DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 8

Izz Aizril duduk merenung pantai yang terbentang
luas. Dia kecewa kerana pesanan yang dihantar kepada
bekas tunangnya tidak langsung dibalas. Hatinya merintih
menginginkan Melissa di sisi, kembali dalam hidupnya.
“Melissa...” Izz Aizil separuh berbisik. Dia cuba
menahan sebak yang datang. Isteri yang sedang menunggu
kepulangannya di rumah langsung tidak dihiraukan.
Darlia tidak pernah ada dalam hatinya. Apatah lagi
dalam fikirannya. Dia hanya menyentuh Darlia kerana status
suami yang ada pada dirinya. Bab nafkah zahir dan batin,
memang tidak pernah dia abaikan. Namun kalau bicara bab
kasih sayang, cinta serta perhatian, tiga perkara itu tidak
pernah berada dalam kamus hidupnya buat wanita lain selain
Melissa.
Izz Aizril bangun dan berjalan menyusuri pantai.
Kerjanya bertimbun di pejabat, tapi dia tiada hati hendak
menyelesaikan segala kerja yang terbengkalai. Kerjaya sebagai
managing director di salah sebuah syarikat penerbitan di
ibu kota, tidak memungkinkan dia untuk mempunyai masa
lapang. Dia sentiasa sibuk dengan urusan kerja yang tidak
pernah surut.
Sesekali dia memungut batu-batu kecil dan
dilemparkan ke dalam air laut. Deru ombak yang
menghempas pantai sedikit sebanyak menenangkan
jiwanya yang keresahan. Seraya berjalan menyusuri pantai,
dia cuba memikirkan langkah untuk mendekati Melissa.
Kalau menunggu sebegini, sampai bila-bila pun tidak akan
kesampaian keinginan hatinya. Dia nekad. Dia harus lakukan
sesuatu.
Abang akan cari Melissa sampai
jumpa. Mahu atau tidak, Melissa
tetap kena jumpa abang. See you
soon, dear.
Butang send ditekan.
Sebaik sahaja suaminya pulang ke rumah, Darlia segera
mendapatkan Izz Aizril yang sedang membuka stoking di
birai katil.
“Baru balik bang? Nak air ke? Lia buatkan ya?” Darlia
cuba mengambil hati suaminya. Dia berjalan mendekati Izz
Aizril lalu tubuh suaminya digapai dan cuba dipeluk, namun
Izz Aizril terlebih dahulu menahan tubuh Darlia daripada
memeluknya. Darlia berjauh hati.
Tanpa rasa bersalah, Izz Aizril selamba sahaja
mencapai tuala di tempat penyidai, lalu dia berlalu masuk ke
kamar mandi. Soalan isterinya dibiarkan sepi.
Darlia mendengus marah, tapi cuba disabarkan hati
yang terasa ingin mengamuk kala ini. Pintu bilik air dijeling.
Telefon bimbit Izz Aizril dicapai, lalu dia memeriksa setiap
pesanan dan panggilan yang dibuat oleh suaminya. Mencari
jika ada pesanan yang dihantar kepada Melissa.
Matanya tertancap pada satu pesanan WhatsApp
yang dihantar oleh suaminya kepada gadis itu petang tadi.
Dia bagaikan orang gila menunggu kepulangan suaminya,
namun suaminya dengan tanpa rasa bersalah masih cuba
untuk menghubungi gadis itu. Apa yang suaminya cuba
lakukan saat ini?
“Nak cari Melissa? Untuk apa lagi?” Darlia bertanya
kepada dirinya sendiri.
Pintu kamar mandi dipandang dengan mata yang
semakin memerah. Dia duduk di birai katil menunggu
dengan penuh debaran di dada sehingga suaminya keluar
menunjukkan muka. Kakinya digeselkan sesama sendiri.
Tidak sabar hendak memuntahkan amarah. Jika diikutkan
bisikan syaitan, sudah lama pintu bilik air itu roboh
dikerjakan olehnya.
“Sabar... sabar...” Kata-kata azimat itu berulang kali
diucapkan sehingga pintu bilik air terkuak.
Izz Aizril menapak keluar dengan pakaian lengkap di
tubuh. Sekilas matanya dihalakan ke arah isterinya.
“Abang nak cari Melissa? Untuk apa?” soal Darlia. Dia
sudah berdiri bertentang mata dengan suaminya, memulakan
sesi soal siasat.
“Saja. Kenapa? Tak boleh ke?” jawab Izz Aizril tanpa
gentar. Sengaja dia memilih jawapan yang mampu menaikkan
lagi darah isterinya.
“Memang salah. Sebab abang tu suami Lia!” Darlia
meninggikan suara. Membuntang matanya merenung ke
arah suaminya itu. Dadanya berombak ganas.
“Dah tu, nak suruh abang buat apa kalau abang
