DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 7

SEBELUM masuk ke dapur, Dian menjenguk
kepala ke garaj. Dia tersenyum kecil apabila tidak melihat
kereta warna hitam. Pasti tuan punya kereta itu juga tiada.
Selipar ditanggalkan lalu dia melangkah masuk ke dapur
melalui pintu belakang.
“Adrian tak ada, kan?” soal Dian pada Mak Ani yang
merupakan pembantu rumah Tan Sri Ahmad.
“Dia baru aje keluar. Sibuk buat persiapan terakhir
nak kahwin.”
“Kalau nampak dia balik, cepat-cepat tau cakap kat
Dian. Sepantas kilat gitu.” Pesan Dian lalu menuju ke singki.
Apabila lalu belakang Mak Ani laju saja jari telunjuknya
mencucuk pinggang wanita itu. Apalagi melatah panjanglah
Mak Ani dibuatnya.
“Kucing aku terbang... kucing aku terbang... eh
kucing aku terbang. Hesy, budak ni!” marah Mak Ani apabila
habis melatah. Dian suka sangat mengusiknya. “Karang Mak
Ani tak nak cakap bila Rian balik...”
“Tak... Dian tak buat dah. Dian janji...” Dian
mengangkat tangannya seperti bersumpah. Laju saja dia
membantu mencuci pinggan mangkuk yang kotor. “Dian
tolong Mak Ani basuh pinggan ya.”
Dia hanya tersenyum apabila Mak Ani mengangguk.
Walaupun pembantu rumah di Vila Paduka, tapi wanita ini
tidak tinggal sini. Mak Ani ada keluarganya sendiri. Tugas
wanita ini hanya perlu mengemas rumah. Tapi disebabkan
rajin, kadang-kadang Mak Ani yang akan membantu ibunya
memasak.
Sudah seminggu dia tidak berjumpa Adrian. Sejak
peristiwa itu, dia tidak ke Vila Paduka sewaktu Adrian ada. Dia
tahu lelaki itu masih berdendam dengannya. Adrian ada juga
mencarinya di rumah, tapi awal-awal dia sudah mengunci
pintu.
Mak Ani memainkan peranan yang sangat
penting. Sejak seminggu yang lalu wanita itu yang akan
memberitahunya tentang kepulangan Adrian. Kalau tahu
Adrian balik cepat-cepat dia akan pulang ke rumah. “Ibu
mana?” soal Dian apabila tidak melihat ibunya.
“Pergi pasar. Dian lambat 5 minit.” Beritahu Mak
Ani lalu menghulurkan beberapa batang timun yang baru
dibasuh. “Dian, tolong potong timun ni. Hari ini tan sri
balik makan tengah hari. Tiba-tiba tadi call nak makan nasi
minyak. Tak sabar-sabar.”
“Bila Adrian tu nikah Mak Ani?” soal Dian ingin
tahu. Timun diambil lalu dipotong halus.
“Dalam 2 minggu lagi. Lepas kahwin beberapa
minggu, terus dia dan Haiza terbang pergi UK. Sambung
belajar.”
“Dua-dua sambung belajar?”
“Haah. Adrian lepas habis buat degree, tan sri paksa
dia kerja kat Indah Holdings. Rian tu tak minat kerja-kerja
macam ni. Lepas kena paksa barulah dia kerja. Haiza tu pula
dah kerja. Lepas kahwin dia stoplah dulu.” Cerita Mak Ani
lancar. Sambil bercakap tangannya membasuh beras untuk
membuat nasi minyak.
Dian mengangguk faham. Baru dia tahu perihal
kedua pasangan itu. Maknanya umur Adrian dan dia jauh
beza. Kalau lelaki itu baik dengannya, sudah dijadikan abang
angkat. Siapa tak nak ada abang angkat yang cerdik?
“Dah lama mereka bercinta?”
Mak Ani terdiam sebentar. Pili air ditutup lalu dia
memandang wajah Dian. “Ibu Dian tak pernah cerita ke
apa-apa pasal keluarga Rian?”
“Ada ibu nak cerita tapi Dian yang tak nak dengar.
Tak minat.”
“Sekarang dah minatlah?”
“Saja nak tahu untuk mengisi masa lapang.”
“Mereka kenal baru 6 bulan. Mak Ani cuma dengar
cerita tan sri aje. Katanya Haiza dulu yang pikat Adrian.
Rian tak layan sebab dia memang bencikan perempuan. Tapi
bila lama-lama dia jadi cair dengan Haiza. Bila dia cakap
nak bertunang, Mak Ani dengan ibu kamu terkejut sangat.
