DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 23 October 2017

Supergirl - Bab 5

“USOP!!!”
Suara lantang itu membuatkan Usop berpaling.
Matanya membuntang. Terkejut melihat kelibat Tiger
bersama konco-konconya di situ. Tanpa menunggu lama,
pantas saja dia cabut lari.
Kerjanya yang masih belum selesai langsung tidak
dihiraukan. Apa yang penting, dia perlu menyelamatkan diri
sebelum Tiger dan konco-konconya berjaya menangkapnya.
Dia tidak mahu menjadi ‘makanan’ lelaki bertatu di seluruh
badannya itu. Ngeri!
Akibat diburu rasa takut yang menggila, kaki Usop
tersadung lalu dia jatuh tergolek ke tanah.
“Mana lu nak lari hah?” Tiger mencengkam kolar
baju Usop. Lelaki itu dipaksa bangun untuk berhadapan
dengannya.
“Ampun Tiger, ampun! Aku bukannya nak lari. Aku
cuma nak exercise aje,” selamba Usop menjawab.
“Banyaklah lu punya exercise! Ingat gua percaya
meh?” Tiger bersuara garang. Bergerak-gerak rahangnya
menahan marah. Geram dengan tingkah Usop yang sering
mengelak apabila dia mengarahkan orang-orangnya datang
menuntut hutang. Usop memang sengaja cari nahas!
“Betul Tiger. Aku tak...”
Dush!!!
Belum sempat Usop menjawab, satu tumbukan padu
mendarat ke perutnya. Perutnya terasa senak. Tuhan saja
yang tahu betapa sakit dia rasakan ketika ini. Rasa seperti
hendak terkeluar segala isi perutnya akibat penangan Tiger
itu.
“Hei, Sop! Lu jangan main-main sama gua hah. Lu
tak takut gua potong kepala lu meh?”
Gulp! Usop telan liur. Laju dia mengangguk. Siapalah
yang tidak takut andai kepalanya dipenggal? Dia tidak rela!
Nak mati sekalipun, biarlah lengkap anggota badannya. Dia
tidak mahu mati tanpa kepala.
“Hah, tahu takut! Good! Good!” Tiger
menampar-nampar pipi Usop melepaskan geram.
Usop sekadar merelakan pipinya menjadi mangsa
tamparan-tamparan manja Tiger. Hendak melawan,
kudratnya tiada. Tiger dan konco-konconya semua berbadan
tegap. Ketul-ketul.
“So... bila lu mahu bayar gua punya hutang?”
sambung Tiger lagi.
“Errr... bagi aku masa Tiger. Aku tengah berusaha
kumpul duit sekarang ni.” Takut-takut Usop bersuara.
“Ya meh? Berapa banyak lu sudah kumpul?” Kening
Tiger menari ronggeng.
Usop menaikkan 5 batang jarinya serentak.
“5 ribu?”
Usop geleng. “Errr... 50 ringgit, Tiger.”
Dush!!! Sekali lagi penumbuk Tiger melayang. Kali
ini ke pipi sebelah kiri Usop pula. Mengerang kesakitan Usop
akibat penumbuk itu.
“Lu jangan main-main, Sop! Gua bagi lu masa
sampai hujung bulan ni. Kalau lu tak bayar hutang gua
dengan bunga-bunganya sekali, nahas lu gua kerjakan. Gua
takkan teragak-agak penggal kepala lu bagi harimau gua
makan. Harimau gua dah lama lapar kepala manusia.” Usai
menyudahkan kata-katanya, Tiger menolak kasar tubuh Usop
hingga terdorong ke belakang.
“Aku janji akan bayar,” janji Usop.
“Gua pegang cakap lu. Tapi kalau sampai masanya
lu tak bayar, siaplah lu. Gua takkan teragak-agak. Ingat Sop,
lu jangan main-main sama gua. Lu tau kan siapa gua. Gua
Tiger! Sekali gua mengaum, seluruh keturunan lu takkan
hidup senang!”
Semakin takut Usop mendengar ugutan Tiger. Rasa
hendak terkencing dalam seluar. Ugutan Tiger bukannya boleh
dipandang enteng. Tiger benar-benar memaksudkannya.
Melihat Tiger yang sudah berlalu pergi bersama
konco-konconya, Usop menarik nafas lega. Mampuslah
dia kali ini. Dia sudah tidak punya jalan lagi. Dia perlu
mendapatkan pertolongan Aina. Hanya anak saudaranya itu
dapat menyelesaikan masalah hutang piutangnya. Walau
dengan apa cara sekalipun, dia kena dapatkan duit untuk
membayar segala duit Tiger. Atau... kepalanya menjadi
habuan sang harimau.

