DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 9

Melissa masih bermalasan di atas katil saat
terdengar loceng rumahnya dibunyikan berkali-kali. Bergegas
dia terjun dari katil dan menuju ke bilik air. Dikemaskan
wajah yang kelihatan kusut masai. Mata yang sedikit bengkak
direnung bersama keluhan. Kemudian, dia mencapai robe
gaun tidurnya lalu disarungkan ke tubuh sambil berlari laju
menuruni anak tangga. Tergesa-gesa dia melangkah keluar
mendapatkan tetamunya yang sudah lama menunggu di luar
pagar.
Saat pintu pagarnya dibuka, dia terkejut melihat
Izdham yang berdiri kaku memandangnya. Spontan kedua
tangan menutup dadanya yang agak terdedah dek gaun tidur
yang sememangnya sedikit seksi dan pendek. Tambahan pula
robe gaun tidurnya juga agak nipis.
“Wow! What a beautiful view...” Melopong mulut
Izdham. Terkaku dia. Mudah saja naluri lelakinya berkocak
hebat. Gadis itu memang menawan sekali.
“Izdham! Apa awak buat kat sini?” Melissa mula
cemas. Lelaki itu memang ada-ada saja helahnya. Mula-mula
suka sangat mengekorinya bagai dia anak kecil yang tidak tahu
menjaga diri. Kemudian, secara tiba-tiba menghilangkan diri
pula. Dan sekarang, lelaki itu terpacul di hadapan pintu pagar
rumahnya. Dia tidak pernah berjaya membaca tingkah laku
lelaki itu.
“Cantiknya awak, Melissa.” Bola mata Izdham mula
merayau menjelajah setiap pelosok tubuh gadis itu yang
separuh terdedah. Entah mengapa, suka pula dia dengan
panorama di hadapan mata. Seksi!
Melissa yang berasa tidak senang dengan panahan
mata Izdham bertindak memusingkan badannya untuk
masuk ke dalam rumah. Hendak menukar pakaian lain.
Pakaian yang lebih sopan dan tertutup. Dia bimbang lelaki
itu tertewas digoda nafsu. Memang salahnya kerana berani
keluar rumah dengan pakaian sebegitu. Cuai! Lain kali
pastikan dulu siapa yang datang!
Seperti baru tersedar daripada lena, cepat-cepat
Izdham menarik tangan Melissa. Terpaling tubuh itu
menghadapnya.
“Bengkaknya mata! Mata tu, kenapa bengkak?” tanya
Izdham. Pandangannya terpaku pada wajah Melissa yang
sedikit sembap.
“Mana ada bengkak,” jawab Melissa, cuba menafikan.
“Semalam awak menangis ya?” tanya Izdham lagi,
membuat serkap jarang.
“Taklah. Saya sakit mata. Awak datang rumah saya
pagi-pagi ni ada apa?” soal Melissa pula.
“Nangis rindukan saya ke?” usik Izdham sambil
mengenyitkan mata.
“Saya? Nangis? Rindukan awak? Isy... tak ada
maknanya! Tolong jangan perasan sangat boleh tak?” bidas
Melissa dengan nada yang menjengkelkan.
“Habis tu, kalau awak tak rindukan saya, kenapa
mata tu bengkak? Mustahil sakit mata, merah pun tidak.
Awak menangis sebab dia ke?”
“Itu bukan urusan awak!” Melissa tidak kuasa hendak
menjawab pertanyaan lelaki itu. Makin dilayan, makin galak
dia disoal. Daripada dia menyerahkan diri untuk disoal siasat
seperti pesalah yang sedang menunggu hukuman, lebih baik
dia beredar masuk ke dalam rumah.
“Eh, kenapa awak ikut saya masuk sekali ni? Tak
manis masuk rumah anak dara orang, tahu tak!” kata Melissa
saat terlihat Izdham membuntutinya dari belakang.
“Apa salahnya? Saya kan tetamu. Bukan saya nak
buat tak senonoh dalam rumah awak ni,” balas Izdham pula
seraya melabuhkan punggung di sofa.
