DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 11

USAI menunaikan solat zohor, Wazif duduk lama
di sejadah. Perasaannya rasa terganggu dengan kata-kata
Wahida sewaktu makan tengah hari tadi. Betul ke dia tidak
reda dengan takdir Allah? Betul ke uminya rindukan dia?
Kalau betul, dia adalah anak yang paling berdosa.
Sejujurnya dia memang tidak boleh menipu diri
sendiri. Hati mana yang tidak kecewa dan remuk apabila
kekasih hati yang dicintai sepenuh jiwa mendirikan rumah
tangga dengan lelaki lain? Bukan sebulan dua mereka
bercinta, bertahun-tahun lamanya. Cinta mereka juga
mendapat restu keluarga biarpun mereka sepupu.
Entah di mana silapnya, Zulaikha tiba-tiba saja
memutuskan hubungan mereka dan mengambil keputusan
untuk berkahwin dengan Hairil, anak pak imam di kampung
mereka. Waktu itu, hanya Allah saja yang tahu bagaimana
hancurnya hatinya. Hampir seminggu juga dia tiada selera
untuk makan. Lagi menyakitkan hati, Zulaikha berlagak
selamba saja apabila berdepan dengannya. Seolah-olah tidak
pernah ada apa-apa yang berlaku antara mereka sebelum ini.
Setiap kali teringat kembali pertemuan terakhir
mereka di rumah Nek Mah iaitu nenek kandung mereka pada
lewat petang itu, perasaan Wazif pasti akan tersiat ganas.
“Ika... kenapa buat abang macam ni? Kenapa
tiba-tiba aje Ika nak putuskan hubungan kita? Kenapa
tiba-tiba aje Ika nak kahwin dengan Hairil? Bukan ke dulu
kita dah janji, selepas kerjaya abang dah stabil, kita akan
berkahwin? Sekarang semuanya dah stabil. Abang dah ada
klinik sendiri. Abang dah beli rumah, dah ada kereta. Kenapa
Ika buat keputusan macam ni?” Redup matanya menyorot
wajah Zulaikha. Sepupu merangkap kekasih hatinya itu
memang cantik orangnya. Memiliki wajah bujur sirih yang
putih bersih, alis mata yang lentik, bertubuh tinggi lampai
dan sangat santun orangnya. Tidak hairanlah ramai lelaki
yang sukakan dia.
Zulaikha tunduk menyulam jari sendiri. Sesekali,
kelihatan nafas berat dilepaskan. Sesaat kemudian, kepalanya
dipanggung. Renungannya jatuh lurus pada wajah kelat
Wazif.
“Abang... abang tak ada buat salah apa pun pada Ika.
Malah sepanjang kita kenal sebagai sepupu dan pasangan
kekasih ni, abang baik sangat dengan Ika. Tapi hati Ika ni dah
tak boleh nak tipu abang.” Ada getar dalam suara Zulaikha.
Tipulah kalau dia tidak rasa bersalah. Namun untuk terus
menipu Wazif dan perasaan sendiri, rasanya dia sudah tidak
kuat.
“Tipu abang? Apa maksud Ika ni? Jadi, Ika nak cakap
yang selama ni perasaan sayang dan cinta yang Ika tunjukkan
pada abang tu cuma lakonan sajalah? Macam tu?” Wazif raup
muka. Suasana petang yang damai dengan angin yang bertiup
sepoi-sepoi bahasa sebentar tadi sudah bertukar menjadi
panas dan merimaskan.
Zulaikha telan liur. Wajahnya dibuang ke laman
rumah Nek Mah. Tidak kuat rasanya mahu berbalas
pandangan dengan Wazif.
“Jangan diam macam ni, Ika. Tolong jangan buat
abang macam ni. Cuba terus-terang, apa salah abang pada
Ika?” Suara garau Wazif turut bergetar. Dada sasanya juga
sudah mula berombak kencang. Seminit pun dia sudah tidak
mampu untuk bertenang lagi. Kebisuan Zulaikha ibarat api
yang membakar dalam sekam.
“Abang tak salah. Hati Ika ni yang dah berubah.
Maafkan Ika, abang. Ika tak boleh nak paksa diri Ika lagi!
Cinta Ika pada abang dah pudar.”
“Cinta dah pudar? Macam itu aje?” Wazif raup muka.
