DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 23 November 2017

Cinta Zara - Bab 7

“SAYA datang sini sebagai wakil Zara. Nama
saya Maria...” Maria memperkenalkan dirinya. Dia mencuri
pandang wajah Ammar.
Pertama kali bersua muka dengan Ammar secara
dekat. Selama ini dia hanya melihat gambar yang ditunjukkan
Zara. Memang tampan bekas suami sahabatnya itu. Kalaulah
dia tak kenal siapa, sudah tentu dia juga akan jatuh cinta
kepada Ammar. Nampak lembut dengan mata redupnya.
Tanpa segaris senyuman pun sudah cukup membuatkan
perempuan menoleh dua kali. Patutlah Zara sering sebut
nama Ammar.
“Zara macam mana? Sihat ke?” tanya Ammar. Dia
risaukan Zara sebenarnya. Panggilan dan SMS daripadanya
langsung tidak berjawab. Hanya pagi tadi Zara menghantar
SMS meminta mereka berjumpa di sini. Besar harapannya
agar dapat berjumpa Zara. Dia merindui Zara.
“Alhamdulillah dia hidup lagi... tapi dia tak sihat
sangat. Asyik menangis. Tengah masak menangis... tengok
ikan pun menangis. Kesian dia... Sampai hati suami dia buat
dia macam tu.” Maria sindir Ammar.
Ammar tidak mampu untuk senyum. Sebaliknya
matanya tunduk merenung ke meja. Dia tidak sabar-sabar
mahu berjumpa dengan Zara namun dia kecewa dan terkejut
dengan kehadiran Maria. Mungkin Zara terlalu marah hingga
tidak mahu berjumpa dengannya.
“Dia dah pergi klinik ke?” tanya Ammar lagi. Dia
agak risau mendengar khabar yang Zara tidak sihat. Zara
kalau demam memang liat nak pergi klinik.
Maria meluat dengan pertanyaan Ammar. Nampak
saja baik tapi kejam dan tak berhati perut. Dia hanya
tersenyum tapi tidak mahu menjawab soalan Ammar.
Sebenarnya dia pun tidak mahu berdepan dengan Ammar tapi
dia sudah berjanji untuk menolong Zara.
Tapi kenapa Ammar seakan terlalu risaukan Zara?
Bila sebut nama Zara, mata Ammar nampak bercahaya.
Apakah sebenarnya yang terjadi? Kenapa Ammar tidak seperti
lelaki lain yang berkobar-kobar untuk berkahwin dengan
perempuan lain setelah menceraikan kawan baiknya itu?
“Jangan risau pasal itu. Dia bukan sesiapa pun untuk
Encik Ammar ambil kisah.”
Ammar tidak puas hati dengan jawapan Maria. Mahu
bertanya lebih lanjut namun dia terbayang janjinya kepada
Karina. Dia membatalkan niatnya untuk bertanya.
“Saya memang nak tumbuk Encik Ammar sekarang
ni sebab dah buat kawan saya menangis. Tapi Zara dah pesan
pada saya jangan apa-apakan Encik Ammar.” Teringat akan
tangisan dan raungan Zara, mahu saja dia melayangkan
penumbuk ke muka Ammar. Tapi Zara sayangkan Ammar.
Pesan Zara jangan sesekali naik tangan ke atas Ammar. Zara
tahu sangat perangai dia kalau marah. Segala kaki dengan
tangannya turut sama marah.
“Saya datang sini nak sampaikan pesanan Zara. Dia
akan beri kerjasama sepenuhnya kepada Encik Ammar dalam
hal perceraian. Dia setuju kalau terus bercerai tanpa melalui
kaunseling. Dia mahu semuanya selesai dengan cepat.” Terang
Maria. Dia tidak mahu lama-lama di situ. Takut kesabarannya
mula menipis. Pada pandangannya ketika ini, rupa kacak
Ammar sudah kelihatan seperti punching bag.
