BIJA turun di stesen LRT yang terakhir. Hujan turun dengan lebat sewaktu saat ini. Dikeluarkan payung yang sentiasa dibawa bersamanya dari dalam beg. Sempat dia menjenguk ke langit, hujan turun sangat lebat tetapi tiada pula guruh atau kilat.
Bija mula berjalan, walaupun dilindungi sekaki payung, pakaiannya tetap terkena tempias hujan menyebabkan sebahagian seragam putihnya melekat pada tubuhnya. Satu-satu perkara yang dia tidak suka mengenai uniformnya walaupun dia sangat bangga apabila memakainya.
Kaki diayun laju. Tidak semena-mena payung yang dipegang ditarik kasar. Terpinga-pinga Bija melihat Midah datang menyerang tanpa penjelasan. Dalam hujan lebat, pipinya ditampar berkali-kali tanpa belas.
Suami Midah, Khalil berusaha menghalang isterinya daripada menyerang janda muda pujaan hati. Namun, kudrat seorang isteri yang naik hantu disebabkan terlalu cemburu tidak dapat dihalang lagi.
Kesan merah pada lehernya dan gambar curi Bija dalam telefon bimbit Khalil membuatkan isterinya terlalu yakin dia berselingkuh dengan janda muda itu. Isterinya itu juga bukannya tahu malam semalam sebenarnya dia pergi melanggan pelacur. Tanpa usul periksa, terus isterinya pergi menyerang janda muda itu walaupun hujan lebat gila. Dengan dia-dia sekali menggila.
Midah semakin menggila. Ditarik tudung Bija sampai tercabut dan diganyang rambut janda muda itu sekuat hati. Tidak cukup dengan itu, Midah menolak tubuh kecil Bija ke tanah yang becak dengan lumpur. Dia seperti orang gila membenam muka janda muda itu ke lumpur.
Khalil sangat terkejut dengan tindakan isterinya yang sangat keterlaluan. Cuba menghentikan perbuatan isterinya tetapi isterinya itu seperti kerasukan.
“Sudah, Midah! Mati budak tu nanti!” jerit Khalil cuba menghentikan perbuatan kejam isterinya. Ditarik tubuh gempal isterinya sekuat hati sehingga mereka berdua tercampak ke belakang.
Bija yang kelemasan dibenam ke dalam lumpur sedaya upaya bangun. Menangis teresak-esak kerana tidak sangka nasibnya begitu malang. Dengan langkah longlai, dia berjalan dalam hujan.
Khalil pula berusaha memegang isterinya daripada bangun. Kalau tidak, sudah pasti isterinya akan mengerjakan lagi janda muda pujaan hatinya itu. Kasihan Bija.
Bija berjalan lemah ke rumahnya. Sewaktu melewati rumah jiran-jiran, dirinya yang kebasahan dan kotor dipandang jelik dan serong. Bukan pandangan kasihan diberikan, tetapi cemuhan yang didengari di sepanjang perjalanan melangkah ke rumahnya.
“Puiii!” Tergamam Bija memegang pipinya yang diludah. Sekali lagi dia terkejut dan sangat tersentap. Dia diludah seperti dirinya sehina-hina anjing kurap. Bija tidak menyangka orang yang sama jantina dengannya, sebangsa dengannya dan seagama dengannya begitu tega memperlakukan dirinya sedemikian. Apakah dosanya?
Air mata mengalir deras menuruni lurah pipi. Sungguh, inilah saat paling getir dalam hidupnya. Bija melangkah lesu ke rumahnya. Setiap langkah diiringi caci maki jiran tetangga. Betapa kejamnya dunia!
Sunny terpaku. Dalam kehujanan, di bawah payung, dia melihat dengan jelas ‘orang asing’ dalam hidupnya disakiti dengan teruk sekali. Kakinya terasa ingin berlari sekuatnya untuk menyelamatkan wanita itu tetapi hatinya melarang keras. Dia sepatutnya tidak lagi masuk campur dalam hidup wanita itu. Biarpun hatinya terlalu kasihan, tetapi dia sudah berjanji pada diri.
Sunny berpaling, matanya tidak mampu melihat wanita itu disakiti lagi.
PENANGAN MIDAH sangat meninggalkan kesan terhadap Bija. Selama 2 hari dia hanya berkurung di dalam rumah. Merengek dan menangis Mia tidak dipedulikan. Dia dihujani panggilan telefon sejak 2 hari yang lepas juga langsung tidak dipedulikan. Dia hanya menangis dan meratapi dirinya. Dia merasa sangat berputus asa dengan hidupnya.
