DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 November 2017

Cinta Zara - Bab 4

“AKU terima nikah Zara Aulia binti Izham
dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai...”
Air matanya mengalir. Kini dirinya sah bergelar
isteri. Isteri kepada Ammar Syafiq. Lelaki sombong yang suka
mengejinya ketika di bangku sekolah. Dia juga pernah tinggal
di asrama pekerja Vila Aisyah selama 2 tahun.
Kalau diikutkan hati dia tidak mahu bersuamikan
Ammar. Punya paras rupa yang kacak namun sombong dan
bongkak. Permintaan Tan Sri Amir yang selama ini banyak
membantunya sukar untuk ditolak. Semenjak kematian
ayahnya 10 tahun dulu, Tan Sri Amir yang menanggung
persekolahannya. Dalam diam, Tan Sri Amir memberikan
dia duit persekolahan melalui rumah anak-anak yatim yang
didiaminya.
Tapi itu semua dulu. Sekarang dia isteri Ammar.
Dia berazam untuk belajar mencintai suaminya sepenuh
hati. Takdir Allah mana mungkin dia boleh elak. Sebanyak
mana dia benci Ammar kini rasa benci itu harus ditukar pada
perasaan cinta. Kenangan pahit masa lalu harus dibuang.
Masa hadapan yang terbentang harus ditempuhi.
Zara menarik nafas. Cuba memperlahankan rentak
jantungnya. Terasa degupan yang lebih kencang daripada
biasa. Ammar menghampirinya untuk upacara membatalkan
air sembahyang. Upacara pernikahannya ringkas saja
dan hanya dihadiri keluarga terdekat Ammar. Dia pula
berseorangan kerana tidak punya ahli keluarga. Teman
baiknya Maria tak dapat hadir kerana menghadiri kursus.
Zara tergamam sebaik saja matanya terlihat wajah
Ammar. Betapa indah ciptaan Allah. Ammar tampak kacak
dengan baju Melayu cekak musang berwarna putih. Terasa
dia jatuh cinta pandang pertama pada suami sendiri. Ini
kali pertama dia melihat Ammar selepas 10 tahun. Nampak
matang. Sepatutnya minggu lalu mereka berjumpa di butik
perkahwinan namun Ammar tidak dapat hadir.
Ammar menyarungkan cincin emas bertakhta
berlian ke jari manisnya. Ini kali pertama dia memakai
perhiasan mewah. Dia mencium tangan Ammar tanda kasih
dan hormat. Rentak jantungnya bertambah laju sebaik saja
bibir Ammar mendarat di dahinya. Peluh sejuk mengalir
di leher. Mujur juga banglo ini dipenuhi dengan penghawa
dingin.
“Alhamdulillah... akhirnya Zara jadi ahli keluarga
ayah. Ayah gembira. Terima kasih Zara.” Tan Sri Amir
kelihatan begitu gembira. Zara salam dan cium tangan bapa
mentuanya.
Zara senyum. Kerana insan inilah dia sanggup
memperjudikan masa depannya untuk menikahi lelaki yang
tak pernah sukakannya. Dia tidak sempat membalas semua
pengorbanan ayahnya. Biarlah dia berkorban untuk bapa
mentuanya.
Zara memerhatikan Ammar yang sedang
berbual-bual dengan iparnya. Sesekali dia perasan Ammar
memandang ke arahnya. Mungkin Ammar risaukan ayahnya.
Tak mungkin Ammar melihat dia. Dia gembira semuanya
berjalan dengan lancar. Majlis kecil itu tetap terasa meriah.
“Terima kasih Zara ucapkan sebab ayah sudi terima
Zara dalam keluarga ini. Akhirnya Zara ada keluarga sendiri
untuk menumpang kasih.” Zara menangis. 10 tahun dia
hidup sebatang kara. Menempuhi segala dugaan dan cubaan
hidup sendirian. Dia cuma ada Maria yang menemaninya.
Kini dia punya tempat berlindung. Zara kesat air matanya
dengan hujung lengan baju.
“Zara... tolong janji dengan ayah yang Zara akan jaga
Ammar. Dia itu nampak aje kental tapi hati sensitif. Macam
kanak-kanak lagi.” Besar sungguh harapan Tan Sri Amir.
Ammar anak yang baik namun kadangkala degil dan keras
kepala. Dia berharap agar kasih sayang dan kelembutan Zara
dapat mengubah Ammar menjadi lebih baik.
