DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 16 April 2020

Gengster - Bab 7

“KAU nak tidur sini ke?” tanya Sunny seraya memandang jam di pergelangan tangannya.

Bija yang masih tergamam dengan lamaran paling gengster daripada lelaki itu hanya mengangguk. Mata lelaki itu pun dia tidak berani pandang. Berkahwin dengan samseng? Sukar dia mahu percaya. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikirannya.

“Aku balik!”

Bija hanya mampu menggerakkan kepalanya setelah beberapa ketika. Setelah yakin lelaki itu sudah pergi, baru dia berpaling ke belakang sambil menghela nafas. Semput menahan perasaan yang semakin mengelirukan. Diraup wajahnya.

Bilik yang menempatkan Mia sudah gelap. Hanya Bija masih termangu di bawah cahaya suram dari lampu di bahagian kepala katil. Merenung nasib anak kecilnya.

“Mama harus lakukan apa Mia sayang?” bisik Bija dalam sendu. Akhirnya, dia tertidur juga di sisi Mia.

Bija terbangun tatkala terasa rambutnya seperti dikuis-kuis. Hud yang dipakai sudah melorot jatuh sejak dari malam tadi, dibiarkan begitu saja tanpa ingin menutup kepalanya lagi memandangkan katil Mia sudah ditutupi dengan langsir. Jika ada yang mendatangi mereka berdua pun hanyalah jururawat sahaja.

Bija membuka matanya yang melekat bagai digam. Terpisat-pisat.

“Dah bangun?”

Terpinga-pinga Bija mendengar suara yang selalu didengarinya sejak akhir-akhir ini. Pagi betul lelaki itu datang! Badannya terus tegak dan tangan kanan secara automatik melurut rambutnya yang serabai. Tangan sebelah kiri pula mengelap mulutnya, bimbang jika ada air liur basi meleleh. Bija sangat yakin wajahnya sangat hodoh kala ini.

“Sedap tidur?”

Bibir lelaki itu herot ke tepi. Mungkin senyuman seperti itu kelihatan menarik bagi sesetengah perempuan, tetapi bukan bagi Bija. Dia rasa itulah senyuman paling menyampah dekad ini. Huh!

Hmm...” Hanya itu yang mampu Bija suarakan. Itu pun dengan suara serak-serak basah.

Sunny menyengih. Mungkin lucu dengan tingkah serba tidak kena Bija di depan matanya.

“Aku belikan sarapan.” Sunny meletak bungkusan plastik berisi nasi lemak dengan teh tarik yang dibelinya dari warung berdekatan hospital. Segaris senyuman terlahir di bibirnya melihat wajah pagi Bija yang kelihatan sangat polos.

“Ehem. Saya nak pergi bilik air, cuci muka.” Bija berdeham sebelum meminta diri ke bilik air.

Sunny menanti Bija di tepi katil Mia. Si kecil itu masih dengan lenanya. Dia mendekat lalu diusap sayang rambut Mia yang lembut dan ikal. Wajah putih dan bersih itu membuatkan jiwanya damai memandang. Betapa polosnya wajah kecil itu.

Tanpa diduga, Sunny tunduk mengucup pipi gebu si kecil. Harum wangi si kecil sangat menenangkan jiwa galaunya. Alangkah indahnya perasaan itu.

Bija yang baru keluar dari bilik air tergamam. Pemandangan yang tidak pernah sekali pun dilihatnya sewaktu menjadi seorang isteri kepada lelaki bernama Imran. Bekas suaminya tidak pernah rapat dengan anak mereka seperti itu. Hatinya tersentuh.

“Mia macam mana?” tanya Sunny sewaktu Bija meletakkan segala toiletries ke dalam laci.

“Doktor cakap, kalau Mia tak muntah-muntah atau pengsan dalam masa 48 jam, dia boleh keluar esok. Tengoklah macam mana, tunggu doktor datang dulu,” jelas Bija. Wajah si anak direnung seketika.

Tergerak hatinya ingin menelefon bekas suaminya untuk memberitahu apa yang telah terjadi kepada anak mereka tetapi akal warasnya tidak membenarkan dia berbuat sedemikian. Percuma sahaja, lelaki itu tidak pernah peduli tentang anak mereka berdua. Imran sudah tentu sibuk dengan isteri baharunya.

“Oh... hmm...” Sunny seperti ingin berkata sesuatu tetapi seperti tidak terluah.

