DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 23 October 2017

Supergirl - Bab 10

SEBAIK mendapat tahu berita yang disampaikan
Usop, Aina bergegas ke hospital. Dalam hati, dia tidak
putus-putus mendoakan keselamatan ibunya. Sebelum
dia pergi bekerja pagi tadi, ibunya kelihatan baik-baik saja.
Tiba-tiba tengah hari ini, Usop menelefon memberitahu
ibunya tiba-tiba jatuh.
Tergesa-gesa Aina keluar dari perut teksi. Pantas
dia membawa langkah ke kaunter. Kepada jururawat yang
bertugas, dia bertanyakan bilik yang menempatkan ibunya
itu. Setelah mendapat tahu bilik ibunya, dia bergegas pula
mendapatkan lif. Sewaktu berada dalam lif, dia merasakan
terlalu lambat untuk sampai ke tingkat 4, sedangkan dia
sudah tidak sabar mahu bertemu dengan ibunya. Mahu
melihat keadaan ibu yang amat disayanginya itu.
‘Ya Allah, selamatkanlah ibuku,’ hatinya merintih
dan terus merintih. Hanya kepada Allah dia berserah. Hanya
kepada Allah dia meminta. Semoga ibunya selamat. Dia masih
belum puas merasai nikmat kasih sayang seorang ibu.
Sampai saja di tingkat 4, Aina terus melangkah
keluar tanpa menoleh. Bagaikan lipas kudung dia bergerak.
“Aina...”
Suara itu membuatkan Aina berpaling.
“Ibu mana?” tanya Aina sebaik terlihat wajah Usop di
ruang menunggu.
“Ibu ada kat dalam. Doktor tengah buat pemeriksaan,”
beritahu Usop. Nasib baik dia bercuti hari ini. Jika tidak,
entah apa akan terjadi kepada kakaknya itu. Terperanjat dia
semasa melihat kakaknya tiba-tiba saja jatuh. Nasib baik juga
Omar, jiran sebelah rumah mereka berada di rumah ketika
itu. Omar dan isterinyalah yang membantu dia membawa
Mardiah ke hospital.
“Macam mana ibu boleh jatuh?” tanya Aina. Hatinya
tidak akan tenang selagi tidak melihat keadaan ibunya.
Usop geleng.
“Pak su tak tahu. Tiba-tiba aje ibu jatuh masa nak
masak nasi.”
Semakin gundah-gulana hati Aina. Hendak saja dia
menerjah masuk ke dalam bilik ibunya ditempatkan. Tetapi
Usop menghalang.
“Apasal lama sangat ni?” keluh Aina sambil mata
mencuri pandang ke arah jam dinding yang tergantung elok
di situ.
“Sabarlah Aina. Doktor tengah buat pemeriksaan
tu,” pujuk Usop. Hatinya juga tidak keruan selagi doktor
yang merawat kakaknya tidak keluar. Namun dia tidak mahu
menunjukkan rasa risaunya di depan Aina. Tidak mahu
menambahkan lagi gusar dalam hati anak saudaranya itu.
“Memanglah buat pemeriksaan, tapi kenapa lama
sangat?” gumam Aina. Jari-jemarinya bermain antara satu
sama lain. Reaksi biasa apabila dia dilanda resah.
Belum sempat Usop membuka mulut, pintu bilik
yang menempatkan kakaknya ditarik dari dalam. Seraya itu
juga Aina terus menerpa ke arah seorang wanita berjubah
putih.
“Doktor! Macam mana keadaan ibu saya?” Itu soalan
pertama Aina.
“Cik ni anak Puan Mardiah?” tanya doktor muda itu
pula.
Angguk.
Doktor muda bernama Nazween itu menghela nafas.
“Keadaan ibu cik agak membimbangkan. Ibu cik
mengalami patah tulang kaki sebelah kiri. Dan dia terpaksa
dibedah serta-merta.”
Mata Aina membulat. Berita itu cukup mengejutkan.
“Patah tulang kaki? Tapi macam mana boleh jadi
macam tu, doktor?”
“Biasanya, pesakit buah pinggang seperti ibu cik
yang sudah lama menderita penyakit ini akan mengalami
masalah keretakan tulang. Tambahan pula faktor usia yang
kian meningkat. Risiko untuk patah tulang itu menjadi
semakin besar. Tapi cik tak perlu risau. Kami masih boleh
melakukan pembedahan ke atas ibu cik bagi menyambung
semula tulang kakinya yang patah.” Dr. Nazween memberi
penerangan kepada Aina.
“Macam mana pulak dengan kosnya, doktor?” Aina
bertanya lagi.
