DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 9

MATA dipejam celik. Tak lama selepas itu tangan kanan naik melekap pada dahi cuba menghadam apa yang telah terjadi. Berkerut keningnya apabila perasan akan wayar yang berselirat pada kekura tangan. Pelik. Tangan itu ditenung seperti tidak pernah melihat tangan sebelum ini.

Dengan tenaga yang bersisa dia bangun bersandar pada kepala katil. Rambut yang berserabai diraup begitu sahaja. Dipandang tingkap kaca yang terang dibias cahaya mentari. Kemudian matanya mula memandang sekeliling.

“Bukan bilik aku.”

Tanpa berfikir panjang, Elena terus mencabut jarum yang menyambungkan wayar intravena pada kekura tangannya. Menyeringai juga kerana terasa sakit akibat dicabut rakus begitu. Kemudian dilekapkan kapas dan ditampal plaster yang ada di situ. Cukuplah, asalkan tiada luka ataupun darah yang keluar.

Elena turun dari katil dan bergerak ke pintu. Kepala mula menjengah keluar sejurus pintu dibuka. Mencari jika ada sesiapa yang berada di luar bilik tersebut. Namun semua ruangan itu sepi tanpa suara mahupun sebarang bunyi.

Elena melangkah keluar mendekati tangga yang terletak di hujung laluan. Didongakkan kepala memandang ruang atas yang agak terlindung. Kemudian dia memandang ke tingkat bawah pula. Ini bukan rumah biasa-biasa.

Kemudian Elena mula bergerak menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Menghampiri anak tangga yang terakhir, matanya melilau memandang keluasan ruang tamu di hadapannya itu. Semuanya kelihatan kemas dan tersusun dengan perabot yang minimal. Cat putih pada dinding membuatkan ruang itu kelihatan luas dan besar.

Puas meneliti segenap ruang di situ, Elena bergerak ke ruang sebelah. Hiasan di situ tampak lebih mewah dengan perabot berwarna keemasan dan candelier yang tergantung di tengah ruang.

Dalam dia kagum melihat segala hiasan penthouse itu, fikirannya tetap bingung memikirkan tentang keberadaan dia sekarang. Semua yang dilihat terasa begitu asing sekali walaupun di matanya kelihatan indah.

Elena menghela nafas perlahan dan kerana rasa lesu yang masih belum hilang, dia duduk di salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Tidak mampu untuk terus menjelajah ruang penthouse yang besar dan luas itu.

“Biru dan terlalu terang. Aku dekat mana sebenarnya ni?” bisiknya yang memandang ke arah tingkap kaca.

“Cik dah bangun?”

Pantas Elena menoleh dengan badan yang tegak. Hampir luruh jantungnya dek terkejut. Kelihatan seorang wanita berusia 40-an berdiri tegak memandang ke arahnya.

“Kakak siapa? Saya dekat mana sekarang?” Serak kedengaran suara Elena menyoal.

“Saya pembantu rumah dekat sini. Kak Sofi.”

Elena cuba untuk bangun lalu Kak Sofi bergegas membantu.

“Saya bawa cik naik berehat dekat atas.”

“Saya dekat mana sekarang ni, Kak Sofi?” soal Elena lagi dengan tangan memegang kemas tangan yang berada di lengannya.

“Baju saya ni, siapa yang tukar?” Baru teringat akan pakaiannya yang sudah diganti dengan sepasang pijama.

“Saya bawa cik naik atas ya?” Kak Sofi cuba mengelak menjawab soalan Elena kerana itu yang dipesan oleh Maalik sebelum tuannya itu keluar ke pejabat.

Melihat keengganan Kak Sofi untuk menjawab soalannya, Elena akur dan kembali semula ke tingkat atas. Terkebil-kebil mata Elena memandang siling bilik. Kemudian tangannya naik memicit pelipis.

“Apa yang dah terjadi pada aku sebenarnya? Macam mana aku boleh berada dekat sini? Ini rumah siapa?” Tidak habis Elena mempersoalkan tentang itu hingga akhirnya mata dia tertutup dan dia kembali lena.

 

“MACAM MANA keadaan dia?”

Keluar dari lif, wajah Kak Sofi dulu yang dicari. Pembantu rumahnya itu baru selesai menghidangkan makanan di ruang makan.

“Cik Elena tidur dekat atas, tuan.”

“Tak bangun sejak semalam ke?” Kedua belah tangan naik mencekak pinggang.

“Pagi tadi dia dah sedar dan turun ke bawah. Tapi saya bawa naik ke atas semula sebab badan dia masih lemah. Waktu saya bawakan sarapan ke tingkat atas, Cik Elena dah lena semula.”

“Jadi dia masih belum makan?”

“Tengah hari tadi dah makan, saya terpaksa kejutkan dia. Bimbang kalau perut dia masuk angin pula.”

“Dah selesai semua dekat dapur?” Maalik melihat jam pada pergelangan tangan kemudian dia memandang ke atas.