Ingatkan dia main-main. Ibu kamu ada pesan suruh dia fikir
masak-masak. Ambil masa dulu untuk kenal-kenal Haiza.
Tapi Rian tak nak. Harapan kami janganlah Haiza itu mainkan
perasaan Rian. Kesian Rian, dia dah banyak menderita.”
Cerita Mak Ani sambil mengeluh kecil. Selesai menanak nasi
dia duduk di meja makan bersama Dian. Laju tangannya
memotong timun yang masih belum dipotong. Timun-timun
ini akan dibuat acar.
Dian mula berfikir. Apa yang dicakapkan oleh Mak
Ani sama apa yang dicakapkan oleh ibu. Adrian? Perempuan?
Benci? Apa dah jadi?
“Adrian tu walaupun kasar tapi dia baik. Dengan
perempuan yang dia tak kenal memang dia kasar. Tapi dengan
Mak Ani dan ibu Dian, dia tak pernah kurang ajar. Ibu kamu
tu dia hormatkan macam dia hormat atuknya. Mula-mula
Mak Ani kerja sini pun, Mak Ani pelik dengan sikap dia. Tapi
lama-lama baru Mak Ani faham sebab apa dia jadi macam tu.
Rian tu bencikan perempuan bersebab. Bukan senang nak
rapat dengan dia.”
Dian mengaru kepalanya. Entah mahu percaya atau
tak dengar kata-kata Mak Ani itu. Susah pula mahu percaya.

BARU SAJA memijak tangga, telinga Adrian menangkap
suara orang berbual di dapur. Dia sudah tahu suara itu milik
siapa. Tak sangka masih berani gadis itu menjejakkan kaki ke
sini lagi. Laju saja dia berjalan ke dapur. Ingat dia mahu lepas
begitu saja?
“Muncul juga kau akhirnya.” Dia mula mengukir
senyuman sinis apabila melihat wajah terkejut Dian.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke
tanah.
Bulat mana Dian memandang Mak Ani yang
mengangkat bahu tanda tidak tahu itu. Akibat rancak berbual
mereka tidak sedar kepulangan Adrian. Lain kali jangan
sebut nama lelaki tu. Tengok sekarang, tak pasal-pasal sudah
muncul.
“Mana kau nak lari?” perli Adrian apabila melihat
Dian seperti mahu bangun. Bukan dia tidak nampak mata
gadis itu sudah menjeling-jeling ke arah pintu dapur. Kunci
kereta dihulurkan pada Mak Ani. “Mak Ani, pergi ambil
barang dalam kereta saya. ”
Dian menelan air liur apabila hanya dia dan Adrian
saja ada di dapur. Apa-apa kemungkinan boleh jadi ni. ‘Ibu,
cepatlah balik. Anak ibu perlukan ibu saat ini.’ “Baru balik,
pergi mana?”
“Aku pergi mana bukan urusan kau.” Sindir Adrian.
Pandai sungguh Dian mahu mengalih perhatiannya. Wajah
gadis itu dipandang seperti ingin telan. “Seminggu aku
berdoa supaya dapat jumpa kau. Tak sangka hari ini doa aku
termakbul.”
“Takkan benda macam ni pun nak berdoa?” Walaupun
ada sikit rasa takut tapi berani pula Dian menjawab. Lagipun
benda lama sudah berlaku buat apa nak kenang kembali. Tak
matang betul si Adrian ni.
“Tak perlu aku cari, akhirnya kau sendiri yang
muncul depan aku.” Geram pula Adrian apabila Dian
sengaja memekakkan telinga. Boleh pula gadis itu pura-pura
memotong timun. Dia menuju ke arah gadis itu. “Kau sini
ikut aku.”
“Tak nak.” Dian menarik tangannya yang dipegang
oleh Adrian. Entah-entah lelaki itu mahu mencampaknya
masuk ke dalam kolam. Tak boleh jadi ni. Sebelum dia kena
campak, dia akan pastikan Adrian dulu yang dicampaknya
masuk ke dalam kolam.
“Sini, aku nak bagi pengajaran pada kau. Berani kau
kenakan aku. Nasib aku tak mati.” Adrian kembali menarik
lengan kanan Dian. Tangannya cuba merampas pisau yang
masih dipegang oleh gadis itu. “Lepas pisau tu...”
“Lepaskan lengan aku dulu.” Dian cuba menggigit
tangan Adrian tapi tidak berhasil. Silap besarlah Adrian mahu
membulinya. “Lepaslah. Ibu... Mak Ani... Lepaskan, arghh...”
