DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 10

Beberapa tahun kemudian...

“ENJOYYY...”
Dian hanya tersenyum melihat gelagat rakan
sekelasnya yang menjerit sebaik peperiksaan tamat. Jelas
terpancar kegembiraan di wajah masing-masing apabila
selamat menjawab kertas peperiksaan terakhir. Ada
sesetengah itu terlebih gembira sampai melompat-lompat.
Dia faham perasaan mereka kerana dia juga rasa
seperti itu. Tapi nasib baik dia masih mampu mengawal diri.
Kalau dia seorang diri jangan cakap melompat, dia akan siap
berguling-guling atas lantai.
“Kau tak gembira ke?” soal Kila sambil mereka
menuruni anak tangga. Kawannya hanya senyap saja sebaik
keluar dari kelas. “Mustahil kau tak boleh jawab. Soalan tadi
soalan target, kut? Dah tersebar kat WhatsApp. Kau pun dah
tahu. Lecturer pun dah bagi hint.”
“Gembiralah. Tapi kita tak habis belajar lagi. Kau
punya gembira macam kita dah habis belajar aje,” sindir
Dian. Alhamdulillah dia sangat puas hati menjawab semua
soalan peperiksaan tadi. Hanya ada beberapa soalan saja yang
sukar baginya. Yang lain tutup mata pun boleh jawab. Inilah
untungnya kalau baik dengan lecturer. Lepas ni dapatlah dia
rehat dulu. Tidurnya perlu ditop-up semula.
Kila hanya tersengih. “So, apa plan kau cuti sem
nanti?”
“Balik rumah, duduk rumah, makan, tidur dan
tengok TV. Bila bosan ulang balik daripada awal.” Ujar Dian
sambil menjulingkan matanya ke atas. Itulah aktivitinya
selama cuti semester nanti. Dia sudah tahu.
“Untunglah kau. Aku balik ni kena cari kerja. Nak cari
duit lebih sikit. Simpan buat kahwin.” Gurau Kila selamba.
“Belajar tak habis lagi dah gatal nak kahwin. Aku pun
kalau boleh nak kerja. Tapi ibu aku tak bagi. Kau fahamlah ibu
aku tu macam mana. Risaukan sangat kat aku. Aku pun malas
nak ungkit hal ni lama-lama.” Dian menghentikan langkah
apabila sampai ke tingkat bawah. Matanya melihat kawasan
lobi yang sudah lengang itu. Nampaknya pelajar-pelajar mula
sibuk mahu balik ke kampung masing-masing.
“2 bulan aku tak jumpa kau lepas ni. Next sem aku
harap aku dapat cam kau lagilah.”
“Kau ingat aku tak tahu kau nak sindir aku? Nak
cakap aku gemuklah sebab duduk goyang kaki kat rumah.”
Duga Dian sambil memeluk failnya. Disebabkan mereka
sudah berkawan lebih 3 tahun, semua perangai Kila sudah
ada dalam poketnya.
Kila hanya tersengih jahat. “Jom kita pergi kafe.
Apa-apa hal isi perut dulu. Lepas tu aku nak balik rumah,
kemas barang. Malam ni aku nak balik kampung. Yeah, balik
kampung... oh oh oh... balik kampung. Johor, I miss you...”
Kila sudah melompat gembira.
Dian hanya menggeleng kepalanya saja. Macam
budak-budak.
“Kila, kau pergi kafe dulu. Aku nak jumpa Fauzan
kejap.” Suruh Dian apabila dia ternampak Fauzan di
tangga. Satu kebetulan apabila Fauzan juga satu universiti
dengannya. Malah course mereka juga sama. Gembira
tak payah cakap apabila mereka kembali bertemu di alam
universiti. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang dia
kenal di sini.
Laju kakinya menapak ke arah Fauzan yang masih
tidak menyedari kehadirannya. “Assalamualaikum.”
Fauzan tersenyum lantas menjawab salam sepupunya
itu. “Muka kau tu sepuluh meter dah nampak berseri-seri.
Insya-Allah, dapat dekanlah kau nanti.”
“Amin. Nak juga aku dapat dekan. Asyik kau aje
tiap-tiap sem. Bagilah peluang orang lain pula. Mana tahu
kali ni masin mulut kau. Merasa juga aku naik pentas.”
Usik Dian. Tapi memang betul apa yang dikatakan. Fauzan
dengan dia sangat berbeza. Sepupunya hampir tiga kali
mendapat anugerah dekan. Tapi dia sekali pun tidak pernah.
Kadang-kadang dia cemburu dengan Fauzan.
Fauzan belajar sekali sudah faham berbanding dia
yang perlu belajar berkali-kali. Itu pun ada juga yang dia
tidak faham. Pointer setiap semester pun orang cakap cukup
makan. Tiada apa yang nak dibanggakan.
“Mana tahu rezeki kau sem ni. Kau pun dah belajar
bersungguh-sungguh. Tapi kalau tak dapat sem ni, sem depan
ada lagi. Tak dapat sem depan, depan tu ada lagi.” Gurau
Fauzan menyebabkan mulut Dian sudah seperti itik.
“Bila kau nak balik kampung?” soal Dian malas
melayan gurauan Fauzan. Itulah yang selalu diucapkan oleh
Fauzan untuk menaikkan semangatnya.
“Malam ni.”
“Tiket dah beli?”
“Bulan lepas lagi dah aku beli.” Fauzan ketawa
apabila melihat wajah Dian yang berkerut itu. “Apa hal kau?”
“Apa cepat sangat kau nak balik? Kau tak nak duduk
rumah aku dulu?”
“Kali ini tak kut. Aku kena balik. Semalam mak aku
call. Dia tak berapa sihat. Tu yang aku risau tu.” Terang Fauzan
lalu mereka beriringan ke kafe. “Kau tak nak balik kampung?
Lama kau tak balik sana. Mak aku pun dah rindukan anak
saudara gengster kesayangannya ini.”
Pantas saja Dian membulatkan mata lalu menepuk
lengan Fauzan dengan failnya. “Kau jangan cakap kuat-kuat,
nanti orang dengar. Gengster tu slow sikit. Aku dah taubat
dah. Tak kasar macam dulu.” Ucap Dian sambil tersengih.
“Bertaubatlah sangat...” perli Fauzan.
“Nanti aku cakap kat ibu nak balik kampung ya. Mana
tahu dia bagi. Lagipun kalau aku duduk rumah bukannya
buat apa. Aku pun rindu nak melawat kubur arwah atuk dan
nenek. Paling aku rindu nak humban kau dalam sungai.”
“Oii, cakap dah taubat. Tak nak kasar-kasar.” Fauzan
menggoyangkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan.
“Aku gurau aje.”
“Aku tak letak harapan yang tinggi. Kalau kau jadi
balik kampung, beritahu aku. Aku nak suruh mak aku buat
kenduri sambut bekas gengster kampung balik.” Fauzan
masih ingin bergurau. “Okeylah aku pergi dulu. Kau jaga diri
baik-baik tau. Kirim salam kat ibu dan kakak-kakak kau.”
“Kau pun. Kirim salam kat mak lang tau!” ujar Dian
lalu melambaikan tangannya. Sepanjang di universiti Fauzan
dan Kilalah kawan baiknya. Bersyukur dia dikurniakan
sahabat yang baik seperti mereka.

