DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 3

LENGAN kemeja putih dilipat hingga ke siku dengan kaki yang laju melangkah mendapatkan Nazim yang sedang menanti. Nafas dihela perlahan saat mata mula menangkap kelibat rakannya yang leka dengan telefon di tangan.

What’s up mate?” Kerusi ditarik lalu dilabuhkan duduk berhadapan dengan Nazim.

“Akhirnya... sampai juga orang yang ditunggu-tunggu.” Telefon Nazim letakkan ke tepi dan mereka berjabat tangan.

“Trafik dekat KL kau faham-faham sajalah.” Hujung bibir Maalik mula tersungging dengan senyuman.

“Kau dari mana sebenarnya?”

“Putrajaya.”

Duh, kenapa tak beritahu awal-awal. Kalau tak aku tunda ke hari lain je jumpa kau.”

“Tak ada hal, Zim. Cuma kaulah kena tunggu lama.”

Nazim tersengih.

“Aku tak kisah pun. Dah faham life kau macam mana. Order?” Tangan diangkat memanggil pelayan kafe. Buat seketika Nazim hanya diam, memberi ruang kepada Maalik untuk membuat pesanan.

Firm kau macam mana, okey?” soal Maalik setelah selesai membuat pesanan.

“Semuanya okey. Cuma pening nak hadap kes client, macam-macam kerenah.”

Maalik hanya tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu.

Nazim adalah anak kepada peguam syarikatnya yang telah menjadi rakan baiknya sejak dia datang ke Malaysia. Ketika itu usia mereka awal 20-an. Nazim baru menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang manakala dia CEO syarikat keluarganya ini. Dan kini Nazim sudah mendirikan rumah tangga bersama rakan belajarnya sewaktu di luar negara. Cuma Maalik sahaja yang masih setia bersendiri.

“Dengar cerita kau nak balik kampung, betul ke?”

Kampung yang dimaksudkan Nazim itu adalah kampung halaman Maalik di UK. Itu sahaja kampungnya. Di Malaysia? Sehingga sekarang ibu diamkan tentang perkara itu. Kalau ikutkan boleh sahaja dia mengupah penyiasat persendirian untuk menyiasat tentang asal usul ibunya itu. Tetapi pesanan daddy menghalang segalanya.

“Kau dengar dari mana?”

“Dari mana lagi, geng Club Medlah.”

Maalik tersenyum sinis.

“Tak ada kerja bergosip pasal aku.”

Nazim tergelak melihat riak sinis pada wajah Maalik.

Come on Maalik, siapa je yang tak bergosip pasal kau. One of the most eligible bachelors in KL, mate. Agaklah sikit.”

Maalik menggeleng dengan wajah bosan.

Nanna suruh aku balik, tapi aku tak nak.” Maalik kembali tersenyum sinis. “So, ada apa kau ajak aku jumpa hari ni?” Dia mula bersandar ke belakang setelah mencecap sedikit latte.

“Kawan aku jemput kau untuk buat talk dekat universiti dia.”

“Bila?”

“Bulan depan.”

Maalik angguk.

“Bagi nombor kawan kau dekat Meen, nanti dia uruskan.”

“Aku bagi kau jelah. Kau bagi sendiri dekat Meen nanti.” Nazim menolak ke depan Maalik kad rakannya. Dia peduli apa Maalik ini CEO ke, pewaris Hughes Corporation ke, selamba dia saja mengarah buat itu ini. Maalik hanya ketawa dengan reaksi rakannya itu.

“Ada satu perkara lagi aku nak bincang dengan kau.”

“Apa dia?” Latte dicecap lagi. “Banyak pula yang kau nak bincang.”

“Bukan senang nak jumpa kau kan.”

“Datang ofis aku selesai masalah. Kau tu je yang susah sangat nak datang ofis aku.”

“Nanti dapat mandat besar baru aku pergi ofis kau. Macam ni Maalik, aku...” Nazim mula membuka topik tentang tujuan utama pertemuan mereka hari ini.

Maalik hanya diam mendengar. Sesekali keningnya bertaut cuba menghadam penjelasan Nazim. Spontan tangan kanan naik mengusap bawah bibir. Tabiatnya apabila sedang memikirkan tentang sesuatu.

Seketika kemudian dia tunduk mencecap latte dalam cawan. Ketika dia kembali tegak, pandangannya melekat pada wajah gadis yang duduk di meja belakang Nazim.

 

MATA ELENA tidak lepas daripada memandang skrin telefon. Bibir bawah digigit lalu nafas dihela perlahan. Siku menongkat pada meja dengan tangan kanan naik memicit dahi. Rambut yang lepas bebas diselitkan di celah telinga.

Baki yang tinggal semakin susut. Entah berapa lama lagi dia mampu bertahan. Rasa mahu menangis di situ juga apabila memikirkan tentang nasib diri sendiri.

