DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 2

HUSNA terus memecut Cik Kiah dengan sepenuh
hati. Macam nak terlerai body skuter pink yang mama dia
hadiahkan sempena ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.
Sesekali mata Husna melirik pula pada jam di pergelangan
tangan. ‘Aduh, lambat lagi!’
Saat matanya menangkap pandang pada kedai bunga
Lee’s Flowers, bibirnya spontan mengukir senyum. 5 minit
terakhir ini memang masa yang tidak patut disia-siakan.
Cik Kiah dipecut lagi dan signal di sebelah kiri terus diberi
untuk memasuki tapak parking. Namun, belum pun sempat
dia membelokkan Cik Kiah ke kiri... sebuah Honda City putih
terlebih dahulu memintas dan terus masuk ke tapak parking
di hadapan kedai bunga.
Streeetttt...
Berdecit bunyi tayar Cik Kiah apabila dia menekan
brek dengan tiba-tiba. Muka dia jangan ceritalah. Pucat habis!
Kalau toreh dengan pisau pun belum tentu ada darah yang
keluar. Jantung pula, rasa macam tak berdegup langsung dah!
“Gila!” Husna usap dada. Beberapa kali nafas ditarik
dalam.
“Makhluk Tuhan yang manalah tak reti bahasa
sangat ni? Kalau aku tak sempat tekan brek tadi, tak ke arwah
jadinya? Aku muda lagi, oii!” Husna ketap bibir. Geram!
Enjin Cik Kiah cepat-cepat dimatikan dan diparkir
betul-betul di belakang Honda City putih tadi. Dengan
hati yang membara, kaki dibawa melangkah ke arah pintu
pemandu.
Tok! Tok! Tok!
Cermin Honda City putih diketuk kuat. Dari cermin
yang tak berapa nak gelap itu, kelihatan seorang lelaki sedang
ralit bercakap di telefon. Langsung tidak pedulikan dia yang
terkinja-kinja di luar kereta.
5 saat menanti, lelaki itu masih tidak pedulikan
dia. Cermin kereta masih lagi berkatup rapat. Hati Husna
semakin membengkak. Geram betul dia tengok muka lelaki
yang bajet bagus ini. Boleh pula dia buat donno saja dekat
Husna. Kekwat betul mamat ni!
Tok! Tok! Tok!
Kali ini Husna mengetuk dengan lebih kuat lagi.
Mamat kekwat tadi menoleh ke arah Husna. Lama juga
matanya terpaku ke wajah Husna sebelum dia palingkan
semula wajahnya ke hadapan dan terus berbual di telefon
bimbit. Lagaknya seolah-olah tiada sesiapa di situ.
“Ooo... Kau nak tunjuk lagak dengan aku, ya? Kita
tengok siapa yang lebih berlagak nanti!” Husna gigit hujung
bibir. Kaki diayun laju menuju ke bonet hadapan kereta itu
dan...
Dengan sekuat hati dia menumbuk bonet hadapan
Honda City itu dengan penumbuk comelnya. Dan-dan itu
juga mamat kekwat tadi buka pintu kereta.
“Woi, gila ke?” Mamat kekwat sudah menjerit sambil
turun dari perut kereta. Telefon bimbitnya terus dimasukkan
ke dalam poket seluar jean yang dipakai dan dia melangkah
laju ke arah Husna. Bonet hadapan keretanya dibelek
bersungguh. Manalah tahu ada calar. Kereta baru kut!
Husna mencebik. Helmet yang masih tersarung
kemas di kepalanya itu dibetulkan. ‘Eleh... macamlah calar
kereta dia tu!’ Husna julingkan matanya ke atas tanda meluat.
Dah ambil parking orang, boleh pula buat-buat tak tahu.
Menyampah!
“Kau ni dah gila, ek?” Mamat kekwat itu membentak
keras. Dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Husna sambil
bercekak pinggang. Matanya merenung tajam ke dalam anak
mata Husna. Lagaknya macam nak telan Husna hidup-hidup
dekat situ.
“Err... errr...” Husna terpaku. Bulat matanya
merenung ke mata mamat kekwat. Seakan-akan terpukau
dengan renungan mata mamat itu.
‘Oii, Husna! Tak payah nak renung beria sangatlah!