“Yang tu... nanti kita bincangkan. Tapi agak besar
juga kosnya, cik.”
Aina terkedu. Agak besar kosnya? Dari mana
dia mahu mencari duit, sedangkan duit yang ada pun
cukup-cukup untuk rawatan dialisis ibunya. Dia bingung.
Rasa hendak meraung. Betapa besarnya pengaruh duit dalam
kehidupan manusia zaman sekarang. Orang miskin seperti
mereka bertambah melarat hidupnya.
Saat kebingungan melanda, Aina teringatkan mamat
muka ketat itu. Tawaran lelaki itu semalam berlegar-legar
dalam benak. Mungkin dia harus terima tawaran gila itu.
Hanya itu saja jalan yang dia nampak waktu ini.
Tanpa sepatah kata, Aina melangkah sambil
menggagau beg tangannya. Entah di manalah dia campak kad
nama lelaki itu.
“Aina! Aina nak ke mana?” tanya Usop
mengejar langkah panjang anak saudaranya yang sudah
meninggalkannya sendirian.
“Aina ada urusan penting nak diselesaikan.”
“Urusan apa yang penting sangat? Ibu macam
mana?”
Aina ketap bibir. “Pak su tolong Aina jaga ibu. Nanti
Aina balik.”
“Tapi Aina nak ke mana?”
Bisu. Aina tidak mahu memberitahu Usop apa
yang perlu dia lakukan. Apa yang penting, dia akan kembali
bersama sejumlah wang untuk kos pembedahan ibunya dan
melangsaikan segala hutang piutang pak sunya itu.
Aina nekad! Jalan itu harus dipilih demi orang-orang
tersayang. Dia perlu berkorban demi mereka. Tak kisahlah
jika dia perlu menggadai maruah dirinya sekalipun.
Keputusannya bulat ketika ini.

AINA MEMANJANGKAN lehernya mencari kelibat lelaki
muka ketat itu. Setelah puas mencari, barulah dia terlihat
kelibat si lelaki. Bukan main lelaki itu mencari tempat duduk.
Terperosok dari pandangan ramai. Lantas, dia mengatur
langkah menghampiri lelaki itu.
“Ehem... ehem...” Aina berdeham agar lelaki itu
menyedari kehadirannya.
Luth menoleh. Wajahnya seperti biasa. Langsung
tiada senyuman yang dilemparkan. Ketat semacam. Tanpa
mempelawa gadis di depannya itu duduk, selamba saja dia
kembali menghirup jus orennya. Kehadiran Aina seolah-olah
tiada makna.
Aina mengetap bibir tanda geram. Lelaki muka ketat
itu memang menyebalkan. Kalau ya pun, apa salahnya pelawa
dia duduk dulu baru sambung minum semula? Huh!
Tanpa mempedulikan tingkah mamat muka ketat
yang menyakitkan hatinya itu, Aina menarik kerusi lalu
melabuhkan punggungnya di situ. Nak tunggu lelaki itu
pelawa, sampai ke subuh pun lelaki itu takkan buat. Dasar si
mamat muka ketat yang sombong!
Wajah lelaki yang duduk di depannya tanpa ada
sebarang perasaan itu ditenung. Mencari di mana terletaknya
cacat cela pada wajah itu. Namun, demi Allah... dia tidak
mampu jumpa. Wajah itu kelihatan begitu sempurna. Meski
tanpa sekelumit senyuman menghiasi bibirnya yang agak
kemerahan, lelaki di depannya ini tetap kelihatan kacak
menawan. Dia yakin, pasti ramai gadis jatuh hati kepada si
mamat muka ketat ini. Bukan saja gadis, mak-mak gadis
pun tentu ramai yang hendak menjadikan lelaki kacak ini
menantu agaknya. Macam cerita dalam novel cinta.
Jika bukan disebabkan rekod pertemuan pertama
mereka yang buruk, tentu saja Aina boleh tersenarai
menjadi salah seorang gadis yang jatuh hati terhadap lelaki
ini. Dengan wajah kacak yang boleh dijual di dada majalah,
siapalah yang tidak terpikat? Aina juga tidak terlepas. Sebagai
manusia biasa yang punya perasaan normal, dia juga suka
melihat sesuatu yang indah.
“Dah puas belek muka saya?”
Sentak! Suara lelaki itu mengembalikan Aina ke
alam nyata. Memang lelaki bernama Luth Zulkarnain ini
memiliki wajah yang tampan. Tapi sayang, budi bahasanya
tidak seindah wajah. Menyampah dengan lagak lelaki ini.
