DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 2

“Awak! Awak! Bangun! Awak!” Berkali-kali
dia memanggil, cuba menyedarkan gadis itu. Tiada sebarang
reaksi. Izdham mula panik. Ditampar perlahan pipi mulus itu.
Moga gadis itu akan sedar secepat yang mungkin. Namun,
percubaannya masih gagal.
Kali ini, dia mula menekan dada dan memberikan
bantuan pernafasan. Dia bukan hendak menggatal, tapi dia
mahu menyelamatkan nyawa gadis itu. Ini sudah memang
tugasnya! Dia tidak mahu tindakannya disalahertikan.
Bantuan pernafasan diberikan, akhirnya gadis itu
mulai sedar. Terbatuk-batuk memuntahkan kembali air
sungai yang telah ditelan tadi. Izdham mengurut dada. Lega.
Dia terduduk kepenatan, mencungap-cungap di sebelah
tubuh si gadis yang masih terbaring itu. Lantas tangannya
laju menyelongkar beg tangan yang berada di sisinya.
Sebaik sahaja dia berjaya mendapatkan kad
pengenalan gadis terbabit, dia membaca nama yang tertera di
atas kad itu sepintas lalu. Sepantas kilat juga dia menyimpan
kad pengenalan tersebut ke dalam kocek seluar jeannya.
Tanpa berlengah, dia menghubungi pihak hospital meminta
ambulans dihantar ke situ. Dia bimbangkan nyawa gadis di
sebelahnya ini.
Lena Izdham diganggu dengan bunyi deringan telefon
bimbit yang menjerit nyaring. Terpisat-pisat dia cuba
membuka mata untuk melihat nama gerangan si pemanggil.
Sebaik sahaja punat menjawab ditekan, kedengaran satu
suara di hujung talian.
“Okey, Sarah. Terima kasih maklumkan saya.
Pastikan dia tak ke mana-mana. Saya tak nak dia hilangkan
diri sebelum saya sampai,” tegas Izdham memberi arahan
kepada si pemanggil yang setia mendengar di hujung talian.
Sebaik sahaja talian dimatikan, Izdham meraup
wajahnya. Mengeliat cuba menghilangkan keletihan di
tubuh seraya menyambung aktiviti bermalasan di atas katil.
Ingatannya mula melayang mengingati peristiwa semalam.
“Kerja gila mandi sungai pagi-pagi buta!” bentak
Izdham. Kad pengenalan gadis itu yang masih berada dalam
simpanannya diambil dan direnung.
“Nur Iddya Melissa...” Sebaris nama itu disebut
berulang-ulang kali. Lagak orang yang sedang cuba menghafal
sesuatu maklumat. Macamlah sebaris nama tersebut amat
sukar untuk diingati. Pantas dia bangkit dari perbaringan dan
mula menyiapkan diri untuk ke hospital.
Melissa termangu-mangu sambil melihat keadaan
sekeliling. Ya, dia sedar dia sedang berada di hospital, di dalam
wad. Baru sebentar tadi dia dimaklumkan oleh jururawat
bahawa dia dimasukkan ke hospital oleh seorang lelaki yang
tidak ingin dikenali.
Persoalannya, jika tidak ingin dikenali, mengapa
lelaki tersebut bersusah payah menguruskan kemasukannya
ke hospital ini? Adakah lelaki yang menyelamatkannya
semalam orang yang sama dengan lelaki yang menguruskan
kemasukannya ke hospital ini? Ah, pening! Terlalu banyak
persoalan yang masih belum terjawab. Malas rasanya dia
hendak berteka-teki dengan diri sendiri.
Butang loceng ditekan untuk memanggil jururawat
yang bertugas. Tidak lama kemudian, pintu biliknya dikuak
dari luar. Kelihatan seorang jururawat perempuan yang kecil
molek dan manis parasnya masuk.
“Ya cik, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya
jururawat tersebut.
“Hurm... bila saya boleh keluar dari sini, nurse? Saya
dah sihat dah ni,” ujarnya yakin sambil meminta pertolongan
jururawat tersebut.