Kemudian dia mengangkat wajah dan memandang sekeliling. Mencari Rai tetapi sahabatnya itu masih belum tiba. Sekali lagi Elena menghela nafas lemah. Kepala kembali menunduk dengan tangan kanan naik menongkat kepala.

“Ampun El!”

“Tak pernah tak lewat kau ni.”

“Huh, aku kena tahan dengan si Salina tu tadi.” Rai melabuh duduk berhadapan dengan Elena.

“Kenapa? Dia nak apa?”

“Eh kau tak order lagi ke?” soal Rai pula apabila melihat meja mereka yang kosong tanpa segelas minuman.

Hujung kening digaru. “Belum, aku tunggu kau.”

“La, El... lama kut kau tunggu aku.” Rai terus mengangkat tangan memanggil pelayan.

“Kau nak minum apa? Macam biasa?”

Elena menggeleng. Satu per satu senarai minuman dibaca bagi mencari minuman yang paling murah. Mulai hari ini dia kena berjimat cermat. Yang menjadi kebiasaan harus disingkirkan secara perlahan-lahan. Mungkin juga hari ini hari terakhir dia minum dan melepak di kafe seperti ini.

“Aku nak kopi biasa aje.”

Rai memandang pelik namun dia tetap memesan minuman yang disebut Elena itu tadi.

“Sambunglah cerita Salina tadi.” Elena kembali ke topik asal bagi mengelak Rai bertanya apa-apa soalan. Dia masih belum bersedia untuk bersoal jawab dengan Rai tentang apa-apa pun.

“Dia nak pinjam nota aku. Kan semalam dia tak datang kuliah. Lepas tu aku cakap tak ada sebab memang aku tak bawa pun nota tu hari ni. Lepas tu dengan selambanya dia mengata aku.” Bulat mata Rai bercakap tentang Salina.

“Dia kata apa?”

“Dia kata aku tak cerdik, buang masa saja belajar bertingkat-tingkat. Lepas tu dia kaitkan nama kau sekali. Dia kata aku bodoh sebab kawan dengan kau.”

Terlepas tawa daripada bibir Elena. Langsung tidak terkesan dengan tuduhan Salina. Perangai macam budak sekolah tadika!

“Tapi kan El apa yang jadi tadi memang kelakar ya ampun...” Belum sempat bercerita Rai terlebih dahulu menghamburkan ketawa.

“Sekali dia pusing, gedebush! Masuk longkang daa...”

Mengekek Elena ketawa mendengar cerita Rai.

“Kau tolong dia tak?”

“Memang taklah aku nak tolong. Mulut longkang memang sesuailah masuk longkang. Apa dia ingat ini filem Mean Girls tu ke. Boleh sesuka hati mengata orang sambil flip hair macam tu. Helo... Kau belajar dekat Sunway je pun. Dekat Malaysia iklim khatulistiwa ni ha. Bukan dekat New York sana, tak payah nak berlagak sangat.”

Elena menggeleng dengan ketawa yang masih bersisa.

“Kenapa kau tak sound dia depan-depan macam yang kau cakap tadi tu?”

“Itu menyerah diri namanya.” Beria-ia Rai ketawa sampaikan terdongak kepala. Sungguh tak senonoh kelakuannya ketika itu. But, who cares!

 

MAALIK CUBA untuk fokus tetapi kehadiran rakan gadis di meja belakang Nazim semakin mengganggu konsentrasinya terhadap penerangan Nazim.

Sesekali dipandang ke arah gadis itu yang sudah mula berubah ceria saat rakannya itu tiba. Sebelum kedatangan rakannya, wajah bujur sirih dengan pipi bulat itu kelihatan mendung sahaja tetapi sekarang sudah berubah 360 darjah.

“Maalik.”

“Huh?”

“Kau nak tak?”

Seperti orang kebingungan Maalik memandang Nazim yang sedang menantikan jawapan daripadanya. Baru sahaja dia ingin bersuara, telefon Nazim menerima panggilan dan rakannya itu bergegas bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Sempat Nazim mengangkat tangan kepadanya sebagai isyarat tunggu sekejap.

Mata Maalik kembali kepada wajah yang berada lurus di hadapannya kini. Lama ditenung wajah itu sebelum tangan kanan menggagau mencari kad nama di dalam poket kemeja. Tetapi sekeping pun tiada. Pasti tinggal dalam kereta.

So, how?” soal Nazim setelah kembali duduk di kerusinya.

Fokus Maalik kembali kepada Nazim semula.

“Kau ada pen tak?”