Bija pula lebih banyak mendiamkan diri. Tidak tahu hendak berbicara apa dengan samseng itu. Lamaran brutal lelaki itu semalam masih berbekas dalam hatinya. Nasi lemak dijamah tanpa selera, digagahkan juga menyuap sesudu dua.

“Jom, aku hantar kau balik rumah kau. Ambil barang ke, nak mandi ke?” ajak Sunny. Waktu masih awal pagi, Mia pasti bangun lewat ditambah kesan ubat, pasti anak kecil itu lebih banyak tidur daripada terjaga.

Bija teragak-agak, mungkin terkenangkan apa yang telah terjadi kepadanya semalam.

Sunny tahu Bija takut untuk balik ke sana lagi, tetapi lambat-laun harus pulang ke sana juga. Ke mana lagi wanita itu dapat pergi? Mereka dua beranak itu tiada tempat berlindung selain di rumah flat itu.

“Aku ada.” Sunny memberi jaminan.

Bija resah, namun akhirnya mengangguk setuju untuk pulang ke rumah. Dia bingkas bangun lantas mengucup pipi Mia sebelum beredar keluar dari wad itu.

 

SUNNY MENGEKORI Bija dari belakang menghantar wanita itu ke tingkat atas. Lagaknya seperti seorang bodyguard. Melihat wanita itu berjalan dengan hud di kepala, dia menyengih. Kenapalah ‘mak orang’ di depannya itu comel sangat!

Jiran tetangga sudah ada yang terintai-intai melihat Bija pulang dengan seorang lelaki. Tidak mengambil masa yang lama, Midah mengetahui kepulangan musuhnya.

Bija yang baru memasukkan kunci terpandang Midah mencebik-cebik ke arahnya bersama dua orang lagi jiran tetangganya. Itulah ahli-ahli mesyuarat tingkap flat di kawasan kejiranan mereka. Dia mengeluh tanpa sedar. Kalau bukan kerana lelaki samseng itu bersamanya kini, tidak mustahil dia akan diganyang sampai mati oleh Midah yang nampak sangat membencinya.

Sunny memandang ke arah yang sama. Pemandangan tidak menarik langsung tatkala terpandang tubuh gempal perempuan jahat bermulut longkang itu. Seraya itu juga dia memandang Bija yang selalu berhadapan dengan situasi berbahaya. Ditakdirkan mengenali samseng sepertinya juga menempah bahaya. Hidup wanita itu sentiasa dikelilingi bahaya.

“Betullah... kau ni penarik bahaya,” kata Sunny bersahaja. Kepalanya memutar ke kiri dan ke kanan kala mereka berdua menjadi tumpuan. Huh, macam artis!

“Apa?” Dahi Bija berkerut. Penarik bahaya? Maksud lelaki itu, dia selalu dalam bahaya?

“Cepat! Jangan buat aku tunggu lama-lama dekat depan ni. Tak pasal-pasal jadi bodyguard tak bergaji macam ni. Kalau berbayar tak apalah juga. Jiran pun entah apa-apa punya perangai.” Sunny sibuk membebel.

Bija pula terpaksa menahan telinga. Tidak sangka samseng boleh tahan juga kalau membebel mengalahkan mak nenek membebel. Sakit telinga, sakit hati, sakit jiwa.

“Tunggu sekejap, saya tak lama.” Mahu marah macam tidak patut sebab lelaki itu sudah banyak menolongnya. Bawa-bawa bersabarlah hati.

Bija keluar setelah setengah jam bersiap. Namun, lelaki itu tiada di depan rumahnya. Entah kenapa, dia merasa cemas apabila Sunny tiada di situ. Kalut dia menjenguk ke bawah. Dia terus menarik nafas lega apabila terpandangkan kereta mewah lelaki itu masih berada di situ. Dia ingatkan lelaki itu telah pergi meninggalkannya.

Saat ini, Bija sangat-sangat mengharapkan perlindungan lelaki itu. Hanya lelaki samseng itu satu-satunya lelaki yang sudi melindunginya dan Mia. Dia bersyukur biarpun Tuhan menghantar samseng menjadi penyelamatnya. Mungkin ada hikmah.

Sesungguh-Nya, tiada Tuhan melainkan Allah dan Dialah pemegang hati-hati sekalian makhluk dan tidak mustahil untuk Dia menghantar seorang samseng sebagai penyelamat jika Dia sudah berkehendak.

