DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 16 April 2020

Gengster - Bab 1

 


 

BIJA keluar dari jabatan kecemasan sudah hampir menginjak ke pukul 10 malam. Cuaca tak berapa elok pula malam ini, berangin tetapi tidak pula hujan. Kilat pancar-memancar. Kaki diayun pantas ke kereta Myvi kepunyaannya yang berada di belakang hospital. Sampai di kereta terus saja masuk tanpa waswas. Tak terfikir langsung keselamatannya mungkin tergugat.

“Jangan jerit!”

Terasa lehernya dijerut tiba-tiba dengan lengan seseorang serta pisau berkilat dihunus betul-betul di depan mukanya. Bija sungguh terkejut!

“Kau nak selamat atau mati?”

Bisik suara lelaki di cuping telinganya. Terlalu rapat, boleh terasa telinganya panas dek nafas lelaki tidak dikenali itu. Menggeletar terus seluruh badan. Pundi kencing terasa penuh tiba-tiba. Bila-bila masa jika tahap ketakutannya naik mendadak, tak mustahil dia akan terkencing di situ juga.

Err... err... atau?” Bija terlepas cakap. Kepalanya cuba berfikir cepat-cepat dan akhirnya itu yang terkeluar daripada mulutnya. Bukan sengaja mahu main-main tetapi terlepas cakap. Aduh, gawat!

“Main-main kau, ya? Aku kelar leher kau, baru kau tahu!” Pisau tajam dirapatkan ke leher perempuan itu, mengacah.

“Jangan! Jangan! Nanti Mia dekat rumah pengasuh macam mana? Kasihan Mia kalau saya tak ada. Papa Mia sudahlah jarang balik ke rumah. Tolonglah kasihankan kami. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah...” Bija merayu laju-laju.

Teringat anak perempuan comelnya ditinggalkan di rumah pengasuh. Kalau terjadi apa-apa dengannya, Mia yang comel bagaimana? Tak semena-mena air mata Bija tumpah. ‘Ya Allah... tolong aku. Bukan demi aku tetapi demi anak kecilku yang masih memerlukan aku.’ Doanya bersungguh-sungguh.

“Weh, cakap tu jangan laju-laju. Mana sempat aku nak dengar semua!”

Marah lelaki jahat itu tetapi kemudian Bija terdengar lelaki itu mengerang. Pisau yang dihunus ditarik, hanya lengan masih menjerut lehernya. Bija lega sedikit.

“Kau duduk diam, jangan cuba nak melawan! Kalau kau melawan, kau takkan berjumpa dengan Mia kau sampai bila-bila. Kau nak?” ugut lelaki itu dengan kejam.

“Tak nak...” Lembik suara Bija menjawab. Sudah tentu dia akan memilih berdiam diri. Dia sayangkan Mia, buah jantung hatinya.

“Haa, pandai pun kau... jawapan paling bijak! Tak payah sekolah pun pandai kalau macam ni.” Sempat pula lelaki jahat itu membuat lawak bodoh.

Bija diam hanya terdengar pintu kereta dibuka dan ditutup. Tak lama selepas itu pintu di sebelah penumpang pula dibuka. Lelaki jahat yang berada di belakang tadi sudah bertukar tempat duduk. Parah! Bija cuba menjeling, mahu tengok betul-betul siapa orangnya tetapi pisau berkilat tadi sudah selesa mendarat di tepi lehernya sekarang. Gulp!

“Kau dengar sini. Aku tengah cedera sekarang ni tapi kau jangan ingat aku lemah! Kau pernah dengar harimau cedera lagi buas dan bahaya? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Lelaki jahat itu menyoal dengan intonasi suara agak kuat dan bengis.

“Dengar, dengar, dengar...” Bija menggelabah apabila diancam. Pantas diangguk kepalanya berkali-kali, mengiakan kata-kata orang jahat itu.

“Kalau kau nak Mia kau selamat dan kau juga kau selamat, kau kena tolong aku!” Selepas mengugut dan mengancam seenak rasa, lelaki jahat itu meminta pertolongan perempuan itu pula.