Kau ingat ni drama petang Azalea dekat TV3 tu ke? Asal
heroin jumpa pakwe kacak aje, jantung berdetak laju. Klise
sangat, okey!’
‘Tapi... mata mamat kekwat ni memang cantik.
Cantik sangat! Warna coklat jernih. Alis mata dia pula,
panjang dan lentik. Lebat pula tu! Alahai...’ Husna rasa hati
dia sudah lebur dek terkena panahan mata mamat tu. Tapi...
Dan-dan itu juga hati dia berteriak. ‘Haipp, Husna! Wake up!
Jangan nak gatai sangatlah. Hati kau tu hanya milik Mikail
aje tau!’
“Ehemm...” Husna berdeham panjang.
“Awak tu yang gila! Dah nampak saya bagi signal
nak masuk parking ni, kenapa awak main redah aje? Parking
tu saya yang cop dulu! Nasib baiklah saya sempat tekan brek
tadi. Kalau tidak...” Husna biarkan saja ayatnya tergantung
di situ. Matanya merenung dalam ke mata mamat kekwat
tadi. Kali ini bukan sebab geram, tapi sebab rasa sayang nak
alihkan pandangannya dari menikmati keindahan makhluk
ciptaan Tuhan ni. ‘Ahaks! Gatai, kau Husna.’
Kening mamat kekwat terjongket tinggi. Sesaat
kemudian, Husna nampak bibir mamat kekwat itu sudah
tersenyum senget kepadanya.
“Simpanlah taktik lapuk kau tu! Aku tahu kau
sebenarnya nak mengurat aku, kan? Pleaselah... perempuan
macam kau ni...” Mamat kekwat itu menyorot diri Husna dari
atas sampai ke bawah. “Hmm, bukan taste aku!” Kemudian,
dia tersenyum sinis.
Bukan tak cantik. Tapi taste dia kepada perempuan
bertudung yang pandai menjaga maruah diri. Bukan
perempuan yang suka tayang tubuh sana sini
“What?” terjerit kecil Husna. Nafasnya turun naik
menahan geram. ‘Aku nak mengurat dia? Aku? Nak mengurat
dia? Tolonglah!’
“Awak ingat, awak tu handsome sangat ke? Dahlah
curi parking orang, tak reti pula nak minta maaf. Perasan
tahap cipan pula tu! Awak ni memang sadis, kan?” Husna
peluk tubuh sambil tersenyum mengejek. ‘Nak mengata aku
sangat, kan? Hah! Mai, lawan.’
“Minah senget! Jaga sikit mulut kau tu! Kalau
perempuan, buat cara perempuan.”
“Apa? Awak ingat saya takut ke? Ini balasan untuk
mamat kekwat macam awak ni.” Husna keluarkan sekeping
duit syiling dari beg sandang kecil yang sejak tadi bersilang
di tubuhnya dan...
Sepantas kilat dia melari-larikan duit syiling itu
ke bonet hadapan kereta lelaki itu. Melopong terus mulut
mamat kekwat tadi.
“Opsss...” Husna tekup mulut. Buat-buat terkejut.
Mamat kekwat bulat mata.
“Sorry, tak sengaja...” Suaranya dilunakkan. Matanya
dikerdip-kerdipkan ke muka mamat kekwat itu sebelum dia
melepaskan tawa dan terus berlalu ke arah Cik Kiahnya. Huh!
Gara-gara mamat ini, dia dah lambat nak masuk kerja.
“Nanti dulu!” Tahan mamat kekwat tiba-tiba sambil
berlari anak mendapatkan Husna yang sudah berdiri di
sebelah Cik Kiah.
“Nak apa lagi?” bentak Husna dengan muka bosan.
Mamat kekwat tadi sudah berdiri betul-betul di
hadapan Husna. Merenung dalam pada skuter pink miliknya.
“Motor kau ke?” soalnya dengan muka bersahaja.
Sebuah senyuman dia koyak. Dalam hati mengutuk kaw-kaw
pada Husna. ‘Yarkk! Hello Kitty? Pleaseeelah...’
Husna telan liur. ‘Aik, baik pulak!’
“Tak! Motor curi.” Husna menjeling bosan.
“Ooo... bukan ek? Okey!”
Gedebu kk!