DIAN MELETAKKAN beg pakaiannya lalu melabuhkan duduk
di bangku. Perhentian bas yang kosong dipandangnya. Hanya
dia sendirian di situ. Jam di pergelangan tangan dijeling.
Kelibat ibunya masih tidak kelihatan. Mungkin ibu dalam
perjalanan.
Selama 3 tahun dia di universiti, setiap kali pulang ke
rumah, ibulah orang yang bertanggungjawab mengambilnya.
Jarak rumah dan universitinya tidaklah terlalu jauh. 40
minit saja. Jika tiada aktiviti, hari minggu dia akan pulang
ke rumah.
Habis saja tahun pertama, ibu menyuruh dia
berulang-alik ke kampus. Tapi dia tidak mahu menyusahkan
ibu. Pelbagai cara dibuat supaya ibu membenarkan dia
menyewa rumah berhampiran kampus. Akhirnya nak tak
nak ibu terpaksa benarkan. Itu pun setelah dia menggunakan
jalan terakhir iaitu merajuk dan mogok.
Terasa sekejap saja masa berlalu. Sudah hampir 3
tahun dia menuntut di universiti. Siapa sangka dia mampu
menjejakkan kaki ke universiti. Tapi itulah rancangan Allah
untuknya.
Sebenarnya dia melangkah ke universiti dengan
keputusan STPM. Result SPMnya hanyalah 4A, 1B dan 3C.
Itulah keputusan yang tercatat di slip SPM yang dilihatnya
beberapa tahun yang lepas. 3C ialah subjek yang dijawab
selepas arwah atuk dan neneknya meninggal. Tapi dia tidak
kecewa. Dia sudah berusaha walaupun emosinya tidak stabil
waktu itu.
Ibu ada menyarankan supaya dia belajar di kolej.
Malah Tan Sri Ahmad sendiri mahu menanggung segala yuran
pembelajaran tetapi dia menolak. Dia mahu langsung masuk
ke tingkatan 6. Lagipun Fauzan juga melangkah ke universiti
melalui STPM walaupun result sepupunya itu melayakkan dia
ke universiti untuk mengambil diploma dahulu.
Masa di tingkatan 6, dia bertekad mahu belajar
bersungguh-sungguh. Impian arwah atuk dan nenek yang
mahu melihat dia ke universiti perlu ditunaikan walaupun
mereka sudah tiada. Dengan pointer STPM 3.50 akhirnya
dia berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Masa itu hanya
air mata yang mengalir apabila impiannya sudah tercapai.
Akhirnya dia berjaya menjejakkan kaki ke universiti untuk
menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan.
Kalaulah arwah atuk dan nenek ada pasti mereka
bangga dengan kejayaannya. Dian menutup mata apabila
merasa air matanya mula bertakung. Sedar tak sedar hampir
7 tahun atuk dan nenek meninggalkannya. Tak dinafikan dia
sangat merindui mereka. Sampai satu tahap air mata akan
mengalir dengan sendiri apabila teringat wajah atuk dan
nenek.
“Nur Shazai Diana, jangan menangis. Biar arwah
tenang di sana.” Dian memujuk dirinya sendiri. Dikesat air
mata yang jatuh setitis. Kalau ibunya lihat pasti ibu akan
risau.