“Bukan saya cakap awak nak buat yang tak senonoh,
tapi tak manis orang tengok. Kita ni hidup, ada adab
bermasyarakat... adab berjiran,” tambah Melissa lagi, masih
kekok membiarkan lelaki itu di dalam rumahnya.
“Isy, tak senonoh betul perangai awak ni. Dahlah tak
jemput tetamu masuk, dibiarkan tunggu lama kat luar pagar
pulak tu. Dah saya masuk dalam rumah, dihalaunya saya
keluar pulak. Adab bermasyarakat dan berjiran ajelah yang
awak tahu. Adab melayan tetamu yang datang, awak campak
kat mana?” bidas Izdham lagi.
“Masalahnya, awak yang datang tiba-tiba,” protes
Melissa lagi.
“Tengok tu, degil jugak nak melawan. Nama pun
tetamu, memanglah datang tiba-tiba. Air saya mana? Air?
Awak sambut saya dengan gaun yang seksi, muka sembap,
mata bengkak... lepas tu awak tak jemput saya masuk, bagi air
jauh sekali. Siap halau saya lagi tu. Awak tak malu ke dengan
saya ni?” Izdham menyenaraikan kesilapan gadis itu satu per
satu.
“Hesy... awak duduklah dulu,” pelawa Melissa
akhirnya. Dia dapat merasakan darah merah menyerbu naik
ke wajahnya. Mukanya memerah kepanasan. Malu! Izdham,
mulut lelaki itu lebih celopar daripada perempuan, sesuka
hati meluah kata tanpa tapisan. Secepat kilat dia membuka
langkah seribu, berlalu naik ke kamar untuk mandi dan
menukar pakaiannya.
Usai itu, dia berlalu ke dapur untuk menyediakan
tetamunya air buat hidangan membasahkan tekak. Air Milo
panas di dalam mug dibawa ke hadapan. Izdham kelihatan
sedang leka menonton televisyen. Mungkin lelaki itu bosan
kerana lama menunggunya sebentar tadi.
“Amboi, macam rumah dia!” gumamnya apabila
melihat Izdham mudah benar menyesuaikan diri di
rumahnya, lagak tuan rumah dan bukan tetamu yang datang
bertandang. “So... kenapa awak datang ke rumah saya ni?
Tak boleh jumpa kat luar aje ke?” Mug yang berisi air Milo
dihulurkan kepada lelaki itu.
“Saya datang nak ajak awak keluarlah ni. Jom kita
keluar jalan-jalan?” Air Milo dihirup perlahan.
Kelu seketika Melissa. Lelaki itu datang ke rumahnya
hanya untuk mengajaknya keluar? Sah, lelaki ini tiada kerja
yang bermanfaat untuk dilakukan!
“Kalau awak nak ajak saya keluar, kan boleh call.
Kenapa tak call aje?”
“Sebab saya dah terlalu rindukan awak. Tak sanggup
dah nak menanggung rindu yang menggunung ni.” Izdham
meletakkan telapak tangan di dadanya melambangkan rindu
yang menebal dalam hatinya.
Melissa hanya menggelengkan kepala. Apa lagi yang
hendak dikatakan? Izdham begitu bersungguh-sungguh cuba
memikat hatinya.
“Kita nak ke mana hari ni?” soal Melissa kembali
sambil menghirup minumannya.
“Kita ke Cameron Highlands, jom?” Izdham memberi
cadangan. Wajah manis gadis itu ditatap penuh minat.
“Cameron Highlands? Wow! It’s too far for a one
day plan. Can we go somewhere close? Tempat tu kan sesuai
untuk pasangan yang bercinta aje, and we’re not one of
them,” ujar Melissa, agak keberatan untuk ke sana.
“Well, tak salah mencuba. Mana tahu... kat sana
nanti pintu hati awak akan terbuka untuk saya?” Izdham cuba
meyakinkan gadis itu. Memujuk agar cadangannya untuk ke
Cameron Highlands diterima tanpa sebarang penolakan.
“Jangan terlalu berharap, Izdham. Saya tak boleh
janjikan apa-apa pada awak.” Melissa cuba menyedarkan
Izdham tentang realiti yang terbentang luas di hadapan mata
mereka. Barangkali lelaki itu lupa.
