DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 8

ELENA berdiri tegak memandang pelanggan yang datang ke kedai kasut tersebut. Sesekali dia tersenyum manis ke arah mereka, bersedia untuk membantu para pelanggan di situ memilih dan mendapatkan kasut yang sesuai. Dia sangat dedikasi dalam menjalankan tugas serta cepat dan pantas dalam melakukan kerja.

“Elena...” Lengan Elena dicuit oleh salah seorang rakan sekerjanya.

“Ya?”

“Kau okey tak ni?”

“Aku okey. Kenapa?” Elena senyum. Tangan naik menolak cermin mata yang sedikit melorot jatuh.

“Aku tengok kau macam penat je. Muka pun macam pucat. Kau demam ke?”

Spontan tangan kanan naik melekap pada dahi. Memang sejak pagi tadi dia sudah mula rasa tidak sedap badan. Dahi rasa panas tapi badan terasa sejuk. Menggigil juga terkena air paip pagi tadi. Adakah kerana dia meredah hujan semalam?

“Kalau demam kau pergilah berehat dekat belakang. Aku cover kau sekejap.”

“Tak apalah, aku okey je ni.”

Serentak itu seorang pelanggan memanggil Elena untuk membantunya. Rakannya itu hanya mampu menggeleng melihat Elena yang kembali sibuk dengan kerja.

Sejam kemudian kedai mulai lengang. Elena dan rakannya mengambil kesempatan untuk berehat di belakang kaunter. Baru sahaja Elena ingin duduk, muncul seorang lelaki di hadapan mereka.

“Dekat sini awak rupanya.”

“Encik Ikhwan buat apa dekat sini?” Elena hanya memandang lelaki di hadapannya dengan riak tanpa perasaan.

“Saya nak jumpa awak, nak bercakap dengan awak.” Ikhwan memandang Elena sepuasnya. Betapa lega rasa hatinya apabila benar gadis yang dilihat olehnya semalam adalah Elena.

“Saya tengah kerja.”

“Kalau macam tu saya tunggu awak habis kerja.”

“Saya habis kerja pukul 10 malam, Encik Ikhwan.”

“Saya jemput awak lepas kerja malam nanti.” Ikhwan tetap tidak berputus asa. Bukan mudah untuk dia berjumpa dengan Elena dan kesempatan yang ada ini tak akan dilepaskan begitu sahaja.

Tangan kanan naik menggaru hujung kening. Kalau Ikhwan jemput dia lepas kerja, pasti pertemuan akan berlangsung lebih lama. Elena tidak mahu berlama dengan lelaki itu apatah lagi berjumpa dengan Ikhwan, lelaki yang paling dia mahu elak daripada berjumpa.

“Kita bercakap dekat depan,” putus Elena apabila tidak nampak yang Ikhwan akan beralah.

“Apa kata kalau kita minum dekat kedai hujung sana sekejap,” kata Ikhwan setelah mereka berdiri di luar kedai kasut itu.

“Dah cakap tadi kan, saya tengah kerja.” Elena mula berpeluk tubuh. Geram kerana Ikhwan sengaja melengahkan masa.

“Encik nak cakap apa sebenarnya?”

Seperti tadi, Ikhwan diam memandang wajah Elena. Menghilangkan rindu yang menyesakkan dada sejak Elena tidak lagi muncul di hadapannya.

“Kalau encik tak nak...”

“Saya rindukan awak.” Pantas Ikhwan memotong. Tidak mampu lagi menyimpan sendiri rasa rindu di dadanya.

Elena diam membalas renungan mata Ikhwan. Sudahlah tiba-tiba muncul di hadapan dia dan sekarang tiba-tiba mengaku rindukan dia pula. Lawak antarabangsa apakah yang sedang Ikhwan perkatakan ini?

“Saya betul-betul minta maaf atas apa yang terjadi dulu. Saya menyesal kerana pernah bersangka yang bukan-bukan tentang awak dengan Amar.”

“Encik dah minta maaf dan saya dah maafkan.”

“Tapi tu belum cukup untuk tebus rasa bersalah saya.”

“Habis tu encik nak saya buat apa? Buat pulut kuning dan berikan kepada encik sebagai tanda saya dah maafkan semuanya?”

Pantas Ikhwan menggeleng. Sepertinya Elena benar-benar ingin melakukan seperti itu.

“Kenapa awak tiba-tiba berhenti belajar, Elena? Sebab Amar selalu ganggu awak ke?”

“Tak,” jawab Elena dengan nada tertahan.

“Saya dah cakap yang saya sanggup jadi pelindung awak. Tak perlulah awak sampai berhenti belajar dan kerja dekat tempat macam ni.”