“SERIUS IBU?” soal Dian sambil memandang ibunya yang
ralit memandu. Wajah ibunya yang tersenyum dipandang.
Walaupun umur ibu sudah masuk 53 tahun, tapi wajah itu
tetap nampak muda. “Ibu tak gurau, kan?”
“Tak sayang. Lusa kita balik kampung. Ibu nak buat
tahlil untuk arwah atuk dan nenek. Ibu tahu Dian pun mesti
rindu nak balik kampung. Tapi ibu tak boleh lama-lama kat
sana. Tan sri bagi seminggu aje cuti.” Cerita Puan Nisa.
“Ibu tinggalkan Dian kat sana. Nanti kalau Dian nak
balik, ibu datanglah ambil. Dian ingat nak duduk kat sana
lama sikit. Sekarang musim buah. Mesti buah kat kebun atuk
banyak.” Begitu semangat Dian bercakap. Sudah terbayang
buat rambutan, duku, durian yang ada di kebun arwah atuk.
“Tapi Dian janganlah lama kat sana. Nanti ibu pula
yang rindu.”
“Dian cuti sem 2 bulan. Lepas Dian balik ibu
tengoklah muka Dian puas-puas.” Ujar Dian. “Ibu berhenti
7-Eleven sekejap, nak beli barang.” Suruhnya apabila melihat
7-Eleven di seberang jalan.
“Beli Slurpeelah tu. Macam ibu tak tahu.” Puan Nisa
menjeling Dian yang sudah tersengih itu.
Laju Dian melintas jalan sebaik kereta sudah
tiada. Sudah hampir 3 bulan dia tidak minum air Slurpee.
Sebaik melihat 7-Eleven tadi, fikirannya mula terbayangkan
Slurpee. Hari ini dapat juga dia melepaskan rindu pada air
kegemarannya itu.
“Selamat datang,” ucap pekerja sebaik Dian
membuka pintu. Senyuman manis dilemparkan. Laju kakinya
menapak ke mesin Slurpee. Cup bersaiz besar terus ditarik.
Dia terdiam apabila melihat dua perisa iaitu epal dan ceri. Dia
mahu perisa yang mana? Dua-dua sedap. Malas berfikir, Dian
terus mencampurkan kedua-dua perisa itu. Selesai mengisi
penuh, dia mencucuk straw pada penutup cawan.
“Astaghfirullahalazim!” Dian terjerit kecil
apabila seseorang melanggarnya dari belakang. Jatuh
terus Slurpeenya ke lantai. “Maaf encik. Saya tak sengaja.”
Pohonnya. Bukan lelaki itu saja yang salah dia juga bersalah.
Inilah akibat nak cepat, dia berpusing tanpa melihat.
Lelaki itu hanya diam sambil merenung tajam wajah
gadis di depannya.
Dian memandang lelaki yang berkaca mata hitam itu.
Jelas kelihatan kemeja yang dipakai lelaki itu mula bertukar
warna. Walaupun sedikit saja. Dalam hati dia menyumpah diri
sendiri. Kenapalah dia cuai sangat? Nasiblah kalau dia kena
marah. “Saya ganti balik baju encik. Saya janji.” Beritahu
Dian perlahan apabila lelaki itu hanya senyap.
“Berapa duit yang kau ada sampai boleh ganti balik
baju aku?” Sombong sekali bicara lelaki itu.
Dian menunduk apabila merasa mata lelaki itu
masih tajam memandangnya. Sungguh dia takut kalau-kalau
lelaki itu menengkingnya di sini. Pasti malu mukanya nanti.
“Encik cakap aje berapa. Nanti saya akan bayar balik. Saya
memang tak sengaja tadi. Sekali lagi saya minta maaf.”
“Lain kali mata tengok depan. Bukan tengok Slurpee
itu. Macam tak pernah minum Slurpee. Habis kotor baju
aku!” marah lelaki itu lalu beredar ke peti sejuk. Malas
bertengkar disebabkan benda remeh. Pintu peti sejuk dibuka
lalu dia mencapai sebotol air.
Dian menggaru kepalanya yang ditutupi tudung.
Tersengih dia pada pekerja yang memandangnya. Malu.
“Encik...” panggil Dian apabila lelaki itu lalu di
depannya. “Encik tak nak saya ganti baju tu? Saya betul-betul
tak sengaja.”
“Kau sengaja ke tak, kau dah tumpahkan Slurpee
kat baju aku.” Bidas lelaki itu lalu beredar ke kaunter untuk
membuat pembayaran.
Dian hanya memandang lelaki yang sudah berlalu
keluar itu dengan perasaan kosong. Slurpee tidak dapat dia
pula yang kena marah. Tapi kejadian tadi mengingatkan
Dian dengan apa yang pernah terjadi 7 tahun yang lepas.
Juga disebabkan air Slurpee dia memaki hamun lelaki yang
bernama Adrian. Hampir-hampir saja dia mahu merasai apa
yang dirasai oleh lelaki itu.
Dian mengeluh kecil. Entah masih hidup atau
sudah mati lelaki itu dia tidak tahu. Kali terakhir dia melihat
Adrian 7 tahun yang lepas. Selepas sebulan kejadian pahit itu
berlalu, Adrian terus terbang ke UK. Selama itu jugalah lelaki
itu tidak pulang ke Malaysia. Mungkin bawa diri. Dia pun
langsung tidak mendengar apa-apa khabar tentang Adrian.
Biarlah, janji lelaki itu bahagia dengan hidupnya.
Dian kembali mengambil cup lain, lalu mengisi
semula air Slurpee.

