DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 5

TANGAN Husna menyental laju cermin kedai.
Sesekali matanya meninjau keluar melalui cermin kaca kedai
itu sambil mulut tidak henti-henti bernyanyi. Senang hati
benar nampaknya.
“Amboi... bukan main gembira lagi hari ni ya? Awal
pulak kau datang pagi ni?” Entah dari mana Yani muncul,
tiba-tiba saja datang menyapa dia dari belakang.
“Kus semangat! Ya Allah, Yani. Kau ni kan, tak
reti nak bagi salam ke? Terkejut monyet aku!” Husna urut
dada. Ikutkan hati dia yang tengah panas itu, mahu rasanya
ditampar saja pipi Yani.
“Kau mimpi apa malam tadi?” Tanpa pedulikan
rungutan Husna, Yani terus memuntahkan tanya. Keningnya
sudah terjongket sebelah sambil bibir pula sudah tersenyum
senget. Walaupun belum sampai setahun mereka saling
mengenali, kemesraan yang terjalin di antara mereka
bagaikan sudah bertahun-tahun lamanya kenal.
“Eleh... Nak perli akulah tu! Pagi ni aku ada breakfast
date dengan cinta hati aku tau. Jangan jealous, ek!” Kening
Husna sudah menari ronggeng. Tangannya sibuk semula
mengelap cermin tadi sehingga berkilat. Cepat siap, cepatlah
dia dapat pergi! Itu kata Mr. Lee tadi.
“Siapa? Mikail?” cebik Yani.
“Yalah! Dia sorang ajelah cinta hati aku.”
“Yakin sangat kau dengan si Mika tu, kan? Macamlah
kau tahu takdir hidup kau dekat depan hari macam mana.”
“Kau... kalau aku sebut pasal dia, mesti kau suka
cakap yang negatif-negatif aje. Kenapa, ek?” Tangan Husna
berhenti dari menyental cermin kaca. Tubuhnya dipusingkan
betul-betul menghadap Yani.
Bukan kali ini saja Yani cakap macam tu. Rasanya
sudah beberapa kali. Husna perasan sangat perubahan Yani.
Kalau dulu, sebut saja pasal Mikail, dialah yang paling teruja.
Man, tidaknya, pakwe dia memang cukup lengkap pakejnya.
Kacak, kaya, romantik. Tapi sejak akhir-akhir ini, macam tak
suka pula dengan Mikail. Pelik.
“Errr... bukanlah macam tu. Aku cuma geram saja!
Rasanya dah lama sangat dia tak datang jumpa kau, kan? Ada
aje alasan yang dia bagi.” Yani garu kepala.
“Ooo... pasal tu...”
Sekarang barulah Husna boleh senyum. Sebab ini
rupanya Yani marah sangat. Husna dah rasa geli hati dah.
‘Yani oiii... aku yang terabai, kau pulak yang rasa panas!
Awatnya?’ hati Husna sudah berbisik lucu.
“Dah kenapa kau senyum-senyum ni?” Dahi Yani
naik berkerut. Orang tanya, dia senyum-senyum pula! Senget
betul budak Husna ni.
“Tak adalah! Kau kenapa nak angin sangat dengan
Mika? Yang sepatutnya angin tu, aku! Kelakarlah kau ni.”
Pecah juga tawa Husna.
“Hmm... malaslah aku nak cerita. Nanti kau tahu
sendirilah! Ni, kau nak keluar ni... Mr. Lee dah tahu ke?” Mata
Yani melingas ke segenap ruang kedai. Tidak nampak pula
kelibat Mr. Lee di mana-mana. Dekat kaunter pun kosong
saja.
“Dah! Awal-awal lagi aku dah beritahu dia. Bukannya
jauh, dekat Kafe Selera Timur depan tu aje pun!” Mulut
Husna sudah memuncung ke depan. “Lagipun, masih awal
kan? Mr. Lee ada dekat stor belakang tu. Eh, dahlah! Pergi
buat kerja kau. Aku nak cepat ni.” Husna menolak tubuh Yani
dengan sikunya. Selagi Yani ada di situ, selagi itulah kerja dia
tidak selesai.
“Eleh, berlagaknya.” Yani mencebik dan berlalu ke
arah pelanggan yang muncul di muka pintu kedai.
