DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 November 2017

Cinta Zara - Bab 2

“SAYA minta semua yang ada kat sini tolong
maafkan salah dan silap saya. Saya juga minta halalkan makan
dan minum saya selama saya di sini.” Zara cuba untuk tabah.
Kalau diikutkan ingin saja dia rebah dan pengsan di situ.
Dugaan seberat ini tak terpikul olehnya. Namun dia harus
kuat. Takdir yang kelam bukan bererti akhir kehidupan.
“Awak nak pergi mana dah tengah malam macam
ni?” Ammar terkejut dengan penampilan Zara. Sama seperti
ketika mereka sekolah dahulu. Zara yang dikenali sebagai
anak bekas pemandu ayahnya.
Ammar lihat wajah Zara agak sembap dan mata
berwarna merah. Melihat pipi Zara yang merah dia tahu pasti
Zara baru lepas menangis. Hatinya tersiat. Namun talak sudah
pun jatuh. Tidak mungkin dia mahu menarik balik apa yang
telah dilakukan. Janjinya pada Karina harus dia tunaikan.
“Saya nak keluar dari sini.” Zara menjawab seringkas
yang boleh. Tangisan yang mahu gugur ditahan. Dia tidak
boleh nampak lemah di hadapan Ammar.
“Tapi...”
“Saya nak keluar dari sini!” Ulang Zara tegas.
“Mana awak nak pergi tengah malam macam ni?”
tanya Ammar. Dia risau Zara hilang pertimbangan.
“Tolong jangan halang saya. Izinkan saya keluar dari
sini. Tak perlu tanya saya nak ke mana. Siang atau malam ke
tak ada bezanya. Jangan lupa yang Encik Ammar dah buang
saya tadi. Lupa ke yang Encik Ammar dah jatuhkan talak?”
Sinis saja nada suara Zara. Getar suaranya cuba ditutup
dengan ketawa palsu. Dipalingkan wajahnya, enggan melihat
Ammar.
“Zara dah malam ni bahaya kat luar sana. Besok
pagi aje kalau nak keluar pun.” Puan Sri Aisyah bersuara.
Kasihan melihat Zara yang bagaikan hilang punca. Nampak
sangat Zara amat terkejut. Anaknya yang satu itu memang di
luar jangkaan. Tanpa sebarang petunjuk terus saja diceraikan
isteri yang tidak berdosa. Tiada cacat celanya Zara sebagai
isteri. Malah Zara amat sempurna pada pandangan matanya
sebagai ibu mentua. Janji Ammar untuk menceraikan Zara
demi Karina telah dilaksanakan.
“Maaf Puan Sri... Sepatutnya Puan Sri nasihatkan
anak Puan Sri tunggu siang hari kalau nak ceraikan isteri.
Bukan tengah malam macam ni. Saya bukannya sampah yang
boleh dicampak sesuka hati. Saya ini manusia, ada hati dan
perasaan.” Zara tidak boleh menahan air matanya lagi.
Kekuatannya hampir runtuh. Namun dipujuk
hati untuk terus tabah. Dia tidak boleh lemah. Dia mula
mengayunkan kaki untuk melangkah keluar. Beg roda ditarik
perlahan.
“Awak boleh tinggal kat sini sampai habis idah Zara.
Kita akan selesaikan semua ini dengan cara baik. Saya akan
carikan rumah untuk awak.” Ammar memegang lengan Zara.
Menahan bekas isterinya daripada terus melangkah.
Zara tunduk. Dia tidak mampu menatap wajah
Ammar. Rasa sendu yang ditahan bakal pecah jika Ammar
terus menahannya. Zara menarik lengannya kasar.
“Encik Ammar ceraikan saya malam-malam macam
ni cara baik. Encik Ammar ceraikan saya tanpa sebab kukuh
dipanggil cara baik. Kenapa Encik Ammar tak beritahu yang
encik bencikan saya sepenuh hati? Tak perlulah saya jatuh
cinta dengan suami sendiri. Tak perlu terhegeh-hegeh dengan
suami sendiri!” Zara hamburkan marahnya.
“Seronok kan jadi lelaki. Kalau tak cinta kenapa
mesti pura-pura mencintai? Kenapa manjakan saya? Kenapa
layan saya macam permaisuri? Kenapa? Kenapa???” Zara
lepaskan semuanya. Puas hatinya dapat melepaskan apa yang
terpendam.
“Zara... maafkan saya. Tapi saya tetap tak izinkan
awak keluar dari sini sampai habis idah.” Ammar tetap dengan
pendirian dia. Tidak mungkin dia akan benarkan Zara keluar
dengan keadaan tidak stabil macam ini. Ammar menarik
lengan Zara sekali lagi. Tanda dia serius tidak mengizinkan
Zara pergi.
“Saya rasa dah cukup selama ni saya menyeksa
Encik Ammar. Izinkan saya pergi. Saya takut saya tak kuat
untuk melepaskan orang yang saya sayang. Tinggal di sini
hanya akan menyeksa kita berdua. Encik Ammar terseksa
sebab tengok muka orang yang paling encik benci. Dan saya
terseksa sebab saya hanya boleh memandang orang yang saya
cinta tapi tak boleh sentuh. Maafkan saya Encik Ammar saya
tak kuat untuk terima seksaan ini. Kalau ada sedikit pun
perikemanusiaan dalam diri Encik Ammar, saya pohon saya
minta... saya minta belas Encik Ammar untuk mengizinkan
saya keluar dari sini,” ujar Zara. Air mata menitik satu per
satu. Hatinya pedih. Kenapa Ammar terus menahan dia andai
rasa yang ada hanyalah benci.
Ammar dihambat rasa bersalah. Dia melepaskan
lengan Zara. Memang betul dia adalah insan yang tak punya
perikemanusiaan. Hanya kerana tuduhan munafik oleh
Karina, dia lafazkan cerai malam itu juga.
Zara melangkah longlai menuju ke pintu utama.
Tiada siapa yang menahannya untuk terus pergi. Barangkali
semua orang sedang terkejut atau memang merelakan
perbuatan Ammar.
“Kak Zara...” Amelia yang baru datang dari dapur
mengejar Zara. Dia menukar baju terlebih dahulu. Malam ini
dia berniat untuk temankan Zara.
“Kak Zara...” Amelia berlari keluar rumah.
‘Ya Allah, kenapalah aku tak boleh tunggu sampai
hari esok. Kau kejam Ammar...’ Ammar memarahi dirinya
sendiri. Kakinya tidak mampu melangkah mengejar Zara
walaupun hatinya menjerit.

