DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 6

USAI solat isyak Dian terus membaringkan
dirinya atas katil. Tiada niat mahu turun ke bawah. Lagipun
bukan ada sesiapa kecuali dia dan Kak Ziana saja. Ibunya
masih di Vila Paduka. Selepas siap menyediakan makan
malam, barulah ibu akan pulang ke rumah.
Dia pula pulang selepas maghrib dan tiada niat mahu
ke vila itu lagi. Dia mahu berehat. Loceng yang berbunyi
menyebabkan mata Dian yang hampir tertutup kembali
terbuka. Tiada niat mahu membuka pintu, dia kembali
menutup mata. Biar Kak Ziana saja yang buka pintu.
Tapi bunyi loceng yang berterusan menyebabkan
Dian terus bangun. Mesti ibunya lupa bawa kunci rumah.
Dengan malas dia turun ke bawah. Bulat matanya apabila
melihat insan yang sedang berdiri di muka pintu. Sangkaannya
melesat sama sekali.
“Kau nak apa datang sini? Ni bukan rumah kau.”
Ujar Dian kasar. Ni mesti datang nak cari gaduh. Dalam sehari
sudah beberapa kali dia melihat wajah Adrian.
“Kau ni memang jenis yang suka cari pasal kan?”
Ditatap tajam gadis di depan matanya. Boleh lagi berlagak
selamba, siap main pintal-pintal rambut.
“Cakap tu baik-baik sikit.” Dian menutup pintu
rumah lalu melangkah keluar. Dia tidak mahu Kak Ziana
dengar apa yang terjadi. Nanti tak pasal-pasal kakaknya lapor
pada ibu.
“Apasal kau calarkan kereta aku?” soal Adrian tegas.
Dian menjulingkan matanya ke atas seolah-olah
langsung tidak terkejut. “Tak baik main tuduh sembarangan.
Kau nampak ke aku calarkan kereta kau?”
Adrian ketawa sinis lalu menepuk tangannya. Masih
tidak mahu mengaku salah sendiri. Inilah jenis manusia yang
dikategorikan lempar batu sembunyi tangan. “Kau jangan
ingat semua orang bodoh macam kau.”
“Kau cakap aku bodoh?”
“Kau ni sakit apa sebenarnya? Kau memang jenis
suka cari masalah. Dulu kau tumbuk aku, kemudian kau
gigit aku, sekarang kau calarkan kereta aku. Kau memang
manusia yang tak takut apa-apa. Kalau nak balas dendam
pun agak-agaklah.” Luah Adrian tidak puas hati. Bukan main
terkejut dia sebentar tadi apabila melihat keadaan keretanya.
“Aku tak calarkan kereta kaulah mangkuk.” Dian
masih tidak mahu mengaku. Dia tahu Adrian tidak punyai
apa-apa bukti untuk menuduhnya. “Kalau aku yang calarkan
mana buktinya?” ujarnya berani. Dia yakin masa itu tiada
siapa-siapa yang nampak akan kelakuannya.
“Ni...” Adrian menghulurkan sekeping CD
yang diletakkan di dalam plastik putih. Dia tersenyum
sinis apabila melihat wajah Dian yang sudah kalut ini.
“Bukti dah ada dalam ni. Daripada A sampai Z. Kesian
kau. Semua kelakuan kau dah terakam CCTV kat garaj.”
Dian menyumpah dalam hati. Sungguh dia tidak tahu ada
CCTV di situ. Kenapa dia boleh cuai hari ini? Ini kali pertama
dia cuai dalam rancangan yang dibuat. Laju tangannya
mematahkan CD itu untuk menghapuskan bukti. Dia
tersenyum senang lalu melemparkan CD yang pecah kepada
Adrian.
“Aku ada banyak salinan.” Ujar Adrian selamba.
“Kalau kau beritahu ibu, siap kau aku kerjakan!”
ugut Dian kasar.
“Aku nak tanya kau ni. Apa hal kau tak puas hati
sangat dengan aku? Hari ini kereta aku kau jahanam kan,
lepas ni entah-entah kau letupkan Vila Paduka. Orang macam
kau ni bukan boleh kira.”
“Memang aku tak puas hati dengan kau. Berlagak,
kau ingat muka kau tu handsome?”
Adrian mengerutkan dahi. Apa kena dengan
mukanya? “Kau ni memang gila.”
Laju Dian menumbuk bahu Adrian. Sakit hatinya
apabila dikatakan gila.
“Woi... woi... apa ni? Sakitlah!” Marah Adrian sambil
menahan tangan Dian yang memukulnya. Sabarnya semakin
menipis.
“Kenapa kau panggil aku gila? Aku tak gila!” jerit
Dian.
“Dian... Adrian...” tegur Kak Ziana yang baru muncul
di muka pintu. Laju dia menarik tubuh Dian menjauhi
Adrian. Dijeling wajah adiknya. “Kau kenapa? Kau tahu tak
dia tu siapa?” bisiknya pada Dian.
“Dia cakap aku gila.” Dian tersenyum sinis melihat
wajah Adrian yang sudah berubah. Sakitlah tu.
“Adrian, maaflah. Dian tak sengaja.” Pohon Kak
Ziana.
“Adik kau ni memang tak ada adat betul.” Marah
Adrian lalu beredar. Bertambah-tambah amarahnya.
“Kau ni datang sini cuma tahu buat masalah aje. Kau
ingat ini kampung? Kau nak pukul orang sesuka hati. Kat
kampung kau bolehlah nak jadi gengster. Tapi kat sini tak.”
Tegur Kak Ziana lalu melangkah masuk.
Dian kaku di muka pintu. Rupanya dia masih
tidak dapat sesuaikan diri dengan kehidupan baru. Dia
masih terbawa-bawa cara hidupnya ketika di kampung. Apa
tindakannya keterlaluan? Argh, bukan salahnya, dia cuma
balas dendam. Kalau Adrian tidak beritahu ibu apa yang
terjadi, dia janji tidak akan mengganggu hidup lelaki itu lagi.
Tapi kalau sebaliknya, tahulah nasib lelaki itu.