Kepala Bija yang sedari tadi hanya memandang ke depan tanpa sedar menoleh ke kiri. Refleks terkejut! Sudah tentu dia sangat terkejut melihat lelaki jahat itu berdarah di merata-rata badan dengan pakaian koyak rabak seperti dilibas-libas dengan parang. Bija mengagak dari luka yang dilihatnya. Pengalaman sebagai jururawat, dia selalu melihat senario sebegini. Selalunya pasal kes amuk atau kongsi gelap, bergaduh sampai berparang-parang.

“Nak tolong macam mana?” tanya Bija. Dia bukan doktor, tetapi seorang jururawat. Diulangi, seorang jururawat!

“Kau kerja wad mana?” tanya lelaki jahat itu.

Bija pandang pelik lelaki itu. Ini bukan sesi berkenalan. Ini menjurus kepada sesi penculikan, apa kaedahnya bertanya dia bekerja di wad mana?

“Jabatan kecemasan.” Orang dah tanya, jawab sahajalah.

“Bagus! Kau pergi tempat kerja kau sekarang, cari suture 3/0, 4/0, 5/0, adrenalin, gauze, gamgee, plaster cari yang transparent, bandage, alcohol, povidone. Apa lagi... Oh, painkiller. Tak kisah mana-mana. Kalau dapat yang kuat lagi bagus!” Senafas lelaki itu minta barang-barang perubatan. Tak kekok langsung, seperti familiar sahaja dengan semua nama-nama barangan perubatan itu.

Bija pelik lagi hairan. Dia masih terpaku walaupun sudah mendapat arahan daripada ‘tuan doktor’.

“Tunggu apa lagi! Kau nak aku cari Mia kau sekarang ke?” ugut lelaki jahat itu sesuka hati.

“Eh, okey, okey... saya pergi sekarang. Tolong jangan buat apa-apa dengan Mia saya!” Bija baru sedar diri apabila diugut lagi dengan Mia. Kalut dia buka pintu.

“Tapi...” Baru hendak turun dia teringatkan sesuatu.

“Tapi apa?” Keras si lelaki jahat bertanya. Lebih kepada suara menahan kesakitan.

“Maaf, kalau tak ada suture yang nak tu macam mana? 3/0 dengan 4/0 banyaklah kat emergency tapi 5/0 selalu ada kat OT aje.” Baru teringat 5/0 hanya sesuai untuk kulit muka kerana saiznya halus. Di bahagian kecemasan hanya ada 3/0 dan 4/0 sesuai untuk kulit anggota badan. Memilih betul orang jahat ni! Tahu pula tak nak muka tu berparut!

“Aku tak kira, 5/0. Kau cari sampai dapat!” Lelaki jahat itu bertegas dengan apa yang diinginkan.

Demand kuat!” cemuh Bija sebaik pintu ditutup. Dia berjalan laju ke bahagian kecemasan. Sampai saja terus tangannya mencapai barangan yang dipinta di bilik rawatan dan di bilik suntikan. Semuanya dimasukkan ke dalam beg galas. Sebaik keluar, dia bertembung dengan teman sekerja.

“Eh, bukan kau dah balik ke tadi?” tanya Rani. Terkejut melihat Bija masih berada di situ.

“Tertinggal barang!” Bija bagi alasan tetapi muka kalut semacam. Dahi berpeluh-peluh padahal ruangan ini sepenuhnya berpenyaman udara.

“Oh... kau tak sihat ke? Berpeluh saja ni?” tanya Rani lagi, hairan melihat telatah teman sekerja yang pelik semacam.

“Haah, macam nak demam. Aku balik dululah Rani.” Cepat-cepat Bija minta diri. Dia tak boleh berlama-lama. Buat kepala tak betul orang jahat itu pergi cari Mia bagaimana?

Bija kalut panjat tangga ke tingkat 4 untuk ke dewan pembedahan mengambil suture yang diminta. Sempat dia berselisih bahu dengan seorang jururawat. Beg galas terjatuh ke bawah, kalut dia tunduk mengambil beg yang jatuh. Tanpa mohon maaf terus panjat tangga ke tingkat atas, langsung tak pandang jururawat dilanggarnya tadi. Kalut punya pasal!

