DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 6

Sudah dua hari Melissa tidak mengisi perutnya
yang kosong dengan betul. Sejak dari jam 8 pagi dia mula
bekerja, dia hanya sempat menjamah sekeping roti. Itu pun
diambil dengan kadar tergesa-gesa kerana terlalu sibuk
bertugas.
Badannya terlalu letih kerana 2 hari berturut-turut
terpaksa bertugas lebih masa dan pulang lewat ke rumah.
Apabila sampai di rumah, terus dia merebahkan badan di
katil empuknya tanpa mengisi perut yang kelaparan. Mata
didahulukan daripada perutnya yang merintih kelaparan.
Jam sudah menginjak ke angka 11 malam. Usai tamat
waktu bekerja, dia berjalan lemah menaiki lif lalu berjalan
ke parkir kereta yang terletak di tingkat 2. Perutnya ditekan
dengan tangan kiri. Peluh mula merecik di dahi. Kesakitan
yang tadinya sedikit, dirasakan semakin mencucuk-cucuk
dan tidak tertahan.
Kawasan parkir kereta itu senyap sunyi, kelihatan
hanya tinggal dua tiga buah kenderaan sahaja lagi. Kepada
siapa hendak dia meminta pertolongan? Hendak menjerit
meminta tolong pun dia sudah tidak mampu hendak
mengeluarkan suara.
Melissa berhenti melangkah dan menyandarkan
tubuhnya yang sedang kesakitan di sebalik tiang bangunan.
Telefon bimbit dikeluarkan, lalu cepat sahaja dia mendail
nombor Izdham. Hanya lelaki itu yang terlintas dalam fikiran
saat dia amat-amat memerlukan pertolongan ketika ini.
“Helo... Izdham... to... tolong am... ambil saya kat
tempat... kerja. Saya... sa... sa... sakit...” tergagap-gagap
Melissa mengeluarkan suara. Badannya semakin lemah.
Kesakitan di sebelah kiri perutnya semakin menekan.
“Allah...” Melissa terjelepok ke lantai. Penyakit apakah
pula yang sedang hinggap di tubuhnya ini? Dia menangis
menahan kesakitan. Dalam hati berdoa agar Izdham segera
sampai. Dia sudah tidak kuat untuk menanggung kesakitan
yang dirasakan.
Izham Syah melarikan Toyota Camrynya seperti orang gila.
Dia risaukan keselamatan Melissa. Sakit? Sakit apa? Nasib
dia sedang menjamu selera bersama kawan baiknya, Dr.
Ashraff usai habis waktu kerjanya. Kalau dia sedang bertugas,
bagaimanakah Melissa?
Pedal minyak ditekan, mengarahkan Camrynya
memecut membelah kepekatan malam. Lebih kurang 10 minit
kemudian, dia tiba di kawasan Melissa selalu memarkirkan
keretanya. Dia keluar dari perut kereta dan berlari mencari
kelibat gadis itu.
“Melissa! Melissa! Mana awak?” Sinaran lampu
yang terhad di kawasan parkir kereta itu menyukarkan
pencariannya. Puas dia berlari ke hulu hilir, namun Melissa
masih belum ditemui. Kebimbangannya berganda. Pantas
nombor Melissa didail. Telinganya menangkap bunyi
deringan telefon bimbit di sebalik tiang yang besar. Terus kaki
dihalakan ke tiang itu.
Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh sedang terkulai
layu. Saat merapati tubuh itu, jelas di matanya wajah gadis itu
yang pucat lesi dan berpeluh sedang teresak-esak menangis
menahan kesakitan.
“Ya Allah! Melissa, apa dah jadi ni?”
Melissa hanya mampu menangis. Dia sudah tidak
punya tenaga untuk menjawab pertanyaan yang diajukan.
Izdham pantas mencempung tubuh gadis itu.
Saat tubuh itu diletakkan ke dalam kereta, Melissa sudah
tidak sedarkan diri. Menyedari akan keadaan itu, pantas dia
memandu keluar dan menuju ke hospital yang berdekatan.
Seusai rawatan diberikan, Melissa ditempatkan ke
wad. Izdham setia menemani di sisi. Doktor yang merawat
mengesahkan bahawa gadis itu diserang gastrik yang teruk
akibat tidak makan pada waktu yang betul selama dua hari
berturut-turut. Kerana itu juga Melissa tidak mempunyai
tenaga untuk melawan serangan gastriknya itu.
‘Melissa, Melissa... kenapa awak tak jaga diri
betul-betul, dear?’ getus hati Izdham. Bibirnya diketap,
geram dengan sikap sambil lewa gadis itu yang akhirnya
memakan diri sendiri.
