WAZIF kerut dahi. Muka cemberut gadis skuter
pink yang sedang berdiri di hadapannya kini direnung dalam.
Bengkak rasa hatinya apabila mengenangkan bonet hadapan
Honda City putih miliknya yang tercalar teruk dikerjakan
oleh gadis itu tadi. Mahu rasanya dia rogol saja gadis itu,
pada saat dan tika ini juga. Tapi... akal warasnya masih lagi
berfungsi dengan baik. Masih mengenal dosa dan pahala.
5 minit berlalu, mereka masih saling merenung.
Mata Wazif tidak berkalih dari merenung gadis skuter pink
itu. Kecil saja orangnya. Paras dada dia saja! Kalau sekali dia
peluk, memang tenggelam terus minah ni dalam pelukan dia.
‘Rupa paras? Hmm... boleh tahan jugak! Cantik...
dengan kulit yang putih bersih, berbibir merah basah.
Matanya juga, bukan main jernih lagi. Rambut pula, ikal
mayang. Hmm... tapi sayang, tak reti nak hargai kecantikan
diri. Semuanya nak tayang pada orang.’ Tanpa sedar, Wazif
sudah mencebik.
“Encik nak apa ni?” Husna sudah mula hilang sabar.
Sakit hatinya masih belum surut mengenangkan apa yang
mamat kekwat ini buat pada Cik Kiah dia tadi. Side mirror
kiri Cik Kiah patah tau! Kesian Cik Kiah...
“Kau ni waras ke tidak? Kalau dah datang kedai
bunga ni, nak beli bungalah! Takkan nak beli lepat pisang!”
Amboiii... bukan main kekwat lagi jawapan dia
kan! Eee... geramnya Husna rasa. Ikutkan hati yang tengah
bernanah ni, mahunya dia calarkan pula muka kacak mamat
kekwat ni. Biar cacat! Mulut tu, mahu rasanya dia ketip
dengan pengetip kuku. Biar hancur!
“Mulut awak ni kan... Eee... tak tahulah saya nak
cakap apa. Dahlah mulut jahat, hati busuk pulak tu.”
“Amboi, sedapnya mulut kau mengata aku! Kau tu
baik sangat ke? Dahlah cari pasal dengan aku dulu. Calarkan
kereta baru aku! Hei, kau tahu tak, hari ni hari yang paling
ketulahan bagi aku. Macam manalah aku boleh terjumpa
dengan perempuan senget macam kau ni?”
“Perempuan senget? Eh, awak yang cari pasal dulu!
Awak yang sesuka hati aje masuk ke tempat parking saya.
Lepas tu tolak Cik Kiah saya sampaikan dia cedera parah.
Awak yang jahat!”
“Eh, rasanya dekat situ tak ada tulis nama sesiapa
pun. Cik Kiah? Ooo... skuter hodoh kau tu?” Wazif bulat mata.
“Eee... awak ni kannn...” Husna ketap bibir.
“Apa? Siapa yang calarkan kereta aku dulu? Kalau
kau tak kacau aku dulu, tak adanya aku nak pedulikan kau!”
Wazif tahan nafas. ‘Ya Allah, geramnya aku dengan mulut
becok minah ni. Kalau aku cium dia dekat sini, baru reti nak
tutup mulut agaknya!’
“Hei, helo! Awak ingat kereta awak tu cantik sangat?
Kira serilah tu! Awak dah ambil parking saya. Memang
patutlah saya calarkan kereta awak! Tapi yang buat saya tak
puas hati sekarang ni, kenapa awak tolak Cik Kiah saya?”
Mulut Husna petah membalas.
Wazif tidak menjawab kali ini. Renungan matanya
semakin tajam ke wajah Husna. Geram betul dia tengok
mulut mungil itu menjawab. Inilah pertama kalinya dia
bertemu dengan perempuan yang suka menjawab. Mulut
macam bertih jagung. Tak reti nak senyap!
“Kenapa pandang anak dara orang macam nak telan
ni? Otak tu jangan fikir yang bukan-bukan, ek! Jangan nak
fikir kotor!” tebak Husna sambil menghadiahkan jelingan
maut. Macamlah dia tak boleh baca otak mamat kekwat ni.