Bija buru-buru menyarung sandal lusuhnya. Dia harus cepat ke hospital menemani si kecilnya yang mungkin sudah terjaga. Kasihan Mia keseorangan dan dia yakin anak kecilnya itu mungkin sedang ketakutan di tempat asing.

Dia berlari-lari anak dengan beg galas. Saat menjejakkan kakinya ke rumput, tidak semena-mena dia dihujani dengan air secara tiba-tiba. Bija mendongak ke atas, dia disimbah dengan air lagi. Dipejamkan mata cuba mengatur denyut jantungnya supaya bertenang.

“Semoga Allah membukakan pintu hati Kak Su dan Mak Cik Zana. Amin...” Bukan berlagak bak malaikat, tetapi Bija menadah tangan di hadapan mereka berdua dan berdoa. Seusai doa, dia hanya mampu merenung sayu ke arah orang-orang yang cuba menyakitinya. Sesungguhnya, Bija percaya pada doa orang teraniaya. Cepat atau lambat, pasti Tuhan akan makbulkan.

Kedua-dua wanita yang baru mencurah sebaldi air ke atas Bija tiba-tiba tergamam. Mereka mendengar doa janda muda itu dengan jelas. Biarpun disakiti, janda muda itu tetap mendoakan mereka. Hati masing-masing diselubungi perasaan bersalah yang bukan sedikit. Malah, semakin merasa bersalah tatkala melihat renungan sayu janda muda itu.

“Kita buat semua ni betul ke Su?” Mak Cik Zana bersuara setelah melihat janda muda itu dibawa pergi dengan kereta mewah. Mereka berdua saling memandang. Perasaan bersalah membelit diri masing-masing.

Sewaktu berada di dalam kereta mewah Sunny...

“Boleh tak kau cuba elak bahaya? 5 minit pun jadilah.” Sunny menggelengkan kepalanya. Tidak sampai beberapa minit dia meninggalkan wanita itu bersendirian, begini pula jadinya. Bibirnya berdecit melihat Bija kebasahan. Sudah serupa anak kucing jatuh longkang. Nak marah pun tidak sampai hati. Kasihan betul.

“Kalau saya boleh mengimbas masa depan, dah lama saya buat. Tak adalah saya jadi macam ni.” Bija mencebik bibirnya. Tudung bawal yang dipakai sudah basah lencun. Baju pula melekat-lekat di tubuhnya.

“Nah, ambil jaket ni.” Sunny membuka jaket kulit Superman yang dipakainya lalu diberikan kepada Bija. Dia hanya berbaju-T sendat berwarna putih. Terserlah ketampanannya.

Bija melirik matanya, terpaku dengan penampilan lelaki itu. Sementelah, selama ini dia selalu dihidangkan dengan panorama berdarah sahaja daripada lelaki itu. Tanpa banyak soal dia memakai jaket itu melindungi bajunya yang basah dan melekat. Tidak pasal-pasal dia mandi dua kali pagi ini.

Entah kenapa, matanya asyik mencari peluang menoleh ke sebelah. Cepat-cepat dia beristighfar dan memandang ke luar tingkap. Lebih baik dia begitu.

“Aku tak rasa kau boleh tinggal di situ lagi. Kau betul tak nak terima pelawaan aku?” Tiba-tiba Sunny bersuara. Bertanya lagi tentang perkara yang buat mereka bertekak semalam.

Bija baru hendak menghayati panorama di luar kereta, tetapi konsentrasinya diganggu pula. Dia menoleh ke tepi. Tidak semena-mena ditarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu kenapa, hari ini dia melihat lelaki itu terlalu kacak pula. Bawa-bawa sedar diri, Bija!

“Tak apa... saya boleh lagi. Nanti saya cari rumah lain,” ujar Bija penuh yakin.

“Betul ke?” Sunny pula yang kurang yakin.

“Betul.” Bija mengangguk bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu lelaki itu risaukan dirinya lagi. Dia boleh menguruskan masalahnya sendiri.

“Okey.” Kalau itu sudah kata wanita itu, apa dia mahu katakan lagi. Sunny meneruskan pemanduan keretanya ke hospital.

 

BIJA MENGENAKAN pakaian bersih ke tubuh anak kecilnya. Rambut Mia yang panjang dan ikal disikat perlahan dan diikat tocang rambut si kecil. Manakala Mia pula sedang leka bermain, menyusun blok Lego kesayangannya. Anak perempuannya itu kurang berminat bermain anak patung atau permainan masak-masak.