Mentang-mentang kaya raya, punya kelebihan
berbanding orang miskin, semudah itu lelaki ini
memperlekehkannya. Menyombong tak kira tempat. Ingat
sombongnya itu boleh dibawa ke mati agaknya? Mati nanti,
semuanya sama. Tak kira kaya ataupun miskin. Pakai kain
putih yang sama. Masuk lubang kubur tetap akan disoal
Munkar dan Nakir. Tiada alasan.
Aina mencebik. Tangannya disilangkan ke dada.
Kalau bukan disebabkan perkara itu, dia tidak sudi berdepan
dengan lelaki ini lagi.
“Aku... ehem... sa... saya dah buat keputusan. Saya
terima tawaran awak,” putus Aina dalam keterpaksaan.
Demi ibu yang sedang sakit, demi pak su yang memerlukan
bantuan, dia rela berkorban.
Luth panggung kepala. Keningnya dijongket sebelah.
Kali ini gadis itu tidak lagi ber‘aku-kau’ dengannya.
“Really?” soal Luth masih dengan kening yang
dijongket sebelah. Ala-ala The Rock gitu.
Kelakuan Luth cukup menyakitkan hati Aina. Geram
dengan muka kerek itu. Dalam hati, sudah berbakul-bakul
sumpah seranah dihadiahkan. Tak pasal-pasal dia dapat dosa.
Luth pula dapat pahala. Dia cuba bersabar meskipun hatinya
sebal.
“Hmmm... saya dah agak. Awak mesti terima tawaran
saya,” ujar Luth lalu senyuman sinis dihadiahkan kepada
Aina.
Sungguh! Aina tidak suka melihat senyuman itu
tersungging di bibir lelaki ini. Terasa dirinya diejek. Terasa
dirinya dihina hanya kerana dia menerima tawaran yang
diberikan.
“Awak jangan nak salah faham ya. Saya terima
tawaran awak pun sebab ibu dan pak su saya. Kalau bukan
disebabkan mereka, saya tak sudi nak jadi isteri kontrak awak
tu!” Aina menegaskan keputusannya. Dia tidak mahu lelaki
ini terus memandang hina kepadanya hanya kerana tawaran
yang diterima.
Selamba saja aksi Luth. Sekeping sampul surat
bersaiz A4 dihulurkan kepada Aina.
“Dalam ni ada surat perjanjian kontrak yang
perlu awak tandatangani. Sebelum tu, saya nak awak baca
syarat-syarat yang saya tetapkan. Awak tak dibenarkan
membantah atau mengingkari salah satu pun syarat dalam
surat perjanjian ni. Jika awak membantah atau ingkar, awak
akan terima hukuman yang setimpal dengannya.”
Dahi Aina berkerut. Sampul dicapai lalu isi surat
perjanjian ditarik keluar. Penuh cermat, dia membaca satu
per satu syarat yang ditetapkan. Sampai pada syarat ke-3,
matanya membulat.
“Boleh tak kalau saya tak perlu ikut awak balik ke
Kuala Lumpur? Saya tak nak tinggalkan ibu dengan pak
su berdua di sini.” Sejujurnya, syarat ke-3 yang mahu dia
menetap di Kuala Lumpur selama setahun itu terlalu sukar
untuk dipenuhi. Aina tidak pernah berpisah dengan ibunya.
Masakan dia perlu meninggalkan ibunya hanya kerana lelaki
ini? Apatah lagi dalam keadaan ibunya yang sedang sakit dan
memerlukan penjagaannya.
“Macam yang saya cakap tadi Cik Aina, awak takde
hak membantah atau ingkar syarat yang telah saya tetapkan.
Sama ada awak ikut syarat-syarat saya, atau saya batalkan
tawaran ni? Semua terpulang pada awak.”
Kejam! Lelaki ini memang tidak berhati perut.
Tergamak mahu memisahkan dia dengan ibu kandungnya
yang sedang sakit. Langsung tak nak bertolak ansur. Kalau
dia ikut lelaki ini ke Kuala Lumpur, siapa akan menjaga
kebajikan ibunya?
Hati Aina mula bolak-balik.
“Macam mana?” Luth bersuara.
Aina ketap bibir. Hanya dengan menerima tawaran
ini saja dapat membantu ibu dan pak sunya. Dia terpaksa
bersetuju walaupun hatinya dihiris sembilu. Dia kena akur
walaupun terpaksa berjauhan dengan ibunya.
‘Maafkan Aina, ibu. Aina tak berniat nak tinggalkan
ibu. Aina terpaksa,’ rintihnya. Hendak menangis, dia tidak
mahu kelihatan lemah di mata lelaki muka ketat ini.