“Dan... awak pun tak boleh terlalu pasti yang awak
takkan punya perasaan pada saya. Masa depan, kita tak tahu
apa yang mungkin terjadi.” Izdham berkata penuh makna.
Melissa hanya diam.
“Erm... yalah, tunggu kejap. Saya siap. Nak pack
apa-apa yang patut,” putus Melissa setelah menimbang tara
akan logik pelawaan lelaki itu. Lagipun daripada duduk
berseorangan di rumah mengenang nasib diri, lebih baik dia
cuba menghiburkan hati yang lara.
“Yeah... thanks my dear!” ucap Izdham dengan
hati yang gembira. Teruja! Kalau tidak memikirkan yang dia
sedang berada di rumah gadis itu ketika ini, pasti dia sudah
melompat bintang dengan persetujuan itu.
Toyota Camry Izdham menyusuri jalan di Cameron
Highlands dengan kelajuan yang sederhana. Melissa ralit
membuang pandang ke luar tingkap. Dia suka melihat
pemandangan yang hijau terbentang. Fikirannya terasa
lapang. Terasa damai bumi yang dikelilingi warna hijau yang
nampak menyegarkan.
Izdham turut berasa senang apabila Melissa berada
di sisinya. Semakin hari akan dipastikan jarak antara mereka
semakin rapat dan bukan menjauh. Tidak akan dicipta jurang
antara mereka. Itu nekad dan tekadnya!
Kereta diparkirkan setelah mereka sampai di kawasan
Ladang Teh Bharat, Cameron Highlands. Kafe di situ menjadi
destinasi mereka yang pertama. Meja yang terletak di sudut,
bersebelahan dengan penghadang kaca, yang memungkinkan
mereka menikmati pemandangan sekitar sambil menghirup
teh menjadi pilihan.
“Awak benci saya ke Melissa?” Izdham cuba
mendapatkan penjelasan, mencantas lamunan Melissa yang
masih leka menikmati damai bumi hijau yang terbentang
luas.
“Bila masa saya cakap saya benci awak?” Melissa
menjawab soalan yang diterima dengan soalan juga. Cermin
mata hitam yang dipakai dialihkan ke atas kepala. Ikatan
rambut dilepaskan, membiarkan rambut ikalnya bebas ditiup
bayu dingin.
“Kalau awak tak bencikan saya, kenapa awak
selalu mengelak untuk bersama saya?” Izdham masih cuba
mendapatkan jawapan yang sebenar daripada gadis itu.
“Kalau saya selalu mengelak, saya takkan ada kat
depan awak sekarang ni, betul tak?”
Izdham tertawa. Pandai gadis itu memusing kata.
“So... if you don’t hate me, will you love me?” Izdham
merenung Melissa dengan pandangan yang menggoda, cuba
bermain mata.
Melissa tertawa sejenak.
“For now, I don’t have the answers that you’re
seeking to hear from me. I’m sorry.”
Izdham menganggukkan kepala tanda memahami.
Dia boleh bersabar menunggu pintu hati gadis itu terbuka
untuknya. Apa yang diharapkan, jangan terlalu lama dia
dibiarkan menunggu tanpa jawapan yang pasti. Dia tidak
betah menunggu terlalu lama untuk memiliki Melissa sebagai
isteri. Bimbang dia nanar dalam panahan asmara sendiri.
“Saya sukakan awak, Melissa. Saya betul-betul
terpikat dengan awak. Awak tahu kan?” Izdham meluahkan.
Ingin gadis ini melihat keikhlasan kasih sayangnya.
“Yup, I know. Mind if I ask, actually apa yang
membuatkan awak terpikat dengan saya? Awak pandang rupa
saya ke?” tanya Melissa. Dia juga ingin tahu sebabnya.
“Cinta memerlukan sebab ke Melissa?” Izdham
memulangkan soalan.
“Awak kata... awak sukakan saya. Bukannya cintakan
saya.” Melissa membetulkan kata-kata lelaki itu.
“Saya sukakan awak, saya terpikat dengan awak, dan
saya juga amat cintakan awak.” Izdham membuat pengakuan
sekali lagi. Dia cuba meyakinkan Melissa.
Melissa diam, tersenyum seraya berkalih memandang
pelancong yang sedang bergambar di ladang teh nun jauh di
bawah sana.