“TAK GUNA punya Adrian!” marah Dian sambil memeluk
bantal. Kalau Adrian ada di depannya sudah ditumbuk wajah
itu. Biar tercabut semua gigi. Marahnya masih bersisa. Tak
sangka Adrian memberitahu ibunya apa yang telah dibuat.
Masih berani lelaki itu cari pasal dengannya. Mati-mati dia
ingat Adrian tidak akan beritahu ibu apa yang terjadi.
Tak pasal-pasal dia ditegur oleh ibu. Walaupun cuma
teguran, dia tetap tidak puas hati. Apa yang dibuat pada
Adrian untuk membalas dendam, tapi tak sangka ini yang dia
dapat. Dia pula yang sakit hati atas apa yang terjadi.
“Dian...” panggil Puan Nisa sebaik membuka pintu
bilik Dian yang tidak dikunci. “Kenapa ni? Marahkan ibu ke?”
Dian hanya diam. Sudah 2 hari dia berkurung
dalam bilik gara-gara merajuk akibat ditegur. Ibunya seperti
menyebelahi Adrian saja. Padahal dia anak ibu.
Melihat Dian yang masam mencuka pantas Puan
Nisa memeluk bahu anaknya. “Ibu minta maaf kalau Dian
terasa dengan ibu. Ibu cuma tegur sebab perbuatan Dian
salah. Tak patut Dian calarkan kereta Rian.”
“Dia yang cari pasal dulu. Kalau tak Dian pun tak
calarkan kereta dia. Salah ke Dian balas dendam?”
“Tak elok berdendam ni. Dian maafkanlah Rian tu.
Tak salah kalau sesekali Dian mengalah.”
Mulut Dian memuncung. “Kenapa Dian yang nak
mengalah?”
“Dian, kalau kita mengalah tak semestinya kita yang
kalah. Orang yang mengalah tu menunjukkan dia seorang
yang matang. ”
“Tapi Dian masih tak puas hati dengan Rian tu. Ikut
suka hati aje mengadu pada ibu.”
“Bukan dia yang mengadu sebenarnya. Ibu yang
tanya kenapa kereta dia calar. Dia pun cakaplah ini semua
kerja Dian.” Puan Nisa memberitahu perkara sebenar.
“Kalau ibu tak tanya pun, mesti dia akan cakap juga,
kan?”
“Dahlah, tak payah cakap pasal Adrian lagi. Makin
merah muka Dian kalau ibu sebut nama Rian. Jom, pergi vila.
Tan sri dah tanya, kenapa cucu dia dah 2 hari tak datang.”
Dian menggeleng tanda tidak mahu. Dia rindu mahu
berjumpa dengan Tan Sri Ahmad tapi dalam masa yang sama
dia tidak mahu berjumpa dengan Adrian. Menyampah!
“Jomlah. Ibu kesian dengan tan sri tu. Dia sunyi duk
kat vila. Kalau Dian ada dia nampak gembira. Lagipun Dian
jangan risau. Rian tak ada.”
“Betul ni?” soal Dian minta kepastian. Bibirnya mula
tersenyum.
“Confirm!”

