“BE my wife,” ujar Luth. Tegas dengan wajah
serius.
“Hah?” Mulut Aina terlopong luas. Adakah dia sedang
bermimpi? Ya! Mungkin dia sedang bermimpi. Dia perlu
bangun daripada mimpinya ini. Lantas saja pipinya ditampar.
Melihat aksi gadis itu, Luth merengus.
“Awak tak bermimpilah.”
Aina kembali menala pandangan ke wajah itu.
“Be my wife,” ujar Luth lagi.
Dahi Aina berkerut. Tiba-tiba hatinya digeletek rasa
lucu. Tanpa dapat ditahan, tawanya terlepas kuat. Lelaki itu
memang pandai buat lawak jenaka. Sampai dia ketawa berair
mata. Lucu! Kelakar! Cukup mencuit hulu hatinya.
“Hahahaha...” ketawa Aina sambil menekan-nekan
perutnya.
“Saya serius!” Keras suara Luth. Dia bukannya
sedang berlawak jenaka.
“Serius?” Tawa Aina masih belum reda. Hatinya
masih digeletek rasa lucu. Si ketua dengan orang suruhannya
memang pandai buat lawak. Saat hatinya lara, si orang kaya
pula buat lawak antarabangsa.
Melihat Aina yang masih tidak mahu berhenti
ketawa, Luth menyekeh kepala gadis itu. Geram mendengar
tawa gadis itu yang semakin menjadi-jadi.
Serta-merta tawa Aina terhenti. Terkejut dengan
perlakuan Luth yang tidak diduga. Suka hati Luth saja
sekeh kepala dia. Ingat kepala dia ni barang ke? Kalau terjadi
gegaran otak, lelaki itu harus bertanggungjawab!
“Dah puas ketawa?” soal Luth dengan riak
selambanya itu.
Aina tarik muncung. Geram.
“Saya serius. Saya nak awak jadi isteri saya.”
“Erk??? Jadi isteri tu satu pekerjaan jugak ke? Aku
tak pernah lagi dengar orang cari kerja jawatan sebagai isteri.”
Luth jongket bahu.
“Well... saya cuma nak tawarkan pada awak seorang.
Kerja sebagai isteri kontrak. Kita cuma perlu bernikah. Tak
perlu majlis besar-besaran. Awak cuma perlu jadi isteri saya
dalam tempoh setahun. Lepas setahun, kontrak kita tamat.
Saya akan bayar awak sebanyak 1 juta ringgit. Itu belum
termasuk bayaran yang saya bagi setiap bulan merangkap gaji
awak sebagai isteri kontrak saya. Dan awak jugak boleh minta
apa saja yang awak mahu sebagai ganjaran untuk kerja yang
awak jalankan.”
Mata Aina membuntang. Bagaikan tidak percaya
mendengar tawaran kerja paling gila yang pernah ditawarkan
kepadanya itu. Biar betik??? Nampaknya, otak mamat muka
ketat ini sudah miring. Ataupun lelaki ini terlebih makan
gula. Disebabkan itulah tawarannya merapu meraban. Tak
pernah dibuat orang!
“Kau dah makan ubat tak ni?” soal Aina.
“Ubat?” Dahi Luth berkerut seribu. Apa
kena-mengena dengan ubat pula? Dia sedang berbicara soal
tawaran kerja sebagai isteri kontrak, bukannya pasal ubat.
“Yalah... manalah tahu kut-kut kau terlupa makan
ubat. Pasal tu buat tawaran bodoh. Tawaran kerja paling gila
pernah aku dengar daripada orang otak miring macam kau,”
sedas Aina menembak. Sakit hatinya apabila lelaki itu suka
hati saja menawarkan sesuatu yang tak pernah terjangkau
dek akal fikirannya. Biar dia hidup kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang, tetapi dia tak terfikir mahu berkahwin
dengan lelaki yang sekadar mahu menjadikannya isteri
dalam tempoh setahun. Itu gila namanya. Dia tidak mahu
memperjudikan diri.