Tubuh yang sedang lena itu dipandang penuh kasih.
Lantas jemari gadis itu dicapai dan disulam dengan jemarinya.
Berharap jemari yang sejuk itu akan selesa dan panas dengan
haba badannya.
Melissa tersedar daripada lena. Perutnya dipegang.
Lega kesakitan yang mencucuk telah hilang. Dia cuba
mengangkat tangan kanannya, namun terasa seolah-olah
dipegang seseorang. Dia menoleh ke kanan. Tersentak dia
melihat Izdham yang sedang lena di kerusi.
Perlahan-lahan dia cuba menarik tangannya yang
bersulam dengan jemari Izdham, tidak mahu mengganggu
lena lelaki itu. Geram dan rasa bersalah bersilih ganti.
Geram kerana lelaki itu menyentuh jemarinya walaupun
sudah dilarang berkali-kali daripada menyentuhnya
sewenang-wenangnya. Dan rasa bersalah pula kerana telah
mengganggu waktu rehat lelaki itu.
Pasti lelaki itu penat kerana terpaksa menjaganya.
Dia berasa tidak enak kerana telah menyusahkan lelaki itu
buat kali yang entah ke berapa. Namun, jika tidak meminta
pertolongan Izdham, dia tidak tahu dengan siapa lagi harus
dia menagih pertolongan. Ahli keluarganya jauh di kampung
halaman, sahabat baiknya pula di Terengganu dan ibu kota,
hanya tinggal dia sebatang kara menetap di Melaka.
“Awak dah sedar?” Izdham terpisat-pisat membuka
mata, bertanya sambil mengusap wajahnya yang jelas
kelihatan letih.
“Dah. Terima kasih sebab tolong saya,” pendek saja
kata-kata yang Melissa.
“Awak dah okey? Sakit lagi tak?” soal Izdham
prihatin.
“Tak, saya dah okey. Tak rasa sakit lagi.”
“Okey... kalau macam tu, awak rehatlah dulu. Esok
pagi kita keluar. Dah, tidur...” arah Izdham.
Saat terasa terangnya sinar mentari menari di pelupuk
mata, Melissa mula sedar. Perutnya mendidih kelaparan. Dia
termangu sendirian.
“Bukan ke aku tengah makan KFC tadi? Tapi
kenapa perut aku lapar macam tak makan apa-apa?” Melissa
menggumam sendirian. Keliru dengan fikirannya sendiri.
Adakah yang dirasakan sebentar tadi mimpi atau realiti?
Sisinya ditoleh. Kosong!
“Bukan ke dia ada kat sini malam tadi?” katanya
lagi dengan dahi yang berkerut-kerut. Ah, biarlah! Bahu
dijongketkan tanda tidak peduli. Bilik air yang berada di
penjuru bilik dimasuki dengan niat hendak membersihkan
diri.
“Hai! Jom makan,” sapa Izdham sebaik melihat gadis
itu keluar dari bilik air.
Berkerut dahi Melissa apabila imej Izdham terbias
di ruang matanya. Dia kembali duduk di birai katil. Izdham
yang berdiri di hujung katil dipandang.
“Bukan ke awak dah balik tadi?”
“Siapa yang kata?”
“Saya bangun, tengok awak dah tak ada. Ingatkan
awak dah balik,” terang Melissa.
“Isy, takkanlah saya nak tinggalkan awak macam tu
aje? Saya keluar cari sarapan, lapar perut ni. Jomlah makan,
petugas hospital pun dah hantarkan makanan untuk awak
tu,” pelawa Izdham sekali lagi apabila ajakannya untuk
menjamu selera diabaikan. Dia sudah benar-benar kelaparan.
Cepat sahaja dia menarik kerusi dan duduk, hendak mula
menjamu selera.
“Eh? Kenapa tak belikan saya punya makanan sekali?”
Melissa menjenguk ke dalam plastik yang berisi lontong itu.
Mengapa kuantitinya hanya satu? Keningnya bertaut lagi.
“Laaa... ni saya punya. Awak punya yang dalam bekas
makanan tu.” Izdham menunjuk ke arah bekas makanan
yang tertutup rapi, terletak elok di atas meja di sebelah katil.
Melissa menayangkan wajah cemberut.
“Saya tak suka makanan hospital.”
“Suka atau tak, awak kena makan sebab awak tu
pesakit, dan awak yang sakit. Bukan saya. Ni makanan orang
sihat. So, kalau awak nak makan makanan orang sihat, awak
kenalah sihat cepat dan jaga diri supaya tak sakit,” bebel
Izdham separuh menasihati.
