat reaksi
anak gadisnya itu mula berasa risau. Bimbang anak mereka
tidak dapat menerima berita yang disampaikan dengan baik.
Yasmin Hani mula bangun dan mendekati adiknya. Dia
memeluk bahu Melissa, cuba membawa adiknya kembali ke
alam nyata.
“Adik...” Yasmin Hani mengusap wajah adiknya
dengan lembut. Bebola mata Melissa mula bergerak-gerak
merenungnya. “Adik okey tak ni?”
Melissa mengangguk perlahan-lahan beberapa kali.
Tiada sepatah kata yang mampu diutarakan lantaran masih
keliru.
“Okey, jom kita duduk dulu.” Yasmin Hani menarik
tangan Melissa agar duduk semula di sofa yang berhampiran.
“Iddya...” panggil Encik Akmal dengan nada yang
lembut. Dia berjeda seketika. Anaknya itu dilihat masih
senyap tanpa sepatah kata.
“Ayah faham... masih terlalu awal untuk kita
bincangkan pasal cinta dan perkahwinan untuk Iddya. Tapi...
kami berpendapat, Iddya perlu tahu akan duduk perkara
sebenar. Sebab ini melibatkan masa depan anak ayah. Izdham
tu baik budaknya... betul-betul sukakan Iddya. Benar-benar
ikhlas nak jadikan anak ayah sebagai isteri dia. Ayah tak paksa
Iddya terima lamaran Izdham, sebab ayah tahu Iddya masih
belum bersedia selepas apa yang telah terjadi dulu. Jadi...
ayah minta Izdham beritahu sendiri pada Iddya tentang niat
murninya tu. Ayah dan ibu cuma nak beritahu yang kami
restu hajat Izdham tu kalau benar ini yang terbaik buat anak
ayah,” terang Encik Akmal lagi. Dia berhenti menarik nafas
sebentar.
“Sebelum ayah dan ibu menutup mata... hajat hati
kami, biarlah ayah dan ibu dapat tengok anak-anak gadis yang
kami sayang dengan sepenuh hati berjodoh dengan lelaki
yang baik... yang dapat menjaga anak-anak kami selepas
ketiadaan ayah dan ibu nanti. Ayah dan ibu tak mungkin
dapat hidup buat selamanya. Usia makin lama makin tua...”
sambungnya lagi. Suara yang tadi kedengaran tegas dan kuat
kini mula bernada sayu.
Mendengar akan kesayuan nada itu, Melissa
mengangguk lemah. Dia memahami apa yang terbuku dalam
minda kedua ibu bapanya. Hatinya kembali sebak mendengar
bait pesanan itu. Bergenang sedikit air matanya.
“Jadi... ayah dengan ibu suka kalau Iddya kahwin
dengan Izdham?” soal Melissa kepada kedua ibu bapanya.
Meminta kepastian kalau benar itu yang ibu bapanya
mahukan.
“Ayah dan ibu suka budak Izdham tu. Hari tu, lama
juga dia datang bertandang ke rumah kita. Baik orangnya,
Iddya. Bersungguh-sungguh dia mahukan Iddya,” jawab
Puan Faridah sambil berkalih pandang ke arah suaminya
yang mula menguntum senyuman.
“Kak long danAbang Farish tahu ke pasal ni?” Melissa
menoleh ke arah kakaknya di sisi.
Yasmin Hani mengangguk.
“Kami dah lama tahu. Tahu daripada ayah dan
ibu juga. Cuma kami menunggu masa yang sesuai untuk
sampaikan kepada Iddya tentang ni. Takut kalau masa tak
sesuai, Iddya tak boleh terima berita ni pulak,” ujar Alif
Farish lagi.
“Iddya... tak tahu nak cakap apa. Semuanya jadi
dengan pantas. Iddya dengan Izdham baru aje berkenalan.
Bukan niat Iddya nak merahsiakan daripada pengetahuan
ibu dengan ayah. Dia ada melamar Iddya, tapi Iddya masih
belum bersedia lagi. Iddya masih belum boleh lupakan Aizril
sepenuhnya. Lagipun baru aje lagi majlis perkahwinan Iddya
tak kesampaian, takkan terlalu cepat pula Iddya nak raikan
majlis yang baru? Iddya masih rasa bersalah dan malu pada
ayah dengan ibu. Sebab Iddya... ayah dengan ibu menanggung
malu,” jelas Melissa meluahkan rasa yang terbuku dengan
nada yang pilu.
“Iddya masih dalam proses berkenalan, masih cuba
menyesuaikan diri dengan Izdham. Terasa macam masih
panjang perjalanan yang perlu dilalui sebelum Iddya kenalkan
dia kepada semua. Tak sangka pulak dia dah terlebih dahulu
memunculkan diri di depan ibu dengan ayah,” tambah
Melissa lagi.
“Tak apa, kami semua faham. Ambil masa, jangan
terburu-buru. Ibu dan ayah tak memaksa Iddya. Bukan ibu
suruh Iddya terima Izdham hari ni juga. Cuma... ibu minta
jangan terlalu menutup pintu hati tu untuk terima kehadiran
insan lain. Semua yang terjadi Allah yang aturkan, sayang.
Jangan pandang dengan mata kasar, tapi lihat dengan mata
hati. Mungkin bukan jodoh Iddya dengan Aizril, jadi Allah
tunjukkan jalan selagi belum terlambat. Dalam masa yang
sama, Allah takdirkan Iddya berjumpa dengan Izdham.”
