PERJUMPAAN kongsi gelap Ayahanda Waris dengan konco-konconya di sebuah banglo miliknya di Setapak. Banglo yang mempunyai keluasan tanah yang luas membolehkan Waris membuka gelanggang persilatannya.
Kumpulannya yang bergerak atas nama Persatuan Persilatan Waris, mengusahakan rangkaian pusat persilatan sebagai perniagaan ‘bersih’ di samping memiliki restoran mewah Tom Yam Warisan Pattani di beberapa tempat di seluruh Malaysia.
Perniagaan yang berselindung di sebaliknya pula perjudian, pemberi pinjaman wang haram, wang perlindungan, dadah, perempuan dan penjualan senjata api yang baru bermula.
Waris yang sudah berusia hampir 60 tahun masih lagi tegap dan kelihatan gagah, berdiri di hadapan kesemua anak-anak buahnya dengan tangan menyilang ke belakang. Fikirannya sarat. Khabar yang didengari petang tadi sangat mendukacitakan hatinya. Integriti kumpulannya diganggu-gugat sejak kebelakangan ini.
Dia sangat tidak suka dengan perkembangan yang berlaku. Itu bermakna kumpulannya sudah tidak ditakuti lagi oleh kumpulan kongsi gelap yang lain. Namanya tidak gah lagi untuk ditakuti. Dia betul-betul tidak sukakannya.
Mata Waris merenung tepat orang kanannya, Sunny dan matanya beralih pula kepada anak lelakinya Young. Kedua-dua mereka adalah orang pentingnya. Sunny diserang dan kawasan Young dirampas. Pasti ada kumpulan kongsi gelap lain sedang cuba menjatuhkan kumpulannya. Sejak akhir-akhir ini juga Sunny selalu menasihatinya supaya ‘cuci tangan’ dan menumpukan pada perniagaan bersih.
Mungkin disebabkan pengaruh kumpulannya semakin meluas dan kumpulan kongsi gelap lain tidak senang hati melihatnya. Mungkin juga kerana pakatannya dengan kumpulan kongsi gelap di Sabah yang melibatkan penjualan senjata api atau mungkin kerana hanya kumpulannya diberi kepercayaan sebagai orang tengah trade dadah paling berkualiti dengan Anonymous, geng dadah terbesar di Asia. Ah, banyak kemungkinan!
“Sunny, Young... masuk gelanggang sekarang!” perintah Waris. Dia ingin melihat keupayaan ketangkasan dan fokus kedua-dua pemuda itu. Sunny bukan darah dagingnya tetapi memiliki ciri-ciri yang tepat menggantikan dirinya, manakala Young darah dagingnya masih tidak memenuhi apa yang diinginkan. Biarkan mereka berdua berentap!
Sunny bingkas bangun, berdiri gagah dengan busana persilatan serba hitam dengan kain hitam mengikat dahinya. Young turut sama bingkas bangun, memakai busana persilatan sama seperti Sunny.
Sunny merenung Young yang mula membuka bunga-bunga silatnya. Young pula sudah lama tidak berpencak sedikit kaku membuka bunga silatnya. Walaupun begitu, dia bukan calang-calang lawan kerana sedari kecil sudah diajar tentang silat turun-temurun keluarganya daripada nendanya sendiri sehinggalah ayahandanya. Cuma dia leka bermain dan tidak serius. Itu yang membuatkan ayahandanya menganggap dia masih belum siap dari segi segalanya.
Waris tarik nafas dalam, menumpukan pusat perhatiannya kepada mereka berdua. Melihat daripada cara mereka berdua dia pasti bila-bila masa mereka berdua akan berlawan.
Seperti yang dijangka, Young mengatur serangan terlebih dahulu. Sunny mengelak tanpa membalas lagi. Mungkin sedang menunggu peluang dan kecuaian Young dahulu barulah dia mengatur serangannya pula. Saat titik kelemahan lelaki itu diketahui, dia mula merangka gerak langkahnya. Bunga-bunga silat dibuka sengaja mengelirukan Young dengan serangan yang bakal dilancarkan.