Sekali lagi Husna melepaskan tawa. Rindu dia pada
Mikail hanya Allah saja yang tahu. Tak sabar rasanya nak
bertemu muka. Husna pejamkan mata buat seketika. Nafas
ditarik dalam-dalam. Hmm... segarnya bau bunga!
JAM DI lengan berkali-kali dijeling. Sesekali nafas berat
dilepaskan. Sudah hampir 20 minit menanti, Mikail masih
belum sampai lagi. Pelanggan lain sudah ramai yang keluar
masuk dalam kafe, tetapi bayang wajah Mikail tidak juga
muncul-muncul.
Husna mula rasa hendak menangis. Janganlah last
minute Mikail cakap tak jadi jumpa. Kalau itu yang berlaku,
memang dia kecewa gila. Dah banyak kali kut Mikail buat
perangai macam tu. Alasannya, dia tak sempat datang sebab
sibuk.
“Sayang... sorry I’m late!” Sepasang tangan sasa
mendarat kemas di bahu Husna. Terus dia panggung kepala.
Wajah kacak Mikail sudah menjadi tamu di mata bundarnya
kini. Dan-dan itu jugalah bibir merahnya mengukir senyum.
“Mika?” Tangan Husna dengan lembut menolak
tangan Mikail yang mendarat kemas di bahunya yang sedikit
terdedah. Bibir masih menguntumkan senyuman. Wajah
kekasih hati yang dirindu setengah mati itu terus-terusan
direnung. Makin kacak!
“Dah lama tunggu?” Mikail menarik kerusi di sebelah
Husna dan melabuhkan duduknya di situ. Riak wajahnya
nampak tenang saja. Namun, bibirnya masih lokek dengan
senyuman.
“Hmm... adalah dalam 20 minit,” Husna gigit bibir.
“Kenapa awak lambat?” Manja suaranya bertanya. Mata
bundar miliknya masih lagi merenung dalam ke wajah Mikail.
Kemeja biru gelap bersama tali leher silver itu memang
sesuai sangat dengan Mikail. Kekasih hatinya itu nampak
kacak berganda-ganda di matanya.
Mikail sandarkan tubuhnya rapat pada kerusi.
Tangannya bermain-main dengan tisu di kotak. Pertanyaan
Husna tidak terus dijawab. Malah dia nampak seolah-olah
sedang tenggelam dalam dunianya sendiri.
Husna kerut dahi. Pelik melihat tingkah Mikail.
Hati perempuannya mula berbisik yang bukan-bukan.
Membuatkan fikirannya juga turut bersatu dengan kata hati.
Namun, sedaya upaya dia cuba mengusir bisikan itu agar
menjauh.
“Mika, kenapa senyap aje ni?” Kebisuan Mikail
membuatkan hati Husna semakin diburu resah.
“Hmm... tak ada apa-apa.” Akhirnya Mikail membuka
mulut. Bibirnya sudah mula mengukir senyum. Nampak
sangat senyuman plastik.
“Sayang, I nak minta maaf sebab sejak akhir-akhir
ni tak dapat nak jumpa you selalu. You faham ajelah kerja
macam I ni. Terkejar sana, terkejar sini. Nak rehat pun tak
cukup!” Mata lelakinya sudah merenung dalam ke anak mata
Husna. Mengharap sangat agar Husna mengerti.
“Eh, tak apa. Saya okey aje. Awak jangan risau.”
“Betul ni?”
“Betullah.” Mata kanannya dikenyit manja ke arah
Mikail.
“Inilah sebabnya I sayangkan you. Selalu faham
keadaan I. Thanks sayang. Sekarang kita makan ya? I pun tak
boleh lama ni.” Tangan kekar Mikail sudah menggenggam
erat tangan Husna. Husna cepat-cepat menariknya. Macam
selalu, dia memang tak suka Mikail menyentuh dia sesuka
hati saja.
“Sorry,” Mikail tersenyum kelat. Air mukanya
berubah. Dalam diam egonya sebagai seorang lelaki rasa
tercabar. Bukan kali ini saja Husna menolaknya. Malah
berkali-kali. Apa yang Husna nak buktikan sebenarnya
pun dia tidak tahu. Nak buktikan dia sebenarnya seorang
perempuan yang suci? Kalau betul Husna perempuan yang
suci, tak adalah dia berpakaian macam sekarang ni!