“Owh, saya tak pasti. Cik perlu tunggu doktor datang
periksa dan sahkan sendiri tahap kesihatan cik sebelum
diberi kebenaran untuk keluar. Saya hanya jururawat aje, cik.
Saya bukan doktor. Cik rehat ya, sekejap lagi doktor datang.”
Senyuman manis dilemparkan sebelum jururawat itu berlalu
pergi.
Melissa hanya mampu menyoroti pintu biliknya
yang kembali tertutup rapat tanpa sebarang kata. Ingatannya
melayang kembali pada peristiwa semalam. Dia sendiri tidak
menyangka dia membuat keputusan nekad begitu. Soal
nyawa dan keselamatan diri sudah ditolak ke tepi. Apa yang
dia tahu, dia tidak mahu hidup lagi.
‘Kau ingat mati tu senang? Belum dikira lagi seksaan
dan azab kubur yang bakal menanti di alam barzakh. Nak-nak
lagi kau mati membunuh diri!’ Hati kecil Melissa berkata-kata
sinis lantas menyentak akalnya. Dia mulai waras, tersedar
akan kesilapannya yang amat dibenci oleh Allah.
“Astaghfirullahalazim! Maafkan aku ya Allah, kerana
pernah terniat ingin membunuh diri. Maafkan aku kerana
tidak menghargai nyawa yang telah Kau berikan kepadaku.”
Melissa tersedu-sedan sendirian di atas katil. Bergegar-gegar
tubuhnya menahan tangis.
Menahan bebanan perasaan yang terluka dan kecewa
akibat kehilangan cinta pilihan hati, bukan semua orang
mampu menanggungnya. Lebih-lebih lagi, apabila lelaki yang
dikasihi menjadi milik orang lain. Hanya insan yang pernah
mengalami nasib yang serupa sahaja mampu memahaminya.
Sakit itu amat perit! Pedih menusuk kalbu! Kalau tidak kuat
iman di dada, pasti boleh menjadi gila.
Tapi dirinya sendiri pun sudah terbabas dari landasan
kerana terfikir dan mengambil tindakan untuk membunuh
diri. Itu sahaja sudah cukup membuktikan yang imannya
hanya senipis kulit bawang. Dalam kesenduan, fikirannya
menerawang jauh mengingatkan bekas tunangannya.
‘Apa khabar agaknya dia di saat ini? Bergembirakah
dia setelah beristeri ataupun dia juga turut menahan emosi
dan kelukaan seperti aku?’ Hati Melissa kepiluan bagai
ditusuk sembilu.
Pandangan diarahkan ke luar tingkap. Perlahan-lahan
mindanya berkelana, membawanya menyusuri saat-saat
ketika Izz Aizril bersua muka dengannya bagi menamatkan
hubungan cinta mereka.
“Melissa, abang... abang... hurm... abang...”
Tersekat-sekat susunan bicara Izz Aizril. Resah gelisah di
kerusi yang sedang didudukinya. Tidak tahu bagaimana
hendak memulakan bicara. Tunangnya yang sedang tekun
mendengar direnung tanpa kata. Terus dia mencapai tisu di
atas meja lalu mengelap peluh yang jatuh merecik di dahi.
Melissa hanya terus memandang. Dia juga diam
seribu bahasa. Hatinya sudah berasa tidak enak. Entah
mengapa, dia seolah-olah dapat merasakan ada perkara yang
tidak baik bakal berlaku pada perhubungan mereka. Inikah
yang dinamakan naluri?
“Kenapa bang? Cakaplah. Abang tergagap-gagap ni
kenapa?” Melissa mulai rimas.
“Melissa, maafkan abang.” Mata Izz Aizril tidak lepas
merenung seraut wajah cantik milik tunangnya itu.
“Kenapa abang nak minta maaf pada Melissa pulak?
Abang tak ada buat salah apa-apa pun pada Melissa. Janganlah
risau. Tak perlu nak minta minta maaf. Okey?” tambah Melissa
lagi. Dia menghadiahkan sebaris senyuman. Hatinya berasa
sedikit lega. Mungkin Izz Aizril tidak ada perkara mustahak
yang ingin disampaikan. Mungkin hatinya saja yang berburuk
sangka.
