DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 7

PUAN Serina duduk bersandar kemas pada
sofa empuk di ruang tamu rumahnya. Mata menyorot ralit
pada drama Korea yang sedang berlangsung di kaca TV.
Malam-malam minggu macam ini sajalah dia boleh balik
awal dan duduk bersantai-santai di hadapan kaca TV. Kalau
orang lain, mereka sudah ambil kesempatan berniaga
sehingga lewat malam pada malam minggu untuk mendapat
keuntungan lebih. Bagi dia pula, malam minggu hanya akan
digunakan untuk beristirahat bersama keluarga.
Itu pun jarang-jarang juga dia dapat berkumpul
bersama anak-anaknya. Yang selalu ada di rumah hanyalah
Husna. Hazim pula, jarang sekali dapat berhujung minggu
dengan mereka. Maklumlah, doktor... Faham sendirilah
komitmennya macam mana.
Sedang ralit Puan Serina melayan drama Korea
kesukaannya...
“Mama...” Terasa lehernya sudah dipeluk erat dari
belakang. Dan-dan itu juga pipinya dicium dari tepi.
“Ya Allah, baby! Cubalah bagi salam ke apa ke.
Terkejut mama tau!” rungut Puan Serina dengan kening
yang hampir bercantum. Mahunya tidak terkejut. Sudahlah
drama dekat TV tu tengah tayang adegan tembak-menembak.
Datang Husna, tak reti nak beri salam.
Husna menapak ke sebelah Puan Serina dan terus
melabuhkan duduknya di situ. Senyuman comel telah
dilayangkan buat mama kesayangan.
“Alaaa... mama ni, nak bermanja sekali-sekala pun
tak boleh. Dahlah susah nak nampak muka mama dekat
rumah ni. Muka abang tu, lagilah susah!” Bibir Husna
terjuih ke depan. Kepalanya disandarkan lembut pada bahu
Puan Serina. Tangan pula sudah berlingkar kemas di lengan
mamanya. Nak bermanja!
“Siapa kata tak boleh nak bermanja? Boleh sangat!
Tapi mama ni dah tua. Jantung tak berapa nak kuat dah. Bila
baby sergah-sergah macam ni, mama terkejut. Nak mama
mati cepat ke?” Puan Serina membalas lembut. Kepala Husna
yang berlabuh di bahunya itu dibelai perlahan. Anak manja!
Sampai bila-bila pun tetap manja. Kalau dah kahwin nanti
macam manalah agaknya.
“Sorry... Una tak sengaja. Allah, bila masanya mama
tua. Mama muda lagi tau! Abang tak balik lagi ke, mama?”
Tumpuannya kini sudah beralih ke kaca TV. Cerita apalah
yang mama layan ni? Hati dia sudah mengomel sendiri.
“Belum. Bukan tak tahu kerja abang tu macam
mana...”
“Hai, entah bilalah Una nak dapat kakak ipar kalau
macam ni. Alamatnya, Una pun tak kahwinlah sampai ke tua!”
Terlepas keluhan kecil dari mulut Husna. Wajahnya nampak
bersahaja saat menuturkan kata. Namun nada suaranya
seolah-olah kecewa benar.
“Amboi, anak dara mama ni... lain macam pulak
malam ni. Tiba-tiba aje bercakap pasal kahwin ni, kenapa?
Dah nak kahwin ke?” tebak Puan Serina bersama tawa
kecil. Kalau betul Husna nak berkahwin, dia memang tiada
sebarang bantahan. Sudah lama dia teringin nak bermenantu
dan bercucu juga. Nak harapkan anak sulung dia tu... haihh,
entah bilalah.
“Mana ada, mama. Cakap kosong ajelah! Siapalah
yang nak kan anak dara mama ni?” Husna cebir bibir.
“Habis tu, baby dengan Mikail tu bukan bercinta ke?
Puan Serina betulkan duduk. “Berkepit siang malam, pergi
sana sini, tiba-tiba cakap tak ada yang nak?”
“Mama ni, over tau! Bila masanya berkepit siang
malam? Bukan ke mama jugak yang tak bagi Una keluar
malam?”
“Hee... Mama saja buat ayat penambah rasa.”
Tersengih kecil Puan Serina. Betullah tu! Dia memang tak
suka Husna keluar berdua dengan Mikail pada malam hari.
Tak manis! Cuma kadang-kadang tu ada jugalah dia izinkan.
Tapi dengan syarat, jangan balik lambat. Itu pun sebab Mikail
datang minta izin sendiri dengan dia di rumah.
