DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 23 October 2017

Supergirl - Bab 1








“AINA, please...” rayu Usop. Mendayu-dayu
suaranya mengharapkan pengertian Aina. Hanya gadis itu
saja harapannya. Jika Aina tak sudi membantu, kepada siapa
lagi dia harus meminta pertolongan?
Aina mendengus. Tidak kuasa melayan permintaan
gila Usop. Usop bukannya boleh diberi muka sangat. Semakin
diturut kemahuannya, semakin naik pula susu lemak tepu
berkrimnya itu. Aina cukup kenal perangai Usop. Bapa
saudaranya itu memang selalu saja menyusahkan.
“Aina... please! Help me...” Usop speaking London.
Manalah tahu kalau-kalau hati Aina cair.
Rasa meluat Aina makin menjadi-jadi. Seperti
hendak diluku-lukunya kepala Usop. Speaking London
konon! Bahasa Inggeris pun failed, ada hati nak cakap orang
putih bagai. Dah buang tabiat agaknya.
“Kalau Aina tak tolong pak su, siapa lagi nak tolong?
Cuma Aina harapan pak su. Kalau tak... tamatlah riwayat pak
su kali ni. Aina tak kesiankan pak su ke? Dah tak sayang pak
su?”
Dijulingkan biji matanya ke atas. Terherot-berot
bibir Aina mengajuk percakapan Usop. Sendiri cari masalah,
sendirilah selesaikan! Buat apa nak libatkan dia pula? Dulu
diberi nasihat, tak nak dengar. Kali ni tanggunglah masalah
itu seorang diri. Siapa suruh gatal sangat pinjam duit dengan
along?
“Tiger dah bagi amaran kat pak su. Kalau pak su tak
dapat jelaskan hutang piutang pak su dalam masa seminggu
ni, kepala pak su jadi habuan harimau peliharaan dia tu.
Tolonglah Aina... pak su tak nak jadi makanan harimau,”
rayu Usop lagi. Terkenangkan amaran Tiger kepadanya dua
hari lalu, dunia Usop seakan kelam. Tidur malamnya juga tak
pernah lena. Asyik diganggu mimpi ngeri saja. Tidak sanggup
dia membiarkan dirinya menjadi bahan makanan sang
harimau. Oh... tolong! Usop benar-benar dalam ketakutan.
Digoncang-goncangnya tangan Aina menarik
perhatian gadis itu. Boleh pula dibuat tak layan kala bapa
saudaranya yang handsome ini dilanda kesusahan.
“Eiii... pak su ni, rimas tau!” jerkah Aina. Naik rimas
mendengar pujuk rayu Usop sedari tadi.
Hampir saja Usop terjelepok jatuh dari tempat
duduknya mendengarkan jerkahan itu. Mak oi... garangnya
amat menakutkan! Kalau selama ini Aina cukup terkenal
dengan kecomelannya, namun kali ini Aina bertukar menjadi
hantu Korea bernama Ju-On. Nasib baik jantung Usop masih
berada dalam kategori sihat. Jika tidak, tentu sudah ‘gol’ dia
mendengar jerkahan sekuat petir anak saudaranya itu.
“Kus semangat! Terkejut pak su.” Tangan ditekap ke
dada.
Aina lepas jelingan. Bukan jeling sembarangan
jeling, tapi jelingan maut yang bisa membuatkan segala urat
sendi Usop menjadi lemah.
Takutnya... Usop buat aksi menggigit tangan sendiri.
“Kalau tak nak jadi makanan harimau, yang pak
su gatal sangat pergi berhutang dengan si Tiger tu apasal?”
bentak Aina. Hatinya benar-benar mendidih dengan Usop.
Siapa tidak kenal Tiger di kawasan mereka ini? Samseng yang
cukup digeruni.
Bukan Aina tak pernah menasihati Usop. Sudah
berbuih mulutnya memberi nasihat. Tapi Usop tetap degil.
Tetap mahu meminjam dengan Tiger, si lintah darat itu. Nak
tunjuk dekat Melly yang dia banyak duit. Tapi kesudahannya,
Melly pilih lelaki tua kerepot sebagai suami. Tua nak mampus
takpe... asalkan duit dalam bank berkepuk-kepuk. Nak
harapkan Usop yang pokai itu, Melly tak layan lama pun. Habis
saja duit Usop dijolinya, dia terus cabut lari. Tinggallah Usop
terkontang-kanting dengan hutang piutang mengelilingi
pinggang yang kurus melidi. Itu yang buat Aina sakit hati.
Rasa nak seligi!
“Pak su tahu tak, Aina geram sangat dengan pak
su. Disebabkan perempuan pisau cukur Gillette tu, pak su
sanggup berhutang. Sekarang pak su tengoklah... ada pisau
cukur Gillette tu pedulikan pak su? Takde, kan?” tempelak
Aina. Dengan Usop ini, lebih baik ditempelak saja. Baru terbit
keinsafan dalam hati gersangnya itu.
Usop tunduk. Ada benarnya kata-kata Aina. Kerana
tergila-gilakan Melly, dia sanggup berhutang. Fikirnya Melly
juga mencintainya seikhlas hati. Tak sangka cinta Melly palsu
dan berbau busuk seperti bunga tahi ayam. Tak hairanlah
kalau Aina panggil Melly pisau cukur Gillette. Melly memang
kaki kikis. Menyesal menangis air mata darah pun dah tak
guna. Benda dah jadi. Nak tak nak, dia kena reda. Kena
tanggung akibat daripada kebodohannya sendiri.
“Memang pak su tahu pak su bersalah. Pak su tak
