DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 6

SEMINGGU selepas programnya di Universiti Sunway, Maalik terbang pulang ke kampung halamannya di UK. Tidak dapat mengelak apabila dia menerima mandat besar daripada neneknya. Akhirnya dia akur juga dengan arahan Lady Maisha setelah mengelak beberapa kali.

“Dekat 2 tahun kamu tak balik. Cucu bertuah.”

Maalik diam dan bersandar tenang pada kerusi. Silap dia, jadi dia terima saja bebelan neneknya itu.

Mata Lady Maisha tajam merenung wajah Maalik sejak awal sehingga sekarang. Wajah yang hampir 2 tahun tidak dilihat secara berdepan begini. Wajah cucunya itu kelihatan semakin matang dengan jambang nipis memenuhi ruang wajah.

“Macam mana syarikat dekat sana?” Sengaja dia bertanyakan tentang keadaan syarikat sedangkan semua laporan tentang syarikat di Malaysia sudah diterima daripada Tuan Joseph.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Lady Maisha sedikit merosot dan kerana itu Tuan Joseph telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan syarikat mereka. Manakala dia pula hanya memantau dari rumah sebagai penasihat. Sudah tiba masanya untuk dia menyerahkan syarikat dan perniagaan yang telah dibina berabad lamanya itu kepada anak dan cucunya pula.

“Semuanya baik saja nanna. Walaupun keadaan ekonomi sedikit merosot, syarikat kita masih berada dalam keadaan baik.”

“Kamu pula, macam mana keadaan kamu dekat sana?” Lady Maisha tidak lepas daripada memandang wajah Maalik. Tenang sahaja wajah cucunya itu.

Maalik membalas pandangan neneknya. Seperti dapat mengagak ke mana pula arah perbualan neneknya itu selepas ini.

“Okey nanna, tiada apa-apa masalah.”

“Walaupun kamu berada jauh di benua Asia, tetapi nanna tahu semuanya tentang kamu, Maalik. Tentang aktiviti kamu.”

Bibir atas mula menekan rapat bibir bawah. Menanti kata-kata nenek seterusnya.

“Natasha Alia Yong, anak kepada ahli perniagaan terkenal di Malaysia. Memegang jawatan CEO di pusat membeli-belah terkenal di tengah Kuala Lumpur dan mempunyai pengaruh yang besar di media sosial. Kamu bercinta dengan dia?” Kedua belah tangan naik membelit badan sendiri.

Lama Maalik diam sebelum menjawab soalan Lady Maisha.

“Dia hanya rakan baik Maalik di sana. Tidak lebih daripada itu.”

Lady Maisha angguk faham.

Nanna tak kisah kalau kamu bercinta dengan dia. Reputasi keluarga mereka agak bagus. Banyak manfaat yang kita akan dapat bila kamu berkahwin dengan dia kelak. Lagipun, sudah 10 tahun kamu menetap di Kuala Lumpur. Nanna tak rasa yang kamu akan pulang dan menetap di sini dalam waktu yang terdekat. Betul?”

“Tak ada cinta antara kami, nanna.” Maalik mula bertegas dengan kenyataan itu. Bimbang kalau neneknya terus menekan dia dengan perkara ini. Walaupun sudah bersahabat lama dengan Tasha, sekelumit perasaan cinta tidak pernah ada buat wanita itu. Hanya sekadar suka sebagai sahabat, itu sahaja.

“Kamu pasti? Atau ini hanya sekadar alasan kerana Zarith menghalang?”

Maalik mula berubah serius saat nama ibunya disebut oleh Lady Maisha.

Mummy tak ada kaitan dalam hal ini, nanna.”

Lady Maisha tersenyum sinis.

“Betul? Bukan Zarith terlebih dulu hubungi kamu dan khabarkan tentang nanna tak halang hubungan kamu bersama Natasha Alia Yong?”

Terus Maalik terdiam.

“Terkejut nanna tahu tentang semua itu?” soalnya apabila tiada kata yang terlahir daripada bibir cucunya. “Tak perlu kamu terkejut, Maalik. Semuanya dalam pengetahuan nanna. Tentang siapa calon yang ingin Puan Zartih kenalkan kepada kamu juga nanna sudah tahu.”

“Siapa?” Dengan siku yang bertongkat pada arm rest, tangan Maalik naik mengusap bawah bibir.

“Kalau Zarith yang pilih, sudah tentu yang mengikut cita rasa dia.” Lady Maisha bangun seraya menolak kerusinya ke belakang.