Jarinya mengocak ketenangan minumannya dengan
straw yang terdampar sepi di tepi gelas, lalu jus tembikai di
dalam gelas itu disedut perlahan, membasahkan tekak yang
sedikit kehausan.
“Abang, dah ready? Majlis kita lagi sebulan aje lagi,
kan?” Teruja Melissa bertanya. Siapa yang tidak teruja kalau
hendak membina mahligai cinta bersama jejaka yang dicintai?
Izz Aizril yang mendengar soalan itu kembali
gelisah. Bagaimana harus dia menyampaikan berita kepada
tunangnya yang jelas-jelas sedang gembira menanti waktu
untuk bergelar seorang isteri kepada dirinya?
Melissa yang melihat tunangnya diam tanpa reaksi
mula mendengus geram.
“Abang ni kenapa? Ada saja yang tak kena malam
ni. Melissa tanya pasal majlis kita, sikit pun abang tak jawab.
Tak nampak happy macam orang nak kahwin pun!” Melissa
merungut, menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Tubuh
dipeluk dengan bibir sudah memuncung.
“Ya, memang abang tak happy pun Melissa.” Izz Aizril
menjawab pendek. Dia tahu tunangnya itu sedang merajuk,
tetapi kuasa apa yang dia ada untuk memujuk? Untuk apa
memujuk tentang hal yang sekecil itu sedangkan ada masalah
besar yang sedang merajai fikiran dan membelenggu diri
mereka saat ini?
“Tapi kenapa? Apa yang buatkan abang rasa tak happy
tentang perkahwinan kita?” Melissa kehairanan. Terkejut.
Kenapa dengan Izz Aizril? Tingkah tunangnya kelihatan amat
janggal di matanya malam ini. Izz Aizril yang dia kenal bukan
begini orangnya. Lalu direnung terus anak mata lelaki itu
meminta penjelasan lanjut.
“Abang tak gembira sebab abang terpaksa batalkan
perkahwinan kita dan kahwin dengan perempuan lain.”
Izz Aizril berterus terang kepada tunangnya, tidak mahu
berlengah.
Terbuntang mata Melissa. Bagaikan halilintar yang
memanah bumi, seperti itulah dirinya dikejutkan dengan
berita yang tidak disangka-sangkakan itu. Mulutnya sedikit
ternganga. Berita yang disampaikan kepadanya tidak dapat
dicerna.
Buat seketika, kedua-duanya sepi tanpa bicara.
“Are you kidding me? Abang saja aje nak kenakan
Melissa, kan?” Melissa tergelak kosong. Masih menyangka Izz
Aizril hanya bergurau. Barangkali tunangnya itu hanya ingin
mengujinya. Tangan Izz Aizril dicapai lalu digenggam erat.
Izz Aizril menundukkan kepala, seolah-olah
memberikan tanda bahawa apa yang diucapkan bukanlah
suatu gurauan. Dalam pada itu genggaman tangan Melissa
masih sempat dibalas.
Melissa terkesima.
“Kenapa? Kenapa abang buat Melissa macam ni?”
Melissa merentap tangannya laju. Tidak sudi disentuh.
Suaranya melengking tinggi hingga membuatkan semua
tetamu di dalam Restoran Hard Rock Cafe itu menoleh ke
arah mereka. Bahunya sudah mula menggigil, air mata sudah
mula membanjiri kolam mata.
Izz Aizril yang sedang tunduk sebentar tadi pantas
mengangkat kepala, mencari wajah gadis kesayangannya.
Alangkah terkejutnya dia tatkala mendengar Melissa menjerit
kuat bagai dirasuk entiti halus secara tiba-tiba.
“Sayang... jangan macam ni. Please...” pujuk
Izz Aizril cuba menenangkan tunangnya yang sedang
teresak-esak teruk. Dia tidak mahu menjadi perhatian ramai
di dalam restoran itu. Malu! Sungguh malu!
“Kenapa abang buat macam ni pada Melissa?
Kenapa???” Jiwa Melissa benar-benar kesakitan saat ini.