“Insya-Allah ayah... Selagi Ammar perlukan Zara,
di sinilah tempat Zara.” Zara sebak. Memang ada terselit
tanda tanya di hati kecilnya bagaimana Ammar yang begitu
membencinya setuju dengan pernikahan ini. Namun perasaan
itu diusir jauh. Selagi ada jodohnya dengan Ammar, dia akan
hargai sebaiknya.
“Jom, Lia hantar akak masuk bilik akak. Sehari
suntuk Lia dengan Kak Ita hias bilik akak. Lia harap akak
suka...” Amelia menarik tangan Zara. Gadis berusia 18 tahun
itu kelihatan ceria. Anak bongsu Tan Sri Amir. Dia kurang
mengenali Amelia kerana gadis itu masih kecil semasa
ayahnya meninggal dunia.
Setelah mendapat keizinan Tan Sri Amir, Zara
mengikuti langkah Amelia. Kali pertama dia menjejakkan
kaki ke dalam Vila Aisyah selepas 10 tahun. Memang banyak
yang sudah berubah. Hiasan dalaman dan perabot sudah
pun bertukar. Dahulu dia hanya diizinkan masuk ke dapur
sahaja. Itu pun kalau ada kenduri atau majlis yang perlukan
pembantu untuk memasak. Dia hanya dapat mengintai saja
bahagian ruang tamu.
Zara dibawa ke tingkat tiga dengan menggunakan lif
kecil yang terletak berhampiran dapur. Sebaik saja kakinya
menjejak lantai tingkat tiga, mulutnya menganga kagum.
Dari pintu dia boleh nampak ruang rehat atau ruang keluarga.
Terdapat dua pintu di kiri dan kanan ruang rehat.
“Ini bilik abang... dan bilik akak juga.” Amelia
membuka pintu.
Bilik Ammar berkonsepkan apartmen studio. Masuk
saja dia sudah nampak katil terletak di sudut bilik. Kabinet
TV di sebelah katil memisahkan ruang rehat dengan tempat
tidur. Pantri dan meja makan di sudut lagi satu. Satu pintu
dia tak tahu apa fungsinya.
“Besar kan kak... Semua bilik kami adik-beradik
macam ini. Kat pintu itu ada tangga untuk turun naik. So,
kalau tak nak guna lif atau masuk pintu besar akak boleh
guna pintu itu. Tapi kena naik tanggalah tiga tingkat. Besok
kita pusing-pusing kat tingkat bawah.”
Zara senyum sekilas sambil melabuhkan punggung
di atas sofa. Dalam seumur hidupnya dia tak pernah impikan
hidup sebegini. Tinggal di rumah serba mewah dan bergelar
isteri kepada lelaki yang pernah membencinya.
“Akak rehat, Lia nak turun dulu...” Amelia mencium
pipi Zara dan berlari keluar. Tak sempat Zara menahannya.
Dia takut ditinggal bersendirian di ruangan sebesar itu.
Perutnya tiba-tiba berbunyi. Lapar pula rasanya. Dia
hanya sempat makan sedikit saja petang tadi sebelum mula
disolekkan mak andam. Dia bangun dan menuju ke peti ais
mini. Harap-harap ada sesuatu untuk dibuat alas perut.
Beberapa tin minuman tersusun rapi. Terdapat
juga berkotak-kotak susu coklat dan strawberi. Matanya
terpandang pada buah-buahan yang sudah siap dipotong di
dalam bekas Tupperware. Apa yang menarik perhatiannya kek
coklat di dalam bekas. Setahu dia, Ammar tak suka kek coklat.
“Makan ajelah kalau lapar...”
Zara terkejut lalu berpusing. Ammar berdiri di
belakangnya. Terlalu rapat hingga badan mereka bersentuhan.
Dia jadi tidak tentu arah. Gugup pun ada. Nak bergerak
menjauh dia sudah kehabisan ruang. Senyuman Ammar buat
dia menggigil.
“Taklah Encik Ammar. Cuma tengok-tengok aje...
tak lapar pun.” Zara berdalih. Dia tunduk malu. Ammar yang
di hadapannya bukan lagi lelaki kurus yang suka bergaduh
dengannya dulu. Ammar sekarang sangat tampan. Baju
Melayu putih yang dipakai semasa majlis akad tadi masih
tersarung di tubuhnya. Dia pun belum menukar baju.