Dari pemerhatian Bija, anak kecilnya itu suka sangat bermain permainan yang menguji minda. Sedari awal lagi dia telah menerapkan fun learning sewaktu mengajar Mia. Alhamdulillah.

“Mama, Mia rindu papa...”

Tangan Bija terhenti. Kelu.

“Nanti mama telefon papa.” Hanya itu yang mampu dia katakan.

“Mia nak makan apa, sayang?” tanya Bija cuba mengalihkan perhatian Mia daripada memikirkan papa yang tidak pernah mengambil berat tentang anaknya. Diketap bibirnya menahan perasaan yang semakin perit menghimpit dada.

“Mia tak lapar... Mia nak papa...” Si mulut comel tunduk dan mencebik sayu. Namun tangan masih sibuk mencantum blok Lego.

Hati Bija semakin pilu melihat riak si anak.

“Ya, sayang.” Dikucup ubun-ubun Mia dengan penuh rasa syahdu. Terasa tubir matanya panas.

Setelah menidurkan Mia, Bija keluar dari bilik itu, cuba menelefon Imran. Seperti yang dijangka, Imran tidak pernah cuba memberi kerjasama yang baik kepadanya. Sedari waktu bergelar isteri sehinggalah menjadi janda kepada lelaki itu, apa yang selalu dia terima hanyalah penolakan dan dikecewakan berkali-kali.

Bija sedar, perkahwinan mereka bukanlah kerana cinta. Mereka berdua berkenalan melalui saudara-mara. Mereka berdua merupakan anak yatim piatu dan disebabkan itu saudara-mara sibuk mahu menyatukan mereka berdua. Fikir mereka semua, dia dan Imran pasti akan menjadi pasangan yang paling serasi dan ideal tetapi mereka semua silap. Menyatukan mereka berdua merupakan mimpi ngeri.

Walaupun Imran bukan cinta pertamanya tetapi setelah bergelar isteri, Bija cuba menyayangi dan mencintai suaminya. Namun, Imran tidak pernah menganggap dia seorang isteri. Mengahwininya kerana terpaksa. Sepanjang perkahwinan mereka berdua, tidak sedikit pun dia merasakan Imran menyayanginya. Lelaki itu hanya tahu menyakiti hatinya dan kadang-kadang fizikalnya juga.

Perlahan langkah Bija menuju ke wad kerana sedang mencari idea bagaimana ingin menghiburkan hati Mia. Dia berharap sangat anaknya itu melupakan hajatnya ingin menemui bekas suaminya itu. Sarat kepalanya berfikir.

“Hei.”

Terasa bahunya dicuit. Bija tarik nafas dalam, agak terkejut.

“Hah, oh...” Bija senyum segaris. Samseng itu datang lagi.

“Mia dah boleh balik?” tanya Sunny.

“Tengok petang nanti. KIV kata doktor,” balas Bija. Mereka berdua masuk ke dalam bilik yang menempatkan Mia. Sama-sama mendekati si comel itu.

“Mana Mia?” Bija cemas melihat Mia tiada di tempatnya. Melilau dicari tubuh si kecil di mana-mana. Dia menyelak langsir dan menjenguk ke bawah katil pesakit, tetapi tiada. Terasa kering darahnya tidak dapat mencari Mia. Bija menjadi terlalu cemas!

“Hah?” Sunny turut sama terkejut. Dia juga sibuk mencari si kecil di sekeliling bilik. Bilik pesakit katil berempat menjadi kalut, penjaga yang menjaga anak sakit masing-masing meninjau cuba melihat apa yang berlaku.

“Mia! Mia!” Bija tidak peduli, terus melaung-laung kuat memanggil Mia. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan.

Calm down, Bija. Kita tanya nurse dulu.” Sunny cuba menenangkan Bija yang kelihatan terlalu cemas.

“Papa!” Sunny yang membelakangi pintu masuk diterkam seseorang. Terasa kakinya dipeluk kemas. Sunny terpinga-pinga.

“Mia...” Bija terus pergi mendapatkan si kecil Mia yang begitu erat memeluk kaki lelaki samseng itu. Hati ibunya terus menjadi rusuh, sangat terkesan dengan panorama itu.

Sunny memutar kepalanya ke belakang terus ke bawah. Sewaktu pandangan matanya bertemu dengan mata jernih si kecil, dia boleh melihat dengan jelas kehampaan dari silau mata jernih milik si kecil. Sunny cukup tersentuh.

