DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 13

Izdham. Lelaki yang satu ini memang nak kena
dengannya! Melissa berang sendiri sejurus keluarganya
beredar dari rumahnya. Kakinya dihentak-hentakkan ke
lantai, memanjat satu per satu anak tangga hingga sampai
ke kamar peraduannya. Telefon bimbit di atas meja solek
dicapai. Pantas nama lelaki itu dicari dan butang call ditekan.
Dia ingin benar bercakap dengan lelaki itu secepat yang
mungkin.
“Helo. Izdham, you’re too much!” marah Melissa
lantang sebaik sahaja terdengar suara lelaki itu di hujung
talian. “Where are you now? Saya nak datang jumpa awak!”
Usai mengetahui lokasi lelaki itu, punat tamat ditekan.
Izdham yang sedang berbasikal menghentikan aktiviti
riadahnya sejurus mendapat panggilan daripada Melissa.
Daripada nada suara gadis itu ketika di talian sebentar tadi,
dia dapat mengagak bahawa gadis itu betul-betul diamuk
amarah.
Hairan. Mengapa pula Melissa hendak mengamuk
dengannya? Kesalahan apakah yang telah dia lakukan?
Secepat yang mungkin dia mengayuh kembali basikal ke
tempat sewaan alatan riadahnya. Dia memulangkan semula
basikal yang disewa. Kemudian, dia menunggu di bahu jalan
di Taman Tasik Ayer Keroh itu sebagaimana yang dijanjikan
kepada Melissa.
Matanya terlihat kelibat kereta Mini Cooper milik
Melissa meluncur laju di jalan raya. Lagak sedang berlumba.
Tidak sampai seminit, gadis itu memberhentikan kereta tepat
di hadapannya, sehingga berdecit sedikit bunyi tayar akibat
geseran yang mengejut.
‘Amboi, tahulah kereta tu standing kereta sport, tapi
tak perlu kut nak berlumba kat sini.’ Izdham merusuh hanya
dalam hati. Tidak terzahir dalam bentuk kata-kata, khuatir
dia menjolok sarang tebuan tak semena-mena. Lantas, dia
membuka pintu penumpang.
Belum sempat dia hendak berkata apa-apa, Melissa
terlebih dahulu bersuara.
“Masuk!” Keras sahaja nada suara Melissa. Wajahnya
ditala ke hadapan, sedikit pun tidak berkalih memandang
wajah tampan Izdham.
Tanpa berlengah, Izdham masuk ke dalam kereta.
Tidak ingin menambah bara ke dalam api yang sedang marak.
Peluh yang merecik di dahi diseka dengan belakang tangan.
“Whoa... slow down dear.”
Melissa memandu laju mendaki bukit Taman Tasik
Ayer Keroh itu. Sebaik kereta berhenti, dia memusingkan
tubuhnya betul-betul menghadap Izdham yang sedang duduk
di sebelah.
“Are you kidding me???” jerit Melissa kuat.
Izdham tersentak. Spontan tangannya naik menutup
kedua-dua belah telinganya gara-gara bingit dengan jeritan
gadis itu secara tiba-tiba.
“What happened? What’s wrong?” Izdham bertanya
kebingungan. Dia menggosok-gosok telinganya yang terasa
berdengung akibat didera dengan frekuensi yang amat tinggi
sebentar tadi. Matanya masih tertancap pada seraut wajah
Melissa yang menyinga di sisi.
“Awak tanya what’s wrong? Patutnya saya yang
tanya awak soalan tu!” Melissa masih menengking memarahi
Izdham. Giginya dilaga-lagakan sesama sendiri. Dadanya
berombak kencang memuntahkan api kemarahan.
“Melissa... kenapa awak marah-marah macam ni?
Apa yang saya dah buat? Cuba beritahu saya tanpa perlu
menjerit, boleh tak? Bingit telinga saya ni awak buat,” kata
Izdham memujuk dan cuba menenangkan kemarahan gadis
itu.
“Awak buat saya marah, tahu tak?” Melissa
menghentak stereng kereta dengan tangannya. Kuat!
“Apa masalah awak ni sampai nak menghentak-hentak
tangan tu kat stereng? Kalau nak bercakap tu pakai mulut
ajelah. Tangan tu tak payah gatal nak berjalan sama.” Tangan
Melissa yang dihentak ke stereng tadi dicapai dan diusap.
