DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 23 October 2017

Supergirl - Bab 2

SUARA Usop masih terngiang-ngiang di telinga
Aina, membuatkan darahnya menggelegak. Sakit hatinya
tidak terperi. Aina merasakan pak sunya itu lebih elok
mendiamkan diri daripada membuka mulut. Mana tidaknya,
asal buka mulut saja, kata-kata Usop boleh buat dia meradang.
“Arghhh... pak su memang sengaja nak hangatkan
hati aku! Boleh pulak dia suruh aku kahwin dengan Encik
Mail yang perasan handsome macam Amitabh Bachchan
versi boroi tu. Apa dia ingat aku ni anak dara tak laku ke,
sampai lelaki macam Encik Mail tu aku nak rembat? Huh!
Tak hingin!!!”
Disebabkan rasa geram yang teramat sangat, Aina
menyepak seketul batu di hadapannya. Terpelanting jauh
batu itu, penangan sepakannya yang hebat mengalahkan
sepakan pemain bola sepak profesional.
Prank!!!
Streeettt!!! Spontan sebuah Mercedes Benz GLA
250 berwarna putih berhenti secara mengejut. Hampir
melanggarnya yang sedang berjalan kaki.
Aina pejam mata. Terkejut melihat sebuah kereta
menuju laju ke arahnya. Andai hari ini merupakan hari
terakhirnya, dia mohon semoga Allah mengampunkan segala
dosa-dosanya.
“What are you doing?”
Suara itu menampar pendengaran Aina.
Perlahan-lahan dia membuka mata. Seorang lelaki segak
dengan sut dan tali leher berdiri di hadapannya dengan wajah
yang ketat. Dahi Aina berkerut.
‘Aku kat alam mana ni? Kenapa malaikat Munkar
dan Nakir pakai kot macam ni? Dah tu... siap speaking
London pulak tu. Cakap Bahasa Melayu ajelah. Aku tak faham
speaking ni. Masa exam dulu, English aku memang teruk
giler.’
Lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang
amat tajam. Diraba hidung. Ada! Kemudian dicubit lengannya
pula. Auch! Sakit!
“Hello, miss.” Lelaki itu memetik jari di hadapannya.
Baru Aina sedar bahawa dia masih bernafas di
bumi Tuhan. Ingatkan dah berada di alam barzakh tadi.
Alhamdulillah... Allah masih pinjamkan umur kepadanya.
Lega. Namun, rasa itu tidak lama.
“Macam mana kau bawa kereta? Nak bunuh orang
ke?” jerkahnya kemudian. Sakit hati apabila terkenangkan
lelaki itu hampir saja melanggarnya. Mentang-mentang pakai
kereta besar, memandu tak pandang orang!
“What? Excuse me?”
“Apa what, what? Kau ingat nyawa aku ni ada jual
kat pasar raya ke? Suka hati kau aje main rempuh. Kalau
tak reti memandu tu, tak payahlah memandu. Menyusahkan
orang aje. Kau tahu tak, orang macam kaulah yang menjadi
punca kenapa kemalangan jalan raya kat negara ni semakin
meningkat. Huh, aku tak fahamlah kenapa pihak berwajib
boleh bagi orang macam kau ni lesen! Atau mungkin kau ni
pakai lesen terbang tak? Atau jugak kau ni memang samseng
jalanan. Suka buli penjalan kaki macam aku. Aku...”
“Cup! Cup!” Lelaki itu mengangkat tangan memberi
isyarat agar Aina berhenti membebel. Macam mak nenek!
“Awak yang sepak batu tadi, kan?” Suara lelaki itu
kedengaran serius.
Aina kerut dahi.
“Nampak tak tu?” Lelaki itu menuding jari ke arah
keretanya yang berada di bahu jalan. Ada kesan retakan pada
cermin keretanya.
Aina turut menoleh.
“Itu angkara awak tau!” sambung lelaki itu dengan
rasa geram.
“Eh... apasal angkara aku pulak?” Aina membalas.
Boleh pula dia tayang muka tidak bersalah.
“Sebab... awak sepak batu sampai terkena cermin
kereta saya. Kalau terjadi kemalangan yang lebih serius tadi,
macam mana? Awak nak bertanggungjawab? Sebenarnya,
orang macam awaklah punca terjadinya kemalangan jalan
raya kat negara kita.”
Aina buat selamba. Muka dah handsome, tapi mulut
macam mak nenek. Membebel macam orang perempuan
beranak sepuluh!
“Sekarang awak kena bayar ganti rugi!”
Toing!!!
Biji mata Aina seperti hendak tersembul keluar.
Nasib baik tak terkeluar betul-betul. Kalau tidak, Aina dah
jadi Kassim Selamat versi perempuan. Digosok telinganya
bagi jelas apa yang lelaki di depannya itu katakan.
“Ulang sekali lagi, boleh tak?” pinta Aina.
“Saya minta awak bayar ganti rugi sekarang,” ulang
lelaki itu geram.
“Ganti rugi?”
“Dah awak retakkan cermin kereta saya, kenalah
bayar ganti rugi.”
“Eh... tapi bukan salah aku sorang.”
Spontan lelaki itu menoleh ke belakang. Cuba
mencari sesiapa lagi yang bersekongkol dengan gadis itu
bermain sepak-menyepak di tepi jalan raya sehingga terkena
cermin keretanya. Namun, tiada sesiapa di situ. Kemudian
dia menala semula pandangan ke wajah Aina.
“Takde sesiapa pun kat sini. Kita berdua aje. Macam
mana awak kata bukan salah awak seorang? Entah-entah awak
ni ambil dadah tak? Berkhayal tengah main bola kat padang?”
Sentap Aina mendengar tuduhan itu. Rasa nak
marah, tapi dia tahu ini kesalahannya. Terpaksa dipendam
rasa marahnya itu. Apa yang penting, dia kena cari akal untuk
melepaskan diri. Dari mana dia nak cari duit untuk bayar
ganti rugi cermin kereta lelaki muka ketat ini? Dahlah kereta
mewah, tentu cerminnya juga mahal. Dia kena bertindak
segera!
‘Fikir Aina, fikir! Kena cabut lari sebelum dia paksa
kau bayar harga ganti rugi.’
Ting!!! Mentol kecil menyala di kepala. Tepat pada
masanya.
“Hoi, pencuri!!!” jerit Aina kuat. Tangan diangkat
tinggi dengan muka serius.
Seraya itu juga lelaki muka ketat memalingkan
wajah ke belakang. Mencari-cari kelibat si pencuri yang
dimaksudkan gadis itu.
Langkah seribu dibuka. Aina pecut seratus meter!
Tersedar dirinya dipermainkan, lelaki itu ketuk
kepala sendiri. Namun ketika dia menoleh semula, kelibat
gadis tadi sudah pun menjauh. Bukan main laju gadis itu
berlari. Tak ubah macam Usain Bolt.
“Hoi!!! Jangan lari!!!” jeritnya. Namun jeritannya
hanya satu usaha yang sia-sia belaka. Semakin laju gadis itu
memecut meninggalkan dia yang digigit amarah. Tak guna!
Semudah itu dia diperdaya.

No comments:

Post a Comment