DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 5

ELENA bersandar pada tempat duduk belakang dengan mata yang memandang ke arah luar kereta. Hari ini sekali lagi dia diuji. Keluar saja dari rumah, kelihatan dua orang lelaki tercegat di hadapan pagar rumahnya dengan membawa surat daripada pihak bank.

Kereta yang ditinggalkan arwah ibu akhirnya terpaksa ditarik setelah tidak dibayar selama beberapa bulan. Dengan wajah yang pasrah dia melihat kereta Myvi kesayangan arwah ibu dibawa pergi oleh wakil pihak bank. Buat seketika dia hanya mampu terduduk dan termenung memikirkan tentang nasib sendiri. Hari ini kereta, esok apa pula? Rumah?

“Bang, berhenti dekat sini aje.” Selepas membayar tambang, Elena terus menapak menuju ke kampus. Masih jauh perjalanannya tetapi dia tidak kisah. Lebih senang berjalan bersendirian begini sambil memikirkan tentang penyelesaian untuk permasalahan yang dihadapinya.

Masuk sahaja ke kawasan kampus, Elena terus berlari anak mendapatkan Rai yang sedang berjalan sambil mengunyah popcorn. Terus dipaut lengan rakannya itu sebelum mereka beriringan berjalan ke arah dewan untuk mendengar ceramah yang diadakan sempena karnival keusahawanan yang dijalankan di universiti mereka. Sebagai pelajar jurusan perniagaan, mereka diwajibkan untuk menghadiri semua aktiviti yang dijalankan oleh pihak fakulti.

“Eh, El! Kau dari mana?” Rai melilaukan pandangan mencari kereta Elena tetapi tidak kelihatan.

“Mana kereta kau?” soal dia lagi apabila kereta Elena tidak kelihatan di tempat parkir.

“Aku dari rumahlah,” jawab Elena selamba. Soalan Rai tentang keretanya dibiarkan sepi tanpa jawapan.

“Tiba-tiba muncul, terkejut aku.” Bertih jagung dimasukkan lagi ke dalam mulut. Sedap betul Popcorn Caramel ini, tapi manisnya ya ampun.

Elena hanya tayang sengih dan turut menyuap snek itu ke dalam mulut. Kemudian mereka kembali berjalan menuju ke auditorium bagi menghadiri ceramah yang bakal diadakan nanti.

“Mesti bosan nanti kan El? Kalau dapat penceramah tua pula adoi... harus terlena diulit mimpi aku nanti.” Kunyahan disambung lagi.

Elena yang sedang menunduk itu angguk mengiakan. Walaupun fikirannya ligat memikirkan tentang masalah sendiri, tetapi telinga tetap fokus mendengar.

“Hesy, dah kenyang macam ni kalau dapat bergolek atas katil pun syok juga. Kan?” Dapat Rai bayangkan betapa seronoknya bergolek di atas katil dengan perut yang kekenyangan. Heaven!

Sekali lagi Elena angguk mengiakan kata-kata Rai. Sisi wajah rakannya itu dipandang lama.

Rai adalah satu-satunya rakan yang paling rapat dengan dia. Yang tahu luar dan dalam tentang diri dia. Rai juga seperti dia, berasal dari keluarga yang sederhana dan mempunyai karakter yang hampir sama dengannya. Sangat peramah dan sama kepala dengan dia. Sebab itulah dia suka berkawan dengan Rai.

“Rai, aku ada perkara nak beritahu kau.”

“Apa dia?”

Belum sempat Elena bercerita, Ikhwan datang menegur.

“Elena, saya nak minta maaf.”

Berkerut kening Rai apabila mendengar permohonan maaf Ikhwan. Pelik. Tiba-tiba sahaja lelaki itu datang dan meminta maaf. Kesalahan apakah yang telah lelaki itu lakukan? Apakah yang telah terjadi antara Ikhwan dan Elena?

Rai memandang Elena yang tegak dengan wajah tidak berperasaan.

“Saya tak patut curiga dengan awak.”

“Tak ada apa yang perlu saya maafkan.” Hanya itu jawapan Elena. Kemudian ditarik lengan Rai berlalu dari situ.

“Sekejap Elena.” Langkah gadis itu dikejar dari belakang.

“Dia selalu ganggu awak, kan?” tanya Ikhwan.

Hilang kerutan, bibir Rai mula membulat. Apabila Ikhwan menyebut perkataan ganggu itu tadi terus dia dapat tangkap. Pasti tentang kejadian Elena diganggu oleh Amar.

Rasa geram dan marah kembali menyirap. Lebih-lebih lagi teringat akan kejadian Salina menyerang Elena di tandas. Kalau ikutkan hati, sudah lama dia melaporkan tentang minah longkang kepada Lembaga Hal Ehwal Pelajar.

“Awak perlukan seseorang sebagai pelindung dan saya pasti dia takkan berani kacau awak lagi lepas ni.”

Elena tetap diam. Rai pula hanya memandang Elena dan Ikhwan silih berganti. Susah juga jadi tiang lampu ni, duduk tengah-tengah pula. Rasa mengganggu sungguh. Tak habis popcorn dia sebab sibuk layan drama depan mata.

“Saya...” Liur ditelan. “Saya sanggup jadi pelindung awak,” ucap Ikhwan dengan sekali lafaz.

“Saya pergi dulu Encik Ikhwan.” Elena kembali melangkah dengan menarik tangan Rai. Sengaja ditekankan perkataan encik pada pangkal nama Ikhwan supaya lelaki itu sedar akan batas dan jurang antara mereka berdua.