“Awak dah makan belum? Kalau belum pergi turun
bawah makan dulu. Atau awak makan ajelah apa yang ada
kalau malas nak turun.” Ammar berbisik di telinga Zara.
Zara pegun. Bukan kerana bisikan Ammar tetapi
kerana jarak mereka yang semakin dekat. Dia dapat rasa
desah nafas Ammar di telinganya.
“Saya makan buah ajelah. Malas nak turun. Dah
mengantuk.” Zara menolak badan Ammar perlahan. Kurang
selesa berdekatan begitu.
“Duduk dulu... saya ambilkan buah untuk awak.”
Ammar menarik kerusi untuk Zara duduk.
Zara pandang Ammar dengan rasa pelik. Namun
dia mendekati meja dan rebahkan punggung atas kerusi
yang ditarik Ammar tadi. Dia pandang Ammar lagi. Segaris
senyuman di bibir Ammar membuatkan dia tidak percaya
yang dia kini isteri kepada lelaki tampan itu.
Zara memerhatikan Ammar mengambil Tupperware
dari peti ais. Kek coklat juga diambil sekali. Ammar sekarang
jauh beza dengan Ammar yang dia kenal dahulu. Pertemuan
mereka dahulu tidak pernah aman. Ada saja yang mereka
gaduhkan. Panggilan mesra mereka hanyalah kau dan aku.
“Makanlah...” Ammar meletakkan Tupperware berisi
buah-buahan di atas meja. Sebiji pinggan kecil dan garpu
turut disuakan.
“Saya dah masak air. Kejap lagi saya buatkan air.
Awak nak minum apa? Milo, teh, kopi atau Nescafe? Eh kejap,
awak tak boleh minum teh kan? Nanti awak pening.”
Zara terkejut apabila Ammar ingat lagi pantang dia.
Dia rasa aneh. Dari apa yang dibaca dalam novel, bila kahwin
paksa, pengantin lelaki atau pengantin perempuan akan
bermasam muka atau memberontak. Tapi kenapa Ammar
begitu baik? Tak macam kena paksa kahwin pun.
“Air dah masak. Saya buatkan awak Milo panas...”
“Okey...” Zara cuba usir rasa tidak enak dalam hati.
Baiknya Ammar. Tak sampai 5 minit, dua biji mug berisi air
Milo siap dibancuh. Senang saja jika menggunakan Milo 3 in
1.
“Minumlah...” pelawa Ammar. Kerusi bertentangan
dengan Zara ditarik. Ammar duduk menghadap Zara dan
menghadiahkan senyuman buat isterinya.
Zara jadi serba tidak enak melihat senyuman Ammar.
‘Suami paksa’nya ini memang sengaja nak mempermainkan
dia agaknya. Seingat dia, Ammar memang tampan tapi malam
ini nampak luar biasa. Mungkin mata dia sakit. Zara tunduk.
Dia malu untuk bertentangan mata dengan Ammar. Bercakap
dengan Ammar pun dia rasa segan.
“Makanlah... kalau tak makan bila pula perut tu
nak kenyang. Kek coklat tu untuk awak. Awak tunggu saya
suapkan ke?”
“Hah... tak... tak... saya makan sendiri.” Zara
menggelabah. Dia terus cucuk buah dengan garpu dan
mula makan. Zara makan sambil menunduk. Tidak berani
bertentang mata dengan Ammar.
Selesai makan, Ammar bangun dan meninggalkan
meja. Zara menarik nafas lega. Dia ekori kelibat Ammar
dengan pandangan mata hingga menghilang di sebalik pintu.
Mungkin Ammar tukar baju. Selesai makan, Zara mengemas
meja.
Ammar keluar dari pintu tadi. Masih memakai baju
Melayu. Zara lihat muka dan rambut Ammar basah. Mungkin
baru lepas basuh muka. Zara alihkan pandangan apabila
terpandangkan Ammar. Takut tertangkap menghendap suami
sendiri.
“Ini pintu wardrobe. Bilik air ada kat dalam ni. Awak
boleh mandi atau tukar baju.” Ammar duduk di sofa dan
menghidupkan TV.
Zara angguk. Dia sambung kerjanya. Selesai mencuci
cawan, Zara mula rasa mengantuk. Dia mahu menukar baju
tapi rasa malas. Besok ajelah. Lagipun dia perlu tidur dengan
menutup aurat malam ni.
“Encik Ammar saya pinjam sofa ya. Saya
ngantuklah...” Zara mula menguap. Dia duduk di sofa kembar
dua bersebelahan tempat Ammar duduk.