Kalau mata dah pandang dia atas bawah tak berkelip-kelip
mesti adalah benda yang difikirkan itu.
Wazif melepaskan tawa. Kemudian dia tersenyum
senget pula. Husna tahu sangat makna di sebalik senyuman
senget tu. Senyuman mengejek!
“Tak sangka, pandai jugak kau ni meneka fikiran
orang. Tadi memang aku ada terfikirkan benda kotor. Tapi...
sebenarnya aku langsung tak berselera dengan kau ni! Lelaki
tak ada otak aje yang berselera dengan perempuan senget
macam kau ni! Kau bukan taste aku. Taste aku, perempuan
yang pakai tudung. Yang terlindung auratnya dari pandangan
lelaki. Bukan perempuan macam kau ni. Basi!” Wazif
mencebik sebelum dia berlalu ke luar dari kedai bunga itu.
Kalau layan minah senget ni bertengkar, sampai malam nanti
pun tak habis.
Ya Allah... Husna rasa muka dia macam nak pecah
menahan rasa. Malu! Terasa maruahnya diinjak-injak di tapak
kaki. Air mata mula bergenang di kelopak matanya. Kelibat
mamat kekwat yang semakin menghilang dari pandangan itu
masih disorot dengan perasaan yang bercampur baur. Geram,
marah, dendam, benci. Semua itu teradun dengan sempurna.
“Kau ingat, semua perempuan bertudung tu mulia
ke? Jangan nanti kau yang melutut depan aku sebab nak kejar
aku sudah!” Husna ketap gigi. Air mata yang jatuh setitis di
pipi mulusnya itu dikesat laju. ‘Eee... kenapalah nasib aku
malang sangat hari ini? Kenapa dalam dunia ni ada lelaki
mulut puaka macam mamat kekwat tu? Kenapalah ada lelaki
macam ni di muka bumi Kuantan ni? Kenapa? Kenapaaa?’
hati Husna menjerit geram.
“Wei, kau apa hal tenung pintu kedai tu? Mana
mamat handsome yang nak beli bunga tadi?” Bahu Husna
ditepuk kuat, membuatkan lamunan Husna pecah berkecai.
“Dah berambus dah!” bentak Husna keras. Masih
bersisa lagi rasa marahnya.
“Aik, kenapa angin sangat ni? Bukan dia nak beli
bunga ke tadi? Tak jadi ke? Ataupun makwe dia cancel date?”
Yani kerut dahi. Pelik!
“Manalah aku tahu! Mulut puaka macam tu ada ke
perempuan nak?” bentak Husna semakin keras. Dia terus
berlalu meninggalkan Yani yang nampak kebingungan di
situ.
“Lah, marah?” Kepala yang tidak gatal digaru. “Tak
faham aku! Hari ni hari angin sedunia gamaknya.” keluh Yani
kemudiannya sambil mencebik.
“YA ALLAH... muncung kalah mulut itik!” Adira ketawa lepas.
Fresh orange yang masih berbaki di dalam gelasnya disedut
sehingga licin. Sesekali dia betulkan tudung yang terasa
senget di kepala. Kuat sangat ketawa, sampaikan tersenget
tudung di kepala.
Makin panjang pula muncung Husna bila ditegur
macam tu. Dahlah hati dia masih panas dengan kejadian pagi
tadi. Ada kawan, ingat boleh redakan sikit rasa panas hati tu.
Tapi dibantainya gelak pula!
“Simpan sikit gelak kau tu! Suka kau ek dapat
gelakkan aku!” Terbuntang biji mata Husna merenung
Adira. Geram. Tak padan dengan bertudung litup, tapi gelak
mengalahkan gajah bertempik.
“Haha... kau tu, buat aku geli hati. Kalau pasal Cik
Kiah tu, bunuh orang pun kau sanggup kan?” Masih bersisa
lagi tawa Adira. Bukan sehari dua dia kenal dengan Husna
ni. Dah bertahun-tahun lamanya. Dari mereka sama-sama
belajar di universiti lagi. Hubungan mereka memang rapat.