“Sudah, tuan.”

Maalik angguk.

“Kak Sofi boleh balik.”

“Terima kasih, tuan.” Kak Sofi berlalu ke bilik tamu yang terdapat di tingkat itu untuk mengambil barang miliknya.

“Saya balik dulu, tuan.”

“Jangan lupa datang esok. Bawa pakaian untuk 2 hari, teman Elena dekat sini. Saya ke Singapura pagi esok.”

“Baik, tuan.”

Maalik terus menuju ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Setiap langkah yang dibawa membawa pelbagai rasa dalam hati.

Pintu bilik Elena ditolak, kelihatan gadis itu berbaring membelakangi dirinya. Lama dipandang belakang badan Elena, berkira untuk masuk menjengah atau tidak. Setelah beberapa minit berlalu, akhirnya pintu itu ditutup dan Maalik bergerak menuju ke biliknya di tingkat 3.

Satu per satu butang kemeja dibuka dengan fikiran yang tidak lepas daripada memikirkan tentang Elena. Apakah yang harus dia lakukan dengan gadis itu? Hantar Elena pulang ke rumahnya semula? Spontan Maalik menggeleng. Tidak bersetuju dengan persoalan yang sedang bermain di fikirannya. Kemeja putih yang dipakai mula melorot jatuh. Langsir diselak lalu tangan kanan naik menongkat pada tingkap kaca. Manakala tangan kiri pula naik mencekak pinggang.

No, I won’t. Aku takkan hantar Elena pulang ke tempat dia semula,” putus Maalik dengan mata memandang tajam ke arah jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

 

ELENA DUDUK bersila di atas sofa hitam, memandang kaca televisyen yang gelap tidak terpasang. Sedar daripada tidur, biliknya kelam tidak bercahaya. Usai makan tengah hari tadi, dia terlena semula sampai malam. Lampu tidur yang terletak berhampiran dengannya dipasang.

Tidak mahu terus bermalasan di atas katil, dia bangun menggeledah bilik yang dihuninya itu bagi mencari barang peribadi miliknya. Beg yang sentiasa dibawa ke tempat kerja, tiada. Yang ada cuma beg pakaian yang terletak elok dalam almari bersama pakaiannya yang telah digantung kemas di dalam almari tersebut.

Usai membersihkan diri dan menukar pakaian, Elena turun ke bawah. Tetapi bayang pembantu rumah yang ditemuinya siang tadi langsung tidak kelihatan. Sepi ruang yang luas itu tanpa kehadiran manusia lain membuatkan bulu romanya merinding. Kerana itu dia duduk diam bersila di sofa dengan mata yang terarah pada dinding. Dia buntu.

“Elena.”

Seperti disampuk makhluk halus, pucat wajah Elena saat dia berpaling ke belakang apabila namanya diseru oleh seseorang. Jelas kelihatan bibir terketar kerana rasa terkejut yang masih belum hilang. Kedua belah tangan naik memegang dada.

Maalik berjalan dengan kedua belah tangan berada di dalam poket seluar menuju ke arah Elena dan berdiri tegak di hadapan gadis itu.

Melihat bilik Elena kosong tanpa penghuni, hatinya dijentik rasa risau. Bergegas dia turun ke bawah dan tika melihat Elena duduk tegak di sofa, rasa lega mula menyapa. Ke mana sajalah yang mampu gadis itu pergi kerana penthouse miliknya ini terlalu ketat dengan sistem keselamatan.

Bulat mata Elena memandang Maalik yang berlagak selamba di hadapannya itu. Rasa terkejut beransur hilang. dan wajah pucat berganti merah dek menahan rasa marah.

Pertama, kerana Maalik telah membuatkan dia terkejut bagai nak mati. Kedua, kerana yang berdiri di hadapannya ini ialah Maalik; seorang lelaki yang paling dia tidak ingin jumpa lagi.

You?”

Let’s eat. Dinner is ready.” Tangan Elena ditarik lembut agar gadis itu bangun dan mengikutnya ke meja makan namun pegangannya itu direntap kasar oleh Elena.

“Apa yang tuan dah buat pada saya?” soal Elena dengan nada yang tertahan.

Tangan dimasukkan semula ke dalam poket. Mata Maalik tidak lepas daripada memandang Elena yang kini sudah tegak di hadapannya. Memandang dia dengan pandangan yang tajam.

Nothing.” Sepatah sahaja jawapan yang diberi Maalik dan kerana satu patah perkataan itu juga wajah Elena semakin merah.

“Macam mana saya boleh ada dekat sini? Apa yang dah terjadi sebenarnya? Apa yang tuan dah buat pada saya? Kenapa tuan kurung saya dekat sini? Mana beg dan telefon saya? Saya nak telefon saya.” Bertalu-talu soalan yang Elena lontarkan dengan suara yang semakin meninggi.