patut ikut sangat cakap si Melly tu.”
“Dah terlambat!”
“Aina, tolonglah pak su. Pak su takde sesiapa lagi nak
diharapkan. Cuma Aina seorang aje. Please...”
Ingatkan Usop sudah berhenti merayu. Rupanya
tidak. Aina juling mata ke atas.
“Please Aina... pak su bukan pinjam banyak pun. 5
ribu aje.”
Mahu tersembul keluar biji mata Aina mendengar
jumlah yang disebut. Melopong luas mulutnya. Nasib baik
tiada lalat yang datang menyinggah. Jika tidak, tak pasal dia
keracunan tertelan lalat.
“Pak su ni dah hilang akal ke? 5 ribu ringgit tu pak
su kata tak banyak? Pak su, jangankan 5 ribu ringgit, 5 ringgit
pun susah nak cari tau! Tambah-tambah zaman sekarang ni.
Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu, mana Aina nak
cekau duit sebanyak tu?” Aina menggumam. Tanpa sedar dia
meluku kepala Usop. Bagi elok sikit wayar-wayar dalam kepala
otak pak sunya itu. Manalah tahu ada wayar yang tersilap
sambung. Boleh pula dengan bersahaja dia kata 5 ribu ringgit
aje. Aje, tau!
“Adoi! Sakitlah Aina.” Usop menggosok kepalanya.
Boleh tahan juga penangan anak saudaranya ini.
“Tahu sakit! Yang pak su cakap tak fikir dulu tu
apasal? Apa pak su ingat, anak sedara pak su ni cop duit ke,
sampaikan 5 ribu ringgit tu senang-senang aje nak dapat?”
Sekali lagi satu jelingan dihadiahkan. Huish! Ikut hati, dia
nak cekik leher Usop.
“Errr... Aina... pinjamlah duit dengan bos Aina.”
Kecil mata Aina memandang Usop. Suka hati saja
Usop. Apa Usop ingat, dia ini muka tembok? Tak tahu malu?
Huh, Usop ni memang menyebalkan! Ya Allah... kenapalah dia
ada pak cik berperangai buruk? Sakit hati betul dia dibuatnya.
“Amacam? Boleh tak Aina?” Usop bersuara lagi.
“Tak nak!”
“Aina malu ek? Kalau malu, apa kata pak su yang
wakilkan? Amacam?” Kening Usop menari ronggeng. Dia
merasakan ideanya ini cukup bernas. Bos Aina yang perutnya
serupa perempuan hamil 8 bulan itu pasti tidak menolak.
Usop tahu, lelaki buncit itu sukakan anak saudaranya ini.
“Pak su jangan nak mengada-ada! Jangan
pandai-pandai nak libatkan bos Aina.” Aina beri amaran.
“Tapi apa salahnya? Pak su tengok, bos Aina tu ada
hati kat Aina. Kalau Aina pinjam duit dengan dia, pak su
yakin dia takkan keberatan nak bagi. Lagipun, inilah masanya
untuk Aina ambil peluang keemasan yang ada. Bos Aina tu
okey apa. Tak salah rasanya kalau Aina jadi bini nombor 3.
Cuma dia tu kurang handsome dan boroi aje.”
Sakit hati Aina tak terperi. Daripada cara Usop
bercakap, nampak sangat macam hendak jual dia kepada
bosnya yang serupa badak sumbu itu. Usop benar-benar
sudah melampau!
“Pak su, cakap baik-baik sikit ya. Pak su ingat Aina ni
bahan dagangan ke?”
Usop menggeleng-gelengkan kepala.
“Pak su cuma bagi cadangan aje. Dah kebetulan ada
orang kaya sukakan Aina. Apa salahnya Aina terima? Boleh
hidup senang. Tak payahlah Aina jadi pelayan lagi dekat kelab
malam tu.”
Merah padam muka Aina. Semakin lama dia
duduk di sini, semakin menipis rasa sabarnya. Sebelum dia
naik gila; pancung kepala Usop, lebih baik dia berlalu. Tak
guna bercakap dengan Usop. Buat sakit otak saja. Nanti tak
pasal-pasal, dia diserang strok kerana terlampau marah.
Darah naik atas kepala.
“Eh... Aina nak ke mana tu? Pak su belum habis
cakap lagi ni!” ujar Usop sebaik sahaja melihat Aina bangun
dan melangkah ke muka pintu utama.
“Aina tak nak cakap dengan pak su.”
“Habis tu, hutang pak su macam mana?”
“Mana Aina tahu! Pak su cari masalah, pak su
selesaikanlah sendiri. Jangan nak libatkan Aina.”
“Tapi...”
Dum!!!!
Belum sempat Usop meneruskan kata, Aina sudah
menghempas pintu dengan kuat. Marah benar dia dengan
Usop. Bertambah marah apabila Usop cuba memadankannya
dengan Encik Mail Bujang yang gatal hendak mampus itu.
Mendengar bunyi pintu yang berdentum kuat, Usop
pejam mata. Hampir gugur jantungnya. Aina ini pun satu,
kalau marah sekalipun, janganlah main hempas-hempas
pintu. Tercabut pintu tu nanti, macam mana? Senang-senang
saja Tiger dengan konco-konconya menerjah masuk.
Mengenangkan Tiger, air liur Usop seakan tersekat
di tengah-tengah kerongkong. Lehernya dipegang. Ngilu!
Terasa pedang samurai Tiger berada di lehernya ketika ini.
Oh... tidak! Dia tidak boleh berlengah. Dia harus memujuk
Aina sehingga anak saudaranya itu sudi meminjamkan duit
kepadanya. Jika tidak, tamatlah riwayatnya menjadi makanan
harimau belaan Tiger.

No comments:

Post a Comment