Hanya Allah saja yang tahu perasaan dia saat ini. Ikutkan
rasa sakit hatinya, mahu saja dia tampar mulut Zulaikha
di situ. Senangnya dia bercakap! Selama bertahun lamanya
mereka bercinta, dia jaga Zulaikha macam nyawa sendiri.
Tidak pernah sekali pun dia mengambil kesempatan ke atas
Zulaikha. Bila segalanya sudah lengkap dan dia sudah bersedia
untuk melamar Zulaikha menjadi suri hidupnya, berita ini
pula yang dia dapat. Allah... Dia saja yang tahu bagaimana
rasanya.
“Abang, Ika dah cuba untuk sayang dan cintakan
abang macam dulu, tapi susah. Bersama abang, Ika dah tak
rasa perasaan cinta tu. Selama ni, Ika rasa abang layan Ika
macam adik aje. Abang kaku dalam meluahkan rasa cinta.
Rasanya abang tak pernah ucap pun perasaan cinta abang
pada Ika. Abang tak ada banyak masa untuk Ika. Abang
lebihkan kerjaya abang berbanding Ika. Entah-entah selama
ni, Ika aje yang syok sendiri.” Zulaikha telan liur. Sesaat nafas
dihela sebelum dia menyambung bicara.
“Ika dah jatuh cinta dengan Hairil. Ika rasa dia lelaki
yang terbaik untuk Ika. Mulai dari saat ini, kita putus! Ika dah
terima lamaran Hairil. Kalau tak ada aral, bulan depan kami
rancang nak berkahwin.” Senafas Zulaikha menuturkan kata.
Wazif rasa seolah-olah dirinya telah ditembak oleh
kereta kebal. Tubuh dan hatinya terasa berkecai dan bersepah
merata-rata! Biarpun tutur bicara Zulaikha lembut dan
tersusun, namun pedihnya sampai ke umbi hati.
Tahukah Zulaikha, dia menyimpan semua kata-kata
cinta untuk Zulaikha supaya semua kata-kata cinta akan
diucap setelah mereka sah bergelar suami isteri nanti.
Bukankah itu lebih manis? Tidak cukupkah sikap ambil berat
yang ditunjukkan selama ini? Memang dia mengaku, dia
tidak pernah menyentuh tangan Zulaikha dan melafazkan
kata-kata cinta sepertimana pasangan bercinta yang lain
buat. Dia hanya mahu menjaga kesucian Zulaikha. Apakah
itu tidak cukup membuktikan perasaan sayang dan cintanya?
Mata Wazif terpejam rapat. Sampai saat ini, rasa
sakit itu masih terasa dan bersisa. Kerana kesakitan itulah
dia tidak betah menunjukkan diri di kampung halamannya.
Bagaimana dia mahu berdepan dengan realiti, sedangkan
bayang Zulaikha tetap mengejarnya baik dalam terang
mahupun kelam. Dan kerana kesakitan itulah, dia bekukan
hatinya untuk mencintai mana-mana perempuan. Cukuplah
sekali. Tapi... kenapa bila berdepan dengan Husna, hati dia
jadi lain?
“Angah, boleh adik masuk?” Suara Wahida yang
menjengah di muka pintu biliknya mematahkan setiap
ranting kenangan. Laju telunjuknya menenyeh mata. Tidak
mahu adik perempuannya itu nampak air mata lelakinya.
“Ehemm... masuklah. Angah baru selesai solat ni.”
Kepala ditoleh seketika ke muka pintu sambil bibir merahnya
menguntumkan senyum. Dia bingkas bangun dari sejadah.
Melipat dan terus meletakkan sejadah ke atas katil.
Perlahan Wahida menapak ke arah angahnya
yang sudah melabuhkan duduk di birai katil. Wajah bersih
angahnya disorot tanpa berkelip.
“Kenapa renung angah macam tu?” Sebelah kening
Wazif sudah terjongket tinggi.
“Adik... adik nak minta maaf dekat angah pasal tadi,”
Wahida capai tangan Wazif lalu menciumnya lama. Sumpah!
Perasaan bersalah membelit kemas di jiwanya saat ini.
Kenapalah lancang sangat mulut dia tadi!
