LIMA belas minit sudah berlalu, namun mulut
Puan Serina masih belum berhenti berleter. Pot pet pot pet!
Mengalahkan burung murai tercabut ekor lagaknya. Sesekali
matanya dijegilkan ke arah Husna apabila anak perempuan
kesayangannya itu menjawab. Ada sajalah idea Husna hendak
menjawab cakap dia.
“Maa... tolonglahhh...” rengek Husna manja.
Kedua-dua belah tangannya sudah naik menekup telinga.
Tidak tahan rasanya mendengar leteran mamanya yang
berlangsung semenjak tadi. Kalau lagi 10 minit macam ni,
gegendang telinga dia boleh meletup rasanya.
“Apa tolong-tolong? Baby memang suka buat mama
macam ni, kan? Suka buat mama susah hati!” Puan Serina
sudah melabuhkan duduknya di sebelah kanan Husna. Lutut
anak perempuan tunggalnya itu ditarik dan dibelek perlahan.
Jelas terpancar riak kerisauan pada wajah tuanya.
“Aduh! Sakit, ma... Perlahanlah sikit. Macam nak
tercabut rasanya lutut Una ni...” Husna merengek manja.
Makin mengada-ada! Lengan mamanya dipaut erat sambil
kepalanya dilentok ke bahu Puan Serina.
“Biarkan! Budak degil memang macam ni. Berapa
kali dah mama pesan, jangan suka sangat merayau sorang
diri dekat lorong-lorong macam tu! Tapi degil sangat!” Puan
Serina sambung berleter. Kalau ikutkan hati ni, memang dia
tak nak berhenti membebel. Biar naik bernanah telinga anak
perempuan tunggalnya itu. Siapa suruh degil sangat.
“Mama ni... Una dahlah sakit. Lepas tu membebel tak
henti-henti. Dah takdir nak jadi macam ni, ma. Apa kita boleh
buat?” Husna mencebik.
“Hah, salahkan takdir! Tak habis-habis nak salahkan
takdir. Kalau baby tak cari penyakit pergi dekat lorong tu,
tak adalah jadi macam ni!” geram Puan Serina. Cakap sikit
menjawab. Cakap banyak, menjawab-jawab!
“Una cuma kesian dekat kucing-kucing tu. Mama
bayangkan... Nomi dekat rumah ni makan sedap. Tidur atas
tilam empuk. Tapi kucing-kucing gelandangan tu... kesian
diaorang mama. Nak jumpa tulang ikan pun susah. Lapar...”
“Hmm... dah mulalah tu!” Giliran Puan Serina pula
cebik bibir. Dia bukan tak sukakan kucing. Tapi kalau Husna
angkut kucing-kucing tu dekat rumah ni, siapa yang nak
uruskan. Setakat Nomi seekor, rajinlah lagi si Husna tu nak
melayan. Cuba kalau dah banyak.
Husna tergelak halus. Saja dia mahu menyakat Puan
Serina. Dia tahu sangat perangai Puan Serina yang mudah
jatuh simpati tu. Tak kira dekat manusia ataupun haiwan.
“Apa yang kecoh sampai ke atas ni?” Hazim yang
muncul di anak tangga menyapa. Dia nampak sudah kemas
dengan T-Shirt Polo kuning berkolar hitam dan berseluar
jean potongan tiga suku. Nampak kacak biarpun simple!
“Abanggg... sini, tengok lutut Una,” Sebaik saja
terpandangkan Hazim yang menapak kemas ke arah mereka,
Husna terus merengek manja.
“Hmm... dah mulalah tu, mengada-ada!” marah Puan
Serina. Kadangkala naik meluat juga dia dengan perangai
anak perempuan tunggalnya itu. Mengada-ada tahap dewa.
Lebih-lebih lagi kalau dengan Hazim. Kalau orang tidak tahu
mereka adik-beradik, mesti ada yang muntah hijau melihat
tahap gedik anak perempuannya itu.
“Kenapa dengan lutut tu baby?” Laju saja Hazim
meluru mendapatkan Husna. Tidak sampai 2 saat, dia sudah
melutut ke lantai dan membelek luka adiknya bersungguh.
“Jatuh dekat lorong tadi. Ada dua orang mat gian
kejar Una.”
“Ya Allah! Habis tu baby diapa-apakan tak? Siapa
yang rawat luka ni?” Hazim sudah melabuhkan duduknya
di sebelah kiri Husna. Diri adik kesayangannya disorot
bersungguh. Mencari kalau-kalau ada lagi kesan luka di
mana-mana.