Tidak berkelip Adrian dan Dian memandang pisau
yang sudah bertukar warna merah itu. Beberapa titis darah
mula kelihatan atas lantai. Kedua-duanya berpandangan
sesama sendiri.
“Kauuu...” panggil Adrian keras sambil menekup
lengannya yang luka. Dahinya mula berkerut menahan sakit.
“Ya Allah, Adrian!!!” jerit Mak Ani dan Puan Nisa
serentak apabila Adrian mula rebah ke lantai.
“DIAN TAK sengaja, atuk.” Ucap Dian pada Tan Sri Ahmad.
Wajahnya ditundukkan tanda bersalah.
“Atuk tak marah pada Dian. Dah nama pun tak
sengaja. Takkan Dian saja-saja nak toreh lengan Rian kan?
Rian pun tak teruk mana.” Pujuk Tan Sri Ahmad. Masuk kali
ini sudah berpuluh kali Dian memohon maaf kepadanya.
“Tapi ibu cakap lengan Rian kena jahit, mesti sakit.”
Teringat dulu masa kecil dia kena jahit di kaki akibat terpijak
kaca. Mahu bergegar satu klinik dengan jeritannya.
“Lain kali kalau Dian berkasar jangan sampai
mencederakan orang. Bahaya. Mujur pisau tu kena kat
lengan. Kalau tertikam kat badan?” tegur Puan Nisa pula.
“Dah, Dian sendiri pergi jumpa Rian. Minta maaf
dengan dia. Cakap baik-baik.” Suruh Tan Sri Ahmad.
“Nanti kalau dia bunuh Dian?”
“Atuk pula yang bunuh dia nanti.” Tan Sri Ahmad
buat lawak. “Adrian tak adalah jahat sampai nak bunuh orang.
Kalau dia ada pukul kamu cakap kat atuk. Tahulah atuk nak
ajar dia.”
Dian hanya mengangguk lalu menuju ke bilik
yang menempatkan Adrian. Lantaklah Adrian mahu marah
sekalipun, memang dia salah.
“Apa hal kau masuk tak ketuk dulu? Buatnya aku
tengah tukar baju, sukalah kau tengok free show.” Marah
Adrian sambil menyandar di kepala katil. Dijeling tidak puas
hati gadis itu. Lepas apa yang terjadi, masih berani tunjuk
muka depannya. “Sukalah kau tengok aku macam ni?
Patutnya kau patahkan terus tangan aku. Biar kau puas hati.”
“Aku datang bukan nak bergaduh dengan kaulah. Aku
nak minta maaf.” Mohon Dian yang berdiri di sebelah katil
Adrian. Lengan Adrian yang berbalut putih itu dipandang.
Terbit pula rasa kasihan. Bila melihat Adrian depan mata
baru dia rasa lega. Nasib tak teruk. Tapi masa kejadian itu,
dia juga hampir pitam melihat darah yang mengalir seperti
air. Ini kali pertama dia berkasar dengan seseorang sehingga
berdarah.
“Jadi kau mengakulah yang kau sengaja toreh lengan
aku?”
Laju Dian menggeleng kepalanya. “Aku tak sengaja.
Kalau bukan sebab kau tarik tangan aku, mesti aku tak
tertoreh lengan kau. Kau pun salah.”
“Susahnya kau nak mengaku salah sendiri?”
“Kau pun salah. Suka cari pasal dengan aku.” Dian
mula naik angin.
“Kau keluar. Menyakitkan hati betul.”
“Okey. Sekali lagi aku minta maaf.” Dian mengatur
langkah ke pintu bilik. Dia tahu lama-lama di sini hanya
akan menyebabkan Adrian makin naik angin. Lagipun dia
lega sudah minta maaf. Apabila teringatkan sesuatu dia
menghentikan langkah. “Berapa jahitan kena?”
“Kalau jahitan ini tinggalkan parut kat lengan aku.
Aku cari kau sampai lubang cacing.”
“Buat apa nak cari saya kat lubang cacing? Buat
susah-susah aje. Saya duduk belakang Vila Paduka. Bila-bilamasa boleh pergi.”
“Kau keluar!!!” Kuat suara Adrian menengking.

“JOMLAH BALIK ibu. ”
“Kenapa Rian suruh kamu keluar? Kamu cari pasal
lagi ke dengan dia?” soal Puan Nisa. Jelas di telinganya dengar
jeritan Adrian.
“Kesan ubat yang dia makan kut. Sebab tu dia jadi
gila-gila.” Jawab Dian selamba.