“AUNTIE NISA...” panggil Adrian yang baru muncul di dapur.
Dian yang berada di meja makan saja pekakkan
telinga. Laju tangannya menghiris lobak.
“Auntie Nisa mana?” soal Adrian apabila tidak
melihat orang yang dicari.
Diam.
“Aku tanya Auntie Nisa mana?” Kali ini suara Adrian
agak kuat. Macam bercakap dengan pokok pula. “Aku tanya
baik-baik, ibu kau mana?”
“Kau nampak tak ibu aku tak ada.” Marah Dian lalu
menghentak pisau ke atas meja. Dia kena letak pisau tu. Takut
tanpa sedar dia pergi korek mata Adrian guna pisau. Karang
tak pasal-pasal jadi OKU pula.
“Sebab tak nampaklah aku tanya ibu kau pergi
mana?”
“Carilah sendiri.”
“Kau ingat aku tak ada kerja?”
“Serabutnya!” marah Dian lalu mengambil semula
pisau itu. Diangkat tinggi pisau itu seolah-olah dia mahu
bermain-main.
Adrian menelan liur apabila melihat pisau itu. Gadis
tu nak buat apa dengan pisau? Macam nak tikam dia saja.
“Siapkan makanan. Aku nak makan. Jangan lambat. Aku dah
lapar.” Arahnya lalu beredar. Kalau dia cakap lebih, memang
dia makan pisaulah jawabnya.
Dian memandang Adrian yang sudah berlalu. Bulat
matanya apabila diarah seperti itu. Apa lelaki itu ingat dia
pembantu rumah? Kalau yang minta tu Tan Sri Ahmad,
sepantas kilat dia akan sediakan.
Telefon dikeluarkan dari poket seluar. Nombor
ibunya didail. “Helo ibu. Lambat lagi ke balik? Hah? Ya ke?
Adrian dia nak makan. Malas Dian nak sediakan. Alah... Yalah,
yalah. Ibu jangan lupa belikan air Slurpee untuk Dian ya. Nak
perisa epal.” Sebelum mematikan talian sempat lagi Dian
mengingatkan ibunya. Dia mengeluh geram lalu kembali
meletakkan telefonnya dalam poket.
Ibu dan pembantu rumah Tan Sri Ahmad masih lagi
keluar membeli barang. Kata ibunya dalam masa sejam baru
sampai. Kalau nak tunggu sejam agaknya keluar tanduklah
si Adrian itu.
Lauk pauk dihidangkan atas meja. Tiba-tiba muncul
satu idea nakal untuk mengenakan Adrian. Dian mengetik
ibu jarinya lalu kembali masuk ke dapur untuk mengambil
sesuatu. Tak sampai seminit dia kembali ke meja makan.
“Special untuk Adrian Bin Tan Sri Ahmad. Eh... silap...
silap. Itu atuk dia, bukan ayah dia. Adrian bin apa ya? Ah,
tak kisahlah bin apa pun.” Ucap Dian sambil mencium
aroma kari ayam. Kata ibu, Adrian sangat sukakan kari ayam.
Harapannya semoga lelaki itu dapat habiskan kari ayam ini
dengan selamat.
Dian meletakkan lauk terakhir atas meja. Waktu itu
juga Adrian baru muncul di meja makan.
“Kau apa hal senyum sorang-sorang?” tegur Adrian
lalu menarik kerusi.
“Arwah nenek aku cakap senyum tu satu sedekah.”
Dalam hati dia sudah tidak sabar mahu melihat apa yang
terjadi.
Adrian merenung tajam Dian. “Bukan kau yang
masak, kan?”
“Semestinya tak. Tak ingin aku masak untuk kau.
Aku tolong sediakan dah satu penghormatan.”
“Kau tak ada nak kenakan aku kan?” soal Adrian
masih ragu-ragu. Lauk pauk di depannya dipandang dengan
rasa curiga.
“Kau ingat aku letak racun? Kalau kau nak aku boleh
makan sekali.” Kata Dian dengan berani. Kerusi sudah mula
ditarik.
“Tak payah. Hilang selera aku tengok muka kau.”
Bidas Adrian selamba.
Rasa marah yang mula muncul cuba ditahan.
Kejap lagi kau tahulah nasib kau Adrian. Kau ingat aku
ni gadis Melayu? Satu kesalahan kau kenal aku. Dian
menyembunyikan diri di sebalik dinding. Bibirnya mula
tersenyum apabila melihat Adrian sedang menyudu kari ayam
ke dalam pinggan. Dia yakin tak sampai beberapa minit pasti
Adrian akan menjerit.
Wajah lelaki itu mula berkerut dipandang. Dian
memegang perutnya. Ketawa yang mahu terletus ditahan.
Wajah putih Adrian sudah bertukar menjadi merah. Untuk
hari ini dia hanya akan jadi penonton saja. Tak kuasa dia
mahu menolong.
“Kurang ajar kau perempuan!” jerit Adrian sambil
menahan pedas. Dia tahu ini pasti kerja Dian. Menyesal tak
sudah dia makan.
Dian hanya tersenyum jahat apabila mendengar
kata-kata Adrian. Matanya masih setia pada wayang yang
ditonton. Adrian mula mencapai air yang dibuatnya.
“Arghh... manisnyaaa...” jerit Adrian lagi sambil
menghamburkan air yang berada dalam mulut. Sangat manis
sampai dia tidak boleh telan. Matanya sudah berair.
Ketawa yang ditahan Dian akhirnya pecah. Sakit
perutnya melihat gelagat Adrian. Makan pedas tambah air
manis. ‘Padam muka kau, Adrian. Itu pengajaran buat kau
sebab sakitkan hati aku.’
Dian melihat Adrian buat kali terakhir lalu dia
beredar ke dapur seperti tiada apa-apa yang berlaku. Usai
kerjanya siap terus dia berkemas untuk pulang. Yang pasti
hari ini dia balik dengan senang hati. Sambil berjalan dia
melompat kecil. Tercapai juga hajat dia untuk membalas
dendam.

No comments:

Post a Comment