“Saya serius. Bukannya main-main.”
“Gila!!!” Aina membentak. Ikutkan hatinya yang
mula hangat dengan sikap lelaki itu, mahu rasanya diganyang
lelaki itu sampai lunyai. Tapi memandangkan badan lelaki itu
yang sasa, ketul sana, ketul sini, niatnya itu terpaksa ditunda.
Tunggulah sehingga dia menjadi wanita berbadan sado.
Barulah dapat lawan bertumbuk dengan lelaki itu.
“Kau ingat aku ni takde maruah? Suka-suka hati kau
aje nak tawarkan kerja bodoh tu dekat aku? Helo... encik...
err... err... encik muka ketat! Aku tak sudi terima tawaran
kau. Biar berbilion-bilion kau tawarkan, aku tak nak! Aku tak
nak!” Aina menegaskan keputusannya.
Luth tayang muka selamba. Langsung tidak terkesan
dengan reaksi Aina yang sudah bertukar aksi. Tadi bukan main
seronok gadis itu ketawa. Sekarang ni dah macam The Hulk
saja. Namun dia langsung tidak merasa gentar. Alah, setakat
badan kecil macam tu, dia jentik guna jari pun dah rebah.
“Terpulang. Saya tak paksa. Terima atau tak, itu hak
awak. Saya cuma tawarkan awak apa yang terbaik untuk awak
dan famili awak.”
Terbaik? Poodah!!! Aina tak rasa itu satu tawaran
yang baik. Tawaran itu tak ubah seperti menjeratnya masuk ke
lubang neraka. Hendak menjadi isteri lelaki ini? Nauzubillah.
Dia tak sanggup.
Luth menarik keluar kad kecil dari dompetnya. Lalu
dihulurkan kepada Aina.
“Saya pun takde masa nak berbincang lama dengan
awak. Ini kad saya. Nombor telefon saya ada kat situ. Manalah
tahu dalam sehari dua ni awak tiba-tiba tukar fikiran nak
terima tawaran saya, awak boleh call nombor tu. Tawaran
saya ni terbuka untuk awak sehingga Isnin depan aje.”
Aina mencebik. Jangankan sehingga Isnin depan,
sampai bila-bila pun dia tak ingin terima tawaran itu. Tawaran
gila daripada orang gila!
“Terima kasih ajelah encik muka ketat. Aku tak
rasa yang aku akan ubah fikiran. Simpan ajelah kad kau ni
elok-elok. Manalah tahu kot-kot kau terjumpa perempuan
gila yang sudi nak jadi isteri kontrak kau, bolehlah kau buka
tawaran ni dekat dia. Aku tak nak!” Aina menghulurkan kad
kecil itu kepada tuannya kembali, namun tidak bersambut.
Geram! Aina keluar dari perut kereta dengan hati
membara. Berdentum bunyi pintu kereta dihempas dengan
kuat. Kalau boleh, dia mahu pintu kereta itu tercabut terus
dari kedudukannya. Itu tanda betapa dia rasa cukup terhina
dengan tawaran yang diberikan lelaki itu.
Luth hanya memandang tindakan Aina dengan
sebelah mata. Boleh tahan keras hati gadis itu. Tawaran 1
juta ringgit ditolak mentah-mentah. Menarik! Itu yang dapat
dia rasakan. Belum pernah dia berdepan dengan perempuan
yang menolak segala kemewahan yang ditaburkan di depan
mata. Aina orang pertama. Kalau perempuan lain, pasti
berebut-rebut mahu menjadi isterinya. Tak payah buat
tawaran, berderet yang datang menawarkan diri.
Namun, tidak pula terlintas dalam fikirannya mahu
memaksa. Dia yakin, Aina akan datang kepadanya menerima
tawaran hebat itu. Tunggu dan lihat sahaja. Masa itu akan
tiba sebelum tawaran yang diberikan tamat tempohnya. Luth
menghamburkan tawa dengan senyuman yang memekar di
wajah.
No comments:
Post a Comment