Gurauan apakah yang sedang Izz Aizril bicarakan? Lakonan
apakah yang sedang Izz Aizril tayangkan saat ini? Inikah cinta
yang selama ini lelaki itu ucapkan kepadanya? Inikah sayang
yang sentiasa dibisikkan kepadanya saban hari, tiap waktu?
“Kalau betul abang sayang dan cintakan Melissa,
kenapa abang tergamak mainkan perasaan Melissa macam ni?
Kenapa abang sanggup nak batalkan perkahwinan kita dan
kahwin dengan orang lain?” soal Melissa lagi.
Izz Aizril bungkam. Kini satu restoran itu sudah
tahu akan masalah mereka. Tiada guna dia berselindung lagi.
“Melissa, please... jangan macam ni, sayang. Malulah
semua orang tengok kita.” Izz Aizril cuba memujuk lagi. Dia
bangun dari kerusinya, menghampiri dan melutut pada kaki
Melissa yang masih lagi teresak-esak itu.
“Malu? Abang cakap tentang malu pada Melissa
sekarang ni? Really abang? Abang dapat bayangkan tak malu
yang Melissa dan keluarga Melissa terpaksa tempuh kalau
abang batalkan perkahwinan kita?” Melissa memekik lantang.
Benar-benar hilang kewarasan akalnya saat ini. Kepala yang
berputar hebat dipegang dengan kedua-dua belah tangan,
cuba mencari keseimbangan fikiran dalam sendu yang tidak
tertahan.
“Abang terpaksa Melissa! Melissa ingat abang suka
ke buat gadis yang abang cinta macam ni? Abang terpaksa
batalkan majlis kita sebab mak abang tak setuju kita
berkahwin. Dia tak restu! Abang tak nak jadi anak derhaka,
Melissa...” Izz Aizril meluahkan apa yang terbuku dalam
hatinya. Berharap agar tunangnya itu dapat menerima
penjelasannya.
“Tak restu? Tak terima? What nonsense is this?
Kenapa baru sekarang tak terima? Kenapa baru sekarang
tak restu? Kenapa bukan dari dulu sebelum kita ambil
keputusan untuk berkahwin?” Melissa sudah mengongoi
kesedihan. Jiwanya nanar. Rapuh! Semangatnya hilang.
Terbayang-bayang di mata pelamin angannya musnah begitu
sahaja.
“Abang tak tahu kenapa. Tapi ini saja yang
mak abang katakan. Abang tak tahu... abang tak tahu,
sayang. Maafkan abang. Maafkan abang...” pinta Izz Aizril
bersungguh-sungguh. Dia juga menangis. Menitiskan air
mata lelakinya kerana pilihan yang harus dia buat benar-benar
berat. Memakan hati dan dirinya sendiri.
Apakah pilihan yang dia ada? Teruskan perkahwinan
dengan Melissa, dan menjadi anak derhaka? Ataupun
tinggalkan Melissa dan mengikut kata ibunya? Kedua-dua
pilihan itu bakal memakan dirinya sendiri. Sungguh dia tidak
berdaya untuk memilih antara cinta dan ibunya sendiri kerana
kedua-dua pilihan itu bakal tergalas di bahunya selama dia
bernyawa. Kalau dia tersalah membuat pilihan, bagaimana?
Lantas, walau apa pun yang terjadi, sebagai seorang anak,
dia berasakan dia harus memilih ibunya kerana syurganya
terletak di bawah telapak kaki ibunya.
Semua pelanggan yang menyaksikan adegan drama
mereka hanya mampu memandang dengan pandangan
simpati.
Melissa terus menangis dan meraung meratapi
nasib diri. Buat seketika, hanya air mata dan esakan menjadi
peneman sunyi antara keduanya.
“Kalau... kalau ini penyudah kisah kita...” Melissa
tidak mampu menghabiskan ayat yang ingin diucapkan.
Sendu terlebih dahulu mendahului bicaranya. Dadanya sakit
menahan segala macam perasaan yang merasuk hatinya saat
ini. Air mata mengalir deras tanpa mengenal erti segan. “Se...
se... selamat tinggal ab... abang...” Bersusah payah Melissa
menuturkan sebaris kata-kata itu. Dia tahu lelaki itu juga
sedang berdepan dengan ujian yang maha hebat.