Melissa cuba merentap tangannya, tapi pegangan
Izdham amat kuat. Tambahan lagi, tangannya memang sakit
yang amat selepas dia menghentakkannya ke stereng sebentar
tadi. Seboleh mungkin ditayang wajah selamba di hadapan
lelaki itu walhal sakit di tangan mencucuk bisa.
“Awak jumpa parents saya untuk melamar saya,
kan?” Nada suaranya sedikit menurun kerana cuba menahan
bisa yang masih dirasakan.
“Owh... awak dah tahu tentang tu? Sebab tu awak
mengamuk macam ni marahkan saya?” Izdham meneka.
Tangan Melissa yang masih berada di genggamannya diusap
tanpa henti. Ada kesan merah di situ. Mujur hanya bengkak
sedikit.
Melissa tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang
terus-menerus memandang wajah lelaki itu bagaikan memberi
isyarat tidak akan berlangsung komunikasi selanjutnya selagi
soalan pertama yang diajukan tidak mendapat penjelasan.
Izdham mengeluh.
“Melissa... lain kali kalau marahkan saya sekalipun,
please don’t hurt yourself. Saya tak suka macam ni. Tengok,
awak jugak yang sakit. It’s hurting you isn’t it?” Izdham
bertanya. Mengambil berat akan gadis yang dicintainya.
Melissa mengangguk. Menyesal juga dia
menghentakkan tangannya ke stereng tadi.
“Kenapa awak tak beritahu saya yang awak pergi
jumpa ibu bapa saya?” Malas Melissa hendak berteka-teki.
Terus dan telus soalan yang diajukan kepada Izdham.
“Sebab saya tahu awak belum bersedia. Saya datang
melamar awak, untuk memastikan awak sentiasa berada
dalam hidup serta gapaian saya. Walaupun saya dah dapat
restu daripada ibu bapa awak, saya tak gunakan tiket tu untuk
memaksa awak terima saya. Saya tahu awak masih terluka
dan perlukan masa. Sebab tu, saya rahsiakan pertemuan
saya dengan keluarga awak,” jujur Izdham berkata. Tidak
ada apa yang hendak disembunyikan lagi. Biarlah gadis itu
tahu isi hatinya yang sebenar. Dia sudah penat menyimpan
perasaannya sendiri.
Melissa hanya diam, berfikir sejenak. Ada betulnya
kata-kata Izdham. Lelaki ini tidak pernah memaksa dia
menerimanya sebagai suami. Dia cuma tidak pernah berputus
asa untuk memikat hatinya. Izdham pernah melamarnya, tapi
dia yang menolak. Bukan kerana dia tidak suka dengan lelaki
ini, namun kerana kelukaan lalu, membuatkan dia berasa
fobia untuk menerima sapaan kasih yang dihulurkan.
“Saya benar-benar mencintai awak. Saya nak
berkongsi dan habiskan seluruh hidup saya bersama awak.
Saya tak main-main dengan niat saya.” Izdham membuat
pengakuan ikhlas buat kali yang entah ke berapa. Wajah
Melissa direnung dengan pandangan yang sarat dengan kasih
dan sayang. Lalu, jemari gadis itu dikucup lembut beberapa
kali.
“Berilah saya peluang untuk membahagiakan awak,
Melissa...” Izdham separuh merayu. Merayu agar cintanya
bersambut. Jiwanya tidak keruan selagi salam kasih yang
dihulurkan tidak mendapat sebarang balasan. Ya, dia akui
jika hendak dibandingkan dahulu dan sekarang, ternyata
mereka lebih rapat saat ini. Namun, apalah makna keakraban
itu jika tidak langsung mempunyai sebarang deklarasi yang
membawa perhubungan mereka kekal hingga ke syurga?
Melissa mengeluh kecil.
“Saya tahu perasaan awak, Izdham. Saya pinta,
berikanlah saya masa. Berikan hati saya masa untuk jatuh
hati pada awak dengan sendirinya. Saya tak nak merasa
terpaksa atau dipaksa. Saya takut untuk terluka lagi.” Tanpa
sedar dia seolah-olah menjanjikan harapan kepada Izdham.