“Zara minta Encik Ammar berhenti menelefon
atau menghantar SMS kepada dia. Semua urusan hendaklah
melalui saya. Satu lagi... dia tak perlu pembahagian harta
sepencarian atau apa saja. Dia hanya mahukan perceraian
diuruskan secepatnya.”
Ammar hanya mengangguk. Dia pun mahu semuanya
selesai dengan segera. Tak tertahan dengan desakan Karina.
“Saya setuju. Tolong pesan kat Zara, barang-barang
yang saya beli semuanya untuk dia. Hak milik dia. Bila-bila
masa dia boleh ambil. Dan ini... yang Zara tinggalkan. Juga
hak dia.” Ammar menolak satu sampul surat ke arah Maria.
Maria melihat isi kandungan sampul surat tersebut.
Dia telan air liur. Not-not berwarna ungu membuatkan dia
gelap mata seketika. Ikutkan hatinya, ingin saja diambil
sampul surat itu namun mengingatkan Zara dia membatalkan
niatnya. Dia menolak kembali sampul surat tersebut ke arah
Ammar.
“Maaf Encik Ammar, saya tak berani terima bagi
pihak Zara. Dia pesan juga yang dia tak mahu barang-barang
itu lagi. Encik Ammar boleh sedekahkan barang-barang
itu semua... dia tak nak ada kaitan langsung dengan Encik
Ammar.”
“Kenapa saya tak boleh hubungi dia? Dalam tempoh
idah dia masih tanggungjawab saya.”
“Tanggungjawab Encik Ammar juga untuk menjaga
hati dan perasaan dia kan? Kalau betul benci tunjuk muka
benci. Tak perlu tunjuk prihatin. Tak perlu geledah balik tong
sampah untuk mencari sampah yang dibuang. Encik Ammar
kejarlah bahagia yang tak mampu kawan saya berikan dengan
orang lain. Jangan sesekali menoleh hanya untuk buat dia
terluka.”
Ammar diam. Dia tahu yang Zara mungkin trauma
mendengar apa yang keluar dari mulutnya malam itu.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dirinya sendiri
yang merana. Dia yang pandai-pandai berjanji dengan Karina
untuk menceraikan isterinya sebelum menikah lagi.
“Ini daripada Zara. Saya minta diri dulu...” Maria
meminta diri. Ditinggalkan Ammar seorang diri. Tahap
kesabarannya makin menipis. Dia takut janjinya untuk tak
mengapa-apakan Ammar akan dimungkiri.
Ammar membuka bekas makanan yang ditinggalkan
oleh Maria. Kandi kelapa. Manisan kegemarannya. Dia
ada meminta Zara membuatkan kandi kelapa sebelum ini.
Semua bahan telah pun dia beli, namun Zara tidak sempat
membuatnya.
‘Ya Allah, betul ke apa aku buat ini?’ Ammar merintih
dalam hati. Kenapa dia begitu bodoh menceraikan Zara.

ZARA MEMUSATKAN pandangannya ke arah tasik. Tenang
dan mendamaikan. Sesekali matanya tertumpu pada
pengunjung yang lalu lalang. Mencari kelibat seseorang.
Waktu petang begini Taman Tasik Ampang dipenuhi dengan
pengunjung. Wajah yang dicari masih belum muncul.
“Kak Zara...” Amelia meluru ke arah Zara dan
memeluknya. Esak kecil kedengaran.
Zara diburu rasa bersalah. Walaupun hanya 5 bulan
bersama dengan keluarga Ammar, Amelialah paling rapat
dengannya. Pelukan Amelia terlalu erat sehingga dia sukar
untuk bernafas. Besar sangat rindu Amelia kepadanya.
“Lia rindu akak... Lia risau kat akak tau. Kenapa akak
tak jawab call Lia? Akak pergi mana? Puas Lia cari akak.”
Bertalu-talu soalan keluar dari bibir comel Amelia. Air mata
berjuraian tanpa henti.