Wajah anaknya, Puan Faridah renung lembut. Memberikan
kata nasihat sambil menyelitkan unsur-unsur kata semangat
kepada anaknya.
“Mana tahu mungkin betul jodoh Iddya dengan
Izdham dah tertulis di lohmahfuz? Cubalah lupakan hal lama,
jangan rasa bersalah atau malu pada ibu dan ayah. Lebih baik
malu majlis tak jadi daripada kahwin dan bercerai-berai jugak
akhirnya. Betul tak?” sambung Puan Faridah. Membiarkan
anak gadisnya meneliti kebenaran kata-katanya.
Melissa mengangguk faham. Suasana sunyi seketika.
Memberi ruang dia menghadam segala keinginan dan hasrat
ibu bapanya.
“Errrr... ayah. Ada Izdham cakap apa-apa lagi tak pasal
pertemuan kami berdua?” soal Melissa dalam kegugupan.
Khuatir jika Izdham membocorkan rahsia tentang cubaannya
membunuh diri. Bimbang dan gusar sekiranya ibu bapanya
akan berasa lebih kecewa dengan dirinya.
“Tak ada rasanya. Kenapa? Ada perkara yang perlu
ayah tahu ke?” Encik Akmal menyoal kembali, seakan dapat
membaca apa yang bermain dalam fikiran anak gadisnya.
“Eh, tak adalah ayah. Tak ada apa-apa.” Melissa
tersenyum nipis cuba menutup kegugupannya. Hati yang
tidak berhenti berperang dengan beribu perasaan sebentar
tadi, kini mampu bernafas dengan tenang. Senyuman
kelegaan terpancar di wajahnya.
“Okeylah, semua benda pun dah jelas. Ayah rasa tak
perlu ada rahsia lagi antara kita lepas ni, kan?” Encik Akmal
mengusap rambut Melissa sambil menagih kepastian.
“Ya ayah... takkan ada rahsia lagi lepas ni.” Melissa
mengukir janji dengan separuh hati.
“Wah... malam tadi yang call adik tu si Izdhamlah
kan? Ajak pergi memancing ek?” Yasmin Hani memulakan
usikan.
“Mana ada!” Melissa menafikan. Tidak mahu melayan
usikan kakaknya yang mempunyai tanda-tanda tidak akan
berhenti menyelongkar selagi jawapan tidak didapati.
“Dahlah tu. Jom kita masak untuk tengah hari. Lepas
makan, kami semua nak beransur pulang,” ajak Puan Faridah
kepada anak-anak gadisnya. Serentak itu, pantas sahaja dia
bangun untuk menuju ke dapur.
“Kenapa cepat sangat semua nak balik? Tinggallah
rumah Iddya sehari dua lagi.” Melissa menayangkan
muncung itik sekali lagi di hadapan keluarganya. Nyata tidak
mempersetujui keputusan yang diambil. Sekejap sangat masa
yang dapat diluangkan bersama mereka. Dia masih belum
puas bermanja.
“Esok semua dah mula kerja adik oi...” Yasmin Hani
cuba mengingatkan. Pinggan mangkuk kotor yang digunakan
ketika sarapan pagi tadi diangkat dari meja makan, lalu
dibawa ke dapur.
“Tapi ayah dengan ibu bukan kerja pun.” Melissa
tidak faham mengapa ayah dan ibunya juga harus beransur
pulang ke Johor pada hari ini sedangkan kedua-duanya tidak
bekerja. Ayahnya sudah lama pencen sebagai seorang peguam.
“Ayah ada hal sikit nak uruskan kat Johor tu. Nanti
ayah datanglah lawat Iddya lagi. Tak pun... Iddya boleh aje
balik rumah kita. Ajaklah Izdham sekali,” pelawa Encik
Akmal.
Melissa hanya mengangguk faham. Beransur ke
dapur untuk menolong ibu dan kakaknya menyediakan
juadah makan tengah hari.
“Ayah, ibu... terima kasih susah-susah datang jumpa Iddya.
Nanti Iddya balik.” Melissa memeluk kedua orang tuanya dan
pipi mereka dicium sayang.
“Iddya pun, jaga diri kat sini. Jangan nakal-nakal,”
pesan Encik Akmal kepada anak gadisnya buat sekian kali.
“Ingat apa yang ibu pesan... jangan tutup pintu hati
tu.” Puan Faridah mengingatkan sebelum beredar masuk ke
dalam kereta.
Melissa hanya memberikan senyuman.
‘Mudah-mudahan lelaki itu memang benar-benar
ikhlas menyayangi anakku,’ beralun doa dalam hati Puan
Faridah.
“Kak long, Abang Farish... terima kasih datang tau.
Iki... bye bye. Cium mak su sikit.” Sambil Melissa memeluk
Yasmin Hani, dia tidak melepaskan peluang untuk mendukung
dan menggomol anak buahnya sebelum berpisah.
“Adik jaga diri. Nanti selalu-selalu telefon kami.
Jangan lupa datang rumah,” pesan Yasmin Hani pula kepada
adiknya.
Satu per satu kenderaan milik keluarganya hilang di
pandangan mata. Dia melambai sambil melayangkan flying
kiss sebagai tanda menghantar pemergian mereka dengan
kasih sayang yang menebal.

No comments:

Post a Comment