“Saya buat semua ini bukan sebab Amar.” Dengan nada tegas Elena menafikan. Lebih baik kalau lelaki itu tidak tahu bahawa dia hanya menangguhkan pengajiannya sahaja. Malas memanjangkan hal dengan lelaki itu.

“Habis tu sebab apa? Kenapa awak kerja dekat tempat macam ni? Nak cari duit? Awak hidup susah ke sekarang Elena?”

“Tak perlulah encik tahu kenapa saya buat apa yang sedang saya lakukan sekarang. Lebih baik encik balik sebab saya dah nak kena sambung kerja semula ni.” Elena terus berpaling tanpa menunggu kata-kata Ikhwan yang seterusnya. Namun pergerakan dia dihalang Ikhwan. Lengannya dipegang kemas lelaki itu.

“Kahwin dengan saya dan saya akan jaga awak. Awak boleh belajar dekat universiti semula dan tak perlu kerja dekat tempat macam ni lagi dah.”

Sekuat mana Ikhwan memegang lengannya, sekuat itu jugalah Elena menarik lengannya semula.

“Jangan peganglah, saya tak suka.”

Ikhwan angkat tangan tanda menyerah.

“Kita kahwin ya? Saya dah lama sukakan awak, Elena. Beri saya peluang untuk jaga awak.”

“Saya tak nak.”

“Tapi...”

Elena mengangkat tinggi tangannya di hadapan Ikhwan. Menghalang lelaki itu daripada terus berkata-kata.

“Saya tak cintakan Encik Ikhwan dan saya tak nak kahwin dengan encik. Jadi tolong jangan ganggu saya lagi.” Usai berkata Elena terus berlalu meninggalkan Ikhwan di situ. Menyibukkan diri dengan melayan para pelanggan yang kembali memenuhi ruang kedai.

Sesekali dia menoleh memandang ke arah luar. Memerhati Ikhwan yang masih tercegat di situ. Kalau Ikhwan datang mengganggu dia lagi lepas ini, nampaknya sekali lagi dia terpaksa menukar tempat kerja. Nafas dihela kuat. Rimas!

 

PINTU DITUTUP rapat dan Alex berjalan mendekati Maalik yang sedang bersandar pada kerusi kulitnya. Kedua belah tangan bertaut di atas riba.

“Macam mana, Alex?”

“Elena binti Rashid. Tinggal bersendirian setelah kematian ibunya setahun yang lalu. Ayah dia tak dapat dikesan dan tiada saudara-mara kerana ibu dan ayahnya anak yatim piatu.”

“Meninggal sebab apa?”

“Kanser, tuan. Elena hanya bergantung pada duit simpanan arwah ibunya. Bulan lepas kereta milik arwah ibunya telah ditarik oleh pihak bank dan rumahnya bakal disewakan kepada orang lain jika dia tidak membayar sewa yang tertunggak selama hampir 5 bulan.”

“Jadi dia tangguh pengajian sebab nak kerja?”

Alex angguk dan Maalik menarik nafas dalam.

“Macam mana dengan kerja dia?”

“Pagi dia ke tempat kerja dengan menaiki bas dan pulang dengan menaiki teksi. Jika pulang awal, dia akan

pulang dengan menaiki bas juga.”

Selama seminggu Alex ditugaskan untuk mengekori Elena atas arahan Maalik. Mengawasi gerak-geri gadis itu untuk mengetahui tentang kehidupan yang sedang Elena jalani sekarang.

“Dah tahu rumah dia dekat mana?”

Alex angguk.

“Tapi tuan, kawasan perumahan tempat tinggal Elena itu agak kurang selamat. Terdapat sebuah rumah tinggal yang menjadi port penagih dadah dekat situ.”

Wajah Maalik mula berkerut.

“Dekat dengan rumah dia?”

Sekali lagi Alex angguk.

“Dan dia akan melalui rumah tinggal itu jika turun di perhentian bas.”

Maalik mula tegak dan jari bergerak mengetuk meja.

“Yang mana lebih kerap? Balik dengan teksi atau bas?”

“Teksi, tuan.”

“Selalunya pukul berapa dia sampai ke rumah kalau balik dengan teksi?”

“Pukul 11 malam, tuan.”

Tangan naik mengusap bawah bibir. Balik dengan bas tak selamat, balik dengan teksi pun tak selamat juga. Apa yang berani sangat budak tu naik turun pengangkutan awam malam-malam macam tu.

“Lagi Alex?”

“Saya rasa dia tak sihat. Malam semalam dia basah kuyup terkena hujan setelah turun dari bas. Pagi tadi pun muka dia nampak pucat, tuan.”

Maalik angguk beberapa kali.