“Tak sempat. Ada hero Malaya yang datang
selamatkan Una. Tepat pada masanya.” Senyuman sudah
menguntum lebar di bibir Husna. Saat itu, wajah kacak Wazif
mula terbayang di ruang mata. Dan-dan itu juga, terasa ada
debaran di dadanya. Spontan tangannya naik mendarat di
situ. Bahang panas juga mula terasa menyapa muka. Hangat!
‘Oiittt, Husna! Kau ni dah kenapa?’ Hatinya terus
berperang sendiri.
“Baby, hero mana ni? Kenapa pipi baby blushing
ni?” Hazim sentuh pipi adiknya yang mula berubah rona.
“Haah... hero mana ni?” Tubuh Puan Serina sudah
tegap menghadap Husna. Nampak seolah-olah dia berminat
juga hendak tahu.
“Hero? Hero apa ni?” Husna tayang muka blur.
Habislah! Macam manalah dia boleh terlepas cakap tadi.
Sepatutnya dia kena cakap, dia yang selamatkan dirinya
sendiri.
“Baby?” Hazim mula tegas. Wajah adik perempuan
kesayangannya itu disorot dalam.
“Okey. Una tak tahu. Una tak kenal dia. Nama dia...
Eh, apa nama dia tadi ek?” Husna garu kepala. Kali ini dia
memang tidak main-main. Dia memang terlupa nama lelaki
itu siapa. Yang dia ingat wajah kacak lelaki itu dan pekerjaan
lelaki itu sebagai doktor veterinar.
“Baby nak main-main lagi? Dia ada buat apa-apa
dekat baby tak? Kenapa muka blushing tiba-tiba ni?” Giliran
Puan Serina pula yang menghamburkan tanya. Riak wajahnya
nampak serius saja.
“Tak! Sumpah, Una lupa nama dia. Isy, mama ni...
dia baiklah. Dia doktor macam abang jugak. Tapi doktor
haiwanlah. Klinik dia kebetulan berada dekat belakang lorong
tu aje. Sebab itulah dia datang selamatkan Una tadi. Kalau dia
tak datang, tak tahulah apa akan jadi.”
“Habis tu, kenapa muka baby blushing ni?” Hazim
belum berpuas hati. Lain macam sangat dia tengok adik
perempuan dia ni.
“Abang... muka Una blushing sebab dia tegur cara
Una berpakaian. Malulah Una bila ingat semua tu. Kenal pun
tidak, alih-alih kena tegur macam tu.”
“Itu aje?” Hazim sudah menghamburkan tawa. “Dia
punya blushing macam kena cium!” giat Hazim lagi.
“Abanggg...” Husna mencubit halus lengan Hazim.
Geram. Tak habis-habis mahu kenakan dia.
“Aduh, sakitlah baby!”
“Padan muka! Suka sangat kenakan orang.”
Muncung Husna sudah panjang sedepa.
“Ooo... main kasar ek! Abang ketuk lutut tu nanti,”
tangan Hazim sudah mengacah mahu mengetuk lutut Husna
yang berbalut kemas itu.
“Mama, tengok abang ni. Lutut orang dahlah sakit!”
Spontan tangan Husna memeluk lengan Puan Serina.
Tawa Hazim sudah bergema. “Tahu pun takut!”
“Mana ada takut! Una seram aje. Abang ni bukan nak
tengok luka orang. Nak pedajalkan lagi adalah. Macam ini ke
sayang adik?”
“Padanlah dengan muka baby tu. Degil tak
bertempat!”
“Mamaaa...” Husna terus-terusan merengek.
“Hesy, rimaslah mama. Tepilah, mama nak pergi
hidangkan makan tengah hari ni. Layan kamu berdua
bertengkar, sampai besok pun tak habis!” Pantas Puan Serina
bingkas bangun. Laju juga Husna menyambar lengannya
membuatkan dia terduduk semula.
“Mama, jangan lupa air oren tau!” Mata dikenyitkan
kepada mamanya. Senyuman sengaja dileretkan.
“Allah, budak ni... Itu aje nak cakap? Eee... hempuk
karang!” Puan Serina angkat tangan konon-kononnya mahu
memukul Husna. Matanya sengaja dibulatkan. Geram!
“Abanggg... tolong baby.” Laju saja tangannya
memeluk tubuh Hazim. Mukanya sengaja disembamkan ke
dada Hazim. Mahu menyorok dari mamanya. Tergelak besar
Hazim dengan gelagat Husna.