Sekali tolak saja, Cik Kiah sudah rebah menyembah
bumi. Giliran Husna pula yang melopong. Hatinya rasa
macam nak meraung saat itu juga. Berani mamat kekwat ni
tolak Cik Kiah dia sampai terjatuh! Eee... geram!
“Kau apa hal buat Cik Kiah aku macam ni?” Suara
Husna sudah berubah nada. Macam orang nak menangis pun
ada. Matanya juga sudah bergenang. ‘Abanggg... tengoklah
apa yang mamat kekwat ni buat pada Cik Kiah Una...’ hati dia
sudah merengek sedih.
“Opsss...” Mamat kekwat tadi tekup mulut. “Sorry,
tak sengaja! Sekarang dah seri, okey!” Mamat kekwat tadi
jongket bahu dan terus berlalu dari situ. Huh, puas hati!
Husna terduduk di atas jalan raya. Tubuh Cik Kiah
yang masih terbaring itu digosok dengan mata berkaca.
“Cik Kiah... sakit tak?” Air mata sudah meleleh-leleh
di kedua-dua belah pipi Husna. Sampai hati mamat kekwat
buat Cik Kiah macam ni. ‘Aku benci kau, mamat kekwat!
Benciiii!’

MUNCUL SAJA di muka pintu kedai, Yani terus menarik
tangan Husna ke tepi. “Wei, kenapa kau lambat sangat hari
ni? Mr. Lee dah bising-bising tau! Kali ni aku tak tahulah kau
ada peluang lagi ke tidak.” Yani berbisik perlahan di telinga
Husna. Matanya tidak lepas dari menjeling Mr. Lee yang
berdiri tegap di hadapan kaunter di hujung sana.
Husna tidak menjawab. Malah kaki dibawa lemah
menapak ke arah Mr. Lee yang nampak sibuk dengan buku
akaun harian kedai. Sebaik saja menyedari Husna sudah
berdiri di hadapannya, dia terus panggung kepala. Lengan
besarnya diangkat dan muka jam direnung lama.
Yani yang berdiri di belakang Husna menggaru
kepala. Habislah kawan dia kali ini.
“You lambat lagi! Sekarang I mau tanya, you bos
ataupun I bos dekat sini?” Mata Mr. Lee sudah membuntang
bulat. Termasuk kali ini, sudah 5 kali Husna datang lambat.
Ikutkan hatinya mahu dipecat Husna sekarang juga!
Husna tidak membalas. Tangannya menggenggam
kemas helmet berstiker Hello Kitty sambil kepala menunduk
ke lantai. Apa lagi yang dia nak jawab. Memang salah dia!
“Okey, kali ni saya kasi peluang sama you sekali lagi
ma. Pastikan you tak buat lagi!”
“Terima kasih Mr. Lee...” Sekarang barulah Husna
berani panggung kepala. Sebuah senyuman manis diukirkan
buat majikannya. Yani di belakang mengurut dada. Fuh!
Lega... Mahunya tidak. Kalau Husna dipecat, jenuhlah dia nak
melayan perangai cerewet Mr. Lee itu sorang-sorang.
“Nasib baik you comel! Kalau tidak, dah lama I buang
you.” Makin lebar pula sengihan Husna. Siapa tak suka kena
puji, kan? Ahaksss...
“Dah. Jangan nak tersengih-sengih dekat sini. Sana
ada customer. You pergi layan sekarang!” Mulut Mr. Lee
sudah memuncung ke arah pintu kedai.
Kepala Husna terus tertoleh ke arah sana. Saat itu
juga, darahnya terasa menyerbu laju ke muka. Dada pula
terasa sempit untuk menghela nafas. ‘Apa mamat kekwat
ni buat dekat sini?’ Giginya dikacip rapat. Hati sudah
mendongkol geram.
“Hei, you menungkan apa lagi ni? Cepat pergi sana.
Layan customer tu!” Suara Mr. Lee berubah menjadi keras
semula.
“Una!” Yani yang berada di belakangnya menepuk
bahu dia, kuat. Telunjuk Yani sudah terarah kepada mamat
kekwat yang sedang membelek bunga mawar di hujung sana.
“Hah? Err...” Hanya itu yang terbit di mulutnya kala
ini.

No comments:

Post a Comment