“Yang pasti, nanna tak suka. Esok teman nanna ke pejabat.” Usai berkata Lady Maisha terus meninggalkan Maalik di situ, sendirian.

 

MAALIK TUNDUK memandang ke arah jalan yang lengang. Hujan lebat selama sejam membuatkan Jalan Brompton kelihatan lembap. Muk yang masih berasap dibawa ke bibir. Dicecap perlahan teh yang masih panas itu. Kini dia di rumah kedua ibu bapanya, berehat menghilangkan kepenatan setelah berbelas jam berada dalam jet peribadi keluarganya.

Tiba sahaja di Kota London tadi dia terus ke rumah agam berjumpa dengan nenek yang sudah sedia menanti. Nafas ditarik dalam. Sudah lama dia tidak merasa begini. Menikmati teh panas sambil melihat kehijauan pokok di luar.

Dalam dia menikmati ketenangan yang dirasainya, fikiran dia tidak lepas daripada memikirkan tentang seseorang yang ditinggal jauh di Kuala Lumpur. Ditinggal? Hujung bibir Maalik tercuit dengan senyuman. Sehingga sekarang gadis itu langsung tidak menghubunginya, jadi layakkah untuk dia menggunakan perkataan itu?

“Maalik.”

Pantas Maalik berpaling saat namanya dipanggil seseorang. Terus melebar senyuman pada wajah saat dia berbalas pandang dengan si bapa.

Daddy.” Muk diletakkan ke atas meja dan Maalik terus mendapatkan Tuan Joseph yang turut berjalan ke arahnya. Buat seketika mereka saling berpelukan setelah hampir 2 tahun tidak berjumpa.

“Sihat?”

Maalik angguk dengan senyuman yang masih menghiasi bibir. Terlalu gembira bertemu dengan ayah.

Daddy sihat? Mummy?”

“Kami sihat. Mummy masih dekat luar, sebentar lagi mummy pulang.” Tuan Joseph duduk berhadapan dengan Maalik lalu kaki kanan naik menindih kaki kiri.

“Sudah lama daddy tak duduk bersembang dengan Maalik macam ni.”

Maalik angguk mengiakan. Terdetik rasa bersalah kerana sudah lama tidak pulang menjengah orang tuanya.

“Macam mana bisnes dekat sana?”

Perbualan Maalik dan Tuan Joseph mula berkisar tentang syarikat dan perniagaan mereka. Hampir sejam lebih mereka bersembang, barulah Puan Zarith muncul. Terus Maalik bangun mendakap erat ibunya itu.

“Maalik sihat?”

“Sihat, mummy.”

Bercahaya mata Puan Zarith memandang Maalik yang berdiri di hadapannya ketika itu. Kedua belah tangannya juga tidak lepas dari memegang wajah anaknya. Rindu. Terlalu rindu.

“Duduk dulu Zarith,” arah Tuan Joseph apabila kedua-duanya masih tegak memandang satu sama lain.

“Berapa lama kamu cuti?” soal Tuan Joseph kepada anak tunggalnya.

“Seminggu, daddy. Tapi esok mungkin Maalik masuk ofis sekejap, teman nanna.”

“Kenapa pula?” Wajah Puan Zarith mula tidak puas hati. “Maalik balik sini untuk bercuti, bukan untuk bekerja.”

“Apa salahnya kalau Maalik teman nenek dia, Zarith?”

“Maalik balik ke sini untuk bercuti, Joseph. Bercuti maksudnya berehat.” Puan Zarith menarik nafas dalam menahan rasa geram yang sedang mencucuk.

Maalik hanya diam melihat ketegangan yang mula terbit antara ibu dan ayahnya.

“Atau awak sebenarnya sudah ada rancangan lain untuk Maalik?” Tuan Joseph mula menebak. Bukan dia tidak tahu tentang rancangan isterinya untuk menyatukan Maalik dengan anak teman rapat isterinya.

Terangkat kening Puan Zarith apabila tekaan suaminya hampir mengena. Badan ditegakkan dan dia berpaling memandang Maalik yang lebih banyak diam sekarang.

“Cuti lama sikit Maalik, bukan selalu pun balik sini.”

Daddy dah agak, ada sesuatu yang mummy rancangkan untuk kamu.” Tuan Joseph bangun daripada duduknya. “Daddy naik atas dulu. Jangan lupa turun makan malam nanti,” pesannya sebelum berlalu.