Katil Ammar besar dan sangat menggoda. Tapi dia
sedar satu perkara, perkahwinan mereka bukan atas suka
sama suka. Mereka kahwin paksa. Jadi istilah malam pertama
mungkin tidak wujud. Zara tidak menunggu jawapan Ammar
apabila dia terus merebahkan diri ke atas sofa dan terus
melelapkan mata. Dia perasan TV tiba-tiba senyap.
“Ara...”
“Hmm...” jawab Zara malas. Tiba-tiba dia terasa
ada jari menjalar di pipinya. Cepat-cepat dia buka mata.
Ammar sedang melutut di tepi sofa. Zara terus terbangun
dan tegakkan badan. Mengantuknya sudah hilang. Ammar
bangun dan duduk di sebelah Zara. Zara pandang Ammar dan
Ammar pandang Zara.
“Tempat tidur seorang isteri di sebelah suaminya...”
ujar Ammar perlahan.
“Haa...” Mulut Zara terbuka sedikit.
Ammar mengambil kesempatan mencium bibir
Zara. Zara pasrah apabila Ammar merungkaikan selendang
yang dipakainya. Suka atau tidak, kahwin paksa atau kahwin
rela, dia adalah isteri Ammar. Ammar berhak ke atas segenap
inci tubuhnya.

ZARA MENANGIS lagi. Semua kenangan yang terlayar
menghambatnya ke lembah duka. Setiap kenangan manis
dengan Ammar hanya dusta dan palsu. Dadanya pedih
menahan sakit. Dia hanya duduk tersandar di tepi katil.
Azamnya untuk tabah mula runtuh. Dia merindui Ammar.
“Zara...” Maria panggil nama Zara. Tiada reaksi
daripada Zara.
“Zara kenapa ni... Cuba cerita kat aku.” Maria
mendekati Zara. Rasanya belum cukup lama Zara
meninggalkan rumah itu untuk berkahwin dengan Ammar.
Kenapakah Zara tiba-tiba balik ke sini? Apakah yang telah
terjadi? Melihat Zara dalam keadaan tidak terurus dia tahu
ada sesuatu yang terjadi.
“Dia ceraikan aku Mar... Tiba-tiba aje dia ceraikan
aku. Dia tak beritahu pun nak ceraikan aku...” Zara tersedusedan.
Dia memeluk Maria erat. Air matanya terlalu murah
ketika ini. Mengalir tanpa henti ibarat air sungai mengalir.
“Apa maksud kau yang suami kau ceraikan kau secara
tiba-tiba? Takkanlah dia tiba-tiba aje cakap aku ceraikan kau
tanpa ada apa sebab, tak ada bincang-bincang ke?” Maria
terkejut mendengarnya. Melihat Zara menggeleng, dia cuba
untuk faham.
Maria rasa pelik. Dari apa yang Zara ceritakan, dia
tahu sahabatnya itu cukup bahagia hidup dengan Ammar.
Walaupun sebelum ini Zara ada melahirkan kebimbangan
kerana Ammar bukanlah seorang yang baik. Ammar yang
Zara kenali cukup tidak suka untuk berkawan dengan orang
miskin seperti mereka.
“Lepas tahlil semalam dia beritahu nak bincang
sesuatu. Aku pun tak tahu apa benda dia nak bincangkan.
Tiba-tiba dia ceraikan aku dengan talak satu. Tiba-tiba
aje Mar...” Zara menjawab dengan nada sayu. Suaranya
tersangkut-sangkut kerana menahan kesedihan.
“Masya-Allah... Berat betul dugaan kau Zara. Aku
harap kau tabah. Aku akan tolong kau apa yang aku mampu.”
Maria mengeratkan pelukannya. Tiada apa yang mampu dia
berikan melainkan sokongan. Sebagai sahabat dia akan bantu
Zara mengharungi semua ini.
“Dia kata dia terseksa hidup dengan aku, Mar. Dia
rasa tak gembira. Kalau aku tahu, aku tak akan jatuh cinta kat
dia. Hati aku sakit Mar...” luah Zara lagi.
“Selama ni aku tak pernah rasa kurang kasih sayang
dia. Dia manjakan aku... layan aku dengan baik. Aku yang
terleka dengan sandiwara palsu dia. Aku tak sangka...” Zara
terus menangis. Tiada tanda-tanda tangisannya akan reda.

No comments:

Post a Comment