DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 16 April 2020

Gengster - Bab 2

“DASAR janda! Kerjanya nak merampas laki orang saja tahu! Aku jaga anak kau, kau main mata dengan laki aku ya!” Terjerit-jerit Midah memaki hamun Bija di depan rumahnya.

Bija menangis teresak-esak, dimaki dan dihina di depan semua jiran tetangga. Tak sampai sebulan bergelar janda, khabar angin dan fitnah terus melanda dirinya. Setiap hari dia kenyang dengan umpat keji jiran tetangga yang sentiasa mencari kesalahan dan kesilapannya.

“Apa Kak Midah cakap ni? Mana ada saya buat apa-apa dengan suami akak! Jangan tuduh saya bukan-bukan!” Bija cuba membela dirinya.

“Ingat mata aku buta, ingat aku bodoh! Setiap kali kau ambil anak haram kau tu, yang kau duk terintai-intai suami aku tu apa? Tak cukup mengintai, tanya pula suami aku ada, tak ada!” tuduh Midah berapi-api.

Semua jiran tetangga yang keluar melihat mereka,  berbisik-bisik sesama sendiri dan mencebik-cebik ke arahnya. Bija sakit hati yang teramat sangat kerana dia tak pernah ada apa-apa dengan suami pengasuh anaknya itu apatah lagi hendak merampas. Salahkah bergelar janda? Gelaran janda hanya layak menjadi perampaskah? Sungguh dia tidak faham.

“Kak Midah, Mia bukan anak haram! Mulut tu jangan celopar cakap anak saya bukan-bukan!” Bija berang apabila anaknya turut dihina. Kalau dia yang dihina masih boleh bersabar lagi tetapi Mia juga diheret sama. Apakah salah Mia?

“Ah, anak kau dengan kau sama aje! Dua-dua anak haram! Pasal tu suka merampas!” Tuduhan Midah semakin menjadi-jadi.

“Kak Midah jangan melampau! Apa hak akak panggil kami macam tu! Kak Midah tu yang kena jaga suami tu elok-elok. Dengan mulut celopar macam Kak Midah ni memang patut suami tak tahan, cari perempuan lain!” Jangan ingat dia akan berdiam diri selepas dihina sesuka hati, dia juga punya maruah!

“Ha, kan aku dah kata! Mengaku juga menggatal dengan suami aku! Kau memang nak kena. Sini kau!” Midah meluru terus menarik rambut Bija kuat-kuat.

Bija yang tidak bersedia tidak dapat melawan kerana rambutnya sudah ditarik dahulu. Dia menjerit-jerit kesakitan tetapi tiada seorang yang datang membantu. Mia yang tidak mengerti apa-apa hanya mampu menangis di tepi pintu melihat mamanya dizalimi.

“Hei!”

Terdengar jeritan dari arah belakang, semua mata tertumpu kepada dua orang lelaki yang tiba-tiba meluru. Tidak tahu datang dari arah mana. Datang-datang sahaja terus menarik Midah daripada mengasari Bija.

Bija terpinga-pinga!

“Kau tarik-tarik rambut dia kenapa? Laki kau yang banyak hutang tu tak mahu perempuan nilah! Cakap sama kau punya laki, lagi 2 hari hutang tak bayar, suruh dia tukar warganegara Nepal. Sekali aku jumpa dia, zasss!” Lelaki berlagak gengster itu mengugut siap dengan isyarat seperti sembelih leher ayam. Pucat lesi terus Midah mendengar ugutan lelaki itu.

“Hah, kau pula buat apa tercegat kat sini lagi, masuklah dalam!” marah seorang gengster lagi tatkala melihat perempuan yang ditarik rambut masih terpinga-pinga di luar.

Kehadiran dua orang gengster itu menyelamatkan Bija dari diganyang percuma dengan Midah. Dia sangat berterima kasih dengan kedua-dua orang gengster itu walaupun jahat. Cepat-cepat ditarik Mia masuk ke dalam rumah. Tutup pintu rapat-rapat!

Midah pula yang terkulat-kulat. Misi mengganyang nampaknya tak menjadi, dia pula menjadi sasaran lagi hebat. Hesy, laki aku ni!

 

“MACAM MANA?”