Bija bangun setelah seharian tidur. Dia bangun ini pun pelik kerana terfikirkan si anak tidak mengganggunya seperti biasa. Disebabkan itu, dia tidur dengan lena sekali. Bija bangun mencari Mia. TV terpasang, mungkin anaknya di hadapan, tetapi tiada pula. Kemudian dia berlalu ke dapur.
“Ya Allah!” Terus dia mendapatkan Mia yang terbaring di lantai. Meraung Bija melihat Mia tidak sedarkan diri. Dia melihat lantai dapurnya berselerakan dengan susu tepung. Sudah pasti Mia cuba mendapatkan bekas susu di atas almari. Ya Allah... Mia lapar!
“Mia!!!” Bija meraung. Dicempung anaknya seperti orang gila. Cuba meminta pertolongan daripada jiran tetangga tetapi tiada sesiapa yang sudi membuka pintu.
Bija menekupkan telinganya ke dada Mia, masih kedengaran jantung berdenyut perlahan. Dia bertindak cepat ke jalan raya mencari teksi. Ke hulu ke hilir mencempung Mia mencari teksi. Bija menangis teresak-esak. Terlalu menyesal dengan dirinya kerana terlalu bersedih dengan hidupnya sehingga si anak diabaikan.
Sebuah kereta berhenti di tepi jalan. Tika cermin pintu kereta diturunkan, barulah Bija nampak orangnya. Dia terkejut melihat samseng yang berada di dalam kereta itu.
“Masuk cepat!” gesa Sunny.
Tanpa membuang masa, Bija terus masuk selepas pintu kereta dibuka. Mia dikejarkan ke hospital secepat mungkin.
Kemunculan Bija dengan anaknya di wad kecemasan membuatkan semua rakan sekerja terkejut besar. Masing-masing datang mengerumuni Bija yang kelihatan tidak terurus langsung. Mereka sudah sedia maklum tentang hal penceraian Bija dengan suaminya, tetapi mereka tidak tahu apa yang menyebabkan wanita itu tidak hadir bekerja selama 2 hari ini.
“Sister, anak saya...” Bija menangis teresak-esak sampai terduduk. Sister Mardiah memandang lelaki bersama Bija dengan tanda tanya.
“Sabar, sabar Bija... doktor dah tengok anak awak.” Sister Mardiah cuba menenangkan anak buahnya yang kelihatan sangat serabut. Tidak tahu masalah sebenar yang anak buahnya hadapi. Bija seorang yang pendiam orangnya, banyak berahsia. Tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan sekerjanya. Jadi, susah baginya untuk memahami dan menolong anak buahnya itu.
Bija teresak-esak di sebelah Mia yang sudah mula sedarkan dirinya. Dipeluk erat tanpa lepas biarpun sesaat. Dia hampir kehilangan Mia tadi. Jika dia kehilangan Mia, sudah pasti hidupnya tiada ertinya lagi dan dia akan meratapi perasaan bersalah sepanjang hidupnya.
Sungguh, Bija berjanji pada dirinya, dia tak akan cuai dan mengabaikan Mia lagi. Dia sangat menyesal. Padahal, dia masih punya anak untuk meneruskan hidup. Dia harus kuat demi Mia.
Diagnosis doktor, Mia berkemungkinan mengalami cerebral concussion akibat terjatuh dari tempat tinggi. Kata doktor, jika dalam masa 48 jam Mia tidak mengalami simptom muntah-muntah atau tidak sedarkan diri lagi, Mia dibenarkan keluar wad. Daripada finding imbasan CT scan, otak Mia masih dalam berkeadaan baik, tetapi doktor bimbang jika Mia mengalami simptom lewat.
“Nah, air!” Air kotak dihulur di depan mata Bija. Kemudian, Sunny melabuhkan duduk di sisi Bija. Wajah wanita itu masih basah dengan air mata. Nafas dihela panjang. Tidak tahu kenapa dia juga terlalu bimbangkan Mia. Padahal, bukan darah dagingnya pun.
“Saya tak dahaga!” Bija tolak huluran air kotak di depan matanya. Apabila air kotak disua lagi dia menggeleng dengan mata merenung penuh kasih pada Mia. Dek perasaan bersalah dia tak peduli dengan dirinya sendiri. Yang penting ialah Mia.
“Ambillah, minum!” tegas Sunny dengan suara agak keras. Bengang pula dia. Dua kali hulurannya ditolak Bija.