“Isy, langgar aje bukan nak minta maaf!” omel jururawat dilanggar Bija tadi sebelum meneruskan langkahnya turun ke tingkat bawah.

Setelah segala barangan yang dipinta dia dapati, Bija tergesa-gesa pergi ke kereta semula. Lega kerana keretanya masih di situ. Diketuk tingkap kaca supaya kunci pintu dibuka dari dalam.

“Lambat betul! Sikit lagi aku nak jadi orang kurang sabar. Kalau aku kurang sabar dah lama aku pergi cari Mia kau tadi!” bebel si jahat dengan muka mengantuk. Sempat buat tahi mata.

“Dah, saya dah bawa semua barang,” kata Bija takut-takut. Jantung berdetak laju macam orang sakit jantung. Dalam hati tak putus-putus beristighfar dan menyebut kebesaran Allah. Berharap dia dan anak kecilnya sentiasa dilindungi Allah.

“Bagus! Jom, kita pergi jemput Mia. Aku nak jumpa Mia... mesti comel macam kau kan!” Pipi perempuan itu dicubit kuat.

“Aduh, sakitlah!” Bija mengaduh sambil menjeling garang. Mulut terkumat-kamit menyumpah dalam hati.

“Dah, jom... jom pergi ambil Mia. Mesti Mia dah lama tunggu,” gesa lelaki jahat itu siap tepuk stereng yang dipegang perempuan itu.

Terkejut Bija dibuatnya.

Err... nak tanya sikit boleh?” Dia memberanikan diri bertanya. Dia perlu tahu sesuatu.

Hmm... tanya apa? Mood aku tengah baik ni, baik kau tanya benda elok-elok!” Lelaki jahat itu membenarkan perempuan itu bertanya tetapi sempat lagi nak mengugut. Tangan yang memegang pisau beralih tempat di belakang kepala si perempuan pula.

“Kalau saya tolong awak, awak boleh tak jangan apa-apakan saya dan Mia saya?” pinta Bija dalam takut-takut. Dia terlalu risaukan Mia.

“Baik kau jalan sekarang!” arah lelaki jahat itu terus mengacu pisau ke leher selepas mendengar kata-kata itu.

“Awak, tolonglah... Jangan apa-apakan kami, lebih-lebih lagi jangan apa-apakan Mia.” Bija masih belum menggerakkan keretanya. Cuba berunding.

“Jalan cepat! Aku ni bleeding banyak, karang aku kelar leher kau kat sini, nak?” ugut lelaki jahat dengan garang tetapi kedengaran suara mengerang di hujungnya. Mungkin si penjahat sudah tidak dapat menahan kesakitan lagi.

“Selagi awak tak janji tak apa-apakan kami, saya takkan pergi ke mana-mana!” Bija berdegil.

“Kau tak takut?” Pisau diacah lagi.

“Saya takut tapi saya rela mati demi Mia saya!” Bija bertegas.

“Baik kau jalan. Bukan dengan kau saja aku bunuh, dengan Mia kau sekali aku cari dan bunuh. Aku tak fikir nak bunuh orang sekarang ni tapi jangan buat aku rasa nak bunuh orang!” Lelaki itu mengugut dengan suara semakin terdesak.

Bija terkejut apabila penjahat itu tiba-tiba mengerang kuat. “Okey, okey... saya gerak sekarang. Nanti dekat depan ada security guard, tolong duduk betul-betul. Pisau tu tolong jauhkan sikit.” Dalam keterpaksaan Bija memulakan pemanduan. Tangannya basah dengan peluh memegang stereng. Ketakutan yang teramat.

Sebaik saja hampir melalui pemeriksaan pengawal keselamatan, lelaki jahat itu melindungi badannya dengan beg galas, sweater dan topi. Sebiji macam orang tengah tidur dengan topi ditutup sepenuhnya pada muka.