suami Lia?” Izz Aizril memulangkan soalan kepada isterinya
yang sedang berdiri sambil memegang telefon bimbitnya.
Tajam pandangan dihadiahkan kepada isterinya itu.
“Kalau abang tahu abang tu suami Lia, abang patut
tahu apa yang patut dan tak patut abang lakukan!” Darlia
cuba meniupkan kesedaran realiti kepada suaminya.
Izz Aizril berkalih pandang ke tempat lain.
“Abang nak cari dia lagi untuk apa? Nak memadu
asmara semula ke?” Darlia membuat serkap jarang. Cuba
menjerat suaminya supaya berlaku jujur.
“Kalau dah tahu, buat apa tanya lagi?” Serentak itu
Izz Aizril merampas telefon bimbitnya dari tangan Darlia. Dia
keluar dari kamar peraduan mereka menuju ke ruang makan
untuk mengisi perut yang lapar.
Darlia terpaku, membisu mendengar jawapan yang
diberikan oleh suaminya sebentar tadi. Hatinya sakit. Sakit
yang tidak terhingga. Suaminya terang-terangan mengaku
ingin kembali kepada Melissa.
Darlia menangis, dia tidak rela berkongsi kasih
suaminya walaupun kasih itu tidak pernah dia miliki.
Bergegas dia turun ke bawah untuk mendapatkan suaminya.
Dilihatnya Izz Aizril sedang membasuh tangan di singki.
“Lia tak izinkan abang pergi cari Melissa!” Darlia
menjerit lantang dipanah cemburu.
“Siapa Lia nak halang abang?” Izz Aizril menyoal
isterinya. Dia berpeluk tubuh di tepi kabinet dapur sambil
merenung isterinya yang kelihatan seperti orang yang
kehilangan anak. Masih waraskah fikiran isterinya ini?
“Lia isteri abang! Lia ada hak tak izinkan abang
pergi jumpa Melissa ataupun kembali pada dia!” Darlia cuba
menggunakan haknya sebagai isteri.
“Oh ya ke? Well... then you ought to know, as a
husband... bukan satu aje, abang boleh kahwin empat tau!
Apatah lagi dengan kemampuan abang. I’m sure you’re aware
of that right, Lia?” Izz Aizril bertegas, menunjukkan kuasa
vetonya sebagai seorang suami.
“Maknanya, abang nak cakap yang abang nak kahwin
lagilah ni?” soalnya lagi. Hati Darlia betul-betul terbakar saat
ini. Suaminya sudah melampau!
“Itu bukan urusan Lia. Semua yang abang buat,
itu hak abang! As a wife, you will not disobey me, your
husband. Remember that!” Izz Aizril berlalu pergi setelah
melemparkan senyuman yang paling sinis kepada isterinya.
Tanda dia menang dalam perbalahan itu.
Darlia memegang erat kerusi makan di sebelahnya
agar dapat menyokong kaki yang dirasakan seperti tiada daya
lagi untuk berdiri.
“Abang memang kejam!” Darlia menangis sendiri.
Hanya air mata yang setia menjadi penemannya saat dia
berduka. Dengan siapa patut dia mengadu? Dia tidak suka
membuka pekung rumah tangganya kepada keluarga. Izz
Aizril juga telah memberinya amaran agar tidak menceritakan
apa-apa pun yang terjadi pada keluarga masing-masing.
Maka, dia harus akur.
“Aku harus berbuat sesuatu. Mungkin kalau kami
punya anak, dia akan berubah. Mungkin dia akan sayangkan
aku, dan takkan tinggalkan aku...” katanya kepada diri sendiri.
Melissa terjaga daripada lenanya setelah mengalami
mimpi yang agak aneh. Dia bermimpi Izz Aizril datang
menemuinya, merayu mereka menjalinkan semula hubungan
yang terputus. Anehnya, dia tidak menolak langsung. Malah
dia dengan gembira bersetuju dengan usul lelaki itu.
Dahinya dikerutkan. Hairan dengan mimpi itu.
Selimut yang menutupi tubuhnya ditolak ke tepi. Dia
terkebil-kebil merenung siling kamar. Serba tidak kena, dia
bangun menuju ke balkoni. Pintu gelangsar balkoni ditolak,
lalu angin malam pun menderu-deru masuk menggigit
tubuhnya yang hanya memakai gaun tidur yang nipis.
Tubuh dipeluk sambil membuang pandang kepekatan
malam. Tiba-tiba, dia merasa rindu yang teramat kepada
bekas tunangnya itu. Rindu yang mencengkam dada. Sakit
yang tidak terungkap, rindu yang tidak terbalas. Akhirnya dia
teresak sendirian.
Dadanya dipegang erat. Malam itu, tidurnya tidak
lena. Hanya Izz Aizril dalam fikiran.

No comments:

Post a Comment