“Akak pun rindu. Kita duduk dulu.” Zara juga
hampir lemas dipeluk dengan erat oleh Amelia. Dia pun
rindukan adik iparnya. Untuk menjawab panggilan Amelia dia
tidak punya kekuatan. Melihat Amelia bagaikan sedang duduk
dengan Ammar. Wajah Amelia sangat mirip dengan Ammar.
Sebab itu dia ambil masa yang lama untuk menghubungi
Amelia. Itu pun atas desakan Maria. Kesian dengan Amelia
yang tidak jemu-jemu menghubungi dia.
“Akak minta maaf. Malam tu, akak nampak teksi kat
depan rumah terus akak tahan. Akak balik rumah lama akak.
Akak tak dapat jawab call sebab akak... akak sibuk menangis.”
Jujur jawapan Zara.
Jeda seketika. Mereka membiarkan angin lembut
menampar wajah. Kedua-duanya terluka dan banyak
menangis sejak kebelakangan ini. Zara menangis sebab
diceraikan. Amelia menangis sebab kehilangan.
“Angah dah tak macam dulu kak. Dia tak banyak
cakap macam sebelum ni. Dia banyak duduk dalam bilik dia.
Selalu termenung kat tepi swimming pool. Senyuman angah
makin mahal. Gelak ketawa memang mimpilah nak tengok.”
Seboleh-bolehnya Zara tidak mahu ambil tahu
perihal Ammar. Dia biarkan Amelia bercerita tanpa diganggu.
Amelia juga berhak melepaskan apa yang ada di hatinya.
Namun untuk mempercayai setiap butir kata Amelia, dia
tidak mampu. Perlukah Ammar bersedih sedangkan lelaki itu
sendiri mencanangkan derita?
“Kalau akak nak tahu, angah dengan perempuan
plastik tu dah plan nak kahwin. Tunggu pengesahan cerai dan
habis tempoh idah.” Amelia bercerita. Ada nada marah dan
benci dalam bicaranya.
Zara tidak terkejut. Memang dia tahu hubungan
Ammar dan Karina. Ayah mentuanya ada cerita sebelum
meninggal. Namun dari apa yang dia tahu hubungan Ammar
dan Karina sudah putus.
Pada pemerhatian orang lain, Ammar mungkin
sudah lupakan Karina selepas mereka menikah. Tidak
kelihatan langsung perkahwinan mereka kerana paksaan.
Saban hari senyuman Ammar adalah yang pertama dia lihat
ketika bangun tidur. Namun dia alpa dengan semua itu.
Langsung tak menduga Ammar menderita dalam diam.
“Okeylah tu... Lia boleh dapat kakak ipar baru. Boleh
tumpang glamor dia.” Zara melawak. Mahu sembunyikan
gerun di hati. Memikirkan lelaki kesayangannya dengan
perempuan lain, cemburunya menggila.
Zara tak pernah berjumpa dengan bakal isteri Ammar
Dia hanya mengenali Karina dari majalah dan Internet.
Karina seorang yang cantik dan namanya terkenal sehingga
ke peringkat antarabangsa.
“Kak Zara seratus kali lebih baik daripada dia.
Hipokrit... palsu... cantik dia pun palsu juga. Kalau tak kerana
make-up tebal dia tu tak cantik mana pun... Lia tak suka
dia. Lia tak suka dia kahwin dengan angah.” Luah Amelia.
Kebencian Amelia langsung tidak disembunyikan.
Tan Sri Amir juga tak berkenan pada Karina. Zara
pun tidak tahu apa sebabnya. Namun alasan yang diberi Tan
Sri Amir lebih kurang sama dengan Amelia. Karina bukanlah
seorang perempuan yang baik. Ammar saja yang buta dengan
cinta palsu Karina. Tidak nampak segala keburukan Karina.
Hanya nampak kecantikan dan kemanjaan Karina.
“Lia kena bagi peluang pada angah kecapi bahagia
yang dia nak. Kita sama-sama doakan yang terbaik untuk
angah. Dia berhak untuk gembira.” Zara cuba memujuk. Dia
sedar kedudukan dirinya di sisi Ammar hanyalah sekadar
persinggahan. Cinta hati Ammar adalah Karina.