Husna hela nafas panjang.
“Hmm... susah nak cakaplah Mika tu, mama. Sejak
akhir-akhir ini, Una dah jarang sangat keluar dengan dia.
Macam-macam alasan yang dia bagi kalau Una ajak jumpa.
Hari minggu pun asyik sibuk aje.” Bahunya dijongket bersama
bibir yang sudah terjuih ke depan. Duduk ditegakkan. Tidak
bersandar lagi pada tubuh mamanya.
Puan Serina terdiam sejenak. Hmm... betullah
tu. Rasanya sudah lama dia tidak bertemu dengan Mikail.
Selalunya dulu, muka Mikaillah yang selalu muncul dekat
depan restorannya. Tapi sekarang ni, nak nampak bayang
Mikail pun susah.
“Hmm... Adira pun dah lama tak datang ke restoran
kan? Sibuk sangat ke dia?” Tunak matanya merenung anak
gadis kesayangannya.
“Entahlah, mama. Minah itu pun satu hal lagi. Bila
call nak bercakap panjang pun tak boleh, sibuk katanya. Bila
ajak jumpa, lagilah. Nak bernafas pun tak sempat kata dia.
Sibuk sangat mengalahkan perdana menteri!” Lengan Puan
Serina ditarik semula dan dipeluk erat. Tidak puas rasanya
mahu bermanja.
Semenjak arwah papanya meninggal dunia,
tanggungjawab menguruskan keluarga terpikul penuh ke
bahu mamanya. Kerana itulah waktu untuk mama bersama
anak-anak agak terbatas. Namun, dia sayangkan mamanya
dunia dan akhirat.
“Masing-masing dah ada kerjaya, baby. Sebab itulah
jadi macam tu. Baby saja yang masih main-main.”
“Una main-main? Mama nampak Una macam
main-main ke? Apa yang Una main-main, mama?” Nada suara
Husna sudah berubah menjadi serius. Lengan mamanya yang
dipaut erat sebentar tadi dilepaskan. Tubuh sudah bersandar
tegak pada sofa. Terasa hati dengan mamanya. Kenapalah
orang-orang di sekelilingnya tidak pernah nak faham?
“Bukanlah macam tu. Maksud mama, carilah kerja
yang lebih elok dan sesuai dengan kelulusan baby tu.” Suara
Puan Serina kedengaran kendur. Dia tahu, hati anak gadisnya
sudah tercuit. Tapi apa boleh buat. Sebagai seorang mama,
dia mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Hina sangat ke kerja dekat kedai bunga tu, mama?
Una bukannya mencuri.”
“Bukanlah macam tu. Hesy, susahlah mama nak
cakap dengan baby ni.”
“Okey! Una faham apa yang mama nak sampaikan.
Tapi, mama... kita kena ingat jugak, rezeki tu dekat tangan
Dia.” Tangan Husna sudah tegak ke atas sana.
Puan Serina terdiam. Hanya matanya saja yang tidak
lepas dari merenung wajah Husna. Drama Korea yang sedang
bersiaran di kaca TV tidak lagi menjadi tumpuannya.
“Mama, Una dah usaha. Kalau mama nak tahu, dah
banyak tempat dah Una apply kerja, tapi satu pun belum ada
yang bagi respons. Rezeki Una belum sampai, mama. Mama
doakan Una, ya? Kalau mama risaukan Una, Una lagilah risau.
Sebab Una kerja macam ni, sekarang dah ada jurang di antara
Una dengan Mika. Dengan Adira pun!” Lemah suara Husna
terluah. Keningnya juga sudah mula redup. Kalaulah mereka
boleh baca apa yang dia rasa...
“Maafkan mama kalau mama nampak macam
mendesak. Tapi, mama harap sangat baby dapat tolong mama
dekat restoran kita tu. Mama memang dah tak larat nak
uruskan restoran tu sorang diri. Nak uruskan butik lagi...”
Tangan Husna ditarik dan digenggam erat. Lembut matanya
menikam ke dalam mata Husna. Mengharap sangat agar anak
gadisnya itu mengerti.
Kepala Husna tertunduk. Serentak dengan itu juga,
nafasnya dilepaskan berat. Setiap kali mamanya menyatakan
hasrat hati, setiap kali itu jugalah perasaannya dihambat rasa
bersalah. Kalau boleh, dia tak nak langsung sakitkan hati
mamanya. Apatah lagi buat mamanya kecewa. Tapi... macam
mana dengan hati dan perasaan dia sendiri?