Ya, berikan dia masa. Bukankah masa itu penawar mujarab
bagi setiap kelukaan?
Mendengarkan harapan itu, Izdham mengukir
senyuman penuh menawan. Hatinya terasa lapang dan
senang.
“Saya akan terus setia menunggu awak cintakan
saya, Melissa. Hari-hari saya berdoa semoga Allah bukakan
pintu hati awak secepat yang mungkin buat saya. Saya minta
maaf sebab rahsiakan perkara ni daripada awak. Marah lagi
tak?” tanya Izdham dengan renungan yang menggoda.
“Tak apa. Maaf jugak sebab menjerit kuat-kuat,
tengking dan marah awak tadi. Tapi lain kali jangan buat
lagi tau,” ujar Melissa separa memberi amaran. Wajahnya
pula seakan disimbah dengan rona kemerahan akibat malu
direnung sebegitu. Dipalingkan wajahnya ke arah lain. Tidak
mahu terus-menerus membiarkan wajahnya diratah bola
mata Izdham yang tidak mengenal erti batas. Dalam diam,
akalnya mula mengakui, Izdham sememangnya mempunyai
ciri-ciri lelaki idaman hati.
“Baru saya tahu awak berupaya memekakkan telinga
orang yang sihat walafiat,” giat Izdham lagi. Dia memulakan
usikan selepas puas merenung wajah menawan itu buat
menyurutkan rindu setelah sudah beberapa hari tidak
bertemu.
“Memang saya mengamuk kalau awak cari pasal
dengan saya lagi. Lebih teruk daripada ni nanti. Bukan pekak
aje tau, saya buat awak jadi jampang sekali gus. Nak?” ugut
Melissa seraya menjeling Izdham di sebelahnya.
Izdham ketawa lepas. Bagaikan digeletek hatinya
dengan kata-kata gadis itu.
Melissa menoleh sisi kirinya sekilas. Apa yang
kelakar sangat? Sabarlah hati...
Malas hendak melayan usikan Izdham, dia
mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang
reaksi. Baru sahaja dia hendak menolak gear dan memulakan
pemanduan, Izdham menahannya.
“Eh stop, stop! Tukar tempat dengan saya. Biar saya
pandu, awak duduk diam-diam.” Izdham terus membuka
pintu dan berlari keluar menuju ke arah pemandu.
Melissa masih tidak berganjak saat Izdham sudah
membuka pintu dan berdiri di sebelahnya, bersedia untuk
mengambil alih pemanduan.
“Ni kereta saya. Biar saya yang bawa. Awak duduk
ajelah kat sebelah ni diam-diam.” Melissa memprotes.
Sekali-sekala, biar dia yang menjadi nakhoda bahtera.
“Saya cakap biar saya bawa, biar saya bawalah. Cuba
jangan degil dan bantah cakap saya ni. Tangan awak tu dah
bengkak, awak ingat dengan tangan yang bengkak tu boleh
jadi elok ke kalau awak memandu?” Izdham menempelak.
Melissa membawa matanya ke arah tangan yang
sedikit membengkak kemerahan, lalu akur dengan kata-kata
Izdham. Sebenarnya, memang dia tidak larat hendak
memutar stereng dengan tangan yang masih sakit. Sengaja
dia berlagak. Ya, dia degil... amat degil! Dalam diam dia
mengakui kelemahan diri. Lambat-lambat dia bangun dan
beredar ke tempat duduk penumpang.
Izdham mula memandu menuruni bukit tersebut,
kembali ke kawasan rekreasi. Setelah kereta diparkirkan di
tepi jalan. Sepantas kilat dia keluar dari tempat duduknya dan
membukakan pintu penumpang buat Melissa.
“Jom, keluarlah.” Izdham masih setia berdiri di tepi
pintu yang terbuka luas, menanti gadis itu keluar dari perut
kereta.
“Jom ke mana?” tanya Melissa dengan kening yang
bertaut. Dia menatap wajah Izdham.
“Jom kita beriadahlah dear...” Meleret-leret jawapan
yang diberi oleh Izdham. Geram pula apabila Melissa seakan
berpura-pura tidak memahami keinginannya.
“Tadi awak tak bagi saya bawa kereta sebab awak kata
tangan saya ni bengkak. Lepas tu awak ajak saya beriadah
dengan tangan yang bengkak ni boleh pulak?” soal Melissa,
seakan tidak mempercayai ajakan itu.