Bija terpaksa mengambil juga setelah air kotak itu diletakkan secara paksa di tapak tangannya. Bengang dengan lelaki samseng itu, tidak habis-habis dengan sikap memaksa dan berkasar dengannya.
“Minum!” gesa Sunny dengan suara memaksa pula.
Bija merengus lalu menebuk air kotak itu dengan penyedut minuman. Air kotak itu diminum. Dari tak mahu minum, dia minum sampai habis. Baru tersedar dirinya langsung tidak merasa setitis air hari ini.
Astaghfirullah... Bija beristighfar dalam hati, betapa dia mendera diri dan juga anaknya kerana kesusahan hidup yang dialaminya. Betapa hinanya dia kerana terlalu berputus asa dalam hidup. Dia beristighfar banyak-banyak dalam hati.
“Dah lega sikit?” tanya Sunny.
Bija mengangguk lesu. Dia masih bermuram setelah apa yang terjadi. Sungguh, dia seorang ibu yang teruk. Terlalu memikirkan perasaan diri sendiri berbanding Mia. Sepatutnya diletakkan Mia yang paling utama dan bukan perasaannya. Bija terlalu menyesal.
“Haa...” Tiba-tiba Sunny menepuk dahi Bija. Agak kuat juga tepukannya, melepaskan geram yang disimpan dari tadi. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memarahi Bija dari tadi lagi, sewaktu melihat wanita itu mencempung anaknya yang tidak sedarkan diri tetapi nyawa si kecil lebih utama.
“Adui!” Bija mengaduh sakit sambil menggosok dahinya yang sudah berbirat merah. Diketap bibir merenung marah kepada lelaki itu. Dia tidak habis berfikir, kenapalah samseng ini suka sangat meluku dahinya sesuka hati!
“Sakitlah!” marah Bija. Balik-balik dahi. Ingat dia tak bayar zakat setiap tahun apa? Dia sakit hati sangat-sangat. Sudahlah susah hati dengan Mia, samseng ini pula buat suka hati dia saja.
“Kau tak reti jaga anak eh? Macam mana Mia boleh jatuh?”
Samseng itu memarahinya. Bija terus terdiam. Benar, seratus peratus salahnya. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan. Dari sendu perlahan dia menangis semahunya. Teresak-esak!
Sunny tergamam melihat Bija menangis semahunya. Dia teringat kembali bagaimana wanita itu disakiti beberapa hari yang lalu. Sudah pasti peristiwa itu memberi kesan yang bukan sedikit dalam hidup wanita itu. Dia dapat merasakan Bija sangat-sangat bersedih dengan hidupnya.
“Syhh...” Tanpa diduga Sunny menarik Bija ke dalam pelukannya, cuba menenangkan wanita itu. Rambut Bija dielus lembu, membiarkan Bija menangis semahunya.
Selepas Bija sudah bertenang, Sunny mengajak Bija pulang ke rumah dahulu. Membersihkan diri dan bersiap-siap apa yang patut untuk Mia.
Bija bersetuju apabila mengingatkan dia datang dengan sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa. Melihat dirinya yang berserabai dan berserabut, sangat-sangat menyedihkan. Matanya berkaca-kaca lagi.
“Dahlah tu, simpan-simpan air mata kau tu! Dah banyak keluar hari ini, simpan lain hari pula!” Perempuan dengan air mata memang tak dapat dipisahkan. Penatlah!
Bija yang sedang asyik meratap tangis terus mengetap bibir dan merenung lelaki samseng itu dengan geram. Tak pernah sekali pun menyenangkan hatinya. Lelaki itu selalu buat dia sakit hati dan geram.
“Cepatlah! Karang Mia bangun susah pula nanti,” gesa Sunny.
Setelah memastikan Mia dalam keadaan selesa dan selamat, dengan berat hati Bija berjalan beriringan dengan samseng terhormat keluar dari wad kanak-kanak yang menempatkan Mia.
Kereta betul-betul berhenti di hadapan flat dia tinggal. Bija keluar lalu menutup pintu kereta. Bukan calang-calang orang yang mampu membeli kereta begitu. Dia tidak sangka lelaki samseng itu mampu memiliki kereta semewah itu. Tidak silap Bija, kereta yang dinaikinya itu kereta BMW. Sudah pasti harganya ratusan ribu.