Setelah menghabiskan pembacaannya, Aina
menurunkan tandatangan pada bahagian yang tertera.
Lantas, tangannya ditadah di depan Luth.
“What?”
“Saya nak wang pendahuluan.” Aina amat
memerlukan duit ketika ini.
Tanpa banyak soal, Luth mengeluarkan buku cek
dari poket sut yang dipakai. Lalu dia menulis beberapa angka
di situ. Rasanya jumlah yang diberinya itu sudah cukup buat
Aina sebagai wang pendahuluan atas persetujuan gadis itu
menjadi isterinya dalam tempoh setahun.
“Ni... saya berikan awak wang pendahuluan. Buatlah
apa yang awak nak dengan wang ni. Itu hak awak. Cuma saya
nak ingatkan awak, jangan sesekali tipu saya. Tandatangan
awak ada dalam surat yang saya pegang ni. Awak dah baca
dan persetujui segala syarat yang ditetapkan. Awak juga
tahu ada hukuman kalau awak langgar perjanjian yang awak
persetujui. Saya takkan teragak-agak sumbat awak dalam
penjara.” Luth bersuara tegas. Dia benar-benar serius dengan
apa yang diberitahunya. Tidak kisahlah Aina ini perempuan
sekalipun.
Aina mendecit.
“Tahulah! Saya takkan tipu awak. Saya ni jenis
manusia yang berpegang pada janji. Jangan risau, saya takkan
lari. Saya akan jalankan tugas macam yang awak mahu dalam
surat perjanjian tu.”
“Good! Saya suka berurusan dengan orang yang
mendengar kata.”
Menyampahnya Aina dengan lelaki ini. Berlagak
sangat!
“Okeylah... saya rasa dah takde apa-apa lagi yang
perlu kita bincangkan. Awak pun dah tandatangan surat
perjanjian. Jadi sekarang, saya nak awak selesaikan segala
urusan awak dekat sini sebelum kita berangkat ke KL Selasa
depan.”
“Hah???” jeritan Aina bergema.
Serentak itu Luth menggosok-gosok telinganya.
Nasib baik gegendang telinganya tidak rosak kerana jeritan
yang tak ubah macam guruh di langit itu.
“Boleh tak jangan menjerit macam tu? Sakit telinga
saya!”
Aina tidak menghiraukan amaran lelaki itu. Dia
cukup terkejut mendengar tempoh yang diberikan. Terlalu
singkat.
“Selasa depan? Kenapa cepat sangat?” Nyata Aina
tidak berpuas hati dengan tempoh yang ditetapkan mamat
muka ketat di depannya itu. Dalam tempoh 5 hari, dia rasa
belum puas bersama ibunya. Apatah lagi dalam keadaan
ibunya yang sedang sakit. Dia mahu sentiasa di sisi menemani
dan memberi kata semangat kepada ibunya.
“Saya bagi awak masa 5 hari. Saya rasa itu dah cukup
untuk awak. Jangan banyak soal. Selesaikan urusan awak
secepat yang mungkin. Esok, saya suruh Potato jemput awak.
Ada urusan penting yang perlu kita selesaikan sebelum balik
ke KL.”
“Urusan apa pulak?”
“Nikah.” Pendek dan padat jawapan Luth.
“Nikah?”
“Hmmm... nak jadi isteri saya, awak kenalah
bernikah dengan saya.”
“Tapi...”
“Jangan lupa, awak dah sign surat perjanjian.” Luth
memberi ingatan. Tegas.
Aina mendengus. Sesalnya sudah tak berguna. Mahu
tak mahu, esok dia harus juga mengikut segala telunjuk lelaki
itu. Bernikah. Menjadi isteri Luth Zulkarnain dalam tempoh
setahun. Kerja gila yang sememangnya gila!
Tanpa pamitan, Luth bangun dari duduknya dan
terus berlalu. Aina yang masih duduk di situ langsung tidak
dihiraukan. Dia cuma mahu gadis itu menepati janji yang
telah termeterai.
Aina menggigit bibir bawahnya. Geram. Bongkak
sungguh lelaki itu. Poyo, kerek dan yang sewaktu dengannya.
Satu keluhan berat dilepaskan mengenangkan dia perlu ke
Kuala Lumpur untuk tempoh yang agak lama. Berat hatinya
mahu meninggalkan ibu tersayang. Tidak pernah berpisah.
Namun kini, dia terpaksa melangkah pergi.
‘Maafkan Aina, ibu...’


*** BOLEH DAPATKAN  DIPASARAN UNTUK KELUARAN OKTOBER 2017*** 

No comments:

Post a Comment