“Mama... tolong bagi Una masa. Bukan senang nak
ambil alih sesebuah perniagaan tu. Kena bersedia mental dan
fizikal. Kalau sampai hujung bulan depan pun Una masih tak
dapat kerja... Una janji, Una akan ambil alih restoran mama
tu. Lepas ni, mama boleh fokus pada butik pakaian mama
saja. Ataupun Una akan ambil alih butik mama. Restoran tu
nanti kita fikirkan macam mana. Tak pun nanti mama rehat
terus!” Bersungguh Husna berjanji. Kepalanya dianggukkan
berkali-kali. Biarlah dia berkorban. Bukankah Allah telah
menjanjikan kebahagiaan kepada setiap anak yang telah
membahagiakan ibu dan bapanya?
Lambat-lambat bibir Puan Serina terukir senyuman.
Tubuh Husna dirangkul erat ke dalam pelukannya. Dah lama
sangat rasanya dia tak peluk anak manjanya itu.
“Mama cuma nak yang terbaik untuk baby.” Lembut
suara terlantun. Meresap terus ke tangkai hati Husna.
“Ya, Una tahu...” Pelukan Puan Serina dibalas erat.
Damainya berada dalam pelukan seorang mama. Hanya Allah
saja yang tahu perasaannya.
Beberapa saat kemudian,
“Apa mama cakap?” Kepala Husna terus tegak. Naik
berkerut dahinya.
“Mama cakap apa? Tak cakap apa-apa pun!” Giliran
Puan Serina pula kerut dahi. ‘Bila masa pulak aku bercakap?’
Hati dah mengomel sendiri.
“Bukan ke? Habis tu, kenapa Una rasa macam ada
orang sebut nama Una tadi.” Kepala yang tidak gatal digaru
beria. Pelik! Tapi, memang dia betul-betul dengar tadi.
Ataupun itu cuma perasaan dia saja?
“Hesy, macam-macam!” Puan Serina geleng kepala.

BULAN YANG tampak indah di dada langit itu disorot dengan
penuh minat oleh Wazif. Sesekali bibir lelakinya terlakar
senyuman. Sudah hampir setengah jam dia duduk di kerusi
batu di tengah laman rumahnya sambil mata tidak lekang
merenung ke dada langit. Damai.
“Una...”
Tanpa sedar, seulas bibir lelakinya sudah menyebut
nama itu. Rasa-rasanya itulah nama perempuan yang langgar
dia siang tadi.
“Una? Una mana ni? Angah sebut nama siapa tadi?”
Sapaan yang tiba-tiba saja dari Wahida itu terus menyentap
lamunan Wazif. Tidak semena-menanya liur tertelan sendiri.
‘Isy, budak ni! Bila masa pulak dia terpacak dekat sini?’ Hati
Wazif sudah merungut sendiri.
“Angah, dengar tak adik tanya ni?” gesa Wahida
dengan suara manja. Punggungnya sudah dilabuhkan ke atas
kerusi batu bersebelahan dengan abang ngahnya.
“Dengar! Bila masanya pulak angah sebut? Angah
tak sebut apa-apa pun!” Wazif berdalih. Tangannya menyebak
rambut ke belakang. Wajahnya pula kelihatan selamba habis.
Tapi dalam hati, tidak sudah mengutuk diri sendiri. ‘Aduh,
macam manalah aku boleh tersebut nama minah tu! Memang
gilalah aku ni.’
“Tipu! Adik belum pekak lagi tau! Siapa Una tu?
Awek angah, ek?” tebak Wahida. Keningnya sudah terjongket
sebelah. Bibirnya pula sudah menguntum senyuman lebar.
“Awek?” Wazif melepaskan tawa. Buat lawak betul
budak Wahida ni.
“Angah, cepatlah cakap!” Bahu Wazif sudah
digoncang kuat. Memang dari tadi lagi dia perasan perangai
pelik abang ngahnya itu. Sebelum ni, tidak pernah pula abang
ngah dia duduk berlama-lamaan merenung bulan. Malam ni,
pelik benar gayanya.
“Angah nak cakap apa lagi? Memang angah tak
ada sebut apa-apa. Adik tu yang berangan. Dahlah! Tolong
buatkan angah air.”
“Sajalah tu! Nak mengelak punya pasal. Malaslah
adik!”
“Mak aii... malas?”
“Alaaa... kejap lagilah angah. Adik baru aje letak
punggung.” Wahida tersengih sambil memaut erat lengan
Wazif. Suka sangat dia peluk lengan abang ngahnya yang
berketul-ketul itu.