Semua rahsia Husna berada dalam kocek dia.
“Aku geram sangat! Dahlah buat salah dengan aku,
lepas tu boleh pulak buat muka kekwat. Huh! Teruk jugak
aku kerjakan bonet hadapan Honda City dia.” Gelas berisi
jus tembikai di hadapannya itu dicapai dan disedut rakus
sehingga licin.
“La... kau pun dah dajalkan dia? Habis tu, kira dah
serilah kan? So, tak payahlah kau nak ingat dekat dia lagi.
Ataupun, sebenarnya kau dah jatuh suka dekat mamat
kekwat tu? Manalah tahu... macam cerita drama-drama
adaptasi dekat TV tu,” Adira membalas dengan kening yang
terjongket sebelah.
“Eee... klise sangatlah kau ni! Banyak sangat kau
tengok drama Melayu ni!” Kali ini Husna sudah tertawa kecil.
Gila gamaknya Adira ni. Boleh pula dia fikir sampai ke situ!
“Eleh, cakap aku. Kau tu apa kurangnya. Mesti
mamat kekwat kau tu handsome, kan? Kalau tidak, tak
adalah kau angau sampai macam ni,” ujar Adira lagi. Semakin
lebar pula senyuman yang bergayut di bibir dia. Seronok bila
dapat kenakan Husna.
“Cis! Ini bukan angau... tapi ketulahan! Tak kuasalah
aku nak angau dengan mamat mulut longkang macam tu.
Kau tahu kan, hati aku ni, jiwa dan raga aku ni... hanya milik
Mika seorang aje.” tutur Husna penuh yakin. Saat nama
Mikail meniti di bibirnya, dada terus dipalu debar. Dan... ada
rindu juga yang turut datang bertamu.
Adira terdiam. Riak wajah yang ceria tadi mengusik
Husna terus bertukar beku tatkala nama Mikail menyinggah
di telinganya. Muka terus dipalingkan ke arah lain. Buat-buat
sibuk perhatikan orang yang keluar masuk di restoran milik
mama Husna ini.
Sejak dia mula bekerja, di sinilah tempat mereka
selalu berjumpa bila ada masa terluang. Sambil berbual-bual,
mereka makan dan minum. Sesekali ada juga mereka keluar
berjalan di tempat lain. Tapi kebiasaannya, mereka memang
bertemu di sini saja.
“Una... ramai jugak pelanggan dekat restoran mama
kau ni kan? Kenapa kau tak kerja aje dengan mama kau?
Tolong dia dekat sini.”
Kening Husna naik berkerut. Tiba-tiba saja lompat
topik ni, kenapa? Bukan sekali ini saja tau! Dah banyak kali
Husna perasan. Sejak akhir-akhir ini, setiap kali dia buka
topik tentang Mikail cinta hati dia tu, Adira mesti tukar topik.
Ubah laluan perbualan!
“Hmm... kau bukan tak tahu aku tak minat dengan
bisnes. Pening kepala!” Lambat-lambat dia jawab juga.
Sesekali matanya berlari pada Puan Serina yang nampak
sibuk di kaunter bayaran. Memang dia kasihankan mama.
Nak uruskan restoran. Nak uruskan butik lagi. Hmm...
“Sekarang ni bukan masa nak fikir minat tak minat,
Una. Kau tahu kan, berapa sangatlah gaji yang kau dapat dari
kedai Mr. Lee tu. Kerja macam tu, bila-bila masa pun kau
boleh dapat.” Adira mula serius.
“Kau nak mengutuk kerja aku? Aku tahulah, gaji
aku tak sebesar gaji kau! Kau pegawai atasan dekat syarikat
seni bina tu. Tapi, kau kena ingat... tak semua orang bernasib
baik macam kau. Macam Mika.” Entah macam manalah nama
Mikail boleh terselit sekali. Husna sendiri pun tidak tahu. Tapi
yang nyata, bukan Adira seorang saja yang selalu perlekehkan
kerjanya. Kekasihnya, Mikail juga selalu bercakap hal yang
sama. Sampaikan dia naik rimas.