Maalik hanya tersenyum mendengar pesanan daddy. Kemudian dia berpaling memandang mummy yang sedang menjeling daddy dengan wajah tidak puas hati.

Mummy.”

“Ya?” Wajah kembali dimaniskan apabila Puan Zarith berpaling ke arah Maalik.

“Tak nak balik Malaysia?”

Dan kerana soalan itu, riak pada wajah Puan Zarith kembali berubah.

 

“JADI KAU tangguh pengajian berapa lama El?”

“Dua semester.”

“Setahun jugalah.” Lengan Elena dipaut dan mereka mula beriringan keluar dari fakulti.

Bermula hari ini Elena telah menangguhkan pengajiannya di universiti setelah menghantar surat kepada pihak fakulti. Dia nekad untuk menangguhkan pengajian kerana ingin menyelesaikan segala urusan berkenaan rumah dan bil yang tertunggak. Sesuatu harus dia lakukan kerana Elena tidak mahu kehilangan rumah yang telah meninggalkan banyak kenangan manis antara dia dengan ibunya.

“Aku rasa setahun dah cukup untuk aku kumpul duit dan selesaikan semuanya. Kalau boleh aku nak cari duit lebih sebagai simpanan untuk aku sambung pengajian aku nanti.”

Rai mengeluh perlahan dan keluhannya itu sempat ditangkap oleh telinga Elena.

“Kau kenapa?”

Pipi dikembungkan sebelum Rai bersuara. “Aku kesiankan kau. Kau masih muda El tapi dah macam-macam perkara yang kau kena hadap. Kalaulah aku dapat bantu kau.” Lalu rakannya itu dirangkul dari sisi.

“Aku okey, Rai. Aku dah biasa. Lagipun susah yang aku dapat sekarang sikit saja berbanding kesusahan yang orang lain terima. Dekat luar sana lebih ramai yang susah berbanding aku.” Elena cuma senyum sambil tangannya mengusap lengan Rai.

Rangkulan dileraikan. “Itu aku tahu. Tapi kau kan tak biasa susah macam ni dan dalam sekelip mata semua ini terjadi. Aku pula yang tak boleh nak fikir.”

Senyuman Elena berubah tawar. Benar kata Rai, semuanya terjadi dalam sekelip mata. Tahun lalu dia kehilangan ibu, satu-satunya darah daging yang dia ada dalam dunia ini. Sekarang satu per satu kesenangan yang dirasai ketika bersama ibu ditarik perlahan-lahan.

Ikutkan hati, mahu saja dia meraung dan menangisi nasib sendiri tetapi itu semua tidak mampu menyelesaikan masalah. Tipulah kalau kata dia kuat untuk menghadapi semua ini. Dia tak kuat. Sangat tidak kuat. Tapi dia harus kuat kerana itu saja pilihan yang ada.

“Tak apalah Rai. Kau tak payah fikirkan sangat tentang aku. Kau fikir tentang pengajian kau je. Kau kan harapan mak dan ayah kau. Lagipun kakak dan abang kau dah banyak melabur untuk kau belajar dekat sini. Jangan hampakan keluarga kau.”

“Tapi kau kawan baik aku, El. Nak tak nak mesti aku terfikirkan juga tentang kau.”

“Alololo... baiknya kawan aku ni.” Hidung Rai ditarik manja. Sengaja mengusik rakannya itu.

“Isy!” Elena ditolak menjauh sebelum mereka ketawa bersama.

Hey loser!”

Serentak itu Elena dan Rai menoleh ke arah sekumpulan pelajar yang duduk melepak berhampiran dengan tangga. Kelihatan Amar membuat isyarat L pada dahi dan disambut dengan ilai tawa rakan-rakannya.

Salina juga turut berada di situ, sedang tersenyum sinis ke arahnya sambil mengusap lengan Amar yang tersangkut pada bahu. Pergaulan yang sangat bebas apabila rakan-rakan yang lain juga turut duduk berhimpit antara lelaki dan perempuan.

“Jomlah El, jangan peduli diaorang semua tu.” Rai terus mengheret lengan Elena untuk terus melangkah.

“Hoi! Apasal eh kau extend? Kau mengandung eh?”

Langkah Elena terhenti semula. Sakit telinganya mendengar soalan yang dilontarkan oleh mulut busuk Amar.

“Kau mengandung anak siapa? Si nerd dekat perpustakaan tu eh?” soal Amar lagi membuatkan rakan-rakannya semakin seronok mentertawakan Elena.