Walaupun Young bersedia, namun lelaki itu jenis yang tergesa-gesa memudahkan dia menewaskan Young. Diserang Young tanpa sebarang peringatan bertalu-talu. Young tidak dapat membalas, hanya menahan segala serangan Sunny yang semakin mengasak. Dia tahu dia harus lakukan sesuatu selain bertahan. Kepalanya ligat berfikir, mencari idea licik.
Young terjatuh ke belakang. Dia bengang kerana lawannya itu berhasil menjatuhkan dia. Kedua belah tangannya menepuk tanah dengan perasaan marah. Tidak semena-mena idea licik muncul. Dia menggenggam pasir kuat-kuat dan bingkas bangun lalu mencampak pasir ke muka Sunny. Tipu helah kotornya membuatkan lelaki itu menggelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan dengan mata ditutup rapat-rapat kerana berpasir.
Waktu genting begini Sunny tidak peduli dengan matanya yang telah dimasuki pasir. Dia menggunakan deria dengar dan gerak hati untuk mengatasi Young si licik.
Manakala Young pula menggunakan peluang baik ini untuk menyerang ganas. Sunny sedikit goyah dan bertahan dengan serangan dia.
Sunny nekad untuk menamatkan apa yang sudah dimulakan. Dengan strategi dan gerak hati, dia membalas. Apabila terasa gaya Young, dia dapat mengagak dan berterusan mengeluarkan segala strategi menjatuhkan lawannya. Bertalu-talu dan mengasak-asak. Diakhiri dengan jurus tendangan paling kuat di tengah-tengah pusat tumpu Young.
Selepas tendangan kuat dan padu, Sunny menunggu. Telinganya cuba sensitif dengan keadaan sekeliling namun tiada tanda-tanda pergerakan terasa. Dia cuba membuka matanya namun pedih. Beberapa ketika, dengan susah payah dibuka juga. Dalam kabur-kabur, kelihatan Young sudah terjatuh dengan mulut berdarah. Mungkin tendangannya tadi tepat ke muka lelaki itu.
“Bersurai!” kerah Waris selepas melihat Young sudah jatuh dan tewas. Sangat mengecewakan hatinya sebagai seorang ayah. Walaupun Young menggunakan tipu helah, tetap tidak dapat mengatasi Sunny. Karisma dan bakat Sunny bukan semua orang boleh miliki. Gifted!
Selepas bersurai, Young cuba bertenang dalam kereta sportnya. Dia sedang menahan perasaan. Namun sukar, kerana dia sangat tidak puas hati!
“Arghh!!!” Ditepuk stereng keretanya kuat-kuat. Sakit hati kerana tewas dengan Sunny. Walaupun dia menggunakan cara kotor masih tetap tidak mampu mengalahkan lelaki itu.
“Jaga kau, Sunny!” Young meludah geram ke luar tingkap yang terbuka. Kemudian, menilik bibirnya yang luka di depan cermin. Perasaannya semakin berapi-api dengan kemarahan.
Sunny pula tidak terus pulang malah bersemuka dengan Waris ingin membincangkan tentang suatu hal.
“Barang hari tu, kita tolaklah dekat kumpulan lain.” Sunny maksudkan dadah sintetik yang belum diuji lagi. Dia berusaha meneutralkan kumpulan itu sedikit demi sedikit.
“Kenapa pula?” Waris tidak setuju. Selagi boleh buat wang, teruskan saja.
“Ayahanda kena ubah segala perniagaan kita kepada legal barulah dapat bergiat dalam bidang politik, bukankah itu yang ayahanda nak sekarang?” Sunny mengingatkan lelaki tua itu tentang hasratnya yang ingin berjinak-jinak dengan dunia politik.
“Tapi, aku perlukan wang yang banyak untuk masuk politik.” Waris langsung tidak bersetuju. Dunia politik yang bakal diceburi sangat memerlukan wang yang banyak.
“Kita tetap banyak prospek kalau kita cuci tangan ayahanda, tak menjejaskan kewangan kita,” jelas Sunny.
