DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 2

“DIAN...”
Dian menghentikan langkah di pintu masuk. Wajah
ibunya yang tersenyum dipandang. Lantas dia mencapai
tangan wanita itu.
“Dian pergi kubur.” Jawabnya perlahan. Sudah tahu
apa yang akan ditanya oleh ibu. Lambat-lambat dia duduk di
tangga.
Puan Nisa hanya memandang sayu wajah anaknya
yang pucat itu. Sudah 3 hari anaknya tidak makan. Dia tahu
kehilangan ibu dan ayahnya merupakan satu kehilangan yang
besar buat Dian. Tapi siapa kita mahu melawan takdir. Allah
lebih sayangkan mereka. Dia sebagai anak sudah reda dengan
pemergian mereka.
“Jom makan. Ibu ada masak. Dian tak makan apa-apa
pun lagi.” Ajak Puan Nisa lalu melabuhkan duduk di tangga.
Digosok perlahan kepala anaknya. Pejam celik pejam celik
sudah 17 tahun usia anak bongsunya. Anak yang bukan
membesar di depan matanya. Dia hanya pulang sekali-sekala
untuk melawat Dian dan arwah orang tuanya. Pernah dia
bergaduh dengan arwah ibu kerana berebutkan Dian. Dia
tidak mahu susahkan mereka lagi. Tapi disebabkan kasihan,
dia terpaksa menyerahkan Dian untuk dijaga. Masa itu juga
Dian tidak mahukannya. Nampak saja dirinya, Dian pasti akan
menangis. Tahulah dia yang arwah sudah menjaga anaknya
dengan baik.
“Jomlah makan. Ibu suap ya.” Pujuk Puan Nisa
apabila Dian menyepi.
“Kenapa bukan Dian yang kemalangan? Kalau tak
mesti Dian boleh ikut atuk dengan nenek. Mesti mereka
rindu Dian kat sana.” Air mata sudah menitis perlahan.
Puan Nisa menahan air mata daripada jatuh.
Sedihnya hati dia melihat Dian. Dia tidak boleh lemah depan
anaknya. Semangat Dian yang hilang perlu dipulihkan. “Tak
baik cakap macam tu. Kalau atuk dengan nenek dengar mesti
dia sedih. Sekarang Dian kena teruskan hidup. Perjuangan
Dian dalam SPM belum selesai. Ada beberapa kertas lagi. Dian
kena kuat. Ingat pengorbanan nenek dan atuk.” Nasihat Puan
Nisa sambil menggosok belakang anaknya.
Dian memandang wajah ibunya. Hampir terlupa
dia dengan peperiksaan SPM. Sungguh dia tidak mampu
memberi tumpuan lagi. “Ibu fikir Dian kuat? Dian tak kuat.
Ibu nak suruh Dian jawab apa nanti? Dian tak nak pergi
sekolah.”
“Jangan macam ni, Dian. Dian ada tiga kertas lagi.
SPM tu menentukan hala tuju Dian. Lusa Dian kena pergi
sekolah. Dian jawablah setakat yang Dian mampu.”
Dian senyap. Dia sudah tidak peduli dengan SPM.
Sewaktu hari nenek dan atuk meninggal, dia dipaksa
oleh guru-guru untuk menjawab kertas Sejarah. Masa itu
emosinya tidak stabil. Tak sampai 15 minit menjawab terus
dia keluar dari dewan peperiksaan. Langsung dia tidak
menyemak jawapannya.
Masa itu apa yang ada dalam fikirannya ialah atuk
dan nenek. Dia mahu berada di sisi mereka untuk hari-hari
terakhir. Malah, dia sendiri yang menguruskan jenazah
nenek. Hanya itu yang sempat dia lakukan untuk membalas
jasa nenek.
“Lepas habis SPM, Dian ikut ibu balik KL. Tinggal
dengan ibu dan kakak-kakak. Mungkin sekarang masa untuk
ibu pula yang jaga Dian. Ibu tahu kasih sayang ibu tak akan
sama dengan apa yang atuk dan nenek bagi. Tapi ibu akan
jaga Dian sebaiknya. Macam mana nenek dan atuk jaga Dian,
macam itulah ibu akan jaga.” Tangan Dian dicapai. Berharap
kali ini Dian akan berlembut hati untuk ke KL.
“Dian tak nak pergi KL. Dian nak duduk sini. Ibu nak
balik, baliklah...” ucap Dian lalu menarik tangannya. Terus
dia masuk ke dalam rumah meninggalkan ibunya di tangga
sendirian. Dia sudah besar dan mampu untuk menjaga dirinya
sendiri. Apa pun yang terjadi dia tidak akan tinggalkan rumah
ini. Rumah di mana dia dibesarkan.