“Okey, saya dah cakap. Now, its your turn,” aju
Izdham.
“My turn? My turn to say what?” Melissa buat-buat
tidak faham. Pandangannya masih dihalakan ke arah ladang
teh di sekelilingnya. Tidak berani bertentang mata dengan
renungan maut Izdham. Seakan ada aura penggoda di situ.
“Cakap apa yang saya nak dengar dari mulut awak.”
Izdham memaksa. Tidak jemu dia memikat, tidak sesaat pun
dia berputus asa.
“Apa yang awak nak dengar dari mulut saya Encik
Izdham?”
“Saya nak dengar awak cakap... yang awak cintakan
saya jugak.” Izdham menuntut pengakuan cinta gadis
pujaannya.
“Nope. Kan saya dah kata, saya tak boleh.” Melissa
memandang wajah tampan lelaki itu sekilas.
“Jangan terlalu yakin Cik Melissa. We never know
what the future holds for us.” Izdham tersenyum penuh
makna sekali lagi.
“Masuk ni, dah dua kali awak cakap ayat tu. Apa
maksud awak?” Melissa semakin hairan. Ayat lelaki itu
seperti memaksudkan sesuatu. Dia tidak gemar dibiarkan
tertanya-tanya tanpa jawapan.
“What a nice surprise! Actually, awak ambil tahu dan
ingat juga apa yang saya cakap pada awak.” Izdham seronok.
Dalam diam gadis itu rupa-rupanya mengingati setiap bait
kata-katanya, memberikan perhatian sepenuhnya walaupun
ada ketikanya reaksi yang diterima hambar.
“Yalah, saya ingat sebab saya rasa ayat tu seolah-olah
memaksudkan sesuatu. Tapi saya tak tahu maksudnya. So...
do you mind telling me about it?” pinta Melissa.
Izdham menolak kerusi yang didudukinya, lantas
mula bangun dan bergerak ke arah gadis itu.
“Jom, kita turun ke bawah. Saya pun nak merasa
pegang daun teh Cameron jugak,” ajak Izdham. Kali ini,
soalan gadis itu pula sengaja dibiarkan sepi tanpa jawapan.
Melissa menjongketkan bahu. Tidak kisah jika lelaki
itu tidak ingin menjelaskan apa-apa kepadanya. Itu hak
Izdham, dan jika lelaki itu tidak bersedia untuk berkongsi,
untuk apa dia memaksa?
Mereka beriringan turun ke ladang teh. Oleh kerana
laluan untuk turun ke ladang teh itu agak sukar dan curam,
Izdham menghulurkan tangannya. Namun Melissa hanya
memandang sepi huluran itu.
“Jangan risau, saya bukan nak menggatal. Hold
my hand! Saya cuma risaukan awak aje. Laluan ni bahaya,
nak-nak dengan kasut tinggi awak yang setinggi 5 inci tu.
Saya tak naklah awak berlakon filem Hindustan kat tengah
ladang teh ni, sebab saya pun belum dioffer untuk menjadi
hero ceritanya.” Izdham mengenyitkan matanya kepada
Melissa.
Saat ketawa gadis itu terburai, Izdham juga
meledakkan tawanya. Lantas, cepat saja Melissa menyambut
huluran tangan Izdham dan mereka meneruskan aktiviti
meneroka ladang teh yang amat cantik itu. Sesekali mereka
bergurau senda, merakamkan kenangan bersama.
Usai meneroka ladang teh Cameron Highlands,
mereka bergerak menuju ke Taman Agro Teknologi MARDI
Cameron Highlands. Di situ terdapat pelbagai jenis bunga
dan pokok kaktus. Malahan aiskrim strawberi yang dihasilkan
juga amat enak.
Sedang leka Melissa melihat pelbagai bunga yang
dipamerkan, dia terasa bahunya dicuit. Serentak itu dia
berpaling ke belakang.
“Untuk gadis yang saya sayangi.” Izdham
menghadiahkan sejambak strawberi kepada Melissa.
Melissa terpempan. Tersentuh dengan kesungguhan
Izdham memikat. Tak dapat dinafikan, perasaannya terusik
sedikit. Lelaki itu memang pandai membuai rasa hatinya.