“BERSAKSIKAN SEMUA yang ada di sini, saya Ammar Syafiq
bin Muhammad Amir menceraikan isteri saya Zara Aulia binti
Izham dengan talak satu...”
Semua mata bertumpu ke arah Zara. Zara diam
terkaku. Tidak tahu apa reaksi yang patut ditunjukkannya.
Apa yang keluar dari mulut Ammar amat tidak diduga.
Fikirannya tiba-tiba kosong. Dia tidak tahu apa reaksi yang
patut dipamerkan.
Ammar kelihatan tenang. Wajah Zara yang mendung
langsung tidak ditatapnya. Dia takut dia simpati kepada Zara.
Tekadnya sudah bulat. Niatnya untuk menceraikan Zara
sebaik saja ayahnya meninggal harus ditunaikan.
“Abang tak boleh buat Kak Zara macam tu. Abang
kejam! Mama dengan along tahu kan semua ni. Sebab tu
semua orang diam aje!” Amelia bertempik. Dia terperanjat
dengan keputusan abangnya. Selama ini abang dan kakak
iparnya kelihatan cukup bahagia.
“Abang tahu apa abang buat. Lia kecil lagi tak faham
apa-apa tentang perasaan. Abang yang terseksa hari-hari,
bukan Lia.” Ammar membela dirinya. Dia tahan perit atas
kata-kata dustanya.
Zara tersentak. Seakan sebilah pisau tajam menusuk
jantungnya. Sungguh tak disangka itu yang suaminya rasakan
selama ini. Kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan
selama ini hanyalah dusta semata. Ammar menderita di
sebalik senyuman dan kemesraan.
“Abang kejam!” Amelia sudah mula menangis.
“Lia sudahlah...” Zara bangun. Tidak betah berada di
situ. Orang yang dia sangka mencintainya, menderita dalam
diam. Dilihat abang ipar dan birasnya tunduk merenung
lantai. Ibu mentuanya juga diam. Tahlil ayah mentuanya baru
saja selesai. Dia meninggalkan semua yang berada di ruang
tamu.
Air mata Zara tumpah jua ketika memasuki lif. Dapat
dilihat wajahnya di sebalik cermin di dalam lif. Wajahnya
mula bertukar merah. Puas dia menahan tangis tadi. Kini
semuanya dihamburkan keluar.
“Kenapa awak kejam sangat Ammar?” soal Zara
sendirian yang berada di dalam sebuah teksi. Hatinya pilu
apabila mengenangkan perbuatan kejam Ammar terhadap
dirinya tadi.

No comments:

Post a Comment