Kedua-duanya menangis kesedihan. Masing-masing
cuba berkongsi cebisan semangat yang kian hilang. Berat
benar dugaan yang terpaksa mereka tempuhi hanya untuk
meneruskan hidup demi kebahagiaan insan lain. Sedangkan
hakikatnya, mereka sendiri tidak mampu untuk menggapai
bahagia itu. Kejamnya realiti kehidupan ini.
Melissa bangun. Kakinya diatur selaju yang mungkin
menapak keluar dari restoran itu walaupun dirasakan
kakinya seperti tidak jejak memijak bumi. Terasa langkahnya
pincang. Sempat dia menoleh kepada bekas tunangnya itu
seketika. Merenung seraut wajah itu buat kali terakhir untuk
disimpan dalam lipatan memorinya. Ya, bekas tunang! Ikatan
pertunangan mereka telah pun terputus sebaik sahaja cincin
pertunangan yang selama ini menghuni elok di jari manisnya
dilucut pergi.
Kak long, tolong Iddya. Tolong
beritahu ayah dan ibu yang majlis
Iddya tak jadi. Kami tak direstui
oleh ibunya. Batalkan semuanya.
Maafkan Iddya.
Girls, aku tak jadi kahwin dengan
Aizril. Semuanya dibatalkan,
katanya kami tak direstui.
WhatsApp dihantar kepada kakak dan juga kedua-dua
sahabat baiknya, memberitahu akan apa yang terjadi.
Mempersiapkan keluarganya dengan segala kemungkinan
yang bakal dihadapi.
Malam itu juga, bertubi-tubi panggilan masuk
diterima daripada ahli keluarga dan juga kedua-dua sahabat
baiknya, namun tidak diendahkannya. Apabila sampai
masanya nanti, dia akan cuba menjelaskan situasi yang
sebenar kepada mereka. Buat masa ini, dia hanya inginkan
waktu untuk bersendirian.
Sekali lagi imej ibu dan ayahnya menari-nari di
ruangan mata. Melissa terjelepok jatuh di tempat kakinya
bertapak. Bergegar-gegar bahunya menahan tangis yang
menggila.
“Ayah... ibu.... maafkan Iddya!!!” raung Melissa
dengan suara yang tertahan-tahan. Dunia yang terang
dirasakan kelam tidak bercahaya. Segala kenangan manis
percintaan bersama bekas tunangnya itu berpusu-pusu
menerjah masuk ke kotak memorinya. Izz Aizril, lelaki yang
cukup baik dan amat memahami dirinya. Menyemai cinta 4
tahun lamanya, segala suka duka, susah dan senang diharungi
bersama.
4 tahun... bukan sekejap! Perasaan cinta yang lama
bertakhta dalam hatinya, bukan senang untuk dikikis. Dia
cemburu apabila Izz Aizril yang pernah menjadi miliknya kini
sudah pun dimiliki dan menjadi hak milik sah wanita lain.
Apa yang harus dia lakukan sekiranya dia merindui Izz Aizril?
Untuk mencapai telefon bimbit dan mendail nombor lelaki
itu, memang tidak mungkin dia lakukan. Lelaki itu sudah
menjadi suami orang, dan sungguh, dia bukan perempuan
yang suka meruntuhkan masjid orang lain meskipun masjid
tersebut dibina atas kelukaannya sendiri.
Pintu bilik dikuak perlahan. Izdham berdiri di hujung katil
sambil memerhatikan si gadis yang sedang lena. Tubuh gadis
itu yang sedikit mengerekot kesejukan dipandang belas. Lalu
dengan berhati-hati dia menghampiri dan menyelimuti tubuh
itu. Kemudian, dia mengatur langkah bergerak ke arah sofa
yang terletak di sudut bilik. Dia melabuhkan punggungnya di
situ, berhajat untuk menanti sehingga gadis itu sedar.