“Hmm...” Waris sedang sarat berfikir. Cuci tangan bermakna kumpulannya akan berubah seratus peratus. Sudahlah kumpulannya sedang berpakat dengan kumpulan kongsi gelap Sabah. Jika kumpulannya menarik diri, sudah pasti akan menimbulkan banyak masalah.
“Nanti aku fikirkan. Lagipun kita tak boleh berhenti begitu saja.” Waris merenung Sunny. Anak muda itu semakin berubah, membuatkan dia merasakan sesuatu tidak beres dengan anak muda itu. Dia harus menyiasat tentang Sunny.
Raeng, lelaki Siam merangkap pembantu peribadinya sedari zaman mudanya ditenung seketika. Raeng juga abang iparnya. Dia berkahwin dengan adik Raeng, Alissara. Raeng hanya mengerdip mata mengerti maksud pandangannya.
“Sunny, apa yang kau beritahu ayahanda?” Wajah Malik sarat dengan tanda tanya selepas Sunny berjumpa dengan Ayahanda Waris. Dia dan Zamri hanya menunggu Sunny di dalam kereta.
“Aku cuba pujuk dia cuci tangan sebelum kita proceed,” beritahu Sunny dengan wajah keruh. Dia tidak yakin ketua kongsi gelap sangat berpengaruh itu akan mengikuti setiap kata-katanya. Jika Ayahanda Waris masih ingin meneruskan segalanya, dia tiada pilihan lain lagi.
“Aku faham, bro!” Zamri menepuk bahu Sunny memberi semangat kepada teman seperjuangannya itu. Pasti sangat sukar bagi Sunny.
“Aku harap kau tak marah aku, bro! Mia dan mama Mia tu aku tak haraplah, bro. Kau faham, kan?” Malik meluahkan perasaan bimbangnya dengan kedua-dua beranak kesayangan Sunny. Keselamatan kedua-dua beranak itu sangat tidak terjamin.
Tengok sajalah petang tadi, Sunny telah diserang sewaktu bersama dengan Mia. Tidak mustahil kedua-dua beranak itu akan diapa-apakan demi menjatuhkan Sunny nanti. Sunny kelu kerana kata-kata Malik sungguh banyak kebenarannya.
“Sorry bro, aku terpaksa berterus terang. Aku risaukan keselamatan mereka berdua,” tambah Malik lagi. Zamri hanya mengangguk mengiakan kata-kata Malik.
“Aku dah sayangkan mereka berdua,” luah Sunny tanpa berselindung lagi. Perasaannya sangat berbelah bahagi.
“Kau serius?” tanya Zamri.
Sunny tidak menjawab, tetapi Malik dan Zamri tahu Sunny serius menyayangi kedua-dua beranak itu. Sebagai teman seperjuangan, mereka berdua sentiasa menyokong Sunny tidak kira walau apa pun terjadi.
MIDAH BERTAMBAH-TAMBAH sakit hati apabila jiran tetangganya tidak lagi menyebelahinya. Semakin berbulu matanya melihat janda muda itu disokong pula lelaki kacak berkereta mewah. Perasaan hasad dengki pada Bija semakin menjadi-jadi dalam hatinya.
Dia perlu melakukan sesuatu. Hatinya tak akan puas selagi tidak mengenakan janda muda itu secukup-cukupnya. Terkelip-kelip matanya cuba merencana rancangan jahat untuk mengenakan janda muda yang sangat dibencinya itu. Biar mampus!
“Bija sayang...”
Si suami mengigau memanggil janda muda yang sangat dibenci. Midah yang berada di sebelah Khalil di atas katil sudah berasap telinga mendengarnya. Dalam mimpi suaminya masih mencari janda muda tak sedar diri itu. Huh, sangat-sangat menyakitkan hatinya!
“Pap!” Ditepuk pipi suaminya sekuat hati. Rasakan!
Khalil terkejut besar, terpinga-pinga terjaga daripada tidurnya. Dia ingat lintah darat mengejarnya sampai ke rumah. Dia masih belum melangsaikan hutangnya yang semakin lebat bunganya.