Tetapi firasatnya kuat mengatakan kereta itu pasti daripada hasil menyalahi undang-undang. Tidak mungkinlah lelaki samseng itu mampu membeli kereta semewah itu. Mungkin kereta curi. Jika nak berfikir baik-baik tentang lelaki itu, mungkin kereta sewa. Ah, susah mahu percaya!
“Terima kasih!” ucap Bija dengan senyuman ikhlas. Walau apa pun dia amat berterima kasih dengan Sunny. Jika bukan kerana lelaki itu, dia tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anaknya. Kemungkinan besar Mia tidak dapat diselamatkan. Sempat dia melambai tangan kepada lelaki itu sebelum menapak ke rumahnya.
“Hah, janda gatal dah balik! Wah, balik dengan kereta besar. Dah jadi pelacur kelas atasan pula ke?” cemuh Midah dari tingkat 2 dengan mulut menjuih-juih benci.
Midah dan jiran tetangganya sedang berkumpul di beranda sewaktu Bija pulang. Saat melihat Bija keluar dari kereta mewah, masing-masing sibuk mengumpat janda muda itu. Midah paling berbulu matanya melihat janda gatal itu keluar dari kereta mewah.
Bija mendongak ke atas. Luluh hatinya kerana dia masih menjadi umpat dan cercaan jiran tetangga. Dia tidak tahu apa salah dia sebenarnya? Sungguh, dia tidak faham dengan stigma masyarakat. Bukan semua janda berperangai jahat yang suka menggatal dengan jantan dan merampas suami orang. Dia bukan begitu. Lagi pula, bukan kemahuannya menjadi janda pada usia muda begini.
“Hei, janda! Baik kau keluar dari flat ini! Kami tak nak tengok janda gatal macam kau ni ada di kawasan kejiranan kami!” Salah seorang jiran turut mencemuh Bija.
Bija tergamam dan terkelu di situ. Dugaan apakah lagi ini? Ke manakah hala tujunya dan Mia nanti jika mereka berdua dihalau pergi dari sini?
Bija melangkah berat. Apa yang penting buat dia sekarang ialah Mia. Selepas membersihkan diri, dia harus ke hospital kembali. Jika mahukan dia dan Mia pergi, biarlah selepas Mia sembuh dan keluar dari wad. Cuma, berikan dia sedikit waktu untuk mencari rumah lain.
Baru dia menapak beberapa tapak ke hadapan. Tiba-tiba dia dihujani air. Tidak cukup dengan jirusan air, kepalanya dibaling dengan telur bertubi-tubi.
“Janda gatal! Biar kau sedar diri, jangan nak menggatal dengan laki orang!” Midah ketawa besar melihat janda gatal itu dikerjakan cukup-cukup dengan jiran-jiran yang menyokongnya. Tidak sia-sia selama ini dia menjaja cerita buruk dan mencanang perkara bukan-bukan tentang janda itu. Baru puas hatinya!
Air mata Bija tumpah lagi. Dia menangis teresak-esak membawa dirinya yang sangat malang. Baru selangkah, dia dibaling lagi dengan plastik berisi tepung gandum. Habis kepalanya berhabuk dengan tepung dan rambut hitamnya menjadi putih. Bija tidak sangka sampai begitu sekali jiran-jirannya sanggup lakukan kepadanya.
Dia tahu jiran-jirannya itu sengaja menyakitinya supaya dia dan Mia keluar segera dari tempat ini. Di manakah sifat kemanusiaan mereka semua? Masing-masing hanya mencebik melihat janda muda itu menangis teresak-esak di bawah.
“Hoi, buat apa tu?” jerit Sunny yang baru keluar dari kereta. Tidak sanggup melihat ibu tunggal itu disakiti lagi.
“Kau jangan nak masuk campur! Dah dapat sedap tu, blahlah!” Midah sakit hati apabila ada lelaki kacak cuba melindungi janda itu. Huh! Tidak habis-habis dengan perangai dengkinya kepada Bija.
“Weh, perempuan gemuk! Muka dahlah buruk, mulut macam longkang! Baik kau diam! Dan kamu, kamu semua, baik kamu semua hentikan semua ni. Kalau tak, aku call polis dengan tuduhan sengaja mencederakan orang. Kamu semua dah teringin sangat nak tidur lokap ke?” Sunny menjerit dan mengugut mereka semua yang tidak berperikemanusiaan.
Mendengar sahaja kata-kata lelaki itu, mereka semua sibuk masuk ke dalam rumah masing-masing. Hanya Midah sahaja yang masih berada di situ. Berdegil!