Ya, diakuinya! ‘Wahai hati, tetaplah teguh di landasan yang
engkau gariskan sebagai panduan...’
“Terima kasih.” Melissa tersenyum merenung
sejambak strawberi itu. Unik! Kebiasaannya, perempuan
akan dihadiahkan dengan sejambak bunga ros ataupun
bermacam-macam jenis bunga yang lain. Tetapi masih lagi
daripada kategori bunga. Namun saat ini, dia dihadiahkan
dengan sejambak buah strawberi yang dihiasi cantik seperti
jambangan bunga. Unik, amat unik! Terasa kagum melata-lata
di mana-mana.
“Awak tak suka ke?” Izdham bertanya saat melihat
Melissa hanya diam tanpa reaksi. Dia tersilap langkah ke?
Liur yang ditelan mula terasa kelat.
“No, no. I really love it! Unik. Sangat... unik!” puji
Melissa. Matanya masih tidak lepas memandang jambangan
di tangan. Sesekali buah strawberi dalam jambangan itu
disentuhnya.
“I just want you to acknowledge yang saya juga sama
seperti jambangan tu. Saya unik orangnya, Melissa. Saya tak
macam lelaki lain. Saya harap awak beri saya peluang untuk
bertakhta dalam hati awak,” ucap Izdham. Perlahan-lahan
jemari Melissa dicapai lalu dikucup.
Sekali lagi Melissa terpempan. Jantungnya berdegup
pantas memainkan irama dan rentak yang dia sendiri tidak
mengetahui tajuk senandungnya. Wajah Izdham direnung
sebelum dia tersenyum sekilas.
“Thank you so much.” Melissa kelu. Tiada kata yang
mampu diucapkannya saat ini.
“You’re most welcome, my dear.” Ucapan itu
disambut dengan hati yang girang. Jelas terpancar sinar
bahagia di wajah Izdham.
“Saya dah bagi awak jambangan strawberi tu, awak
tak ada apa-apa nak beri pada saya ke?” Izdham meminta
tanpa malu.
“Oh, my bad! Sorry... awak nak apa? Saya belikan.”
Melissa bertanya. Naif. “Awak nak jem strawberi tu tak? Looks
delicious. Boleh awak makan dengan roti buat sarapan pagi
hari-hari.” Melissa terus bertanya sambil menuding ke arah
botol jem strawberi yang berdekatan. Naif sahaja reaksi
wajahnya.
Izdham ketawa lepas melihatkan ekspresi wajah
gadis itu.
“Awak ni... ada ke patut awak nak bagi saya jem
strawberi untuk makan dengan roti? Siap nak suruh saya
buat sarapan hari-hari pulak tu...”
“Owh, okey. Kalau awak tak suka jem strawberi,
saya belikan awak kordial strawberi ni, nak?” Melissa
bersungguh-sungguh menunjukkan satu per satu produk
strawberi yang ada di galeri MARDI itu.
“Nope. Dua-dua saya tak nak.” Izdham menolak laju.
Seolah-olah merajuk dengan pilihan yang diberikan.
“Habis, takkan awak nak jambangan strawberi ni
jugak? Awak tu lelaki.” Melissa merengus geram.
“Awak ni naiflah Melissa. Kelakar...” Izdham memberi
komen, cuba menahan tawa yang hendak meletus.
Melissa panggung kepala.
“Apa lagi yang awak nak? Jem tak nak, kordial pun
tak nak. Bunga? Tak sesuai! Isy... pening!” bentak Melissa
dalam diam.
“You can give me something... something... yang
saya nak sangat-sangat.” Izdham menambah lagi.
“Okey, beritahu saya apa yang awak nak sangat,
memandangkan semua cadangan saya awak tolak.” Melissa
memulakan langkah ke arah taman yang terdapat sebuah
kolam ikan.
“Perhaps your heart?” Izdham tersengih-sengih
seperti kerang busuk seraya menuntaskan pandangan ke arah
gadis itu.
Melissa menghamburkan tawa.
“Awak ni, puitis sangatlah. Macam mat romeo!”
komennya. Tidak disangka lelaki itu akan berkata sedemikian
kepadanya.