Benar si kecil itu tersilap menganggap dirinya. Namun, Sunny dapat merasakan naluri kebapaan menyerap dalam dirinya.

“Mia ke mana, sayang?” Lantas terus Bija peluk dan mendukung Mia. Dalam dukungan, dia mencium pipi si kecil bertalu-talu. Sungguh, berderau darahnya tadi. Tidak dapat dia membayangkan jika Mia benar-benar hilang tadi. Dia boleh jadi gila tanpa Mia.

“Maaf puan, tadi saya bawa anak puan pergi timbang berat badannya di depan. Doktor nak tahu berat badan anak puan,” jelas seorang jururawat disertakan dengan ucapan maaf. Jururawat itu terasa bersalah membuatkan ibu si kecil risau kehilangan anak. Niatnya hanya sebentar, tetapi si kecil yang terlalu comel dan petah menjadi perhatian semua doktor dan jururawat di stesen jururawat. Itu yang menyebabkan mereka lama di kaunter jururawat.

“Oh, ya ke... Saya terkejut tengok anak saya tak ada di katil. Itu yang buat saya risau.” Bija tidak marahkan jururawat itu. Dia hanya terkejut dan terlalu risaukan anaknya yang tiba-tiba tiada di katil. Bimbang jika sesuatu buruk berlaku kepada Mia. Beginilah hati seorang ibu.

“Maaf, puan.” Sekali lagi jururawat itu memohon maaf. Jelas sekali jururawat itu merasa bersalah.

“Tak apa, tak apa... saya tak marah.” Bija tersenyum, berharap jururawat itu tidak berterusan merasa bersalah. Kemudian didukung Mia lalu didudukkan di atas katil. Mengusap dan mencium anak itu sepuas hatinya. Mia nyawanya. Tanpa Mia dia boleh mati.

Sunny juga mendekat, tidak semena-mena turut sama membelai rambut Mia yang lembut beralun. Bija terkesima melihat aksi spontan lelaki jahat itu.

“Mia comel... Mia nak hadiah tak?” Sunny menghulurkan bungkusan plastik berjenama Toys“R”Us, di dalamnya ada permainan kanak-kanak perempuan. Mia yang muram tiba-tiba bercahaya wajahnya melihat hadiah yang comel.

Sunny membelikan learning tablet yang mana bagus untuk perkembangan deria sentuh, deria dengar dan deria melihat kanak-kanak. Selain itu, dibelikan patung Disney Frozen, Princess Elsa. Wajah Mia berseri-seri melihat dia mengeluarkan permainan yang dibeli dari kotak.

Yeay...” Mia tepuk tangan kesukaan. Tablet ditekan-tekan mengeluarkan bunyi-bunyi yang menarik perhatiannya. Apabila bunyi lagu, Mia turut sama bertepuk tangan dan menggoyangkan tubuh kecilnya ke kiri dan ke kanan. Patung Disney Frozen pula dikelek kemas dalam pelukan.

Bija bungkam. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Tadi dia sangat susah hati kerana tidak tahu bagaimana cara untuk menggembirakan hati Mia. Tetapi kedatangan lelaki samseng itu telah memecah kebuntuan yang dihadapinya. Sebentar saja anaknya itu sudah berubah ceria.

“Terima kasih,” ucap Bija perlahan. Hanya itu sahaja yang dia mampu. Sungguh, dia sebak.

Sunny hanya tersenyum sambil melayan mulut becok Mia berkata itu dan ini dengan permainan baharunya.

“Aku keluar sekejap tengok Mia boleh discharged ke belum.” Sunny bingkas bangun dari sisi katil.

“Ah, okey...” Bija mengiakan.

“Papa nak pergi mana?” tanya Mia dengan muncung dicebikkan. Merajuk kerana Sunny yang dianggap papa tidak melayannya bermain.

Ah, sudah! Bija tergamam. Mungkin Mia terlalu rindukan papanya agaknya.

Pandangan mata kedua-dua orang dewasa itu bertemu. Terkelip-kelip. Sunny mengusap kepala Mia, namun matanya masih merenung mama si kecil itu.

“Bukan papa, tapi Daddy Sunny, okey sayang?” Sunny sengaja melirik senyuman ke tepi bibir. Masih merenung mama si kecil yang mula merah pipinya. Ada yang tersirat di situ...

No comments:

Post a Comment