“Alah, tangan aje bengkak. Kaki okey, kan?” Izdham
masih tidak berhenti memujuk. “Cepatlah, Melissa.” Izdham
terus menarik tangan gadis itu agar segera keluar dari perut
kereta. Kunci kereta gadis itu disimpan rapi di dalam kocek
seluar pendeknya.
‘Selamba dia aje!’ Melissa berkata dalam hati apabila
melihat Izdham sesuka hati memperlakukannya sebagaimana
yang dimahukan. Tangannya dipegang kemas lelaki itu,
memaksa dia berjalan beriringan.
“Tengok tu, tak malu main pegang-pegang tangan
anak dara orang!” tempelak Melissa.
Izdham berpura-pura tidak dengar. Kepalanya sibuk
ditoleh ke kanan dan kiri, ingin melintas jalan.
“Ibu dan ayah saya bayar zakat tau!” tambah Melissa
lagi. Seraut wajah Izdham yang tenang dipandang sarat
dengan perasaan geram dan tidak puas hati.
“Ha memanglah, tahun depan... saya pula yang
bayarkan zakat untuk awak,” usik Izdham pula. Keningnya
diangkat beberapa kali bersama senyuman yang tersungging
di bibir. Penuh rasa bahagia.
Melissa mendengus kecil. Balik-balik dia yang
terkena!
Sewaktu melintas jalan, dalam diam matanya
menyoroti gaya pemakaian lelaki itu. Seluar tracksuit yang
pendek paras lutut dipadankan dengan T-shirt tanpa lengan
berwarna biru.
“Suka sangat tayang lengan. Tahulah badan tu sasa,”
kutuk Melissa separa berbisik. “Saya malaslah nak main
benda ni semua, Izdham.” Melissa merungut pula.
“Kenapa malas? Pakaian awak dah kena sangat
untuk beriadah. Saya nak spend time dengan awak petang
ni. Rindulah...” ujar Izdham sambil melihat pakaian yang
membaluti tubuh gadisnya. Seluar tracksuit dan T-shirt
kuning yang sememangnya sesuai untuk aktiviti riadah. Tiada
cacat celanya pakaian itu di matanya. Tangan Melissa yang
berada dalam genggaman diusap-usap perlahan seolah-olah
meluahkan rasa rindunya.
Melissa sengaja mengeraskan diri seperti patung.
Puas dia cuba merentap tangannya, namun tidak pernah
berhasil. Bengang dengan tenaga lelaki Izdham sedangkan
kudratnya tidak sekuat mana.
“Malas nak melayan lelaki gatal macam awak!” sindir
Melissa terang-terangan.
“Ouch! Bisanya kata-kata awak tu. Sakitnya tuh
di sini...” kata Izdham sambil meletakkan jari ke arah dada
kirinya.
Melissa mencebik meluat. Kalah mat romeo!
“Jom kita naik pedal boat ni nak? Awak kayuh pakai
kaki aje, tak guna tangan langsung pun,” cadang Izdham.
Jarinya menunjuk ke arah sebuah pedal boat berbumbung
yang terletak betul-betul di hadapan tempat mereka
menunggu.
“Hmm...” balas Melissa pendek. Sungguh dia malas
hendak bertengkar lagi dengan lelaki ini.
Bot yang dinaiki dikayuh dengan perlahan sambil
menikmati angin petang tatkala menyusuri tasik yang
terbentang luas. Sesekali Izdham mengerling ke arah Melissa
yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.
“Awak cantik,” kata pujian meletus dari dua ulas
bibirnya.
Melissa berdeham sebaik mendengar sebaris ayat
pujian itu. Dia hanya menoleh sekilas memandang Izdham
sebelum kembali memandang tasik.
“Awak ada girlfriend?” Suara Melissa memecahkan
kesunyian.
“Kalau ada, awak cemburu?” soal Izdham semula.
Bot yang dikayuh hampir sampai ke tengah tasik, melewati
beberapa ekor angsa putih yang berada di dalam kurungan,
terjaga dengan rapi.