“Pemalas betullah adik angah ni!” Telunjuk Wazif
sudah menunjal lembut kepala Wahida. Merengek kecil
adiknya itu.
“Angah ni... suka sangat tunjal kepala adik macam
ni. Sebab itulah adik tak boleh nak jawab exam tadi.”
“Adik tak boleh jawab exam sebab adik malas baca
buku. Bukan sebab angah tunjal kepala adik!” Wazif melepas
tawa. Dan-dan itu juga mulut Wahida memuncung panjang.
“Angah jahat!” Dada bidang abang ngahnya sudah
ditumbuk kasar.
“Adoi, adik ni ganaslah! Kalau macam ni, sampai
sudahlah angah tak dapat adik ipar.” Wazif masih belum puas
mengusik.
“Angah tu, bila nak bagi adik kakak ipar? Kesian
dekat umi dengan abah, dah lama mereka kempunan nakkan
menantu perempuan.”
“Pandailah! Umi dengan abah tak pernah cakap
apa-apa pun dengan angah. Adik aje yang lebih-lebih.” Wazif
mencebik. Kalau dilayan adik bongsu dia ni berceloteh,
habislah... sampai esok pun tak habis!
“Yalah! Macam mana umi tu nak cakap, angah bukan
nak balik kampung pun. Setakat bercakap dalam telefon, tak
adanya umi nak cakap! Lagipun, umi dah tahu sangat dah
jawapan angah tu. Daripada dia frust menonggeng bila dengar
jawapan angah nanti, lebih baik dia diam. Tapi adik faham
sangat dengan umi tu. Angah tak kesian dekat umi ke?”
Diam sejenak.
Mata Wazif menyorot semula pada bulan yang
sedang bercahaya indah di dada langit. Nafas ditarik dalam,
kemudian dilepaskan perlahan-lahan.
“Hmm... macam mana dengan pelajaran adik? Cuti
semester ni nak balik kampung atau tinggal sini aje?”
“Angahhhh...”
“Apa?”
“Pandai ubah topik, ya?”
“Mana ada ubah topik. Dah memang angah tak ada
jawapan untuk soalan adik tu. Soal jodoh ni kerja Allah, dik.
Manalah kita nak tahu perancangan Dia. Jangan risaulah!
Sampai masanya nanti, kahwin jugak angah.”
“Angah, kalau tak cari... datang ke jodoh tu?” Wahida
bingkas bangun dari kerusi batu. Bercakap soal jodoh dengan
abang ngahnya itu memang akan menyakitkan hati saja.
Patutlah umi sudah malas nak bertanya.
“Eh, nak ke mana pulak tu?”
“Nak masuk solat isyak. Rasanya lagi tenang dari
bercakap dengan angah ni. Buat sakit hati aje!” geram
Wahida. Langkah dibuka untuk meninggalkan Wazif di situ.
Tawa Wazif sudah meletus kuat. “Adik!” Laung dia
bersama tawa yang masih bersisa. Langkah Wahida terus
mati. Tubuh dipusing semula ke arah abang ngahnya. Tidak
pula dia menjawab. Hanya sebelah keningnya saja yang
terjongket tinggi.
“Minggu depan temankan angah. Datin Maira jemput
ke rumah dia. Ada majlis sambutan hari jadi anak dia,” pinta
Wazif bersama senyuman yang sudah tersungging di bibir.
“Tak naklah! Angah ajaklah makwe angah tu!”
“Adikkk... pleaseee... angah mana ada makwe,” rayu
Wazif. Mengharap sangat agar Wahida bersetuju. Kalau dia
tak pergi nanti, apa pula kata Datin Maira. Sedangkan Datin
Maira itu adalah pelanggan tetap di kliniknya.
Wahida diam sejenak. Dagunya digaru laju, gaya
orang tengah berfikir.
“Hmm... okey. Tapi kena ada upah.”
“Baiklah. Apa-apa pun yang adik minta, asalkan
adik setuju nak temankan angah.” Wazif kenyit mata sambil
bibirnya menguntum senyum. Kacak sangat. Kalaulah Wazif
bukan abang kandungnya, mahu rasanya dia jatuh cinta
bertimpa-timpa dengan lelaki itu.
“Okey. Nanti adik beritahu apa upahnya. Adik masuk
dulu, nak solat! Sebelum angah membebel macam tok
nenek... baik adik pergi dulu.”
“Tahu pun!” Sekali lagi tawa Wazif pecah. Memang
dia kuat membebel pada Wahida. Tambah lagi apabila
melibatkan soal solat.

No comments:

Post a Comment