“Adik tak salah apa pun. Dah, jangan nak touching
sangatlah. Angah okey aje.” Kepala Wahida diusap lembut.
Tadi tu, memang dia sentap dengan adiknya. Tetapi sekarang
semua rasa sentap itu sudah hilang.
“Tipu!” Wahida mencebik. “Angah, kita adik-beradik
tau... rapat pulak tu! Sekali pandang aje, adik dah boleh
tahu apa yang angah rasa. Adik betul-betul minta maaf. Adik
langsung tak ada niat nak sakitkan hati angah. Adik cuma
tak suka angah macam ni. Sebab Kak Zulaikha tu, angah
jadi jauh dengan umi dan abah... dengan keluarga! Make it
simple, angah! Dah tak ada jodoh.”
Make it simple? Wazif tersenyum kelat. Tapi,
betullah tu! Mereka adik-beradik memang rapat. Kalau
nak dibandingkan, Wahida memang lebih rapat dengan dia
berbanding kakak sulung mereka. Mungkin kerana jarak
umur yang terlalu jauh di antara Wahida dan kak long yang
membuatkan Wahida lebih rapat dengannya.
Lagipun, semenjak kak long mereka menetap
di Turki, jarang sekali kakak sulung mereka itu balik ke
kampung halaman. Kalau balik pun, semasa hari raya saja.
Selebihnya mereka sekeluarga hanya berhubung melalui
e-mel ataupun Skype saja.
“Dahlah, adik. Angah tak ambil hati pun. Betullah
apa yang adik cakap tu. Angah yang terlampau ikutkan kata
hati. Sedangkan dia dekat sana... hmm... dah bahagia dah!”
“Tahu pun! Adik tahu angah adik ni kuat orangnya.
Alaaa... angah ni kacaklah! Sekali petik jari aje, satu bas
ekspres datang.” Tergelak halus Wahida dengan kata-kata
sendiri. Tak agak-agak!
“Sebab tu angah malas nak petik jari! Angah
takut nanti bukan setakat sebuah bas yang datang, tapi
berbuah-buah!” Ketawa Wazif sudah berlagu sebaik saja dia
usai berkata-kata.
Wahida pula sudah bulat mata.
“Itu macam over sangat aje!” Bibir sudah mencebik
ke arah angahnya. Tawa Wazif masih berlagu. Lambat-lambat
bibir Wahida sudah tersenyum manis. Dalam diam dia
memanjat syukur melihat wajah angahnya sudah kembali
ceria macam biasa.
“Angah rasa bersyukur sangat dapat adik yang
prihatin macam adik ni. Selalu aje ambil berat tentang angah.
Adik jangan risau, okey? Insya-Allah, ada kelapangan nanti
kita balik kampung sama-sama,” janji Wazif. Wajahnya cuba
dimaniskan sehabis yang boleh. Tidak mahu Wahida terus
diburu perasaan bersalah.
“Betul ni?”
“Betullah. Bagi angah selesaikan dulu semua
kerja-kerja angah. Lepas tu, kita balik kampung.”
“Yeayyy... sayang angah!” Tubuh Wazif sudah dipeluk
erat. Bukan sikit sayangnya pada Wazif, tapi melimpah-ruah!
“Jangan nak seronok sangat. Dah solat ke belum ni?”
“Dah! Tadi lagi. Okeylah, adik keluar dulu. Nak
tengok TV!” Pelukan pada tubuh angahnya dileraikan dan dia
bingkas berdiri.
Baru dua langkah berjalan, Wazif sudah
memanggilnya semula. Spontan kakinya terpaku semula
di lantai. Kening dijongket kepada Wazif sebagai isyarat
bertanya.
“Adik, jangan lupa janji adik. Temankan angah ke
rumah Datin Maira minggu depan.”
“Ya, adik ingat...” Mata dikenyitkan kepada angahnya.
Kaki menapak semula ke muka pintu bilik. Namun, baru
beberapa langkah menapak, sekali lagi kakinya terpasak di
lantai. Keningnya mula berkerut. Mata tajam menyorot pada
sapu tangan bercorak Hello Kitty yang berlipat elok di atas
almari solek angahnya.
“Angah, siapa punya ni?” Tangan Wahida sudah
menyambar laju sapu tangan yang comel itu lalu membeleknya
dengan riak muka kehairanan. Angah punya ke? Macam pelik
aje kalau angah yang punya.