Bibir Puan Serina pula sudah menahan senyum.
Semakin dilayan perangai anak perempuan tunggalnya ini,
semakin sakit pula rasa dada. Ada-ada saja perangainya yang
memeningkan kepala.
“Tahu takut!” tebak Puan Serina lalu bangkit berdiri
semula. Langkah terus diatur ke dapur untuk siapkan
hidangan makanan tengah hari.
“Gila tak takut! Mama tu lagi garang dari singa
jantan tau,” Husna sudah mengekek ketawa.
“Baby, tak baik buat mama macam tu. Dahlah.
Abang nak pergi tolong mama ni. Baby tunggu aje dekat sini.
Bila semua dah siap nanti, abang datang balik.”
“Abang dukung tau! Lutut Una sakit ni. Tak boleh
nak jalan.” Husna bersuara perlahan. Keningnya sengaja
diteduhkan. Bibir pula sudah mencebik lebar. Sengaja dia
buat muka seposen macam tu untuk minta simpati daripada
abangnya.
Sekali lagi tawa Hazim pecah. Adik perempuan dia ni
memang ratu drama sungguh!
“Mulut sakit tak?”
“Tak!” Laju Husna menggeleng.
“Nasib baik. Kalau tidak, abang pulak yang kena
tolong kunyah makanan untuk baby nanti,” sinis Hazim
sambil tergelak kecil. Saja dia mahu mengusik Husna. Kalau
dah manja tu, sampai ke tua pun macam itulah juga!
“Abanggg...” Husna baling bantal sofa ke arah Hazim.
Cepat-cepat Hazim mengelak dan berlari ke dapur.
“Bluuweekkk... tak kena...” Sempat lagi dia jelirkan
lidahnya kepada Husna.
“Eee... jaga abang! Nanti kena dengan Una tau!
Geramnya!” Husna menjerit lantang. Bibirnya diketap kuat
tanda tidak puas hati. Dari ruang tamu dia boleh dengar suara
Hazim ketawakan dia di dapur.
Perlahan bibirnya mengukir senyum. Dia sayangkan
Hazim. Sayang sangat-sangat. Walaupun abang dia tu kaki
menyakat, dia langsung tidak ambil hati. Mereka cuma 2
beradik. Dan pesan mamanya agar mereka saling menyayangi
dan melindungi antara satu sama lain akan terus terpahat di
hatinya.
Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan.
Tubuh disandar rapat pada sofa sambil mata dipejam rapat.
Fikirannya terus melayang jauh, teringatkan peristiwa pagi
tadi. ‘Siapa nama lelaki tadi, ya? Macam manalah aku boleh
lupa ni?’ Hati Husna terus bercakap sendiri.
Memang dia betul-betul terlupa nama lelaki tadi.
Tetapi wajah kacak itu, tidak pula mahu lenyap daripada
ingatannya. Semenjak pertama kali mereka bertemu lagi,
wajah itu seakan terus melekat dalam ingatannya. Pelik!
“Hmm... apa nama dia tadi, ek? Hmm...” Husna
memicit-micit kepalanya. Otaknya dipaksa bekerja keras
untuk mengingati nama lelaki yang telah menolongnya tadi.
“Hah... Wazif!” Akhirnya dia terjerit kecil.
UHUK! UHUUUKK!
Wazif yang sedang ralit mengunyah nasi tiba-tiba
saja tersedak. Pinggan nasi ditolak ke hadapan. Gelas berisi
air putih yang berada di sisinya itu digapai laju lalu diteguk
sehingga licin. Sekarang, barulah dia berasa lega. Mata yang
berair akibat tersedak dengan kuat tadi ditenyeh dengan
hujung jari. ‘Adoi! Siapa pula yang sebut nama aku ni?’ Hati
kecilnya berdesis sendiri.
“Angah, kenapa ni? Makan masakan sendiri pun
boleh tersedak ke? Angah baca bismillah tak tadi?” Terhenti
terus suapan Wahida melihat angahnya terbongkok-bongkok
batuk.
“Ehemm... bacalah adik. Dah nak tersedak, nak buat
macam mana.”
“Agaknya awek angah yang sebut tak?”
“Hesy, awek mana? Mengarut tak habis adik ni.”
Pinggan nasi ditarik semula. Tanpa pedulikan renungan
adiknya, dia menyuap semula nasi ke mulut.