KECIL MATA Aina melihat kelibat seseorang yang amat
dikenali berjalan mundar-mandir di luar pintu kelab malam
itu. Itu Usop, bapa saudaranya. Apalah yang dibuat lelaki itu
di sini? Pantas saja Aina mengatur langkah menghampiri
bapa saudaranya itu. Hati yang rawan ditolak ke tepi.
Matanya membuntang kala melihat Usop dari jarak
dekat. Terkejut melihat pipi Usop yang lebam kebiru-biruan.
“Kenapa dengan pak su ni? Pak su gaduh ya?” soal
Aina.
Usop yang baru menyedari kehadiran Aina berpaling.
“Bukanlah...” Usop bersuara lemah.
“Habis tu, yang lebam-lebam ni apasal?” Aina
memeriksa pipi Usop, kiri dan kanan.
“Auch, sakitlah!” Usop mengadu.
Tangan Aina yang mendarat di pipinya ditepis.
Sudahlah pipinya terasa sakit di situ. Aina pula sesuka hati
membelek pipinya dengan kasar. Saja nak bagi dia rasa sakit
dua kali ganda.
“Pak su kena pukul dengan Tiger and the gang,”
beritahu Usop.
“Apa???” Hampir nak terkeluar anak tekaknya
menjerit. Terkejut. Hari ini banyak sangat perkara yang
hampir membuatkannya terkena serangan jantung.
“Diaorang tagih hutang, tapi pak su takde duit nak
bayar. Pasal tu diaorang pukul pak su.”
Aina mendengus. Sakit hati mendengar berita itu.
“Habis tu, pak su tak balas balik ke?”
Geleng.
“Diaorang kuatlah Aina. Badan semua ketul-ketul
macam ahli bina badan. Pak su mana mampu lawan diaorang
semua. Kalau seorang dua tu, bolehlah. Ini satu batalion.”
Aina mencebik. Ada saja jawapan pak sunya.
Macamlah dia percaya sangat apa yang dimomokkan lelaki
itu. Satu batalion konon. Poodah!!! Namun melihat lebam
pada pipi Usop, hatinya dipagut simpati.
“Dahlah, mari Aina bawa pak su ke klinik depan tu,”
ajak Aina.
Sayang juga Aina kepadanya. Hati Usop menguntum
bahagia. Walaupun pada luarannya Aina nampak kasar,
tetapi dia tahu hati budi anak saudaranya itu. Hatinya penuh
dengan kasih sayang. Aina tidak sampai hati membiarkan dia
kesakitan. Pantas dia mengatur langkah mengekori langkah
Aina.
Setelah selesai urusan di kaunter pendaftaran, Aina
mengambil tempat duduk di sebelah Usop. Wajahnya muram.
“Aina... tolong pak su, boleh tak? Pak su harap sangat
Aina dapat pinjamkan duit pada pak su. Kalau pak su tak bayar
hutang Tiger minggu ni, mampuslah pak su. Pak su takde
anak sedara lain lagi nak diharapkan. Cuma Aina sorang.”
Aina mengeluh. Usop tak habis-habis dengan
masalah hutang piutangnya. Sedangkan dia baru saja dibuang
kerja. Dari mana dia hendak mencari duit untuk membantu
pak sunya itu dan meneruskan rawatan perubatan ibunya?
Aina buntu. Hendak diluah kepada pak sunya, lelaki
itu bukannya faham kesusahan yang dialami. Asyik sibuk
minta duit. Macamlah dia ini bank bergerak. Kalau ada duit
simpanan pun, itu semua untuk perbelanjaan kos perubatan
ibunya.
Mendengar keluhan Aina, Usop menunduk.
“Takpelah kalau Aina tak dapat tolong pak su. Nanti
pak su ikhtiar cari duit sendiri. Tapi... kalau ditakdirkan pak
su mati... pak su harap, Aina dapat selesaikan masalah hutang
pak su, ya?”
Aina mendecit.
“Pak su boleh tak jangan cakap macam tu? Bagi Aina
masa. Nanti Aina cuba cari jalan macam mana nak cari duit
tolong pak su.”
Bibir Usop mengorak senyuman. Lega hatinya
apabila Aina sudi membantu. Aina memang anak saudara
yang baik. Dia tahu Aina takkan menghampakannya.
“Terima kasih, Aina. Pak su janji, lepas ni pak su
takkan berhutang lagi dengan Tiger. Duit Aina tu, pak su akan
bayar bulan-bulan.”
Diam. Malas Aina hendak menjawab. Berharap? Oh...
tidak sama sekali! Dia cukup kenal perangai pak sunya. Bicara
lelaki itu hanya manis di bibir. Sedangkan duit yang pernah
dipinjam lelaki itu sebelum ini pun tidak pernah dibayar.
Apatah lagi kali ini. Dia sudah malas mahu melayan janji-janji
palsu pak sunya itu.
Biarlah. Aina halalkan segala hutang piutang Usop
itu. Walau apa pun yang terjadi, lelaki itu tetap mempunyai
hubungan darah dengannya. Air yang dicencang takkan
putus.

No comments:

Post a Comment