“Aku dah pergi tengok perempuan kau tu. Perempuan yang cari pasal tu, laki dia banyak berhutang. Sekali aku sergah terus kecut perut. Aku dah warning, kalau kacau perempuan kau lagi, siaplah dia!” Malik selamba letak kaki ke atas meja. Seorang lagi pula sibuk menghidupkan api rokoknya. Lelaki yang bertanya mula-mula hanya menganggukkan kepalanya.

“Bagus! Aku nak budak-budak kita selalu perhatikan perempuan tu. Kalau ada apa-apa terus beritahu aku!” kata lelaki itu. Riak wajahnya serius bukan main-main.

“Yalah.” Malik sengih semacam.

“Tak pernah aku tengok kau macam ni,” sampuk Zamri selepas menyalakan api rokoknya. Lelaki itu hanya diam, tidak menyuarakan sebarang alasan dengan kata-katanya.

“Sunny, kau sedar kita siapa, kan? Selagi tak selesai kau tak boleh macam ni!” Malik mengingatkan Sunny. Harus sedarkan teman seperjuangan tentang matlamat mereka.

“Dia pernah tolong aku. Itu aje...” ujar Sunny sambil meraba pipi sebelah kanan. Langsung tiada parut di situ. Ini semua kerana perempuan itu. Sunny tersenyum nipis apabila teringatkan dua beranak itu. Dia tak akan pernah lupa budi perempuan itu kepadanya.

Oleh kerana itu, dalam diam dia ‘menjaga’ kedua beranak itu dari jauh. Berita perpisahan wanita itu dengan bekas suaminya cepat saja sampai di telinganya. Dia juga selalu memerhati dari jauh, perempuan itu dengan anaknya menghadapi banyak kesukaran.

Bukan itu saja, dengan mudah dia juga mendapat tahu ibu tunggal itu mempunyai banyak hutang dengan bank. Gaji bulanan cukup-cukup makan selepas hutang ditolak. Kalau diikutkan, senario sebegini tidak asing lagi dengan pekerja sektor kerajaan yang berhutang dengan pihak bank tetapi wanita itu sudah dikategorikan tahap teruk.

Dari sumber risikan, semuanya disebabkan bekas suami yang membuatkan perempuan itu banyak berhutang. Sunny jatuh kasihan dengan kehidupan ibu tunggal itu tetapi dia hanya mampu melihat sahaja. Dia tak akan sesekali mengaitkan perempuan itu dalam hidupnya.

 

BIJA BUKA bekas simpanan beras. Sebaik saja penutup dibuka, dia mengeluh kerana kehabisan beras. Periuk nasi diletakkan kembali ke atas rak. Kemudian, almari dapur dibuka mencari bahan untuk dimasak. Bija mengeluh lagi yang tinggal hanya mi segera. Terpaksa, walaupun dia tahu makanan itu tak elok untuk perkembangan anaknya.

Malam nanti dia masuk kerja dan Mia terpaksa dibawa sekali. Dia akan tidurkan Mia awal-awal di sana supaya tidak mengganggu tugasnya nanti. Bija masih lagi mencari pengasuh baharu buat anaknya, namun ramai yang menolak dek Midah kecoh menjaja cerita tidak baik mengenai dirinya yang suka bermain mata dengan lelaki dan selalu lambat bayar duit mengasuh. Dia terlalu penat dengan kerenah Midah yang tidak sudah-sudah menyusahkan hidupnya.

“Mia, kita makan Maggi ya...” Dada Bija sebak. Semangkuk mi segera disua ke arah si anak.

“Mia suka... Mia suka...” Mia tepuk tangan.

Bija hampir mengalirkan air matanya. Budak-budak apa tahu. Dapat makan Maggi cukup suka padahal makanan sebegitu tidak elok untuk mereka. Sebagai ibu, dia sangat sedar dia gagal menjadi seorang ibu yang baik.

 

SUNNY BERKERUT melihat wanita itu mendukung anaknya dengan memakai uniform kerja di depan stesen LRT.

“Takkan bawa Mia sekali pergi kerja?” Dia cuba menelah. Berkerut-kerut matanya memerhati perempuan itu. Apabila LRT tiba, dia juga ikut masuk.

Sunny memakai topi askar supaya ibu tunggal itu tidak mengecam dirinya. Sekejap-kejap dia akan mencuri pandang ke arah perempuan itu yang sedang menepuk-nepuk anaknya. Hatinya tersentuh.

