DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 23 October 2017

Supergirl - Bab 9

TUNAK Aina merenung siling yang memutih.
Setiap butir bicara lelaki itu terngiang-ngiang di telinga,
menyebabkan otaknya jadi berserabut malam ini. Mandi tak
basah, makan tak lalu, tidur pun tak lena. Ingatkan orang
yang dilamun cinta saja menderita penyakit nan satu ini.
Rupanya tidak. Orang sepertinya yang ditimpa masalah tak
putus-putus juga mengalami sakit yang sama. Apatah lagi
dengan tak sengaja hadir seorang lelaki muka ketat dalam
hidupnya. Menawarkan wang yang bisa digunakan untuk
kepentingan keluarga. Semakin tidak menentulah kehidupan
dia dibuatnya.
“Arghhh!!!” Aina lepas jeritan kecil. Dia bangkit
dari perbaringan lalu melompat turun dari katil. Matanya
masih segar-bugar, tak mahu terlelap. Dari terus memikirkan
tawaran gila mamat muka ketat berotak miring itu, lebih baik
dia bangun dan buat apa saja yang patut sehingga matanya ini
mahu terlelap.
Tombol pintu dipulas. Kemudian dia melangkah
keluar dari bilik kecilnya. Ketika melalui bilik tidur ibunya,
dia melihat ada biasan cahaya dari bilik itu. Pantas dia
menjengukkan sedikit kepalanya ke dalam. Kelihatan ibunya
sudah tertidur dengan sebuah buku melekap kemas di dada.
Perlahan-lahan Aina masuk ke dalam. Melihat wajah
si ibu yang sedang terlena, hatinya dipagut sayu. Wanita inilah
yang telah melahirkannya. Membesarkan dia tanpa sebarang
keluh-kesah. Jika orang lain membesar dengan ayah berada
di sisi, tidak baginya. Dia membesar tanpa pernah mengenali
siapakah ayahnya. Biar terdetik rasa terkilan, tetapi dia tidak
pernah menyesal. Cukuplah ibu seorang yang dia miliki.
Wanita terhebat dalam hidupnya. Ibu yang telah banyak
berkorban.
Sebuah ciuman mendarat ke dahi ibunya. Hanya
Allah yang tahu, betapa kasihnya Aina kepada wanita ini.
Siang malam dia tidak pernah berhenti mendoakan kesihatan
ibunya itu meskipun dia tahu, kesihatan ibunya takkan pulih
seperti dulu.
“Aina sayang ibu,” bisik Aina lembut sebelum buku
berunsur keagamaan itu diambil lalu diletakkan ke meja sisi.
Sebelum berlalu, dia memetik suis lampu untuk dipadamkan.
Ketika melangkah ke ruang tamu, telinganya
menangkap bunyi dengkuran seorang lelaki. Pantas
langkahnya dibawa ke sofa panjang yang sudah lusuh. Melihat
Usop yang sedang tertidur di situ, hatinya dijentik rasa
simpati. Sudah bertahun-tahun lamanya, di sinilah tempat
bapa saudaranya itu tidur setiap malam. Namun, Usop tidak
pernah mengeluh walaupun Aina tahu, tidur di sofa yang
kusyennya sudah nipis itu tidaklah seselesa mana.
Bukan Aina tidak sayangkan Usop. Demi Tuhan, dia
amat menyayangi bapa saudaranya ini. Usoplah tempat dia
bermanja ketika zaman kecilnya. Orang tempat dia mengadu
andai ada rakan-rakan yang membulinya. Dan Usop pasti
akan membelanya dengan memarahi rakan-rakan yang
membulinya itu. Usop tidak pernah membiarkan dia rasa
kehilangan seorang ayah. Meskipun hanya bapa saudara,
Usop melayannya bagaikan anak sendiri.
Aina menghela nafas berat. Hanya satu perangai
Usop yang tidak digemarinya. Lelaki itu suka berhutang.
Sudah berbuih mulutnya memberi kata nasihat. Satu pun
tak pernah masuk ke telinga Usop. Lelaki itu akan terus
berhutang lagi, lagi dan lagi! Sudah menjadi tabiat pula.
“Jangan Tiger! Jangan! Jangan apa-apakan aku.
Aku tak nak kena baham dengan harimau. Tolong!!! Aina,
Kak Diah, tolong Usop!!!” Tiba-tiba Usop menjerit sambil
tangannya digawang-gawangkan ke udara. Lagaknya seperti
menepis sesuatu. Namun, tindakannya itu tidak lama.
Kemudian dia tertidur semula dengan bunyi dengkuran yang
bisa mengejutkan semua orang dalam rumah itu. Kerana
masalah hutangnya itu, Usop sering saja dikejar mimpi ngeri.
Aina sudah kerap mendengar Usop mengigau begitu.
Aina kembali semula ke dalam biliknya. Tingkap
dalam biliknya itu dibuka luas. Tangannya menongkat dagu
sambil mata memandang ke arah langit yang dihiasi indah
dengan kerlipan bintang-bintang. Suasana malam di kawasan
perumahan murah di tengah-tengah banda raya Kota Kinabalu
ini tidak pernah sunyi dengan suara anak-anak muda yang
lepak beramai-ramai sambil bermain gitar dan menyanyi
walaupun ketika ini jarum jam sudah menunjukkan angka
11.47 malam.
‘Be my wife.’
Tiba-tiba suara itu kedengaran. Cukup dekat
di cuping telinganya. Cepat-cepat Aina menggelengkan
kepalanya. Cuba menghalau suara itu daripada terus
mengganggu. Semakin cuba dihalau, semakin kuat tawaran
lelaki itu mengganggu mindanya.
‘Well... saya cuma nak tawarkan pada awak
seorang. Kerja sebagai isteri kontrak. Kita
cuma perlu bernikah. Tak perlu majlis
besar-besaran. Awak cuma perlu jadi
isteri saya dalam tempoh setahun. Lepas
setahun, kontrak kita tamat. Saya akan
bayar awak sebanyak 1 juta ringgit. Itu
belum termasuk bayaran yang saya bagi
setiap bulan merangkap gaji awak sebagai
isteri kontrak saya. Dan awak jugak boleh
minta apa saja yang awak mahu sebagai
ganjaran untuk kerja yang awak jalankan.’
Suara itu menjelma lagi. Tawaran 1 juta ringgit?
Siapa yang tidak mahu wang sebanyak itu? Itu belum
termasuk duit bulanan yang diterimanya. Memang lumayan.
Dia boleh beli apa saja dengan duit sebanyak itu. Malah dia
boleh melangsaikan segala hutang piutang pak sunya. Boleh
meneruskan kos rawatan ibunya tanpa perlu memikirkan
jalan untuk mencari duit yang banyak.
Tapi memikirkan dia masih ada harga diri, Aina
menolak. Dia tidak mahu menggadaikan maruah diri hanya
kerana wang semata-mata. Biarlah dia bersusah payah
mencarinya. Untuk hendak menjadi isteri kontrak mamat
muka ketat itu, jangan harap!
‘Huh! Dia ingat ini novel cinta agaknya,’ hati Aina
mendesis.

No comments:

Post a Comment