“Kenapa? Kenapa?” tanya Khalil tidak habis lagi terpinga-pinga. Memutar kepalanya di sekeliling bilik mereka. Jantungnya berdegup laju dengan peluh mula memercik di dahi. Dia terlalu bimbang jika lintah darat datang cuba membunuhnya kerana minggu ini dia masih belum melangsaikan bunga pinjamannya lagi. Hendak menyesal pun tiada gunanya lagi.
Disebabkan itu, dia taasub mengejar Bija yang bekerja sebagai jururawat. Jika dia dapat berkahwin dengan Bija, dia akan pastikan janda muda itu membuat pinjaman bank untuk melangsaikan hutang-hutangnya. Mahu harapkan isterinya, satu sen pun tidak berguna, malah semakin menyusahkannya dengan bermacam-macam permintaan yang memeningkan kepala.
“Abang ni dalam mimpi pun cari janda gatal tu! Abang sengaja nak sakitkan hati saya, kan!” Midah melahar rasa amarahnya yang semakin meluap-luap. Bukan janda muda itu sahaja yang ingin ditelan hidup-hidup dengan suaminya sekali dia mahu penyek-penyek dan kunyah hidup-hidup. Jangan-jangan, tadi suaminya pergi sedap-sedap dengan janda muda itu. Semakin meluap panas di kepalanya dengan imaginasi bukan-bukan.
“Apa awak merepek ni? Oh, awak yang tepuk muka saya masa tidur tadi, kan? Awak dah hilang akal eh?” Khalil sangat marah apabila mendapat tahu isterinya yang menepuk muka dia dengan tadi. Mati-mati dia ingatkan lintah darat. Namun begitu, dia tidak boleh terima lagi sikap si isteri yang semakin kurang ajar dengannya.
“Abang pergi menggatal dengan janda tu lagi, kan? Pasal tu abang asyik panggil janda gatal tu dalam mimpi! Dah sedap-sedap dengan janda tu, kan?” tuduh Midah melulu. Sakit hati sangat-sangat apabila otaknya cuba membayangkan suaminya dengan janda muda itu bercengkerama.
“Awak ni memang dah hilang akal!” Khalil kembali berbaring, bantal sengaja ditekup ke kepala. Tidak ingin mendengar isterinya membebel dan memaki hamunnya lagi. Dia masih sempat tersengih di sebalik bantal.
Kenyataan isterinya memang benar, tetapi dia sedap-sedap dengan Jue, janda yang bekerja di Chow Kit. Mudah membenarkan dia masuk ke dalam rumah selepas beberapa ketika digodanya. Dah sangap agaknya! Yang menjadi igauan sangat sukar untuk ditakluki, Khalil rasa dia patut melakukan sesuatu bagi mendapatkan janda muda itu.
“Abang ingat kata-kata saya ni. Kalau abang masih nak mengejar janda gatal tu, saya akan pastikan abang menyesal sampai bila-bila!” Midah memberi amaran keras kepada suaminya. ‘Kau juga Bija!’ bentak Midah dalam hatinya, sangat-sangat berdendam!
BIJA TERKEJUT daripada tidur apabila terasa Mia yang tidur di sebelahnya bergerak-gerak. Dia mengiring melihat anaknya yang tidur lasak malam ini. Mia mengigau dengan tangan tergagau-gagau dan kaki pula menendang-nendang. Kemudian tergelak dan tersenyum-senyum dalam lenanya.
Bija pelik. Kenapa dengan si kecilnya ini? Apa yang seronok sangat keluar dengan Daddy Sunnynya tadi? Daddy Sunny?
Bija mengeluh. Kasihan anaknya kerana terlalu mendambakan kasih sayang seorang ayah dan mengharap kasih sayang seorang samseng. Dia sangat-sangat susah hati. Perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi kerana Sunny tidak pantas menjadi seorang ayah buat anaknya.