Wazif bingkas bangun dan bergegas ke arah Wahida.
Sapu tangan yang dipegang oleh Wahida segera disambar.
“Ini sapu tangan pekerja angah. Tadi dia pinjamkan pada
angah untuk sapu darah dekat dahi ni,” bohong Wazif. Tidak
tahulah sama ada Wahida perasan atau tidak riak cuak yang
terbias di mukanya.
“Kak Aulia?”
Laju Wazif mengangguk.
Wahida usap dagu. Pelik!
“Bukan dia cuti ke hari ni?” Matanya sudah sepet
merenung Wazif. ‘Nampak macam menggelabah saja. Betul
ke angah ni?’ Sempat lagi hatinya berbisik.
“Err... eh! Pergilah tengok TV. Cerita Korea dah
panggil adik tu.” Tubuh Wahida ditolak keluar dan laju saja
pintu biliknya ditutup. Bukan setakat tutup, tapi kunci terus.
“Angah! Angahhh!” Ketukan di muka pintu biliknya
langsung tidak diendahkan. Bibir mengukir senyum tatkala
bayang wajah Husna tiba-tiba saja datang menyapa. Sapu
tangan Hello Kitty digenggam kemas. Dia akan pulangkan
semula kepada Husna nanti.

“ARRGGHHHH!!! BENCIII...”
Telefon bimbit dicampak ke tepi bantal. Patung Hello
Kitty ditarik kasar dan didakap erat. Sakit hati!
Sudah hampir 20 kali dia menelefon Mikail,
tetapi satu panggilan pun tidak berangkat. WhatsApp yang
dihantarnya juga sudah bertanda biru, namun sepatah pun
tidak dibalas oleh Mikail. Hanya Allah saja yang tahu apa yang
dia rasa sekarang ini. Sakit hati macam kena toreh dengan
pisau. Perlahan-lahan mutiara jernih jatuh menjamah pipi
mulusnya. Argh! Sekali lagi air mata jatuh kerana lelaki itu.
Ruginya!
Adira pun satu, sama naik saja dengan Mikail.
Kalaupun betul sibuk, takkanlah nak angkat telefon dia 5 minit
pun tak boleh? Kenapalah insan-insan kesayangannya seperti
menjauh saja sekarang ini? Semakin dilayan perasaannya,
semakin melebat pula air mata menghujani pipi.
“Baby!” Suara cemas Hazim sudah bergema di muka
pintu bilik Husna. Tercungap-cungap dia mencari nafas.
Husna panggung kepala. Air mata yang tengah laju
mengalir itu disapu dengan tapak tangan.
“Abang ni dah kenapa? Terjerit-jerit...” Suara Husna
bergetar. Bibir pula mencebik.
Hazim melangkah masuk ke dalam bilik Husna.
Mengambil tempat di sebelah adiknya di birai katil. Pipi basah
itu disentuh lembut. Kalau dah menangis macam ni, pasti
adalah yang tidak kena. Alahai... bilalah adik perempuannya
ni nak matang?
“Baby tu, jerit tak ingat dunia! Sampai bergegar
rumah ni dibuatnya. Terkejut abang tau. Kenapa ni? Kenapa
adik kesayangan abang menangis? Sakit lutut, ya?”
“Sakit hati!” jawab Husna dengan mulut
memuncung.
“Parah ni. Sakit lutut dah berjangkit ke hati?” Hazim
tayang muka serius.
“Abanggg... suka sangat menyakat orang. Benci tau!”
Husna sudah mengongoi di dada Hazim. Sudahlah sakit hati
dengan Mikail dan Adira belum terubat. Abangnya Hazim
pula yang menambah rasa.
“Okey, abang minta maaf! Baby kenapa menangis ni?
Cuba cerita dengan abang.”
“Sakit hati!”
“Yalah! Sakit hati dekat siapa? Kenapa?”
“Sakit hati dengan Mikail. Dah berpuluh kali Una
call dia, tapi tak angkat. WhattsApp Una dia baca, tapi tak
balas,” geram Husna.
“Ooo... sebab tu. Dia sibuklah tu.” Lembut suara
Hazim memujuk. Kepala adiknya diusap penuh kasih.