Kedua belah tangan digenggam, menahan rasa marah. Tajam mata Elena merenung Amar yang ikut ketawa di situ. Salina juga tidak terkecuali mentertawakan dia.

“El?” Rai menegur dengan suara terketar. Menahan rasa marah dan sedih apabila rakannya difitnah sebegitu rupa. Tidak dia sangka Salina juga tergamak merendahkan maruah Elena sebegitu sedangkan Elena pernah menaburkan kebaikan kepadanya.

Such a great great loser. Kereta kena tarik, lepas tu extend pula sebab mengandung anak luar nikah. Aku rasa lepas ni kau kena halau dari rumah sewa tu macam kucing kurap pula. Sedih sangat hidup kau Elena,” tambah Salina pula. Langsung tidak teragak-agak dalam menaburkan fitnah.

“Eh, kau ni memang minah longkang!” Elena terus berjalan mendapatkan Salina dan serentak itu juga Salina berdiri tegak di hadapan Elena.

Amar dan rakan-rakannya terus bersorak seperti meraikan pergaduhan yang bakal berlaku antara Elena dan Salina.

Come on girls, let’s start the fight,” sorak Amar bersahutan dengan rakan-rakannya yang lain.

Rai yang tertinggal di belakang terus berlari mendapatkan Elena dan menarik sekuat hati lengan rakannya itu agar menjauh. Tidak mahu Elena terlibat dengan sebarang pergaduhan dengan Salina.

“Hei pendek, lepaslah tangan member kau tu. Kasi chancelah kita orang tengok cat fight kat sini. Meow... meow...” kata salah seorang rakan Amar siap dengan aksi mengejek.

Rai menjegilkan mata dan terus menarik tangan Elena tanpa mengendahkan ejekan yang dilemparkan terhadapnya.

“Pergi cuci mulut kau dengan Cloroxlah Salina. Bau longkang kuat sangat. Kerak pun payah nak tanggal macam kerak berkahak dekat muka si Amar tu. Gamaknya kena cuci guna asid mulut kau dengan muka kekasih haram kau tu baru ada akai belaka.” Serentak itu beg galasnya dilibas kuat sehingga terkena tubuh Salina dan membuatkan gadis itu terjelepok jatuh ke lantai.

Elena terus berlalu dari situ tanpa mengendahkan jeritan Salina dan juga sorakan Amar serta rakan-rakannya yang lain. Dikutuk dengan Elena pun dia masih mampu bersorak gembira seperti baru menang loteri. Sungguhlah si Amar ini tak ada akal.

“Eh El, kenapa kekasih haram? Salina dah ada suami ke?” soal Rai setelah mereka tiba di perhentian bas di luar kawasan universiti.

“Kenapa ada suami pula?” Berkerut wajah Elena memandang ke hadapan. Marah kepada ‘sekumpulan monyet’ itu tadi masih belum hilang.

“Yalah, selalunya yang ada kekasih haram ni orang yang dah bersuami. Dia main kayu tiga.”

Hilang kerutan, akhirnya Elena menghamburkan ketawa mendengar soalan polos Rai itu tadi.

“Sampai ke situ kau berfikir ya. Haramlah berkasih, lepas tu duduk berhimpit dan bersentuhan macam tu. Mana yang halalnya?”

“Ooo...”

Elena hanya mampu menyambung tawa melihat kepolosan rakannya itu.

“Tapi El, kenapa Salina tu makin teruk eh sekarang? Semakin menjadi pula aku tengok benci dia pada kau. Sedangkan sebelum ni kita semua pernah keluar bersama kut. Kau siap tumpangkan dia naik kereta lagi. Apa bendalah perangai buruk macam tu,” sambung Rai sebaik ketawa mereka mula reda.

“Hati manusia Rai, kita mana boleh nak agak. Lagipun aku rasa semua ini berpunca daripada kes Amar ganggu aku hari tu. Amar kan pakwe dia, mestilah dia lebih percayakan Amar berbanding aku yang sejak dulu dia tak suka ni.” Selamba sahaja Elena berkata seperti tidak terusik langsung dengan segala perlakuan Salina terhadapnya.

Rai merenung lama sisi wajah Elena sebelum memeluk kemas lengan rakannya itu.

“Tak apalah El, lepas ni kau takkan jumpa dia lagi dah dan aku akan sentiasa ada dengan kau waktu susah mahupun senang.”

Tersengih Elena mendengar bicara Rai.

“Aku sayang kau, Rai.”

“Aku sayang kau juga, El.”

No comments:

Post a Comment