“Kedekut! Lontong aje pun...” ngomel Melissa lagi.
Akibat tidak tahan lapar, laju saja tangannya menggapai bekas
makanan yang diberi. Penutup bekas makanan itu dibuka
dengan harapan ada makanan sesedap KFC seperti dalam
mimpinya tadi, tetapi hampa. Hanya imej bubur berwarna
putih yang dihidangkan buat santapan permulaan hari.
“Bubur aje!” Melissa mula memprotes.
Izdham yang baru hendak menyuap lontong ke
dalam mulutnya terhenti separuh jalan mendengarkan
komen gadis itu.
“Makan ajelah... rezeki tu. Tak baik tolak,” nasihat
Izdham lagi. Kasihan juga dia melihat gadis itu tidak puas
hati dengan bubur yang diberi. Mungkin terlalu lapar, jadi
Melissa menaruh harapan yang tinggi untuk menjamu
makanan yang sedap dan amat menyelerakan.
Bukan dia kedekut hendak membelikan makanan
yang sama buat gadis itu, bukan juga dia berkira hendak
berkongsi makanan. Baginya, biarlah Melissa menjamah
bubur itu dahulu buat mengisi perut yang sudah lama dihuni
gastrik dan angin itu. Selepas keluar daripada hospital,
jangankan lontong... jika Melissa hendak menjamu bufet pun
akan dibawa gadis itu menikmatinya.
Melissa yang sedang menjamah bubur dipandang
belas.
“Nanti awak dah keluar dari sini, saya bawa awak
makan makanan yang sedap-sedap. Pagi ni, makan bubur
dulu, neutralkan perut yang sakit tu.”
Melissa terkebil-kebil menatap Izdham yang kembali
menyambung suapan. Sangkanya lelaki itu tidak kisah
langsung dengan juadah paginya. Rupa-rupanya dalam diam
lelaki itu ambil berat terhadap dirinya.
Seketika ruang bilik itu sunyi sepi tanpa sebarang
bicara. Masing-masing leka menjamu selera.
“Awak dah habis makan? Jom, saya tolong awak
kemas. Awak dah boleh keluar dari sini,” ujar Izdham usai
mereka makan.
Melissa diam, bersetuju. Sakitnya pun sudah hilang,
lalu buat apa dia berlama-lama di situ?
“Macam mana dengan kereta saya? Nanti saya nak ke
mana-mana susah kalau tak ada kereta.” Melissa menyuarakan
kebimbangan yang bermain-main dalam fikirannya semasa
dalam perjalanan pulang.
“Biarkan aje kat ofis awak tu. Kereta awak selamat,
jangan risau. Kalau awak nak ke mana-mana lepas ni, saya
boleh tolong bawa.” Izdham ikhlas menawarkan pertolongan.
Melissa hanya diam tanda bersetuju dengan
cadangan itu.
“Izdham... awak nak bawa saya ke mana ni?”
Perlahan Melissa bersuara sambil memandang Izdham yang
sedang memandu.
“Saya nak awak duduk kat rumah saya.” Izdham
berterus terang. Bersahaja gaya pemanduannya.
“Saya tak naklah, Izdham. Saya nak balik rumah saya.
Hantarkan saya ke rumah saya...” Melissa memegang lengan
Izdham seraya menoleh memandang lelaki itu lagi. Berharap
pujukannya berkesan. Namun Izdham hanya berdiam diri,
berkeras tidak ingin menuruti permintaan gadis itu.
“Awak ni suka sangat bawa saya balik ke rumah
awak. Sikit-sikit rumah awak. Bukan awak sorang aje yang
ada rumah. Saya pun ada rumah jugak,” tambah Melissa lagi
apabila Izdham tetap juga diam membisu. Lelaki ini memang
sengaja mencari pasal dengannya!
“Saya risaukan awak! Kalau awak duduk kat rumah
saya, saya boleh tengok-tengokkan awak. Awak duduk
sorang-sorang kat rumah, kalau sesuatu yang buruk terjadi
lagi pada awak, macam mana?” Izdham mula berang. Dia
lakukan sedemikian kerana terlalu bimbangkan keadaan gadis
itu. Susah sangatkah gadis itu hendak memahami tujuannya?
Kepalanya digeleng-gelengkan. Geram bukan kepalang.
“Kalau saya sakit, pandailah saya telefon ambulans.”