“Angah.” Suapan Wazif terhenti semula. Kepala
dipanggung memandang wajah adiknya.
“Dahi tu kenapa? Bergaduh?” Mata Wahida tepat
menyorot pada kening Wazif yang bertampal plaster. Macam
mana dia baru perasan tentang itu. Padahal dari tadi lagi
mereka duduk makan tengah hari bersama di meja makan.
Tangan kiri Wazif naik menyentuh keningnya yang
sudah bertampal plaster. Sesaat itu juga senyuman nipis
sudah tersungging di bibirnya.
“Tadi masa angah nak bagi makan kucing-kucing
dekat klinik tu, angah terlanggar sangkar. Itu yang luka
sikit. Tak ada apalah. Jangan risau,” bohong Wazif. Gila nak
ceritakan hal yang sebenar kepada Wahida. Mahunya nanti
dia kena usik sampai lebam muka!
“Betul ke ni, angah? Selama ni, angah tak pernah
cuai pun?” Wahida kecilkan matanya. Hati rasa macam tak
percaya saja dengan cerita angahnya itu.
“Betullah! Buat apa angah nak tipu. Dah, makan
cepat. Lepas makan jangan lupa kemaskan semua ni. Angah
dah masak, tugas adik pula untuk kemaskan semua ni.”
“Tahu,” Wahida tarik muncung. Memang macam
itulah selalunya. Jarang sangat dia bersilat di dapur. Kalau
bab memasak ni, angahnya memang lagi terror daripada dia.
Selalunya tugas dia hanyalah memotong bawang ataupun
menyediakan bahan-bahan yang hendak dimasak. Tukang
masak tentulah angahnya, Wazif.
Cuma kalau angahnya terlalu sibuk, dialah yang
ambil alih tugas memasak. Setiap kali itu jugalah Wazif akan
menjadi juri masakan. Mengomel itu dan ini...
“Angah...” Sekali kali dia memanggil. Kali ini sebuah
senyuman sudah tersungging di bibirnya.
“Ada apa dik?”
“Hmm... adik ingat nak balik kampunglah. Dah lama
sangat rasanya tak balik. Last adik balik, bulan lepas. Rindu
sangat dengan abah dan umi. Jom kita balik sama-sama nak?”
Air muka Wazif terus berubah keruh. Liur di
kerongkong tertelan sendiri. ‘Balik kampung?’ Hatinya mula
gelisah.
“Kenapa diam angah? Tak nak ke?”
“Angah sibuklah, adik. Dekat klinik tu ada banyak
kerja lagi. 2 minggu lagi, angah nak kena pergi kursus pula.”
“Hmm... bukan angah sengaja cari alasan ke?
Bukan lama sangat nak balik kampung tu. Adik tahu, angah
mengelak nak balik kampung sebab takut terserempak
dengan Kak Zulaikha, kan?” tebak Wahida.
Wazif tersentap. Mati terus selera makannya. Segala
apa yang ditelan olehnya terasa berpasir saja. Tanpa menjawab
pertanyaan adiknya tadi, dia terus angkat punggung dan
membawa pinggan yang masih berbaki ke singki. Sepatah
pun tidak bersuara!
“Angah, benda dah lepas. Buat apa angah nak kenang
lagi? Anggap ajelah antara angah dengan Kak Ika tu tak ada
jodoh. Kesian dekat umi. Dia rindu sangat dengan angah.
Semenjak Kak Ika kahwin ni, rasanya belum sekali pun
angah balik kampung. Kesian dekat umi dengan abah, angah.
Tambah kesian dengan nenek tu. Dia rindu sangat dengan
angah.” Wahida terus memuntahkan kata. Biarlah angahnya
tidak menjawab. Sekurangnya, dia mendengar. Dah nak dekat
setahun kut!
“Hmm... jangan lupa kemas semua tu. Angah masuk
bilik dulu. Nak solat dan rehat!” Kaki terus dibawa melangkah
tanpa menghiraukan renungan mata adiknya, Wahida. Biarlah
semuanya berlalu dengan senyap. Rasanya tak ada guna lagi
dia hendak berbahas dengan Wahida. Memang semuanya
sudah jelas di mata adiknya.
Wahida jatuh bahu. Sebuah keluhan kecil
dilepaskan saat melihat bayang Wazif sudah menghilang dari
pandangannya.
‘Maafkan adik, angah. Adik tak ada niat nak sakitkan
hati angah. Adik cuma nak angah move on!’ Hati Wahida
kesal sendiri.
No comments:
Post a Comment