Air muka Adira berubah lagi apabila nama Mikail
dikait bersama.
“Aku bukan nak hina kerja kau, Una. Wake uplah!
Kita bukan budak-budak lagi. Tak semua yang kita suka itu
kita akan dapat. Kadangkala kita kena korbankan perasaan,
demi memenuhi tuntutan kehidupan.”
“Kau nak cakap aku main-mainlah ni?” Senyuman
senget sudah bermain di bibir Husna. Sejak akhir-akhir ini,
dia memang terasa hubungan mereka sedikit renggang.
Pada Husna, Adira sudah banyak berubah. Adira, bukan lagi
pendengar yang baik untuk dia macam waktu-waktu yang
dulu.
Kalau dulu, setiap kali dia mahu bercerita tentang
masalah atau hubungan dia dengan Mikail, Adira sanggup
tahan telinga berjam-jam lamanya mendengar. Adira rajin
bertanyakan itu dan ini kepada Husna kalau berkaitan dengan
hubungan Husna dan Mikail. Tapi sekarang ini, ada saja
alasan dia. Penatlah... sibuklah. Macam dia tidak suka apabila
Husna bercerita tentang semua itu.
“Aku tak cakap macam tu! Tapi kau fikirlah apa
yang terbaik untuk diri kau. Cuma aku nak cakap, buanglah
sikit sikap manja dalam diri kau tu. Kalau nak kan apa-apa,
usahalah sampai dapat. Jangan terlalu bergantung pada
mama kau.”
“Jap! Apa yang cuba kau sampaikan ni? Aku tak
faham?” Mata comel Husna sudah sepet. Merenung lurus ke
wajah Adira dengan kening yang hampir saja nak bercantum.
Anak rambut yang jatuh terjuntai ke atas dahi disebak ke
belakang. Rimas!
“Hmm... susahlah aku nak terangkan. Nanti kau
fahamlah!” Adira gigit bibir bawah.
“Okey! Bukan aku tak nak kerja bagus. Aku pun tahu
berfikir macam orang lain jugak! Kau kira beruntunglah!
Minta aje kerja, terus dapat. Aku tahu, Mika pun selalu cakap
aku suka main-main. Dia pun beruntung sebab keluarga dia
ada company sendiri. Habis aje study, terus dapat kerja.”
Nafas ditarik sejenak. Bibir mengukir senyuman
tawar.
“Kalau kau nak tahu, sebenarnya dah banyak kali
aku hantar resume... tapi, satu pun tak ada jawapan. Aku
saja tak nak cakap pasal ni, sebab aku tak nak rasa kecewa
tu melekat terus dekat hati aku ni. Tengoklah! Kalau sampai
hujung tahun ni tak dapat kerja jugak... aku take over aje
restoran mama aku ni. Buat plan besarkan lagi restoran ni.”
“Hmm... baguslah kalau macam tu. Mungkin rezeki
kau dekat sini. Restoran ini. Lagipun, kalau kau tak take over,
siapa lagi. Abang kau, memang taklah.” Ujar Adira sambil
tersenyum nipis.
“Dira...” Lengan Adira ditarik laju oleh Husna
dengan tiba-tiba. Tersentak Adira dibuatnya.
“Syarikat tempat kau kerja tu, client tetap dekat
syarikat Mika, kan? Kau ada jumpa dia tak?” Wajah Husna
nampak macam mengharap sangat. Sudah hampir seminggu
kut dia tidak berjumpa dengan Mikail. Setiap kali dia telefon,
ada saja alasan Mikail untuk mengelak dari berbual-bual
dengannya.
Apabila dia WhatsApp, tidak pula dibalas. Kalau
dibalas pun cuma sepatah dua saja. Tidak mesra macam
selalu. Kadangkala hati Husna naik curiga dengan sikap dan
layanan Mikail sejak kebelakangan ini. Ada perempuan lain
ke pakwe dia tu?