Puan Nisa mengeluh kecil. Ditarik Dian duduk di
kerusi yang kosong. “Dian, kamu jangan buat macam ni lagi
ya. Ibu tak nak dah lepas ni kamu kenakan Rian lagi. Kali ini
ibu merayu pada kamu. Apa yang kamu buat tu bahaya. Lepas
ni kamu anggap aje Rian tu tak wujud. Apa yang tak puas hati
tu buang jauh-jauh. Biarkan Rian dengan hidup dia.”
“Ya ibu,” balas Dian sambil mengangguk.
“Kamu pergi tunggu ibu kat kereta. Ibu nak jumpa
Rian dengan tan sri dulu.” Puan Nisa tersenyum. Lega apabila
Dian mendengar katanya.
“Okey.” Dian terus melangkah menuju ke lif. Butang
G ditekan lalu dia turun ke bawah.
Langkah kakinya terhenti sebaik keluar dari lif.
Matanya menangkap pasangan yang melintas di depan. Dian
mengerutkan dahi apabila melihat gadis itu bersama dengan
seorang lelaki.
“Siapa lelaki tu?” soal Dian sendirian. Kalau si gadis
dia kenal. Itu Haiza, tunang Adrian. “Kawan dialah tu.”
Malas dia mahu ambil tahu siapa lelaki yang bersama
Haiza. Itu bukan masalahnya. Mungkin Haiza dan temannya
mahu melawat Adrian di hospital.
Sementara menunggu ibunya keluar, Dian
menyandar di pintu kereta. Sudah 2 hari Adrian dirawat di
hospital. Baru hari ini dia berpeluang berjumpa lelaki itu.
Dian menyembunyikan diri apabila melihat pasangan
tadi mula keluar dari lobi hospital menuju ke tempat letak
kereta. Dapat dia lihat lelaki itu membuka pintu untuk Haiza.
Nampak mesralah pula. Takkan mereka sudah melawat
Adrian? Sekejapnya!

“RIAN, HAIZA ada melawat kamu tak?” soal Tan Sri Ahmad
lalu menarik kerusi. Hari ini tidak pula dia nampak tunang
cucunya di hospital.
“Ada dia datang tadi. Tapi tak lama, sebab lepas tu dia
kena masuk kerja.” Walaupun hanya sekejap dapat berjumpa
Haiza, dia sudah gembira. Gadis itu sudi meluangkan masa
rehat untuknya. Hilang terus sakit di tangan.
“Sekarang dia tak datang?”
“Mungkin dia penat. Dia pun baru balik kerja.
Biarlah dia balik rumah terus.”
“Apa salahnya kalau balik kerja datang melawat
kamu sekejap.”
Adrian memandang atuknya. Ada saja kesalahan
Haiza yang atuk nampak. Baginya melawat sekali sehari
sudah cukup. Dia tidak mahu mengganggu masa tunangnya.
“Atuk kenapa macam tak suka dengan dia?”
“Mana ada atuk tak suka. Siapa pilihan kamu atuk
tak kisah.”
“Haiza kadang-kadang takut nak jumpa Rian sebab
atuk. Atuk macam tak mesra dengan dia. Dengan anak Auntie
Nisa boleh pula atuk mesra.” Sengaja dia tidak menyebut
nama Dian. Buat sakit hati saja. Bukan dia tidak nampak
bagaimana layanan atuk pada gadis itu tadi. Macam Dian
benar-benar cucu atuknya. “Kesian Haiza, dia cuba nak ambil
hati atuk.”
“Rian, atuk tak pernah cakap tak suka kat Haiza.
Biasalah atuk dah tua, siapa yang pandai ambil hati atuk tu
yang atuk suka. Dian tu atuk suka dengan sikap dia. Haiza
pun atuk suka dia. Atuk tak pilih kasih.” Tan Sri Ahmad
menepuk perlahan bahu cucunya.
“Atuk tak suka Rian bertunang ke? Atau atuk tak
setuju Rian sambung belajar kat overseas?” Dia tidak tahu
isi hati atuknya. Tapi dia tahu jawapannya antara salah satu.
Sejak kecil dia tidak pernah berpisah dengan atuk. Mungkin
atuk berat hati mahu melepaskan dia pergi. “Kalau atuk nak
Rian sambung belajar kat Malaysia, Rian akan ikut. Tapi kalau
atuk tak suka Rian bertunang...”
“Jodoh kamu dah sampai. Dahlah kamu rehat dulu.
Atuk nak keluar.”
Adrian memandang atuknya keluar. Kadang-kadang
dia tidak faham dengan atuk. Ada hari atuk nampak gembira,
ada hari atuknya nampak sedih.

No comments:

Post a Comment