Ada sahaja yang hendak dijawab oleh mulut Melissa. Dia
dan Izdham memang selalu bercakaran. Jarang sekali dapat
berbicara elok dengan lelaki itu. Semuanya gara-gara dia
tidak suka dengan sifat keras kepala Izdham. Lelaki itu gemar
memaksa. Sudah diberitahu yang dia tidak ada hati, lelaki itu
masih juga ingin tersua-sua kepadanya. Pantang cakapnya
dibantah, panas barannya pun menerpa. Doktor jenis apa
lelaki ini? Tak nampak seperti seorang doktor yang berwibawa
pun!
“Pandai menjawab! Kalau sakit nak telefon ambulans
konon. Cakap pandai! Habis tu kenapa awak call saya masa
awak sakit semalam? Kenapa tak call ambulans aje?” bidas
Izdham. Bengang dengan jawapan yang keluar dari mulut
Melissa.
Leka bercakaran, tanpa sedar mereka telah pun
sampai di kediaman Izdham.
“Awak kalau nak mengungkit macam ni, lain kali tak
payah tolong saya. Saya pun tak kebulur pertolongan awak!
Saya rela mati daripada minta pertolongan awak lagi sekali
lepas ni!” Melissa menghempaskan pintu kereta dan berjalan
sambil menghentak kaki masuk ke dalam rumah Izdham.
Badan dihempaskan ke sofa tanda protes tanpa mempedulikan
perut yang masih lemah. Kemudian dia mengaduh kesakitan
apabila merasakan perutnya bergelodak seketika akibat
hempasan itu.
Izdham memandang perlakuan Melissa dengan mata
yang membara kemarahan. Pantas dia menuju ke dapur,
menyediakan sesuatu. Habis pinggan mangkuk berlaga
berdentam-dentum bunyinya.
Melissa hanya memekakkan telinga. Pasti lelaki itu
naik angin.
Tidak lama kemudian Izdham keluar bersama
segelas susu dan beberapa keping biskut Oreo. Melissa yang
sedang duduk di atas sofa dijeling sekilas. Melissa turut
membalas jelingan lelaki itu. Masing-masing tidak mahu
beralah. Kedua-duanya benar-benar seperti Tom dan Jerry
tatkala bercakaran, keamanan yang dicapai pasti tidak akan
mampu bertahan lama.
“Minum susu ni!” gesa Izdham memberi arahan.
Melissa diam membisu memekakkan telinga.
Pandangan dihalakan ke arah televisyen. Ya, sengaja dia
menguji suhu kepanasan yang semakin membuak mendidih
di sanubari lelaki itu.
Izdham semakin menyinga apabila arahannya tidak
dipedulikan. Lengan Melissa dicengkam kuat.
“Saya cakap minum susu ni, minumlah! Janganlah
buat degil awak tu. Nanti perut tu sakit lagi!” ucap Izdham.
Gelas berisi susu disua ke mulut gadis itu.
“Saya tak minum susu.” Melissa tidak mahu
mengalah. Susu yang disua ditepis dengan tangan. Kalau
Izdham hendak menunjukkan panas barannya, dia juga boleh.
Kemarahan Izdham memuncak. Terus dipicitnya
mulut Melissa dan disuanya gelas berisi susu ke mulut
gadis itu. Melissa yang dipaksa sedemikian sedaya upaya
merungkaikan tangan Izdham, namun tenaganya yang lemah
membatasi pergerakannya. Dia tidak cukup kuat untuk
merungkai picitan itu, sudahnya dia terpaksa juga menelan
susu itu hingga tersedak-sedak. Merah mukanya menahan
rasa mual dan loya bahana dipaksa menghabiskan segelas
susu itu.
“Lain kali, jangan nak melawan kalau tahu diri tu
tak kuat mana pun! Kalau tak nak kena paksa, lain kali jaga
makan. Kerja kerja jugak. Makan tu perlu. Bila dah kena
gastrik teruk macam ni, tahu sakit kan? Tu pun masih nak
degil lagi!” Izdham membebel.
Melissa menjuihkan bibir. Meluat!
Tiba-tiba, telinga Izdham menangkap bunyi pesanan
dari telefon bimbitnya. Pantas telefon yang berada di dalam
kocek seluar dikeluarkan.
On Call. Emergency!
Izdham mengeluh. Baru sahaja dia hendak menjaga
dan menemani gadis itu di rumah, kini dia pula dipanggil
bertugas. Apakan daya, tugasnya lebih penting saat ini. Mahu
ataupun tidak, dia terpaksa meninggalkan Melissa sendirian.
“Saya kena pergi hospital, ada kes kecemasan. Awak
berehat aje kat sini dahulu. Sekejap lagi saya hantarkan
makanan awak. Make yourself comfortable. Jangan
berani-berani nak keluar dari rumah ni. Tunggu saya balik!”