Dengan skirt kembang paras lutut, blaus ketat
lengan pendek. Rambut pula, tidak pernah bertutup. Apa
yang Husna nak buktikan sebenarnya? Kalau dibandingkan
penampilan Husna dengan kawannya Adira, memang jauh
panggang dari api.
“It’s okay! Awak nak makan apa ni? Saya boleh
tolong ambilkan.” Lembut suaranya bertanya. Seakan mahu
memujuk hati Mikail. Melihat wajah Mikail yang berubah
kelat itu sudah cukup untuk membuatkan dia faham. Lelaki
itu terasa hati dengan dia.
“Hmm... ambillah apa-apa pun. Kita kongsi pun
tak apa. Cepat sikit! I ada hal lepas ni.” Tegang saja suara
Mikail. Mukanya dipalingkan ke kanan. Buat-buat pandang
ke segenap ruang kafe.
Husna menarik nafas dalam. Walaupun hatinya
sedikit terkesan dengan sikap Mikail, namun dia tetap juga
berusaha memujuk hati sendiri. ‘Sabar Husna... Mikail stres
tu! Dia kan banyak kerja.’
Sebuah senyuman dikoyak lembut dan dia terus
bangkit ke arah makanan yang terhidang di sudut kiri ruang
kafe. Konsep di Kafe Selera Timur ni layan diri. Ambil apa saja
yang berkenan di hati, kemudian bayar di kaunter.
Baru beberapa langkah Husna menapak, kakinya
sudah terpaku semula di lantai. Tiba-tiba saja dadanya rasa
berdebar-debar.
‘Aik, apa kena dengan kau ni, Husna? Kenapa dada
rasa berdebar-debar saja ni?’ hati Husna mula berdesis, pelik.
Tubuh dipalingkan ke belakang. Matanya melingas seketika
ke segenap ruang kafe. ‘Hmm... Tak ada apa-apa, pun!’
Tubuh dipusing semula ke depan. Dan...
Buk!
Dia sudah terlanggar seseorang.
“Ya Allah...” Cepat-cepat Husna imbangkan tubuhnya
agar tidak tersungkur ke lantai. Dia dah langgar siapa ni?
“Err... encik, maafkan saya. Encik okey ke?” Liur
ditelan laju. Saat dia panggung kepala, mata bundar miliknya
seakan mahu melompat keluar. Sepasang mata coklat jernih
milik empunya tubuh yang dilanggar tadi sudah merenung
tajam ke arahnya. Sesaat pun tidak berkelip. Nafas Husna
mula terasa semput.
Nafas semakin semput di saat mata bundar miliknya
menyorot tepat ke kemeja kuning air yang tersarung kemas
di tubuh empunya diri. Ya Allah, kopi! Hati Husna menjerit
kuat. Baju kuning cair milik lelaki yang dilanggar tadi sudah
bertukar warna, terkena air kopi yang dilanggar oleh dia tadi.
Matilah!
“Encik, maaf sangat-sangat...” Muka Husna cuak.
Spontan tangannya naik menyapu dada lelaki itu. Sepantas
kilat juga tangannya disambar dan mata mereka terus
bertembung. Lama. Degupan jantung Husna semakin laju.
Tiada tanda-tanda pun lelaki itu mahu senyum. Apatah lagi
mahu memaafkan dia.
Beberapa saat berlalu.
“Sayang, kenapa ni?” Mikail sudah berdiri di sebelah
mereka. Husna tidak membalas. Masih diam tidak berkutik.
“Una?” Tangan Husna yang masih digenggam kemas
oleh lelaki itu ditarik kasar oleh Mikail. Sakit hati! Dia tak
pernah dapat sentuh tangan itu, jangan ada lelaki lain yang
berani nak sentuh!
Husna telan liur. Lelaki yang dia langgar tadi tidak
pula menjawab apa-apa. Hanya sebuah jelingan tajam saja
yang dihadiahkan kepada Husna dan Mikail sebelum berlalu
dari situ. Terus kepala Husna tertunduk.
“Sayang, are you okay?” Mikail sentuh bahu Husna.
“Hah?”
“Errr... okay, okay...”

No comments:

Post a Comment