Sejam berlalu, akhirnya Melissa tersedar daripada
lenanya. Saat matanya dibuka, alangkah terkejutnya dia
apabila terlihat susuk tubuh lelaki yang sedang duduk di sofa
sambil memerhatikannya dalam diam. Pantas dia bangun
dan duduk sambil tangannya sibuk mengemaskan diri yang
tentu-tentunya amat selekeh saat ini. Entah bagaimanalah
agaknya rupanya ketika ini. Persis langsuir barangkali.
Namun tindakannya terbatas apabila kepalanya
pening dan berputar ligat seperti kipas helikopter. Dia
mengengsot ke belakang, ingin menyandarkan tubuhnya di
kepala katil sambil memejamkan mata. Berharap pening yang
dirasakan akan segera hilang.
Izdham tersenyum sendirian melihat kekalutan
gadis itu. Dia bangun dan mengatur langkah, mengambil
tempat di hujung katil. Dia menyelak laporan kesihatan gadis
itu yang tergantung di tepi meja tempat dia memacakkan
kedua-dua kakinya.
“Sedap minum air sungai? Apa rasa air Sungai
Melaka tu?” sinis Izdham melemparkan pertanyaan.
Melissa kaget, tidak tahu bagaimana hendak
menjawab persoalan yang diajukan kepadanya tatkala
dia tidak bersedia langsung untuk memberikan jawapan.
Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Terasa seperti diserang
hendap tiba-tiba.
“Awak masih belum sihat sepenuhnya. Kesan lemas
semalam masih ada lagi. Awak tertelan banyak air sungai
dan lama jugak awak bergelut kelemasan dalam sungai tu.
Jadi saya nasihatkan agar awak berehat dan tenangkan diri
awak. Kalaupun fizikal awak okey dan tiada masalah, mental
awak mungkin sakit.” Selamba sahaja Izdham berkata sambil
menyelak laporan kesihatan gadis itu lagi. Sesekali matanya
merenung ke arah gadis tersebut.
Melissa membeliakkan matanya.
“Apa awak cakap? Kalaupun fizikal saya okey dan
tiada masalah, mental saya mungkin sakit? How dare you!
Awak nak cakap yang saya ni gila, kan?” Panas hatinya. Dia
dikatakan gila! Tadi, lelaki itu berani menyoalnya tentang rasa
air Sungai Melaka, kini dia dikatakan dengan sakit mental
pula. Lelaki itu dipandang tanpa berkelip. Amarah seakan
mula menyelinap masuk ke dalam sekeping hati miliknya.
“Tak. Saya tak cakap pun yang awak gila. Ada saya
kata macam tu ke?” Izdham memulangkan soalan kepada
gadis itu. Jelas di matanya gadis itu sedang dirasuk marah.
“Awak cakap mental saya sakit, kan? Hanya orang
gila saja yang mentalnya sakit! Don’t you know that?” soal
Melissa sekali gus menafikan ujaran lelaki itu.
“Tak jugak. Orang sihat pun boleh alami sakit
mental. Contohnya macam awak, fizikal sihat. Sekali
pandang memang tak nampak macam orang sakit pun.
Tapi tindakan awak terjun dalam sungai tu semalam
jelas-jelas menunjukkan awak ni sakit. Sakit otak!” Izdham
terus-menerus menempelak gadis itu tanpa simpati.
“You... shut up! Siapa suruh awak selamatkan saya
semalam? Saya tak minta pertolongan awak pun!” Melissa
sudah meninggikan suaranya. Lelaki di hadapannya ini
dipandang kecil seperti semut dengan mata yang membara
menahan amarah. Kalaulah lelaki kacak di hadapannya ini
seekor semut, memang akan dipijak-pijak dengan kasut
tumit tinggi setebal enam inci!
“Memanglah awak tak minta pertolongan saya, but
as a civilian... dah jadi tanggungjawab saya untuk selamatkan
orang yang dalam kesusahan.” Izdham masih bersahaja
membalas kata-kata gadis itu. Matanya diarahkan tepat ke
wajah manis itu.
Aaahhh, ada-ada saja jawapan lelaki ini yang mampu
menaikkan lagi darahnya. Melissa sudah malas hendak
bertekak dengan lelaki yang seakan-akan tidak mempunyai
perasaan itu. Sakit hati yang sedia ada masih belum mampu
dirawat, tidak kuasa dia hendak menambahkan lagi sakit
dalam hatinya. Lelaki itu dijeling sambil tangannya menekan
punat loceng memanggil jururawat yang bertugas.