Izdham berlalu pergi selepas memberi amaran. Dia berlari
naik ke kamarnya untuk menukar pakaian.
Usai bersiap, dia memandu keluar dari rumah dan
singgah di restoran berhampiran. Makanan dipesan, seraya
meminta pekerja di kedai itu menghantarkan makanan yang
dipesan ke rumahnya secepat yang mungkin. Untuk berpatah
balik menghantar sendiri makanan itu, dia sudah kesuntukan
masa. Bukan niatnya hendak mengasari Melissa sebentar tadi,
tetapi kerana risau dan sayang, dia terpaksa berbuat demikian.
Sementelahan lagi, gadis itu juga bukan tahu makan saman!
Izdham keluar dari bilik pembedahan dengan perasaan
yang gembira kerana dapat menyelamatkan nyawa
pesakitnya. Dia bukanlah seorang doktor yang hebat, namun
dia bersyukur dengan ilmu dan kepandaian yang dimilikinya.
Semuanya anugerah daripada Allah. Hampir 4 jam di dalam
dewan pembedahan, perutnya yang berkeroncong minta diisi,
lalu kaki dihalakan menuju ke kafeteria hospital.
“Eh, Izdham! Kau nak ke mana tu?” Dr. Ashraff
menahan sahabatnya yang sedang berjalan.
“Aku nak pergi makan. Lapar sangat perut aku ni,
baru habis operate patient. Kau dah makan belum? Jomlah
join aku sekali,” pelawa Izdham seraya memeluk bahu Dr.
Ashraff, memaksa sahabatnya itu berjalan bergandingan
dengannya.
“Aku dah makan tadi. Takpelah, aku temankan kau
makan. Eh, apa cerita kau malam tadi? Melissa dah okey
ke belum? Teruk sangat ke sakitnya?” Dr. Ashraff menyoal.
Masih segar dalam ingatannya dia ditinggalkan seorang diri
di Restoran Sri Percik malam semalam.
“Kena gastrik teruk sampai hampir pengsan dekat
kawasan parking kereta. Asyik kerja aje, tak reti nak jaga
makan, itulah dapatnya.” Izdham memulakan bebelan,
menzahirkan rasa tidak puas hatinya.
“Habis, dia dah okey ke belum sekarang ni?” soal Dr.
Ashraff lagi. Berminat untuk tahu perihal gadis itu.
“Okey macam tu ajelah. Dia ada kat rumah aku
sekarang ni.”
“Hah, Melissa kat rumah kau? Apa dia buat kat situ?”
Dr. Ashraff menyoal lagi. Terperanjat. Wajah sahabatnya
dipandang dengan kedua-dua keningnya diangkat.
“Aku suruh dia berehat kat rumah aku. Kalau ada
apa-apa jadi, senang aku nak jaga.” Izdham mula mengunyah
makanannya. Dia memilih sepinggan salad dan sandwic buat
mengisi perut.
Dr. Ashraff hanya memerhati wajah sahabat baiknya
itu, lalu dia juga mula menyedut air kotak yang dibelinya
sebentar tadi.
“Kau ni... kalau dah angau sangat kat Melissa tu,
pergilah masuk meminang. Kau nak tunggu apa lagi?” Dr.
Ashraff memberi usul.
“Masalahnya, aku saja yang angau kat dia. Dia tetap
angau kat bekas tunang dia tu lagi. Susah betul nak pikat hati
Melissa tu,” adu Izdham. Keluhan dilepaskan. Benar, amat
sukar untuk menawan hati gadis itu.
“Handsome bergaya macam kau ni pun tak laku?”
Dr. Ashraff hairan. Pelik! Bukankah para gadis selalunya
mengejar rupa dan harta? Pakej itu sedia ada pada sahabatnya
itu, mengapa pula Melissa tidak tertarik?
“Dekat Melissa sorang aje aku tak laku. Huh! Kau
ni pun... tak semua orang pandang rupa tau.” Izdham
membetulkan tanggapan sahabat baiknya itu.
Dr. Ashraff mengangguk cuma.
“Slow-slow dululah bro. Lama-lama nanti, cairlah
hati dia tu. Alah, hati perempuan... keras macam mana pun,
kalau dah dipikat hari-hari, lembut jugak akhirnya nanti.
Macam kerak nasi. Faham?” Dr. Ashraff memberikan kata
sokongan kepada sahabatnya.
Izdham terdiam. Dalam otaknya ligat mengatur
sesuatu. Ada betulnya juga kata-kata sahabatnya itu.

No comments:

Post a Comment