USAI mencuci bilik air, Dian mengemas dapur
dan ruang tamu rumahnya pula. Hanya itu kerja yang dia
boleh buat untuk menghilangkan bosan. Sudah seminggu dia
tidak ke Vila Paduka selepas kejadian itu.
Malas dia mahu melihat Adrian. Nanti tak
pasal-pasal mereka bergaduh lagi. Dia pun sudah serik
kenakan Adrian. Senakal-nakal dia pun, taklah sampai hati
mahu mencederakan orang. Sampai masuk hospital pula
tu. Tapi mujur masuk hospital, kalau masuk kubur? Hesy...
tak pasal-pasal dah jadi pembunuh. Tapi benda dah jadi dan
Adrian selamat. Lega...
“Ibu dah balik?” tanya Dian apabila melihat ibunya
muncul. Penyapu diletakkan di tepi. Tangan ibunya disalam.
“Ibu nak hantar makanan. Lepas solat nanti ibu pergi
balik Vila Paduka.” Puan Nisa menghulurkan plastik yang
berisi makanan kepada Dian. Dia duduk di sofa lalu membuka
tudungnya. “Dian tak bosan ke duduk rumah?”
“Bosanlah. Ibu...” panggil Dian lalu duduk di sebelah
ibunya. Laju tangannya mengurut lengan ibunya. Nak
membodek katakan, kenalah pandai ambil hati. “Dian nak
kerja.”
Puan Nisa memandang Dian dengan riak tidak puas
hati. “Kerja apa?”
“Kerja apa-apa pun. Dian tak kisah. Dian boleh
keluar cari kerja. Lagipun sementara nak tunggu result SPM
masa inilah Dian nak cari pengalaman kerja.”
“Ibu tak benarkan. Ini KL Dian. Bahaya. Lagipun
Dian mana biasa lagi kat sini. Dian kerja dengan ibu aje. Nanti
ibu bagi upah.”
Dian sudah mencebik. Kerja dengan ibunya bermakna
dia perlu ke Vila Paduka menolong ibunya memasak. Padahal
dia mahu melarikan diri dari vila itu.
“Kalau Dian tak nak kerja dengan ibu, Dian duduk aje
rumah. Ini arahan daripada ibu.” Puan Nisa sudah memberi
kata putus. “Dian dah fikir mana nak sambung lepas dapat
result SPM?” Soalannya lari daripada topik.
“Tak tahu. Keputusan pun Dian tak tahu macam
mana.” Jawab Dian perlahan. Apa pun keputusan SPM dia
akan terima. Dia sendiri tidak meletakkan harapan yang
tinggi.
DIAN BERDIRI di muka pintu dapur Vila Paduka.
Teragak-agak dia mahu masuk setelah apa yang terjadi.
Kepala dijengukkan ke garaj. Kereta milik Adrian elok saja
tersadai di situ. Janganlah dia jumpa Adrian hari ini. Beg
tangan milik ibunya dipandang. Tadi ibu yang menelefonnya
suruh membawa beg itu ke vila. Ibu tertinggal beg di rumah.
Nak tak nak terpaksa dia bawakan.
“Dian...” tegur Tan Sri Ahmad. “Kenapa tak masuk?
Yang berdiri kat luar tu kenapa?”
Dian tersedar. Bibirnya dipaksa mengukir senyuman.
“Dian nak hantar beg ibu ni.”
“Masuklah dulu. Ibu kamu kat ruang tamu.” Ajak
Tan Sri Ahmad. “Dia sibuk uruskan persiapan nikah Rian tu.
Ni kenapa baru hari ini datang vila?”
“Saja nak elakkan diri daripada buat masalah lagi.
Nanti bila Dian kat sini macam-macam masalah Dian buat.”
Jujur Dian memberitahu. “Atuk, Dian pergi jumpa ibu dulu
ya. Nanti bising pula kalau lambat.”
Dian melangkah ke ruang tamu. Kelibat ibunya
dicari. Dapat dilihat beberapa wajah asing di rumah itu.
Mungkin mereka ditugaskan mengurus majlis Adrian. Ibunya
yang sedang bercakap dengan Adrian dipandang. Kenapalah
dia perlu berjumpa lagi dengan lelaki itu? Dian memusingkan
badan untuk beredar. Beg tangan ibu akan diletakkan atas
meja makan. Pandai-pandailah ibunya cari nanti.
“Dian...” Langkahnya terhenti apabila mendengar
suara ibu memanggil. Lambat-lambat dia berpusing. Pasti
Adrian juga sudah menyedari kewujudannya.
“Nak pergi mana?”
“Cari ibulah...” Dian menyerahkan beg tangan yang
dipegang kepada ibunya. “Dian balik dululah.”
“Eh, sekejap. Dian teman ibu. Ibu nak buat
pembayaran untuk katering.”
“Sekarang?” soal Dian. Sempat matanya menjeling
Adrian yang berada di sebelah ibunya. Tangan lelaki itu yang
masih berbalut dipandangnya. Kesian pula. Dia melarikan
anak mata apabila Adrian menjelingnya tajam. “Jomlah ibu.”
Ajaknya tanda setuju.
“Jom Rian,” ajak Puan Nisa sambil memandang
Adrian.
Dian memandang ibunya. “Kenapa dia ikut?” soalnya
tidak puas hati.
“Ibu tak tahu tempat katering tu kat mana. Rian
yang tahu. Dia pula tak boleh memandu. Tangan tu sakit
lagi.” Beritahu Puan Nisa. Sengaja mahu membawa anaknya
keluar. Dia tidak mahu Dian hanya terkurung di kawasan Vila
Paduka saja.