“Pandai betul!” omel Bija dengan kelicikan lelaki jahat itu melindungi dirinya.

“Aku dengar!”

Sempat pula dengar orang mengomel. Huh!

 

PINTU GRIL dibuka, terpaksa memapah lelaki jahat itu masuk ke dalam rumahnya. Terpaksa! Selepas didudukkan lelaki jahat itu di atas sofa, Bija keluar mengambil Mia di rumah pengasuh yang berada di tingkat bawah. Terpaksa dia tebalkan muka dengan pengasuh kerana sudah terlalu lewat untuk dia mengambil Mia.

Seperti yang dijangka, kelihatan Midah dengan muka cemberut menarik keluar Mia yang sedang terpisat-pisat. Kasihan anaknya, mungkin ditarik begitu saja daripada tidur. Sedih tetapi apalah daya dia sebagai ibu yang bekerja.

“Dah lewat 2 hari ni, bila nak bayar duit mengasuh?” Midah bertanya kasar.

“Esok saya bagi kak, belum sempat pergi tekan duit lagi,” beritahu Bija. Perit apabila kenangkan baki gaji dalam akaun bank. Baru 2 hari gaji masuk, bakinya sudah tinggal sedikit.

Hmm...” Midah sengaja tutup pintu dengan kasar.

Hati Bija terasa. Perlahan diangkat Mia dalam dukungan. Jiwanya berlagu sendu, meratapi nasib diri yang semakin hari semakin sukar. Teringat orang jahat di rumahnya buat hatinya bertambah walang.

Kepalanya sibuk membelek naskhah akhbar yang pernah dibaca sebelum ini tentang pembunuhan ngeri. Doa tidak putus-putus dalam hati, berharap selepas malam ini segalanya akan bertambah baik. Yang penting dia dan Mia tak diapa-apakan.

Bija masuk ke dalam rumah, dilihatnya lelaki itu sedang menyelongkar beg galas tadi. Tanpa bersuara dia meletakkan Mia di atas katil supaya sambung tidur kembali.

“Kau sini, tolong aku cuci luka ni,” panggil lelaki jahat itu tatkala melihat si perempuan keluar dari biliknya. Kelihatan perempuan itu takut-takut mahu dekat dengannya.

“Sinilah!” herdik si lelaki kasar.

Apabila diherdik barulah Bija menghampiri. Lelaki itu selamba membuka bajunya. Mata dia terpaku melihat tatu matahari pada badan lelaki itu. Sah, kaki samseng kongsi gelap! Jelik betul sewaktu Bija melihatnya.

“Apa tengok lagi!” herdik lelaki itu sekali lagi.

Sarung tangan dipakai. Dia perlu mengambil langkah berhati-hati dengan orang macam ini. Dengan berhati-hati, Bija mengeluarkan disposable dressing, dituang lotion untuk mencuci luka.

“Kau pandai jahit luka?” tanya lelaki itu lagi.

“Pandai,” jawab Bija. Kalau hendak jahit mulut orang lagilah dia boleh. Gumamnya.

Good. Hmm... kau jahit luka di paha aku ni dulu.” Lelaki jahat itu menghalakan matanya ke arah paha dia yang masih tersarung seluar yang sudah koyak-rabak dengan kesan libasan parang.

Bija pandang paha lelaki itu yang berbalut ikatan kain. Nampaknya lelaki itu cuba menghentikan pendarahan. Sepet matanya tiba-tiba dek sedang berfikir bagaimana mahu menguruskan luka yang merata-rata di badan lelaki itu.

“Okey.” Bija mula bertindak menggunakan segala kemahiran yang dia ada untuk merawat penjahat itu. Tanpa bertanya atau meminta izin selamba saja dia mengoyakkan seluar yang lelaki itu pakai. Lantak!

Luka dicuci. Kemudian Bija mula melakukan suturing. Dia melakukannya dengan tekun. Selepas itu, dipecahkan ampul adrenalin lalu dibasahkan dengan gauze dan ditekapkan pada luka yang sudah dijahit kemas. Fungsi adrenalin dapat menghentikan perdarahan.