LANGKAH KAKI Dian terhenti sebaik melangkah keluar
dari kedai serbaneka. Matanya tepat memandang sebuah
kereta yang diparkirkan betul-betul di hadapan 7-Eleven.
Bukan kereta jenis Audi itu yang menarik perhatiannya tapi
pemandu kereta itu.
Cermin tingkap yang diturunkan membolehkan dia
melihat jelas wajah si pemandu. Itu lelaki tadi. Perasaan takut
kembali muncul apabila lelaki itu merenungnya dengan
tajam. Walaupun lelaki itu masih mengenakan kaca mata
hitam, tapi dia tahu lelaki itu merenungnya. Macam ada yang
tidak kena dengan renungan itu. Takkan lelaki itu masih
belum puas hati pasal tadi? Lagipun dia sudah meminta maaf.
Lama mereka bertatapan sebelum Dian melarikan
anak matanya. Sah ada yang tidak kena. Tapi apa? Dia
bukannya kenal lelaki itu. Berjumpa pun baru pertama kali.
Tak logik lelaki itu berdendam dengannya disebabkan Slurpee
tadi.
Dian cuba mengukir senyuman untuk lelaki itu.
Senyumannya langsung tidak dibalas malah lelaki itu
terus menaikkan kembali cermin keretanya. Beberapa saat
kemudian kereta itu mula meninggalkannya dengan pelbagai
soalan.


*** BOLEH DAPATKAN  DIPASARAN UNTUK KELUARAN OKTOBER 2017***  

No comments:

Post a Comment