“Tak naklah pergi.” Cepat-cepat Puan Nisa menarik
tangan Dian yang mahu beredar itu.
“Jomlah teman ibu...”
Muncung Dian sudah panjang sedepa akibat dipaksa.
Kalau tahu Adrian akan ikut memang taklah dia pergi sekali.
Mesti lelaki itu akan cari pasal dengannya. Tak percaya tengok
sajalah nanti.
“Jalan tu pakai mata bukan pakai telefon. Karang
tak pasal-pasal orang akad nikah kat masjid, kau akad nikah
kat hospital.” Sindir Dian apabila Adrian hampir mahu
melanggarnya.
DIAN HANYA senyap sepanjang perjalanan. Hanya ibu
dan Adrian yang bercakap. Dia yang duduk di belakang
hanya melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Bangunan-bangunan yang tinggi dilihatnya. Begitu asing
pada pandangan matanya yang sering melihat sungai dan
sawah padi.
Kereta yang bergerak laju mula perlahan apabila tiba
di stesen minyak. “Ibu pergi isi minyak sekejap. Dian ada nak
pesan apa-apa tak?” tanya Puan Nisa.
Dian hanya menggeleng sambil tangannya
menongkat dagu di tingkap kereta. Suasana dalam kereta
mula senyap apabila ibunya keluar.
“Senyap aje. Kenapa? Dah serik ke nak kenakan
aku?” tanya Adrian pada Dian.
Diam. Soalan Adrian seperti angin lalu di telinganya.
Dia sudah taubat tidak mahu mengacau Adrian, tapi sekarang
lelaki itu pula yang seperti mahu mencari pasal.
“Kau dengan aku tak habis lagi. Jangan lupa apa
yang kau dah buat pada kereta aku.”
Diam. Dian hanya mencebik.
Adrian yang berada di hadapan mula geram apabila
Dian sengaja tidak bersuara. “Kau jangan buat pekak. Tolong
bertanggungjawab sikit atas apa yang kau dah buat!” marah
Adrian tanpa sabar.
“Tak elok bakal pengantin marah. Nanti hilang seri.”
Perli Dian setelah sekian lama mengunci mulut. Niatnya
untuk tidak mahu bercakap dengan Adrian hilang begitu saja.
Tak sampai 5 minit lagi ada juga yang kena tendang keluar.
“Kau susah kenapa? Aku yang nak kahwin.”
“Pasal kereta kau tu, kau nak suruh aku buat apa?”
soal Dian malas.
“Ganti rugi.”
“Tak ada duit.”
“Habis dah tahu tak ada duit yang kau pergi calarkan
kereta aku apa hal? Kau ingat kereta aku ada jual kat pasar
malam?”
“Dengan budak tak cukup umur pun nak berkira.”
Ejek Dian. “Pasal kereta tu kau lupakan ajelah. Kau anggap
aje tak pernah berlaku. Lagipun bukan banyak pun calar, sikit
aje.”
Bulat mata Adrian. Terus dia memusingkan tubuh
menghadap Dian di belakang. “Sikit kau cakap? Habis badan
kereta aku kau pergi calar. Itu kau cakap sikit?” Makin tinggi
nada suaranya.
“Kau juga yang cari pasal dengan aku. Kalau tak,
tak adanya kereta kau yang jadi mangsa.” Bidas Dian. Mereka
kemudian diam apabila Puan Nisa masuk kembali. Beberapa
minit perjalanan baru Dian kembali bersuara.
“Ibu...” panggil Dian pada ibunya yang ralit
memandu. “Rian minta ganti rugi dengan Dian pasal kereta
dia tu. Dian mana ada duit nak bayar.” Adunya.
Puan Nisa memandang Adrian yang hanya buat tidak
tahu. “Adrian...” panggilnya sambil mengerutkan dahi.
“Jangan layan dia auntie. Dia tipu aje. Bila masa
entah Rian minta ganti rugi. Suka betul buat drama.”
Bulat mata Dian. Laju tangannya diangkat mahu
memukul lengan Adrian.
“Dian...” tegur Puan Nisa sebelum sempat penumbuk
Dian hinggap di bahu Adrian. “Jangan macam tu. Tak elok.
Dian kan perempuan. Tak boleh kasar-kasar.”
“Dia yang cari gaduh. Bila masa Dian tipu. Memang
betul dia minta ganti rugi.” Dian menyandar di kerusi
dengan perasaan yang tidak puas hati. Nyaris saja dia mahu
menumbuk Adrian. “Geram betul!”
“Ya... ya. Ibu percaya pada Dian.” Balas Puan Nisa
tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Sendiri yang buat masalah, sendiri yang geram.
Hidup kalau hati kotor memang tak bahagia.”
“Ibu... dia cakap Dian hati kotor...” adu Dian lagi.
“Mana kau tahu hati aku kotor?” Marahnya pada Adrian.
Ikutkan hati mahu saja dia sepak Adrian keluar dari kereta
ibu.
“Dian sudahlah. Tak elok jerit-jerit macam tu.”
Adrian hanya tersengih jahat apabila melihat wajah
Dian yang bertukar merah.
“Dian nak berhenti 7-Eleven tak ni? Beli air Slurpee.”
soal Puan Nisa lalu memperlahankan keretanya apabila
melalui kedai serbaneka 24 jam itu. Dia tahu cara bagaimana
untuk memujuk Dian.
No comments:
Post a Comment