Dalam dia sibuk melontarkan soalan, hatinya mula dipagut dengan rasa takut. Pelbagai perkara mula bermain dalam fikirannya dan anggapan dia terhadap Maalik pada pertemuan kali pertama mereka membuatkan dada Elena mula sesak.

“Memang betul Tuan Maalik ni bapak ayam, kan? Berselindung di sebalik latar belakang tuan sebagai ahli korporat.” Sedaya upaya cuba dikeraskan suaranya demi untuk tidak kelihatan lemah di hadapan Maalik. Sungguh dia takut jika telahannya ini benar belaka.

“Tuan nak jual saya pada siapa?” soalnya dengan berani.

Sepatah pun Maalik tidak bersuara. Masih tegak seperti tadi, memandang riak pada wajah Elena yang sentiasa berubah-ubah. Sekejap nampak yakin dan berani, sesaat kemudian berubah menjadi takut dan sedih. Kata-kata Elena cukup menyatakan bahawa tiada yang baik tentang dia yang difikirkan oleh gadis itu.

For your record, I bukan bapak ayam seperti...” Nafas dihela perlahan dan Maalik berundur untuk duduk di kerusi kulit yang terletak di situ.

“Habis tu, kenapa tuan bawa saya ke sini? Kenapa tuan kurung saya dekat sini dan sorok semua barang saya? Telefon saya mana? Saya nak telefon...”

Just shut up and listen, Elena.” Keras suara Maalik menghalang Elena daripada terus bersuara. Sejak tadi soalan sama sahaja yang gadis itu lontarkan. Langsung tidak memberi peluang kepada dia untuk menjelaskan semuanya.

Bibir bawah dikemam dan dengan pandangan mata yang tajam Elena berlawan mata dengan Maalik.

“You pengsan dalam teksi waktu balik dari kerja semalam. Sebab itu you berada di sini sekarang. I bawa you balik sebelum you kena jual dekat luar sana.”

“Dekat luar atau dekat sini sama saja, saya tetap kena jual.” Terasa pahit liur yang ditelan apabila mendengar kata-kata Maalik.

For God’s sake I’m not a bapak ayam dan I tak jual orang.” Semakin keras suara Maalik apabila Elena masih beranggapan yang sama terhadapnya.

“Habis tu kenapa tuan bawa saya ke sini? Kenapa tak hantar saya balik rumah atau hantar saya ke hospital.”

“Suka hati Ilah nak bawa you ke mana pun!” Sakit hati dengan tuduhan Elena terus Maalik berikan jawapan yang tidak masuk akal.

“Apa?” Bulat mata Elena memandang Maalik. “Tuan ni gila, tahu tak. Gila!” Dengan rasa marah yang menggunung Elena berlalu dari situ, ingin menuju ke tingkat atas.

“Elena,” panggil Maalik dengan suara yang sedikit menekan. Namun tidak Elena endahkan. Hanya jelingan yang gadis itu berikan sebelum terus berlalu ke tingkat atas.

Nafas dihela keras dan Maalik ikut bangun. Mengekori langkah Elena sehingga ke dalam bilik gadis itu. Maalik perhati semua pakaian yang bergantungan di dalam almari telah Elena bawa keluar dan sumbat ke dalam beg tanpa mengendahkan dia yang tegak memandang.

“Apa yang you buat ni?” Kedua belah tangan naik mencekak pinggang.

“Saya nak balik,” jawab Elena tanpa mengangkat wajah. Zip ditutup dan beg yang tidak terlalu berat itu dibawa menghampiri Maalik.

“Tak perlu hantar saya sampai ke rumah. Cukup dengan bawa saya keluar dari sini sahaja.”

No.”

“Tapi kenapa?”

Cause I want you to stay.”

“Kenapa? Untuk apa?” Elena mula panas hati. Lama dia berbalas pandangan dengan Maalik sebelum lelaki itu berpaling untuk keluar dari bilik yang dihuninya itu.

“Tuan Maalik!” jerit Elena sekuat hati.

“Simpan pakaian you dalam almari semula, lepas tu turun makan. I tunggu you dekat bawah.” Langkah Maalik terhenti lagi apabila Elena menjerit buat kali yang kedua.

“Tak nak! Saya nak balik!”

“Letak je beg dekat situ, kemas kemudian. Jom, turun makan.”

“Saya kata tak nak, tak naklah.”

Now, Elena. Atau you nak I dukung you macam semalam?”

Terpejam mata Elena dengan mulut yang berdecit. Dukung? Tuan Maalik dukung dia?

“Eee... Tuan Maalik!” Beg pakaiannya dibaling sekuat hati ke arah pintu bilik yang terbuka apabila lelaki itu sudah menghilang.

Hujung bibir Maalik tercuit dengan senyuman. Tak padan dengan sakit, bukan main lagi menjerit siap baling beg. Kaki mula menjejak anak tangga dan saat itu juga wajahnya kembali serius tanpa senyuman.

No comments:

Post a Comment