Izdham tersenyum senang.
“If I'm Romeo, will you be my Juliet?” soal Izdham
lagi. Menjual minyak urat!
“I don’t know.” Melissa menjongketkan bahu.
“But... if I'm your Romeo, you will like it right?” teka
Izdham membuat andaian sendiri.
“No comment.”
Melissa tidak berkata tidak, jadi Izdham menganggap
bahawa gadis itu sedang perlahan-lahan menerimanya. No
comment? Ini sudah bagus! Hati Izdham menjerit riang.
Apabila hari semakin petang, mereka beransur ke pasar
malam di Brinchang.
“Melissa, awak lapar tak?” tanya Izdham prihatin
sebaik gadis itu selesai membeli jagung rebus.
“Urmmm... biasa-biasa aje. Awak?”
“Lepas ni, kita pergi makan ya. Saya rasa kita
tak sempat nak berkejar balik ke Melaka malam ni juga.
Nampaknya macam kita kena bermalam kat sini.”
Melissa terus menoleh memandang Izdham.
“Tapi... kata tadi nak pergi dan balik hari saja, kan?”
Melissa mula keberatan walaupun dia ada membawa pakaian
lain. Langkahnya yang tadinya laju dan bersemangat kini
mula terhenti.
“Dear... look around. Hari makin gelap, dengan
jalan turun dari sini yang banyak selekoh dan gaung, saya tak
confident nak drive malam-malam macam ni. Not with you
beside me. Kalau saya sorang, memang saya redah aje. Tapi,
awak menjadi kepentingan saya sekarang ni. I don’t want
anything bad happening to you or us.” Izdham memujuk,
cuba mengajak Melissa berfikir dari sudut pandangannya.
Melissa mengeluh.
“Hurmm... okeylah. Tapi, kat mana kita nak singgah
bermalam?” Ada betulnya kata lelaki itu. Memandu turun
dari Cameron Highlands pada malam hari memang amat
berbahaya. Memanglah mati itu ketentuan Allah, tetapi selagi
nyawanya masih dipinjamkan, dia berusaha sebaiknya untuk
menjaga pemberian itu. Cukuplah sekali dia jahil tentang
nyawa kepunyaannya dahulu.
“There’s plenty of hotels around here. Don’t worry
okay? Nanti kita sewa bilik untuk semalam sahaja.” Izdham
menyuarakan idea.
“Tapi kena sewa dua bilik tau!” pantas Melissa
mengingatkan. Dia tidak mahu berdua-duaan di dalam satu
bilik, di tanah yang romantik ini. Apa-apa sahaja boleh terjadi.
“Awak ni Melissa... macamlah saya ni jahat sangat.
Pernah ke saya buat yang tak senonoh dengan awak sebelum
ni? Tak, kan? Takut sangat!” Izdham tertawa melihat Melissa
kekalutan.
“Buat yang tak senonoh tu memanglah tak pernah,
tapi sentuh-menyentuh tu pernah aje terjadi,” gumam
Melissa perlahan. Cukup perlahan hanya untuk pendengaran
dirinya sahaja. Kadang-kadang tingkah Izdham ini bukan
boleh diramal. Tanpa sedar, kepala digeleng-gelengkan.
“Eh, kenapa pulak awak tergeleng-geleng tu?”
Izdham menegur.
“Hah? Tak ada apa-apa.”
“Eh, hujanlah. Come... jom cepat ke kereta. Kita
pergi makan dulu, lepas tu cari tempat untuk bermalam,”
ajak Izdham, lalu bahu gadis itu dirangkul, ditarik rapat ke
tubuhnya akibat hujan yang turun secara tiba-tiba.
Mereka berlari-lari anak ke kereta.
Melissa hanya mampu merengus kegeraman apabila
melihat tangan Izdham yang bagaikan tidak mahu lepas di
bahunya.
‘Kan dah cakap! Dia ni... nak aku cakap Tamil baru
nak faham agaknya. Aku tak suka disentuh-sentuh!’ Izdham
di sisi dijeling sekilas. Namun kenapa tangannya tak mampu
menepis tangan itu? Perasaan apakah yang muncul ini?

No comments:

Post a Comment