“Suruh Bard sediakan kereta.”

“Ada satu perkara lagi, tuan.”

Wajah Maalik kembali berkerut.

“Apa dia Alex?”

“Tengah hari tadi ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Elena.”

Jantung Maalik mula berdetak tidak sekata.

“Siapa?”

“Tak pasti. Tapi keadaan mereka kelihatan tegang, tuan.”

Tangan yang mengetuk meja seketika tadi dikepal seperti penumbuk. Pelbagai soalan mula bermain dalam fikiran Maalik.

“Suruh Bard sedia.”

Alex angguk dan tunduk hormat sebelum keluar dari situ. Maalik kembali bersandar ke belakang dengan kepala yang mendongak.

Elena...

 

KERETA YANG dipandu Bard mengekori rapat teksi yang membawa Elena sehingga ia berhenti di hadapan rumah gadis itu. Bard dan Alex saling berpandangan sebelum mencuri pandang Maalik di belakang.

Maalik hanya diam tanpa reaksi, memandang teksi yang sudah lama berhenti. Penumpang di bahagian belakang teksi tersebut masih belum keluar.

“Tuan?” Alex dan Bard saling berpandangan apabila Maalik tetap kaku di situ. Entah apa yang sedang difikirkan oleh tuan mereka agaknya.

Setelah beberapa minit berlalu, pintu dibuka dan tanpa kata Maalik terus keluar menuju ke arah teksi tersebut. Dengan rakus dia membuka pintu teksi itu dan matanya terus mencerun ke arah pemandu yang sedang menyelongkar beg tangan Elena.

“Kau buat apa?” Rahang diketap geram.

“Huh? Saya...” Pemandu teksi tersebut mula tergagap apabila melihat wajah garang Maalik.

“Kau nak rompak dia?”

“Tak... tak...” Beg tangan Elena dicampak semula ke belakang.

“Tu, dia pengsan. Saya cuma cari telefon dia untuk hubungi ahli keluarga dia. Itu saja.” Dengan satu nafas pemandu teksi itu menerangkan segalanya.

Barulah mata Maalik beralih memandang Elena yang tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang. Pengsan? Duit not seratus ditarik keluar dan diberikan kepada pemandu teksi tersebut sebelum dia bergerak ke belakang dan mengangkat Elena keluar dari teksi itu.

Bergegas Alex keluar membukakan pintu kereta untuk Maalik yang sedang mendukung Elena.

“Binjai, Bard.” Kereta mula menderu menuju ke kediaman Maalik.

Sesekali mata Maalik mencuri pandang wajah Elena yang terkulai di bahu kirinya itu. Rambut yang berjuntaian di dahi diselak ke tepi. Cermin mata Elena pula diselitkan ke dalam beg gadis itu.

Nafas ditarik dalam. Dalam sekelip mata gadis ini terpaksa hidup susah begini. Hatinya semakin diusik dengan pelbagai rasa. Yang pasti, dia risau. Terasa jauh pula perjalanan pulangnya kali ini.

Bard memberhentikan kenderaan yang dipandu itu di hadapan lobi sebelum Maalik bergerak turun dengan mendukung Elena untuk ke penthouse miliknya. Lobi lif peribadi yang tersedia memudahkan lagi untuk Maalik membawa si gadis ke penthousenya itu.

Tiba di tingkat atas, Elena dibaringkan di bilik tetamu yang terletak di tingkat dua. 5 minit kemudian doktor peribadinya yang dihubungi sewaktu dalam perjalanan pulang seketika tadi tiba untuk merawat Elena.

Viral fever. Suhu badan Elena sedikit tinggi daripada biasa dan dia sememangnya dapat merasa bahang tubuh Elena sewaktu mengangkat gadis itu tadi.

Tangan Elena dicucuk wayar intravena supaya badannya tidak terus terdehidrasi, kemudian dia perlu diberi makan ubat dan badan Elena juga perlu dilap dengan kain basah supaya suhu badan lebih cepat turun. Itu pesan doktor peribadinya setelah selesai merawat Elena.

Kini hanya tinggal Maalik berdua dengan Elena di dalam bilik tetamu itu. Alex dan Bard telah lama pulang setelah selesai tugasan mereka. Tangan Maalik naik mengusap belakang leher dengan mata yang tidak lepas daripada memandang Elena yang pucat terbaring.

What should I do, Elena?” soalnya dengan nada berbisik.

Sebuah kerusi ditarik dan Maalik duduk menghadap Elena. Telefon dikeluarkan dari poket seluar lalu nombor telefon pembantu peribadinya dihubungi.

Come to my place, Meen. Now.”

No comments:

Post a Comment