“Bagus juga jahitan kau ya!” puji lelaki jahat itu. Dia hanya memerhati hasil kerja perempuan di depannya yang ternyata kemas. Dia berpuas hati!

Bija toleh seketika, matanya dapat melihat lelaki jahat itu sedang menahan kesakitan.

Hmm, bolehlah...” kata Bija dengan perasaan lega kerana dengan tangan menggigil dia boleh menjahit dengan baik. Tersalah jahit bimbang menaikkan kemarahan lelaki jahat itu. Dia sangat takut tetapi apa yang paling dia takuti, jika lelaki jahat itu mengapa-apakan Mia. Bija cuba tidak membuatkan lelaki jahat itu berang.

Lelaki jahat itu hanya mendiamkan diri sambil memejamkan mata. Sempat dia menilik wajah lelaki jahat itu sewaktu dia merawat luka yang lain pula. Wajah lelaki jahat itu comot dengan darah yang sudah kering. Dengan janggut dan misai yang serabai memang sesuai sangat dengan watak penjahat. Bija geleng kepala.

Tiba giliran luka di belakang, tempat tatu matahari. Luka itu mencacatkan sedikit lukisan tatu matahari itu. Bija bersihkan luka dan darah yang sudah kering melekat pada kulit. Selepas itu dengan berhati-hati dia melakukan suturing. Terdengar lelaki itu mengerang. Dia juga turut berdecit merasakan kesakitan yang lelaki itu tanggung.

Sekarang giliran luka pada muka, pipi sebelah kanan. “Saya nak cuci luka pada pipi,” beritahu Bija. Karang lelaki itu terkejut pula kalau dia terus cuci. Namun lelaki jahat itu dia sahaja dari tadi, mungkin tertidur kut.

“Kau cuci aje, nanti aku jahit sendiri.” Lelaki jahat itu buka matanya, terus pandang tepat ke mata perempuan itu. Jarak mereka terlalu dekat.

“Hah?” Bija terkejut. Mahu buat sendiri? Pandaikah?

“Tak payah buat muka terkejut sangatlah! Pergi ambil cermin!” arah lelaki itu lagi tatkala melihat riak wajah si perempuan seperti tidak percaya.

Bija bangun lalu masuk ke dalam bilik mencari cermin yang diminta. Selepas itu datang kembali dengan cermin di tangan.

“Kau pegang cermin tu betul-betul,” arah si lelaki itu lagi.

Bija pegang cermin sambil memerhati lelaki jahat itu tidak kekok langsung menggunakan needle holder dan mula melakukan suturing. Melihat kecekapan lelaki jahat itu menjahit luka di pipi sendiri menimbulkan perasaan kagum di hati Bija. Siapakah lelaki itu sebenarnya? Ahli kongsi gelap dengan kecekapan setanding seorang doktor? Sangat pelik!

Urusan jahit-menjahit luka selesai juga akhirnya. Bija mengemaskan segala barangan dan tempat yang bersepah dengan gauze yang dikotori darah. Barangan menjahit yang diambil dari tempat kerja wajib dipulangkan secepatnya sebelum teman sekerjanya tertanya-tanya. Dia sudah menjadi pencuri disebabkan lelaki itu. Bija mengeluh tanpa sedar.

“Aku nak mandi!” Lelaki itu terus bingkas bangun.

“Ah, okey.” Tanpa banyak soal, Bija ke dalam biliknya mencari tuala dan keluar semula dengan sehelai tuala.

“Bilik air ada di dapur.” Bija tunjuk arah ke dapur. Lelaki jahat itu mencapai tuala dan terus ke dapur. Dilihat lelaki itu kelihatan mula cergas selepas lukanya dirawat. Kalau orang biasa mungkin lesu tidak bermaya tetapi lelaki itu kelihatan gagah pula. Bertambah-tambah pelik dia rasa.

Tak lama kemudian, si penjahat itu keluar dari bilik air dengan bertuala di pinggang. Mata Bija singgah lama pada badan lelaki itu. Menilik. Badan kemas, tegap dan bertatu matahari. Mungkin bagi sesetengah orang nampak macho tetapi baginya nampak jelik.