“Err... tak jumpa. Kenapa?” Riak wajah Adira nampak
macam tidak selesa apabila Husna sekali lagi buka topik
tentang Mikail. Perasaan dia terasa rimas dengan tiba-tiba
saja.
“Ooo... tak ada ek?” Suara Husna mendatar.
“Kenapa?”
“Hmm... Tak ada apalah! Cuma aku pelik sikit dengan
perangai Mika sejak akhir-akhir ni. Macam nak mengelak aje
dari aku. Hmm... dia dah lainlah sekarang ni.”
“Lain yang macam mana?”
“Lainlah! Tak mesra... tak... Arghhh! Susahlah nak
cakap.” Husna garu pipi pula.
“Hmm... entahlah! Aku tak tahu nak cakap apa pasal
hubungan korang berdua ni. Nanti kau cubalah telefon dia
lagi.” Adira cuba untuk tersenyum. Tapi kenapalah terasa
canggung sangat.
“Dira, kau okey ke?”
“Eh, okey! Kenapa tanya aku macam tu pulak?” Adira
tertawa kecil. Lebih kepada tawa yang dibuat-buat.
“Dira, kita kenal dah lama tau! Aku boleh rasa kau
ada sorokkan sesuatu dari aku. Kau dah ada pakwe, ek? Gaduh
dengan pakwe ke?” tebak Husna bertubi-tubi.
“Haha... pandailah kau! Dahlah weii... aku balik
dululah. Malam nanti dah janji nak jumpa kawan.” Tanpa
menunggu lebih lama, Adira terus bangkit dari kerusi dan
menuju ke kaunter bayaran. Husna pula menurut dari
belakang.
“Haa, Dira... nak balik dah?” sapa Puan Serina sebaik
saja Adira berdiri di depan kaunter. Senyuman lembut sudah
menghiasi wajah keibuannya.
“Ya, mak cik. Tadi tu berapa?” Dompet kecil yang
berada di dalam beg sandangnya digagar.
“Tak payahlah! Setakat air segelas tu, mak cik
halalkan aje.” Puan Serina membalas lembut. Bukan dia
tidak kenal dengan Adira. Dulu, sewaktu Adira dengan Husna
sama-sama menuntut di universiti, Adira selalu juga bertamu
ke rumah mereka. Cuma sekarang saja jarang nampak muka
dia. Mungkin terlalu sibuk dengan kerja.
“Kalau macam tu, terima kasih banyak-banyak mak
cik. Dira balik dulu, ya!” Tangan dihulurkan untuk bersalaman
dengan Puan Serina. Kemudian dia terus menapak ke pintu
restoran.
Sampai saja di muka pintu restoran, dia berhenti
menapak. Tubuhnya dipusingkan ke belakang menghadap
Husna yang masih setia mengikutnya dari tadi. Lama
juga mereka saling merenung. Sesaat kemudian, sebuah
senyuman tawar terukir di bibir Adira. Laju saja tangannya
memaut tubuh Husna ke dalam pelukannya.
“Aku balik dulu tau! Maafkan aku kalau aku ada buat
salah.” Adira diam seketika. Tubuh Husna dipeluk semakin
erat. “Aku nak kau tahu... walau apa pun yang terjadi, aku
sayangkan persahabatan kita. Assalamualaikum...” Tubuh
Husna dilepaskan, dan Adira terus menapak keluar tanpa
menoleh ke belakang lagi.
Husna jeda di situ. Batang tubuh Adira terus disorot
sehingga hilang dari pandangan matanya.
‘Apa kena dengan budak Adira ni?’ Hati Husna
mula rasa lain macam. Namun, sedayanya dia cuba menepis
perasaan buruk yang sedang menerjah ke hatinya saat ini.
‘Alaa... Normallah kawan minta maaf. Kau banyak
sangat fikir ni, Una!’ Hati dia sudah memujuk sendiri. Nafas
ditarik dalam. Bibir mengukir senyuman dan fikiran cuba
dilapangkan.
“Waalaikumussalam,” perlahan bibirnya membalas
salam.
No comments:
Post a Comment