PULANG dari London, Maalik kembali sibuk dengan tugasannya di pejabat. Segala pertelingkahan kecil yang berlaku sewaktu di sana diletakkan ke tepi. Tidak mahu hal sebegitu terus mengganggu fikirannya.
Biar masa yang memujuk hati ibu yang sedang kecewa kerana dia menolak sekerasnya hasrat Puan Zarith untuk menyatukan dia dengan anak kenalan keluarga mereka. Persetujuan Lady Maisha untuk dia bersatu dengan Tasha juga tidak Maalik ambil peduli.
Kerana dua berkehendak yang berbeza, hubungan antara ibu dengan nenek juga semakin berantakan. Kerana ini juga dia lebih senang untuk berada di sini berbanding di rumah keluarga sendiri.
Telefon dikeluarkan dan skrin gelap itu dipandang tanpa rasa. No call. Maalik mula memandang ke arah luar. Memerhati segenap bangunan yang padat di kiri dan kanan jalan sambil memikirkan tentang seseorang yang secara tidak sengaja telah memporak-perandakan hatinya.
Entah kenapa, sejak pertemuan kali pertama hati Maalik rasa terusik tatkala memandang raut wajah yang kosong tanpa rasa itu. Sesekali terbias riak mendung apabila gadis itu bersendiri dan apabila bersama rakannya barulah garis mendung hilang berganti dengan garis-garis gembira.
Ada rasa yang mula tumbuh dalam hati membuatkan Maalik ingin mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Justeru nombor telefonnya diberikan begitu sahaja sedangkan menjaja nombor telefon begitu bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaannya.
Tetapi yang nampak mudah itu selalunya akan menjadi payah. Nombor telefon yang dihulur ditolak mentah oleh si gadis. Permintaan untuk dihubungi juga ternyata tidak dilayan.
Gadis itu, bukan seperti kebanyakan gadis yang lain. Langsung tidak terkesan dengan kehadirannya. Yang mencabar begini membuatkan hati Maalik disimbah dengan rasa yang baru. Rasa ingin memiliki dan menakluki. Tangan kanan naik mengusap bawah bibir.
“Sunway, Bard.”
Bard mencuri pandang wajah Maalik melalui cermin pandang belakang. Rasa pelik dengan arahan tuannya namun pemanduannya tetap dihalakan ke destinasi yang diarahkan. Tiba di kawasan universiti, kenderaan yang dipandu diberhentikan di hadapan Fakulti Perniagaan. Yakin orang dicari berada di situ.
Maalik melingas dari dalam kereta mencari susuk tubuh yang dinanti. Tiada. Jam tangan Rolex dicuri pandang. Jam 6.30 petang. Maalik kembali memandang ke arah bangunan yang terletak bertentangan dengan kenderaan yang dinaikinya itu.
Kelihatan beberapa orang pelajar terburu-buru menuruni tangga fakulti namun tetap juga tidak kelihatan wajah yang dicari. Sepertinya percaturannya kali ini tidak mengena lagi. Atau mungkin gadis itu hanya satu persinggahan yang bukan ditakdirkan untuk terus berada dalam hidupnya.
Baru sahaja Maalik ingin mengeluarkan arahan, mata dia tertancap pada gadis yang sedang berjalan melintasi kenderaan yang dinaikinya itu.
“Alex.” Maalik membuat isyarat mata.
Alex angguk dan terus keluar mendapatkan gadis tersebut. Mata Maalik tidak lepas daripada memandang Alex yang sedang berbicara dengan gadis tersebut. Tidak lama selepas itu, Alex kembali semula bersama gadis itu. Pintu kereta di bahagian belakang dibuka.
Mata Rai mula mengecil apabila melihat seorang lelaki bercermin mata hitam sedang bersandar tenang di dalam kereta mewah itu. Sejak keluar dari bangunan fakulti, dia sudah perasan akan kehadiran kenderaan mewah ini. Tidak dia sangka ia adalah milik tetamu VVIP yang pernah hadir ke karnival perniagaan anjuran fakultinya beberapa minggu yang lalu.