“Tapi Lia betul-betul tak boleh terima dia. Akak
baliklah rumah. Pujuk angah. Baru talak satu, boleh rujuk
balik, kan. Lia tak nak kakak ipar lain. Lia cuma nak akak
dengan Kak Ita aje dalam keluarga Lia.”
Zara tarik nafas dalam-dalam. Bukan tiada niat
di hatinya untuk merayu Ammar kembali. Demi cinta, dia
sanggup minta peluang kedua daripada Ammar. Hasratnya
terpaksa dikurungkan apabila memikirkan penderitaan
Ammar sepanjang tempoh mereka hidup bersama.
Keputusannya sudah nekad, biarlah Ammar hidup dengan
Karina.
“Lia dah ambil keputusan nak belajar kat England.
Lia dah bincang dengan mama. Lia pergi lepas pernikahan
angah.”
“Bukankah Lia kata nak sambung kat dalam negara
sebab tak nak tinggalkan mama? Jangan kerana angah,
Lia putus asa dengan semua orang.” Zara terkejut dengan
keputusan mendadak adik iparnya.
“Hati Lia sakit kak. Lia marah sebab tak ada sesiapa
pun marah angah. Semua tutup mata tengok perbuatan
angah. Lia tak boleh terima apa angah buat kat akak. Sebab
angah abang Lialah sakit hati ini berganda-ganda.”
Zara memeluk Amelia. Dia tidak menyangka begitu
nekad Amelia protes kepada abangnya. Sungguh dia sayang
kepada gadis cilik itu. Tapi dia tidak mahu Amelia derhaka
pada keluarga hanya kerana soal perceraiannya dengan
Ammar.
“Akak tahu angah akan ceraikan akak. Salah akak
sebab leka. Sepatutnya akak boleh nampak semua ini. Bukan
salah angah pun. Dari awal lagi angah dah cakap pada semua
orang yang dia akan ceraikan akak.” Mungkin kenyataan ini
tak pernah Amelia tahu. Dia yang leka dengan cinta Ammar.
Tak sangka Ammar membalas dendam dengan berpura-pura
mencintainya.
“Tak. Akak tak salah... perempuan plastik tu yang
salah. Angah pun bodoh sebab dengar cakap perempuan
plastik tu. Angah cintakan akak. Angah sayangkan akak.”
Zara hanya mampu senyum. Kalau ada cinta di
hati Ammar kenapa perceraian yang lelaki itu pinta? Masih
ada jalan untuk mereka kembali. Tapi semua itu di tangan
Ammar. Dia tak punya hak untuk meminta. Dia hanya mampu
menanti andai Ammar mahu menjalin kembali hubungan
yang sudah terputus.
“Akak tak tahu tiap-tiap hari perempuan plastik tu
mesej angah ingatkan angah pasal nak ceraikan akak lepas
ayah meninggal. Tapi angah tangguhkan juga sampai tahlil
arwah ayah. Sebab tu Lia yakin sangat yang angah cintakan
akak. Akak kena pujuk angah. Rujuk balik.” Rayu Amelia.
Dia yakin sangat yang angahnya memang cinta wanita yang
berada di depannya kini... Dia pasti Karina ada mengugut
abangnya.
“Lia... kalau Lia sayangkan akak, tolong terima siapa
pun pilihan angah. Akak tak mampu bahagiakan angah.
Biarlah orang yang lain berikan dia kebahagiaan.”
“Tapi kak... angah buat silap besar kalau kahwin
dengan plastik tu. Akak kena bawa angah kembali ke jalan
yang betul.” Bersungguh-sungguh Amelia merayu Zara.
“Ada kalanya kita perlu biarkan seseorang itu
membuat kesilapan. Dengan harapan suatu hari nanti
kesilapan itu akan mengajarnya sesuatu.”

No comments:

Post a Comment