Sunny mengekori Bija dari belakang, berhati-hati tidak mahu perempuan itu perasan akan kehadirannya. Diperhati keadaan sekeliling, suasana terlalu gelap. Kasihan ibu tunggal itu terpaksa berjalan kaki sejauh ini selepas turun dari LRT dan terpaksa melalui belakang-belakang bangunan yang sunyi. Tak silap dia, kereta Myvi perempuan itu ditarik kerana sudah banyak bulan tidak membayar pinjaman kenderaan tersebut. Sunny semakin jatuh kasihan.

Tiba-tiba matanya berkerut lagi tatkala melihat seorang lelaki baru keluar dari lorong gelap mengekori belakang dua beranak itu. Dia biarkan, mungkin hanya pejalan kaki biasa tetapi firasatnya musykil apabila lelaki itu melajukan langkahnya. Sunny percepatkan langkah tanpa bunyi. Kini dia sudah berada di belakang lelaki itu dan terus disambar kolar leher. Ditekup mulut lelaki itu dan dibawa ke celah bangunan. Tangkas tanpa sebarang bunyi!

“Kau kenapa ikut perempuan tu? Nak ragut perempuan tu?” tanya Sunny dengan nada keras. Leher lelaki itu sudah dicekak sehingga kaki lelaki itu terangkat.

“Ak... aku jalan aje. Mana ada nak buat apa-apa!” nafi lelaki itu dengan gagap walaupun niatnya memang mahu meragut perempuan tadi.

“Kau ingat aku nak percaya!” Serentak itu penumbuk hinggap ke muka lelaki itu. Tanpa belas kasihan Sunny membelasah lelaki itu dengan teruk.

Selesai, dia berlari mencari Bija. Dengan langkah susup-sasap dia dapat menyaingi wanita itu kembali. Kelihatan Bija sedang menunggu lampu isyarat pejalan kaki, Sunny menarik nafas lega. Sampai di sini saja dia mengekori, kerana dia tahu selepas lampu isyarat bertukar hijau, wanita itu selamat ke tempat kerjanya.

“Entah bila aku akan berhenti risaukan kau perempuan...” Sunny seakan mengeluh. Dia sudah terjebak dan sukar untuk buat tak tahu lagi.

 

SUNNY BERPUSING melihat belakangnya yang bertatu di depan cermin, lama ditilik.

“Tak lama lagi, Sunny.” Malik dapat menyelami apa yang difikirkan oleh Sunny.

“Oh, kau... Macam mana dengan benda baharu tu, ayahanda dah dapat ke?” tanya Sunny seraya menyarung kembali singlet pada tubuhnya. Terkejut juga dengan kemunculan Malik yang tiba-tiba.

“Zamri cakap dah dapat, kejap lagi pasti ayahanda call kau. Dia nak harapkan siapa kalau bukan kau,” balas Malik.

Betul kata Malik, telefon pintarnya berbunyi tidak lama kemudian. Sunny menjawab panggilan.

Hmm... dah dapat. Nanti aku bawa benda tu pergi jumpa Raeng, ayahanda jangan risaulah. Okey, okey... aku faham!” Terus dimatikan talian. Riak Sunny kelihatan sangat serius.

“Gila! Memang gila! Ayahanda nak edar benda tu dekat Karnival Musik. Budak-budak ramai dowh...” Sunny menggeleng kepala. Ayahanda yang hangat diperkatakan itu digelar Ayahanda Waris. Nama saja macam pendekar Melayu tetapi sebenarnya lintah darat, bapa ayam dan antara pengedar dadah terbesar di Malaysia. Pemusnah masyarakat demi haloba dunia.

“Benda baru tu, test pun belum. Huh, memang penghisap darah bangsa!” Malik juga geleng kepala. Mereka sedang berbicara tentang dadah sintetik baharu, belum diuji sepenuhnya tetapi ketua kongsi gelap paling berpengaruh itu sudah sibuk mahu menjual.

“Nanti pandailah aku...” Sunny sarat berfikir. Dia harus melakukan sesuatu.

“Kita kena cepat!” Malik runsing seperti mereka kesuntukan masa sangat-sangat.

“Jangan risau, tahulah aku!” jawab Sunny yakin. Dia tahu apa yang harus dia lakukan.

Malik senyum senget. Masak sangat dengan perangai Sunny.

No comments:

Post a Comment