“Still remember me?”
Perlahan-lahan Rai angguk. Nama Maalik Hughes mula menjadi bualan hangat dalam kalangan pelajar sejak kehadiran lelaki itu di fakulti mereka beberapa minggu yang lalu. Dan mula menjadi perhatian para gadis kampus setelah mengetahui tentang latar belakang lelaki itu. Belum berkahwin dan berharta. Semuanya mula berangan ingin menjadi seperti Che Puan Syamim Farid.
“Masuk.”
“Err...” Rai mula teragak-agak. Tidak pasti sama ada perlu atau tidak dia mengikut arahan Maalik itu. Dipandang kiri dan kanan, kebanyakan pelajar yang melalui kawasan itu langsung tidak mengendahkan mereka.
“I nak tanya sesuatu. Masuk.” Sekali lagi Maalik mengeluarkan arahan dengan wajah yang sedikit tegang. Geram kerana gadis itu tetap berdiri kaku di situ, langsung tidak mengendahkan arahannya.
“Tuan... nak tanya apa?” soal Rai terus tanpa masuk ke dalam.
Alex terus menolak Rai masuk ke dalam apabila wajah Maalik sedikit berubah. Semakin geram dengan tingkah Rai yang berdegil tidak mahu masuk ke dalam keretanya. Pintu ditutup rapat dan dikunci dari dalam oleh Bard bagi mengelakkan gadis itu lari keluar.
“I nak jumpa kawan you. Mana dia?”
“Kawan saya?”
“Yang rambut panjang warna hitam. I nampak you duduk dengan dia waktu program hari tu.”
“Kenapa tuan nak jumpa dia?” Riak cuak pada wajah Rai bertukar menjadi curiga.
“She owes me...” jawab Maalik tanpa teragak-agak.
“Apa yang dia hutang dengan tuan?” Mata Rai mula membuntang. Hilang sudah segala rasa cuak dan curiga, berganti dengan rasa kecewa.
“Apa ni El, kau cakap tak nak berhutang. Aku nak tolong pun kau tak nak, tapi boleh pula kau berhutang dengan orang kaya ni,” gumam Rai perlahan. Tangan mula naik menggaru kepala. Habis berserabai rambut dia yang tadinya kemas terletak.
“Berhutang?”
“Berapa hutang dia, tuan? Biar saya yang jelaskan.” Soalan Maalik dibiarkan, malah Rai pula menyoal lelaki itu.
“El... mana El? I nak jumpa dia.” Nada suara Maalik mulai tegas.
“Tuan, tolong jangan apa-apakan dia. Kesian dia, tuan. Beritahu saya berapa dia berhutang dengan tuan, biar saya saja yang jelaskan.” Kedua belah tangan digosok-gosok di hadapan Maalik, memohon belas ihsan lelaki itu.
Lama Maalik memandang kelakuan gadis itu.
“Siapa nama you?”
“Rai.”
“So Rai...” Maalik mendekatkan jarak mereka. “Just tell me where she is. Where is El? I nak jumpa dia. Now!”
Terhinggut bahu Rai dek terkejut mendengar suara Maalik yang sedikit tinggi itu.
“Dia...” Rai mula gelabah dan spontan hujung kening digaru. Silap pula dia terus datang menghadap lelaki ini. Sepatutnya dia lari sahaja saat ditegur oleh lelaki yang tidak dikenali itu tadi. Inilah padahnya apabila tidak dengar pesanan orang tua jangan ikut orang yang kita tak kenal.
“Saya akan beritahu, tapi tuan kena janji yang tuan takkan apa-apa kan Elena dan saya.”
Elena... Nama itu lebih menarik perhatian Maalik berbanding janji yang dipinta oleh Rai.
“Promise,” jawab Maalik sambil lewa.