“Kau orang pertama aku suruh polis tangkap! Kau tunggu di sana!” Sunny mengeluarkan telefon pintarnya berpura-pura mendail polis. Dia sengaja mahu menakut-nakutkan perempuan gemuk itu. Gila apa hendak telefon polis! Samseng telefon polis? Memang taklah!
Jika benar lelaki kaya itu menelefon polis habislah dia nanti. Gembiralah suaminya boleh berbuat sesuka hati dengan janda gatal itu. Midah terus masuk ke dalam rumahnya. Tidak berdegil seperti tadi.
“Tahu takut!” Sunny merengus. Geram dengan sifat manusia yang tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan. Menghukum tanpa usul periksa. Manusia apakah itu? Binatang lebih baik daripada itu.
Tatkala matanya melihat perempuan gemuk itu masuk ke dalam rumah, Sunny terus mengheret Bija kembali ke kereta lalu dihenyak Bija secara paksa ke tempat duduk. Wanita itu tidak selamat berada di situ lagi. Dia membawa wanita itu ke kondo mewahnya. Buat julung-julung kalinya Sunny membawa perempuan ke rumahnya. Jika Malik atau Zamri tahu, sudah pasti teruk dia disekolahkan.
Bija seperti patung, membiarkan sahaja lelaki itu mengheretnya ke situ. Malah, membiarkan sahaja lelaki asing itu membawanya ke dalam bilik tidur. Dia hanya menonong dengan minda kosong sekosong-kosongnya apabila ditarik. Diturut tanpa bunyi langsung. Tidak seperti selalu.
Melihat Bija hanya berdiam diri, Sunny resah. Mungkin wanita itu sedang trauma dengan apa yang berlaku. Dia juga tidak habis berfikir dengan kerenah jiran tetangga Bija tadi. Manusiakah mereka? Mereka semua itu keterlaluan!
“Bija, ni tuala. Baik kau pergi mandi sekarang,” arah Sunny. Tidak tahan melihat wanita itu yang kelihatan sangat berserabai dan berserabut. Bau badan pun boleh tahan busuk. Dah kena baling dengan telur baunya sendiri mahu ingatlah.
Sunny jeda melihat Bija dengan dengusan nafas kesal. Bija hanya berdiam diri di situ. Terpaku, terkelip-kelip.
Sunny berdecit. Sah, Bija masih dalam trauma. Dipejamkan matanya. Dia terpaksa melakukan ini. Sunny menarik Bija masuk ke dalam bilik air. Pintu kaca kabur dibuka dan ditarik tubuh itu ke bawah pancuran air dan mengambil shower lalu dibuka air suam-suam hangat.
Dengan penuh perhatian, Sunny menyiram tubuh Bija dari atas kepala sehingga ke bawah. Tangan sebelah lagi, menyental rambut Bija yang melekit dengan telur. Kemudian, membuang sisa-sisa kulit telur dan tepung yang mengotori rambut wanita itu. Sunny menggantungkan kembali shower ke tempatnya tetapi dibiarkan air mengalir dan dia juga membiarkan saja dirinya basah bersama.
Sunny mengambil sedikit syampu lalu digosok pada rambut Bija. Diraup wajah wanita itu yang terkena buih-buih syampu. Kemudian, kedua belah tangannya jatuh pada kedua-dua belah bahu wanita itu lalu dipegang kemas. Dia merenung Bija yang sedang menangis dalam pancuran air hujan. Hatinya berterusan jatuh kasihan. Pada pendapatnya, nasib ibu tunggal itu terlalu kasihan.
“Aku keluar, kau mandi betul-betul!” Bija ditenung lama sebelum keluar. Wanita itu tidak berkata apa-apa, sama ada mengangguk atau menggelengkan kepala. Dia tidak pasti Bija akan mengikut kata-katanya ataupun tidak. Baik Bija bersiap betul-betul, naya karang kalau dia yang siapkan dari A sampai Z. Sunny tiba-tiba terasa pipinya berbahang pula.
“Jangan lama-lama sangat, ingat Mia di hospital tu!” Sunny mengingatkan Bija tentang Mia. Berharap wanita itu tidak mengenangkan nasib dirinya yang menyedihkan lama-lama.
Pintu kaca kabur ditutup. Tanpa berpaling, Sunny membuka pakaiannya satu per satu. Tuala yang berada di dalam laci diambil lalu diikat pada pinggangnya. Setelah itu dia keluar dari bilik mandi tanpa menoleh sedikit pun. Dia bukan lelaki terdesak, okey!
No comments:
Post a Comment