Dan kenapa matahari? Bukan naga, harimau atau ular? Sebelum ini pesakit yang dirawat selalunya bertatu naga, harimau, ular dan nombor yang macam-macam. Terlintas dalam fikirannya bangsa apakah lelaki itu? Kalau bertatu berkemungkinan bukan Muslim.

 

“KENAPA? SADO sangat ke badan aku ni?” Lelaki jahat itu berjenaka sinis. Perasan perempuan itu leka benar menilik tubuhnya.

Bija yang leka menilik hampir tersedak mendengar kata-kata lelaki jahat itu. Terus mata dialih ke arah lain. Huh, perasan!

“Kenapa, terpikat ke?”

Lelaki jahat itu pandai pula menggiat Bija. Tersengih tetapi nampak buruk benar di matanya. Euww...

“Tahu tak, dalam dunia ni ada satu penyakit yang memang tak ada ubat. Penyakit perasan bagus!” Terkeluar daripada mulut Bija tanpa sedar. Selamba! Sesaat, terus ditepuk mulutnya banyak kali. Boleh pula mulutnya celopar tiba-tiba.

“Kau tak sayang mulut ke? Suture tadi ada lagi, kan? Biar aku jahit mulut kau kejap lagi. Atau, kau nak aku tutup mulut kau dengan mulut aku, nak?” ugut lelaki itu.

Bija cuak.

Sorry, sorry... tak sengaja. Tak sengaja, okey? Saya diam, saya tak cakap apa-apa dah!” Dia terus tekup mulutnya. Dua biji mata bundarnya sahaja yang terkelip-kelip.

“Jangan buat muka comel sangatlah! Karang aku terkam, selamat kau aku kerjakan!” Lelaki jahat itu buat gaya mahu menerkam. Laju kaki perempuan itu menjauhkan diri daripadanya. Tahu takut!

“Aku nak pakai baju!” kata lelaki jahat itu dan alat kawalan jauh diambil. TV dibuka.

Bija ke bilik lagi. Dua tiga kali sudah dia berulang alik ke biliknya. Kali ini mencari pakaian untuk lelaki jahat itu pula. Dia mencari pakaian suaminya yang mungkin sesuai untuk lelaki itu.

Apabila teringatkan sang suami, Bija mengeluh. Suaminya sudah lama tidak pulang ke rumah. Makan, pakai dan kehidupannya dengan Mia langsung suaminya tak ambil peduli. Rumah tangga dibina selama 5 tahun menanti rebah sahaja. Semuanya kerana orang ketiga. Lelaki itu tergila-gilakan perempuan lain.

Dengar khabarnya sudah berkahwin lain dan dia ditinggalkan terkontang-kanting. Nasib baik ada Mia pengubat luka di hati. Kerana si comel itu dia masih bertahan sehingga kini. Kini, dugaan lain pula yang mendatang. Keselamatan mereka berdua terancam dengan kehadiran lelaki tidak dikenali itu.

Bija keluar bersama pakaian. Lelaki jahat itu mengambil lalu dengan selamba memakai pakaian diberinya. Dia pula yang terpaksa memusingkan badannya ke belakang. Penjahat itu hanya mengherotkan bibirnya ke tepi tatkala melihat perempuan itu memusingkan badannya.

 

BERITA TENGAH malam di TV3 bersiaran. Lelaki jahat itu terlalu khusyuk menonton. Bija ke dapur selepas mendapat arahan menyediakan makanan pula. Huh, tak habis-habis mengarah itu dan ini. Naik menyampah pula!

Di tengah-tengah malam dia terpaksa menggoreng nasi. Nasib baik ada sosej dengan telur. Jadilah, daripada tiada apa-apa langsung, kan? Dia membawa nasi goreng ke depan bersama secawan Milo panas. Berasap-asap!