“Saya tak percaya.” Rai merenung wajah serius itu sebelum menggeleng.
“You ikut I, beritahu dekat mana Elena sekarang.” Serentak itu juga kereta Maalik yang dipandu oleh Bard menderu laju meninggalkan kawasan universiti.
“Tuan!”
MATA MAALIK tunak memandang Elena yang terbongkok menyusun kotak kasut. Kemudian gadis itu bergerak mengemas kasut yang bertaburan di lantai setelah pelanggan yang datang meninggalkan kasut tersebut begitu sahaja.
Buat seketika Elena berdiri tegak dan menggeliat bagi memperbetulkan urat saraf. Cermin mata yang hampir melorot jatuh ditolak dengan hujung jari sebelum kembali menyambung tugasannya.
Mata Maalik tidak lepas daripada memandang semua itu. Walaupun wajah itu kelihatan penat, tetapi manisnya tetap ada, lebih-lebih lagi dengan memakai cermin mata begitu. Elena kelihatan sangat matang.
“Sejak bila dia pakai cermin mata?”
“Dia memang pakai cermin mata bila waktu kuliah dan sekarang setiap masa dia pakai cermin mata.” Berkerut kening Rai mendengar soalan tiba-tiba Maalik itu.
“Pukul berapa dia habis kerja?”
“Pukul 10.”
Tangan Maalik yang menongkat kepala mula memicit pelipis. Dia yang melihat Elena sibuk bekerja turut merasa penatnya. Apatah lagi tuan punya badan. Hatinya mula merasa sesuatu saat melihat si gadis berpenat lelah sebegitu.
“Dah berapa lama dia kerja dekat sini?”
“Baru seminggu.”
“Seminggu?” Maalik memandang garang ke arah Rai membuatkan gadis itu semakin mengecil di hujung pintu.
“You cakap dah hampir sebulan dia berhenti belajar.”
“Tangguh pengajian tuan, dan sebelum ni dia kerja dekat tempat lain.”
Mata dipejam dan buat seketika Maalik diam menghadam segala kata-kata Rai.
“Dia kerja dekat mana?”
“Kedai makan.”
Maalik mula menghela nafas keras.
“Bard, jalan.” Kereta Maalik bergerak meninggalkan kawasan Elena bekerja.
Rai yang tadinya diam mula menggelabah.
“Tuan nak bawa saya pergi mana pula ni?”
“Hantar you balik.”
Rai tersandar tenang mendengar perkataan balik dan hanya bersuara apabila Bard bertanyakan tentang alamat rumahnya sahaja. Sesekali dia melirik ke arah Maalik yang membuang pandang ke arah luar kereta. Pelik. Apakah yang diingini oleh lelaki ini sebenarnya? Kenapa lelaki itu beria-ia mencari Elena? Kalau betul Elena berhutang, kenapa lelaki itu tak pergi jumpa Elena tadi?
“Jangan beritahu Elena tentang hal ini.” Maalik kembali bersuara tanpa memandang Rai. “Jangan beritahu Elena tentang I cari dia dan jangan beritahu dia yang you jumpa dengan I. Faham?” Suara Maalik mulai keras apabila Rai tidak memberi sebarang respons.
“Tapi apa tujuan tuan yang sebenarnya? Kenapa tuan cari El? Betul ke dia berhutang dengan tuan?” Bertalu-talu soalan yang dilontarkan namun tiada satu pun yang dijawab oleh Maalik. Bibir bawah dikemam lagi. Dalam dia menahan geram matanya terpandangkan Alex yang sedang menoleh ke belakang.
Lelaki itu menggeleng, memberi isyarat supaya dia tidak bertanyakan apa-apa soalan lagi. Akhirnya Rai akur dan hanya tunduk memandang jari sendiri.
‘Semoga kau baik-baik saja nanti El,’ bisik hati kecil yang risaukan keadaan rakan baiknya itu.
No comments:
Post a Comment