“Nope. Saja tanya,” jawab Melissa. Rambut yang
menutup sebahagian matanya sewaktu ditiup sang bayu
diselitkan ke belakang telinga. Sebetulnya, tiada perasaan
cemburu yang dirasakan saat melontarkan pertanyaan. Dia
hanya kehairanan mengapa jejaka seperti Izdham masih
belum berpunya.
“Girlfriend saya sedang duduk kat sebelah saya ni.
Manis dan cantik orangnya,” ujar Izdham.
Teroles juga senyuman di bibir Melissa sebaik
mendengar kata-kata manis bergula Izdham. Lelaki ini
memang pandai bermanis mulut. Tidak dapat dinafikan, hari
demi hari sedikit sebanyak hatinya terusik juga dengan cara
Izdham memikat dan melayani dirinya. Lelaki ini pandai
membuai perasaan yang tersorok dalam hati kecilnya ini.
Namun, sengaja dikeraskan hati agar tidak terlalu berlebihan
dalam mengekspresikan perasaan yang mula dirasai.
“Tell me more about yourself.” Hampir tiga bulan
berkenalan, rasanya tidak ada satu pun cerita yang dia
ketahui tentang hidup lelaki ini melainkan kerjayanya sebagai
seorang doktor dan perangai yang kadangkala melemaskan
dirinya. Sedangkan Izdham sudah mengetahui terlalu banyak
perihal hidupnya.
“Apa yang awak nak tahu tentang diri saya?” Bahagia,
Melissa sudah menunjukkan minat untuk mengambil tahu
akan perihal dirinya yang selama ini kekal tersimpan kemas.
“Anything. Keluarga, atau kawan ke?” balas Melissa
lagi.
“Tak banyak yang menarik tentang saya untuk
awak tahu, Melissa. Ayah meninggal masa saya berumur
5 tahun, dan mak tinggalkan saya dengan keluarga angkat
yang tak pernah langsung menyukai saya. Semenjak itu,
saya tak pernah tahu apa-apa mengenai mak saya. Dia hilang
macam tu aje. Lepas UPSR, mereka hantar saya ke sekolah
berasrama dan dari situ saya belajar berdikari sendiri sampai
saya berada di tempat saya berdiri sekarang ni.” Bersahaja
Izdham bercerita seolah-olah kisah hidup yang serba-serbi
kekurangan tidak membawa kesan yang mendalam terhadap
dirinya.
Melissa berasa amat terkejut. Tidak pernah dia
menyangka bahawa kisah hidup lelaki yang menaruh hati
kepadanya ini amat memilukan hati sesiapa yang mendengar.
Di usia seawal 5 tahun sudah kehilangan keluarga, dan
hidup sebatang kara. Tanpa kasih sayang dan juga perhatian
yang sewajarnya. Subhanallah, sungguh dia kagum dengan
ketabahan hati Izdham.
Bukan semua orang mampu mengharungi jalan
hidup yang perit seperti ini. Hanya insan terpilih sahaja yang
mampu. Diuji dengan kehilangan institusi kekeluargaan,
tiada kasih seorang ayah, tiada sayang seorang ibu... tiada
teman berkongsi suka dan duka, namun tetap berjaya dalam
hidup dan kariernya sebagai seorang doktor. Hati Melissa
dirundung kepiluan yang menebal.
“Siblings?” perlahan saja Melissa bertanya, cuba
menelan sebak yang tersekat di kerongkong.
“Ada dua. Yang sulung meninggal sebab kanser dan
lagi sorang ikut mak saya. Never heard of her also,” cerita
Izdham lagi.
Melissa mengelipkan matanya beberapa kali, cuba
menghilangkan kewujudan si air mata yang jelas sudah
memunculkan diri di kolam penglihatan. Hatinya cukup
sebak saat ini, mengenangkan nasib anak-anak kecil seperti
Izdham yang tidak pernah mengenal erti kasih sayang kedua
orang tua mereka.
“Jangan simpati dengan saya, Melissa. Saya tak
perlukan sebab saya dah lama terima takdir ni semenjak
kecil lagi. Di sebalik kisah hidup saya yang serba kekurangan,
still... I’m proud of who I am,” pinta Izdham. Bukan dia tidak
nampak gadis itu cuba menyeka air mata dengan hujung
jari-jemari sebentar tadi.