DIAN MEMANDANG pengawas peperiksaan yang baru
saja mengutip kertas peperiksaannya. Dapat dia lihat
kawan-kawannya mula tersenyum lebar mengenangkan ini
kertas terakhir mereka. Budak-budak SPM sudah merdeka.
Alam persekolahan sudah berjaya ditempuhi dan ditamatkan.
Dian mengambil alat tulisnya lalu bangun.
Walaupun ini kertas terakhir, dia langsung tidak rasa apa-apa.
Masa awal-awal peperiksaan dia sangat gementar sehingga
tidak boleh melelapkan mata. Tapi selepas arwah atuk dan
neneknya meninggal, rasa itu terus hilang. Hidupnya terasa
kosong. Kegembiraan dirinya sudah pergi bersama mereka.
“Dian...” panggil Nani.
“Apa?” soal Dian malas.
“SPM dah habis. Lepas ni kau nak buat apa? Nak ikut
mak kau?”
Tajam mata Dian memandang kawan sekelasnya.
“Aku nak cari kerja. Aku takkan tinggalkan kampung ni.”
“Siapa nak jaga kau kalau kau duduk sini? Bahayalah
duduk sorang-sorang.”
“Aku peduli apa.” Marah Dian lalu meninggalkan
Nani sendirian. Beg sekolah yang diletakkan di tepi dinding
dicapai. Laju langkahnya meninggalkan dewan peperiksaan.
Sebelum sampai ke luar pagar, Dian memandang kawasan
sekolah untuk terakhir kali. Alam persekolahan yang
meninggalkan pelbagai kenangan untuknya. Ada gembira,
pahit, sedih, kecewa dan sebagainya. Semua itu sudah
dilaluinya. Kini sudah tiba masanya untuk dia mengucap
selamat tinggal.
Dian melangkah ke perhentian bas. Dia bukan mahu
menunggu bas. Jarak rumah dengan sekolahnya tidak berapa
jauh. Lagipun dia cuma berjalan kaki saja ke sekolah.
Entah kenapa dia tidak mahu pulang. Ibu tahu ini
kertas terakhirnya. Lepas ini pasti dia akan dipaksa tinggal
dengan ibu. Tak habis-habis ibu mahu memaksanya. Dia
tidak kisah tinggal sendirian di rumah arwah atuk dan nenek.
Hidupnya pasti berubah kalau tinggal bersama ibu.

DIAN MENGUTIP jambu yang berteraburan di atas tanah.
Sedar tak sedar hampir dua plastik jambu yang berjaya
dikumpulnya. Penat mengutip akhirnya dia duduk di bangsal
bawah pokok jambu. Petang-petang makan jambu memang
syok. Makan pula dengan colek yang dibuat oleh arwah nenek.
Letak kicap, gula dengan lada. Sedap sampai menjilat jari.
“Kau panjat pokok ke?”
Dian memandang pada suara yang menegurnya.
“Sibuklah kau ni...” Marah Dian lalu mengikat
plastik yang berisi jambu. Tidak dipedulikan langsung lelaki
yang duduk di sebelahnya.
“Dian, kau kenapa? Lepas arwah atuk dan nenek tak
ada kau dah berubah. Mana perginya Dian yang berani tu?”
tanya Fauzan.
“Kau nak apa datang ni?” soal Dian pada sepupu
seusianya.
“Aku pun sedih nenek dan atuk meninggal. Aku tak
sempat jumpa mereka. Tapi aku tak boleh terus hanyut. Aku
tak nak mereka sedih bila tengok aku. Aku faham perasaan
kau. Kau kan cucu kesayangan atuk dan nenek. Tapi kau kena
kuat.”
Dian menunduk apabila mendengar kata-kata
Fauzan. Mereka sangat rapat. Fauzan bukan saja sepupunya
malah merupakan kawan baiknya sendiri. Mereka membesar
dan bermain sama-sama sejak kecil lagi.
“Dian yang aku kenal seorang yang kuat. Tak takut
apa-apa. Berani. Satu kampung kenal kau. Setakat panjat
pokok jambu ni memang kemahiran kau. Kau ingat tak
kalau atuk nak pukul kau, mesti kau panjat pokok jambu.
Kau duduk atas pokok sambil makan jambu. Masa tu atuk
dah menjerit-jerit suruh kau turun. Kau buat bodoh aje.”
Fauzan ketawa kecil apabila mengimbau kembali kenangan
lama. Dian seorang yang sangat nakal dan berani. Dia lelaki
pun tidak berani panjat pokok. Tapi Dian selamba saja. Segala
masalah yang datang, diselesaikan dengan memetik jari.
Semudah ABC.
“Dian... kalau kau sayangkan arwah atuk dan
nenek, kau ikut pesanan terakhir mereka. Jangan kecewakan
mereka...”
Dian mengerling Fauzan. Pasti ibu yang menyuruh
Fauzan memujuknya. Kata ibu malam sebelum arwah atuk
meninggal, atuk ada menghubungi ibu. Kalau apa-apa jadi
pada atuk, atuk mahu dia tinggal bersama ibu.
“15 tahun aku dibesarkan kat kampung. Kehidupan
aku bukan di bandar. Aku tak boleh hidup kat sana. Kat sana
tak ada sawah... tak ada sungai. Orang bandar takkan terima
budak kampung selekeh macam aku.”
“Lama-lama kau akan biasa. Aku kenal kau macam
mana.” Bidas Fauzan. Dia tahu itu hanya alasan Dian saja.
“Hidup kita masih panjang. Masih banyak benda yang belum
kita lakukan. Walaupun atuk dan nenek dah meninggal
tapi kau masih ada ibu. Mungkin sekarang masa untuk kau
berbakti pada ibu kau.”
Dian hanya diam. Fikirannya serabut.

No comments:

Post a Comment