“Adira pun sama. Sekarang ni, susah sangat nak
angkat call Una. Semua orang dah tak sayangkan Una.” Sekali
lagi Husna teresak di dada Hazim. Memang dia benar-benar
sedih saat ini. Selalunya kalau dia demam saja pun, Mikail
dan Adira pasti akan muncul di hadapan pintu rumahnya.
Tapi, sekarang... nak angkat telefon pun susah!
Hazim garu dahi. Kadangkala pening juga kepala dia
nak berdepan dengan kerenah manja Husna ni.
“Tak apalah... Janji mama dengan abang sentiasa ada
dengan baby. Sentiasa sayang baby. Itu dah cukup, kan?”
“Mama dengan abang lain. Diaorang ni lain!” Makin
panjang pula muncung Husna.
“Tapi mama dengan abang lagi penting kan?”
Menari-nari kening Hazim. Saja mahu menyakat adik
manjanya itu. Husna, kalau ikutkan manja dia... sampai
subuh esok pun belum tentu habis cerita.
“Tentulah! Mama dengan abang cinta mati Una tau.”
Pelukan di pinggang Hazim dikemaskan. Ringan juga tangan
Hazim membelai rambut Husna.
“Dah, jangan sedih lagi! Dah solat ke belum ni?”
Husna kemam bibir. Kepala digeleng perlahan
sambil mata menyorot tepat ke muka Hazim. Telinganya pula
sudah bersedia untuk mendengar tazkirah dari abangnya.
“Ini yang abang marah ni. Dah berapa kali abang
cakap, jangan lewatkan solat. Kecualilah kalau terdesak
sangat.” Kening Hazim sudah bercantum rapat. Dalam
manjakan Husna, kalau masuk bab solat dia memang tegas.
“Habis tu, lutut baby sakit...” Mata Husna bergenang
semula.
“Kan boleh solat duduk. Jangan nak bagi alasan.
Abang tak suka. Tahu tak, nanti bila kita dibangkitkan
semula... perkara pertama yang dihitung adalah solat. Masa
tu, nak jawab apa?”
“Okey... Una minta maaf.” Kepala Husna sudah
tunduk merenung tilam. Jemari pula, sudah bersulam sesama
sendiri. Kalau selalulah abang dia bertegas macam sekarang
ni, kecut juga perut dibuatnya.
“Dah, pergi ambil wuduk dan solat. Kejap lagi abang
nak cuci luka dekat lutut baby tu. Petang nanti abang dah
kena masuk kerja.”
“Hari ni kan cuti?”
“Awak lupa ke abang awak ni kerja apa?” Bulat mata
Hazim merenung Husna.
“Hehe... okey, okey!” Husna bingkas berdiri.
“Aduhh...”
“Hati-hati sikit baby!” Wajah Hazim jelas nampak
risau.
“Dah hati-hatilah ni. Abanggg... dukung!” Kedua-dua
belah tangan Husna sudah didepangkan di hadapan Hazim.
Bibirnya pula sudah tersengih nakal.
“Pang, nak?” Hazim bulat mata sambil mengacah
tangan mahu memukul Husna. Dalam hati bukan main
lagi dia menahan ketawa. Husna ni macam-macam betullah
perangai dia!
“Tak nakkk...” Kepala laju menggeleng. Kaki sudah
menapak perlahan ke bilik air. Sebelum Hazim betul-betul
pukul, lebih baik dia cepat.
“Baby,” panggil Hazim saat Husna sudah
menghampiri pintu bilik air.
Spontan Husna menoleh sambil menjongket
kedua-dua belah keningnya sebagai isyarat bertanya.
“Doktor veterinar tadi tu handsome tak?” Tawa kecil
Hazim sudah berlagu. Sengaja dia ajukan soalan itu untuk
mengusik Husna.
“Hah?” Muka Husna terus berubah rona. ‘Isy... saja
nak kenakan akulah tu!’ Hati dia sudah mengomel geram.
“Betul ni, tak kena cium?” Semakin galak pula Hazim
menyakat. Seronok melihat pipi adiknya yang kemerahan
menahan malu.
“Eee... malas nak layan abang!” Husna terus
meloloskan diri ke dalam bilik air. Serentak itu, pintu bilik
air ditutup kuat.
Hazim ketawa lepas.

No comments:

Post a Comment