Tidak lama kemudian, jururawat yang masuk
di biliknya pagi tadi muncul di pintu. Lalu tanpa kata, dia
memandang Izdham dan pesakit itu bersilih ganti.
“Nurse, tolong panggilkan doktor. Saya nak jumpa
doktor,” arah Melissa kuat dan lantang. Biar lelaki yang
tidak mempunyai perasaan ini sedar kehadirannya tidak
dialu-alukan.
“Errr...” Jururawat itu memandang Izdham dengan
pandangan bingung.
Melissa masih termangu-mangu menanti.
“Never mind Sarah, you can go. I’ve got this.”
Izdham bersuara.
Jururawat itu berlalu pergi sambil menjongketkan
bahu. Pelik.
“Eh, awak ni siapa nak suruh-suruh nurse tu pergi?
Mind your own business, boleh tak? Saya nak jumpa doktor,
bukan nak jumpa awak! Awak yang patut pergi!” Melissa sudah
naik angin. Lelaki ini benar-benar mencabar kesabarannya.
“You are my business Cik Nur Iddya Melissa
Binti Akmal. I am your doctor...” Izdham sudah tersengih
memandang pesakitnya.
Sebaris ayat yang keluar dari mulut lelaki itu amat
mengejutkan. Doktor? Lelaki ini seorang doktor? Lelaki yang
menyelamatkan nyawanya malam tadi seorang doktor? Lelaki
yang dianggap seperti semut ini juga merupakan seorang
doktor? Tercengang Melissa memandang lelaki itu dengan
mulut yang melopong.
“So... saya dah ada kat depan awak ni. Tadi awak
kata awak nak jumpa doktor, kan? Ada apa-apa yang awak
nak tanyakan pada saya tentang keadaan diri awak?” Izdham
berkata seraya tersenyum manis. Kini dia sudah duduk di
birai katil yang menempatkan gadis itu.
“Err... saya cuma nak tanya bila saya boleh keluar?”
Muka Melissa terasa panas. Merah menahan malu. Lelaki
yang menyelamatkannya malam tadi juga merupakan
doktor di hospital ini? Malahan lelaki ini juga doktor yang
bertanggungjawab merawatnya? Dia pula dengan selamba
badak sahaja memarahi lelaki ini sesuka hati. Tiada juga
ucapan terima kasih atas segala pertolongan. Yang diberi
cuma kemarahan. Di manakah adabnya sebagai seorang
manusia dan gadis? Ya Allah, sesungguhnya dia malu yang
teramat dengan lelaki ini.
Izdham semakin berminat untuk terus memandang
gadis itu. Pelik! Tadi bukankah gadis itu sedang dihuni amarah
yang amat? Kenapa apabila dia memberitahu siapakah dirinya
yang sebenarnya, gadis itu terus terdiam dan tahu bersopan?
“Awak boleh keluar esok pagi. Saya nak pastikan
awak betul-betul dapat rehat yang secukupnya. Jangan
lupa makan untuk dapatkan tenaga. Tak kira sebesar mana
pun masalah yang awak tanggung, utamakan diri awak
dulu. Jangan sewenang-wenangnya ambil jalan mudah
dengan ambil nyawa awak. Allah kurniakan kita nyawa,
salah satu pemberian yang paling berharga buat manusia.
Bersyukurlah...” Pedas dan tegas ayat yang dilontarkan
Izdham. Kemudian dia terus melangkah pergi dari bilik itu.
Dia masih punya banyak pesakit untuk dirawat walaupun
hatinya teringin benar hendak terus berada di situ.
Berdesing telinga Melissa. Wajah yang memerah bak
tertelan cili cuba dineutralkan.
‘Itulah kau, celopar lagi! Kan dah kena cili di alam
fantasi!’ Hati Melissa mengutuk perbuatannya sendiri. Bola
matanya mengekori langkah lelaki itu keluar sehingga tubuh
lelaki itu hilang di sebalik pintu.

No comments:

Post a Comment