“Huh?” Walaupun pelik dengan soalan Maalik yang tiba-tiba itu, Nazim tetap menarik keluar pen yang tersemat di poket kemejanya. Kebetulan pula diselitkan pen di situ sebelum dia keluar dari ofisnya tadi. Seperti gaya doktor pula letak pen dalam poket begitu.

Huluran Nazim bersambut dan Maalik mula menulis sesuatu pada tisu yang berada di atas meja. Nazim hanya melihat kelakuan rakannya itu dengan penuh tanda tanya. Seketika kemudian Maalik mengangkat tangan memanggil pelayan yang berdiri tidak jauh dari meja mereka.

“Bagi tisu ni pada gadis di meja sana.”

Tidak lepas mata Maalik memandang pelayan yang bergerak ke arah meja yang ditunjuk olehnya. Seperti tadi, hujung bibir kembali herot dengan senyuman.

Nazim berpaling ke belakang buat seketika sebelum kembali memandang Maalik yang sedang tersenyum.

What was that?”

Maalik angkat bahu dengan hujung bibir yang masih tercuit senyuman. Kemudian dia bersandar ke belakang dengan wajah yang tenang. Gaya ‘layback’ seperti selalu.

“Sempat lagi kau kan.”

Sedang Elena dan Rai leka bersembang, seorang pelayan menghampiri mereka dan menghulurkan tisu kepada Elena.

Sorry?”

“Encik dekat meja sana minta saya serahkan tisu ini kepada cik.”

Serentak Elena dan Rai memandang ke arah yang ditunjukkan oleh pelayan tersebut. Kelihatan dua orang lelaki sedang rancak berbual dengan wajah yang serius dan langsung tidak memandang ke arah mereka.

“Lelaki tu, hurm...” Rai mula mengetuk dagu sendiri.

“Aku macam kenallah. Macam pernah nampak, tapi di mana ya?” Mata Rai masih tidak lepas daripada memandang ke arah lelaki tersebut.

Malas terus berteka-teki, Elena membuka lipatan tisu di tangannya setelah pelayan tersebut berlalu pergi.

Fear is temporary, regret is forever.

Before I regret it, here’s my number.

017-2xxxxxx – call me!

“Kau rasa dia nak mengurat aku ke?”

“Dia tulis apa?”

Elena menghulurkan tisu tersebut kepada Rai.

“Apa kau nak buat dengan nombor telefon dia ni?”

“Kau nak?” soal Elena semula.

Laju Rai menggeleng.

“Bukan taste aku.”

“Bukan taste aku juga.” Yang menjadi idaman hati Elena adalah jenis yang selamba dan bersahaja, bukan yang kemas segak begitu. Lagi pula, betul ke lelaki itu mahu mengurat? Entah-entah...

Mata Elena mula membuntang.

“Rai, aku rasa...”

“Kau rasa apa?” soal Rai tidak sabar.

Elena tunduk merapat ke meja.

“Lelaki tu, bapak ayam.”

Mata Rai turut membulat. Seketika kemudian Elena bergegas bangun dari tempat duduknya. Sempat dicapai tisu di tangan Rai. Terkocoh-kocoh rakannya itu membuntuti dia yang sudah melangkah ke arah meja lelaki itu tadi.

Pap! Tisu di tangan dilekapkan ke meja membuatkan kedua lelaki yang sedang bersembang itu tersentak. Spontan dua pasang mata tersebut memandang ke arahnya yang tegak di tepi meja.

I’m not interested,” kata Elena dengan gigi yang diketap geram. “Jangan ingat dengan pakaian kemas macam ni awak mampu perangkap saya. Awak ingat saya tak tahu ini adalah helah awak?”

Sorry?”

Sorry apa benda?” Elena mula memeluk tubuh, cuba mengekalkan posture badan yang tegak dan berkeyakinan.

“Kami semua dah tahu sangat trick orang macam awak. Konon berlagak kaya sebab nak perangkap kami, kan?” Elena menjegilkan mata ke arah Maalik yang memandangnya.

“Saya call polis nanti baru ada akai!” Lantaklah mamat mat salih ini faham ke tidak apa yang dia cakap. Yang pasti mamat Melayu yang seorang tu mesti faham.

Miss...” Nazim mula bersuara apabila Maalik hanya diam memandang gadis yang berwajah merah di hadapan mereka itu.

Belum sempat Nazim meneruskan kata, Elena mendengus geram dan terus berlalu ke kaunter pembayaran sambil menarik tangan Rai. Sekali lagi dia berpaling sebelum beredar keluar dari kafe tersebut.

“Dia dah salah faham, mate.”

Yeah, she is,” jawab Maalik tenang sambil mencapai cawan di atas meja. Latte yang masih berbaki dicecap. Kemudian dia senyum segaris sebelum kembali pada topik perbualannya bersama Nazim. Lagaknya seperti tiada apa-apa yang terjadi.

No comments:

Post a Comment