Sewaktu meletakkan makanan, mata Bija turut memandang berita di TV. Dia dapat melihat beberapa orang lelaki bergelimpangan dengan keadaan cedera parah. Mungkin juga ada yang mati. Drastik matanya terus memandang wajah lelaki itu. Wajah lelaki jahat itu pula hanya mendatar tanpa riak langsung. Bija syak lelaki di rumahnya ini terlibat sama.

Jantung terasa dipalu lagi, berdenyut selajunya. Tubuhnya menggeletar ketakutan, lutut terasa lemah untuk berdiri. Wajahnya pucat lesi!

“Selagi kau ikut segala apa yang aku kata, nasib kau takkan jadi seperti mereka.” Lelaki jahat itu tiba-tiba bersuara tanpa mengalihkan pandangan matanya dari TV. Hanya Bija tercengang memandang lelaki itu.

“Kau dengar tak?” Lelaki jahat itu bersuara keras!

“De... dengar...” Bija semakin kecut perut!

“Aku nak tidur!” Lelaki jahat itu terus memejamkan matanya selepas TV dipadamkan. Tiada lagi arahan.

Bija masih berdiri di situ. Dilihat lelaki jahat itu tidak seperti orang tidur pun. Posisinya statik hanya berpeluk tubuh dengan mata dipejamkan sahaja. Bahasa tubuh lelaki itu seakan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin inilah kehidupan kongsi gelap perlu sentiasa berjaga-jaga. Fikirnya yang masih mengamati lelaki jahat itu.

Kemudian Bija masuk ke biliknya. Pintu dikunci rapat-rapat. Kalut berfikir bagaimana hendak mempertahankan diri daripada lelaki itu. Dia terlalu takut jika lelaki itu masuk ke dalam biliknya. Dia tak percaya langsung dengan lelaki jahat itu. Perasaan takut dan curiga kuat menguasai diri.

Bija tilik telefon bimbit. Hati berbelah bagi untuk menelefon pihak berkuasa. Jika dia meneruskan niatnya, selamatkah mereka berdua? Jika dia hanya berdiam diri, selamatkah mereka berdua? Bija mundar-mandir gelisah!

Tiba-tiba pintu biliknya ditendang kuat dari luar. Bija terkejut besar! Tergamam melihat lelaki jahat itu masuk ke dalam biliknya dengan muka bengis. Telefon bimbit di tangannya dirampas kasar.

“Aku dah agak! Kau keluar sekarang!” Pisau dihunus mengarahkan perempuan itu keluar dari bilik.

Menggeletar seluruh tubuh, Bija terus melangkah laju keluar bilik. Terlalu kalut sehingga dia terjatuh-jatuh. Sungguh, lututnya lembik tika ini. Dia terpaksa merangkak sehingga ke sofa dek tak mampu berdiri lagi.

Air mata merembes laju, kepalanya sudah terfikir kemungkinan buruk yang bakal berlaku. Jika begini pengakhiran hidupnya, Bija berdoa bersungguh-sungguh dalam hati supaya Allah selamatkan Mia.

“Kau memang nak mati!” Lelaki jahat itu menghampiri, mencekak leher baju perempuan itu dengan kasar. Bola matanya kelihatan merah menyala dan sangat menakutkan.

Bija pejam mata. Sungguh, dia terlalu takut!

“To... tolong jangan apa-apakan saya. Mia masih perlukan saya...” rayunya teresak-esak.

“Dengan anak kau sekali aku hantar ke syurga!” Leher baju perempuan itu sekali lagi dicekak kuat sehingga terangkat badan perempuan itu. Hanya hujung ibu jari kaki sahaja yang cecah ke lantai.

“Jangan! Mia tak salah, Mia tak berdosa... Dia masih kecil...” Bija merayu mendayu-dayu. Wajahnya lencun dengan air mata. Dalam hati sangat berharap suaminya akan pulang di saat genting begini menyelamatkan mereka berdua.

“Kau ni...” Lelaki jahat itu seperti muak mendengar rayuan perempuan itu. Dengan wajah paling berang dia mengayunkan tangannya ke leher si perempuan. Ayunan yang pantas!

Alam sekeliling menjadi gelap-gelita...

No comments:

Post a Comment