“Saya empati dengan nasib awak, Izdham. Saya cuba
meletakkan diri saya in your shoes but it almost chokes
me up. Because, I couldn’t understand and imagine what I
would do if I were in your situation,” jelas Melissa dengan
nada suara yang sedikit bergetar. Baru kini dia sedar bahawa
ujian percintaan yang Allah berikan kepadanya terlalu
kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian yang Izdham
tempuhi sejak kecil. Seberat-berat masalah dan dugaan yang
dihadapinya, berat lagi dugaan yang sedang ditempuhi oleh
orang lain. Melissa berasa semakin insaf.
“Setiap orang akan diuji dengan berlainan masalah
dan dugaan. We just need to deal with it, surviving each time
we get beaten. Build up your courage and never give up. That
will do.” Izdham berfalsafah.
Kagum! Hanya perkataan itu yang berlegar dalam
minda Melissa saat Izdham menamatkan bicara. ‘Semoga dia
bertemu dengan teman hidup yang mampu membahagiakan,
memberikan seluruh perhatian dan kasih sayang kepadanya.
Semoga kehadiran teman hidupnya nanti akan dapat
membuatkan dia lupa akan semua yang tidak pernah dia
kecapi sehingga saat ini,’ beralun doa yang Melissa panjatkan
dalam hati khas buat Izdham.
“Dari dulu sampai sekarang tak ada teman wanita
buat pengubat sunyi?” Melissa cuba menebak.
“Yang nak mengikis ramai... yang nak berfoya-foya
tak kurang hebatnya, tapi yang ikhlas tak ada. Saya lebih
selesa anggap mereka semua hanya sebagai kawan, bukan
untuk dibuat teman hidup,” jawab Izdham.
Melissa terangguk-angguk mengerti. Benar, soal
jodoh serahkan saja kepada Allah yang lebih mengetahui akan
segala isi langit dan bumi.
“Saya rasa kaki saya dah nak cramplah. Saya pun
dah nak penat... so, can we go to the shore?” pinta Melissa.
Dia sudah tidak mempunyai daya ketahanan yang jitu untuk
mengayuh pedal boat, melawan arus air yang semakin
berombak.
“Of course, we can,” ujar Izdham turut bersetuju
dengan cadangan gadis itu. Tanpa berlengah, pedal boat
itu dikayuh lagi sehingga sampai ke tebing dan selepas
selesai membayar caj sewaan, mereka berdua berjalan
menuju ke kereta masing-masing untuk pulang ke rumah
memandangkan senja sudah bertamu.
“Awak sure dah boleh memandu?” tanya Izdham.
“Yeah, I'm sure. Tangan ni dah tak sakit lagi.” Melissa
berusaha meyakinkan Izdham yang nampak sedikit gusar.
“Kejap, biar saya periksa lagi.” Izdham mencapai
tangan kanan Melissa yang bengkak sebentar tadi. Apabila
dilihat bengkak itu sudah mulai surut, dia berasa lega untuk
melepaskan Melissa pulang.
“Risau sangat! Macam tangan awak pulak yang
sakit.” Melissa menggeleng-gelengkan kepala melihat
tindakan Izdham.
“Mestilah saya risau. Awak kesayangan saya,” akui
Izdham.
“Okey, terima kasih untuk hari ni,” Melissa
cepat-cepat memintas percakapan Izdham. Tidak tahu
bagaimana harus dia bereaksi jika lelaki itu terus meluah
rasa hati.
“Saya gembira bersama awak hari ni, Melissa. Terima
kasih sebab dah menyinari hari saya walaupun telinga saya
hampir pekak dek kerana jeritan awak mula-mula tadi.”
Sempat Izdham mengusik gadis itu sebelum berpisah.
Kedua-duanya saling berpandangan sebelum meletuskan
tawa.
“I’ll call you later. Drive carefully,” pesan Izdham
sebelum menutup pintu kereta kepunyaan gadis itu.
“You too, take care,” kata Melissa pula, kemudian dia
terus memandu keluar dari Taman Tasik Ayer Keroh itu.
Seraya melambaikan tangan mengiringi perjalanan
gadisnya, Izdham bersiul riang sambil berjalan menuju ke
kereta.


*** BOLEH DAPATKAN  DIPASARAN UNTUK KELUARAN NOVEMBER 2017***  

No comments:

Post a Comment