Teringat bekas suaminya, Bija menarik nafas dalam-dalam. Sebagai ayah kandung Mia, sepatutnya Imran menggembirakan dan membahagiakan Mia, bukan lelaki samseng itu. Belakang tangan diletakkan ke dahi melayan sarat berfikir. Tiba-tiba telefon Bija berbunyi. Lekas diambil telefon bimbitnya. Nombor tidak dikenali muncul pada skrin.
Kening bertaut, Bija berkira-kira sama ada mahu menjawab ataupun tidak. Dikerling jam di dinding, hampir pukul 1 pagi. Deringan telefon berterusan memaksanya mengangkat panggilan itu juga.
“Helo...” Suara Bija serak-serak basah. Dia berdeham mendengar suara sendiri yang serak tika itu.
“So sexy...”
Terdengar suara ketawa di hujung talian, tidak sukar Bija mengenali suara itu. Dia menggumam sebal.
“Hmm...” balas Bija acuh tidak acuh.
“Mia dah tidur?” tanya Sunny walaupun boleh mengagak si kecil sudah tidur tetapi sengaja bertanya lagi. Cari topik untuk berbual.
“Awak rasa pukul 1 pagi macam ni Mia buat apa? Lompat bintang?”
Nafas sinis kedengaran di telinga Sunny membuatkan dia melirik senyum ke tepi bibir. Mama Mia ni memang, cium karang!
“Ingat Mia tengah kira bintang dengan mama dia...”
“Nak apa?” tanya Bija malas hendak melayan lama-lama. Suara Sunny yang sedang berbaring kedengaran romantis pula di telinganya. Meremang bulu roma dia.
“Tanya pasal anak tak boleh ke?” Cara dia tanya macam Mia betul-betul anaknya pula. Sunny cuba sabarkan diri. Bija ini kalau sehari tidak melawan dan tidak membantah dia tak boleh ke?
Bija tidak senang mendengar soalan Sunny. Amboi, macam Mia anak lelaki itu pula.
“Bercakap pasal Mia, awak bawa dia pergi mana petang tadi? Mia mengigau dengan tangan tergagau-gagau dan kaki menendang-nendang. Apa kes?” selidik Bija dengan suara penuh syak wasangka.
“Betul ke? Comelnya...” Sunny sangat teruja tatkala mendengar si kecil terlalu gembira bersama dengannya sehingga terbawa-bawa dalam tidur. Alangkah indahnya jika dia berpeluang melihat anak kecil itu dengan keletah comelnya setiap hari.
“Awak pergi mana?” ulang Bija dengan suara memaksa. Semakin kuat perasaan ingin tahu.
“Adalah... ini rahsia anak dan daddy dia.” Sunny sengaja gelak sinis sengaja membakar perasaan Bija.
“Ingat, Mia anak saya!” bentak Bija cuba mengingatkan Sunny tentang hakikat yang sebenar.
“Mia juga anak aku!” balas Sunny selamba.
“Urgh...” Bija berderam garang tidak berpuas hati, geram, sebal dan semuanya ada!
“Macam comel aje mama Mia garang-garang macam ni.” Tergelak Sunny mendengar suara tidak puas hati Bija. Nasib tiada depan mata. Kalau ada mahu diterkamnya wanita itu. So sexy!
“Saya letak!” Bija ingin menamatkan panggilan itu secepat mungkin. Penat melayan segala perangai Sunny yang sengal, terjal, sebal dan menyakitkan itu!
“Cium Mia bagi pihak aku ya.” Sunny sempat berpesan. Sesaat, talian diputuskan. Dia tersengih. Bija mendengus geram selepas lelaki itu memutuskan talian begitu sahaja. Dia kembali berbaring dengan perasaan hangat membara. Sakit hati sangat dengan samseng sengal itu. Lantas, dia tunduk menciumi pipi Mia. Teringat pesanan lelaki itu tanpa sedar, hatinya yang hangat terasa sejuk perlahan-lahan.
*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN APRIL 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***
019-3729676 (Cik Shida) / 013-4888095 (Kak Peah)
No comments:
Post a Comment