 

PINTU YANG besar dan berat itu ditolak sekuat hati sebelum Elena dan Rai melangkah masuk ke dalam auditorium yang hampir penuh dengan para pelajar itu. Hanya tinggal tempat duduk belakang yang masih kosong dan mereka melabuhkan duduk di kerusi yang berhampiran dengan pintu keluar.

“Tak sangka betul Encik Ikhwan yang nerd tu minat kat kau.”

Elena senyum tanpa rasa. Nampak saja nerd. Rai tak tahu yang Ikhwan itu suka betul tegur dia jika terserempak di perpustakaan. Bertih jagung yang berbaki dikunyah lagi. Elena bersandar ke belakang. Selesa sungguh rasanya dengan kerusi empuk dan penghawa dingin yang terpasang. Silap hari bulan boleh terlentok dia di sini nanti.

IPhone dikeluarkan dan Elena mula ralit dengan telefon di tangan. Telefon yang sempat dibeli arwah ibunya sebagai hadiah hari jadi tahun lalu.

“Kau tak suka ke Encik Ikhwan tu El?”

“Kalau suka, dah lama aku terima dia.” Elena menjeling Rai yang sedang tersengih itu.

Rai mencebik. “Dia pun baik je aku tengok. Ada rupa juga. Sungguh ke kau tak berkenan?”

“Tak. Kau berkenan ke?”

Rai hanya ketawa mendengar soalan Elena. Bukan kesukaan dialah yang nerd begitu.

“Kau nak cakap apa tadi El? Yang sebelum Encik Ikhwan tiba-tiba muncul tadi.” Penutup botol air mineral dibuka dan air putih itu diteguk perlahan.

“Aku nak berhenti belajar.”

Gulp! Rai mencemik. Sakit rasa tekaknya apabila menelan minuman sekali gus begitu. Nasib tak tersembur ke belakang kepala pelajar yang duduk di hadapannya ketika ini.

“Apa kau cakap?”

You heard me, Rai.”

“Tapi kenapa?” Ditutup kemas botol mineral sebelum berpaling menghadap Elena yang masih bersandar tenang pada kerusi yang diduduki.

“Aku ada banyak masalah dan aku tak boleh nak fokus dekat pelajaran aku sekarang.”

“Sebab Salina dengan Amar ke? Atau Encik Ikhwan tadi?” Suara Rai mula kendur.

“Semua. Tapi aku ada sebab lain juga.”

“Sebab apa?”

Tiba-tiba auditorium mula bergema dengan suara pengacara majlis. Para tetamu-tetamu VVIP dan panel jemputan mula mengisi ruang pentas auditorium tersebut.

Tetapi dua sahabat ini tetap meneruskan perbualan mereka tanpa mempedulikan apa yang sedang terjadi di atas pentas. Suara pengacara majlis juga sudah tenggelam timbul pada pendengaran mereka.

“Dah setahun ibu aku meninggal and my life is such a mess. Tadi aku datang naik teksi sebab kereta aku dah kena tarik.”

“Kena tarik?”

Elena angguk.

“Dah lebih 3 bulan aku tak bayar, pagi-pagi lagi orang datang tarik kereta kat rumah aku.” Nafas dihela perlahan.

“Rumah  tu pun dah berbulan aku tak bayar. Duit dalam bank makin susut. Tinggal cukup untuk makan pakai aku je, Rai. Mana nak bayar bil elektrik lagi, bil air. Walaupun tak banyak, semua guna duit.” Terasa pahit liur yang ditelan.

“Belum kira duit belajar aku lagi.” Rambut yang berjuntaian di dahi diraup ke belakang.

“El... aku tak tahu pun yang kau susah macam ni, El. Kenapa kau tak beritahu aku? Aku boleh tolong kaulah.” Mata Rai mula basah. Tidak dia sangka begitu susah kehidupan rakannya itu. Bahu Elena ditolak perlahan dengan tangan kanan naik mengesat mata yang basah.

Elena tersenyum tawar. Dia segan untuk menceritakan tentang kesusahan yang dialami dan selebihnya, dia tidak mahu menyusahkan Rai sekeluarga.

“Nampak macam brutal tapi manja,” usik Elena. Dia yang sedang dilanda masalah tetapi dia pula yang lebih tenang berbanding Rai. Sedikit pun air matanya tidak jatuh walaupun sedang mengalami fasa paling gelap dalam hidupnya.

“Kau tak payahlah berhenti belajar. Aku minta tolong ayah aku ya?”

“Tak payahlah Rai. Aku tak nak tambah beban keluarga kau.”

“Tapi...”

“Keputusan aku muktamad, aku nak berhenti belajar. Aku nak jauhkan diri daripada Salina, Amar dan Encik Ikhwan. Aku tak nak mereka ganggu aku lagi.”

“Tapi tak payah sampai berhenti. Apa kata kau tangguh pengajian je dulu.”

Elena diam berfikir dengan hujung bibir digigit.

“Sayang kalau kau terus berhenti, El. Kita dah semester 4 sekarang. Kau tangguh pengajian 2 semester ke dulu. Tak adalah kena mula dari awal bila kau nak kembali belajar nanti.”

“Kalau aku tak mampu sambung juga nanti, macam mana?” Nafas dihela perlahan. Ada benarnya juga apa yang Rai katakan itu.

Giliran Rai pula yang terdiam. Hujung kening yang tidak gatal digaru.

“Kau nak buat apa nanti? Kau nak kerja?”

Elena angguk.

“Cari duit untuk bayar sewa rumah. Aku sayangkan rumah tu, Rai. Banyak kenangan aku dengan ibu dekat situ.”

“Kenapa tak kerja sambil belajar aje?”

Elena menggeleng.

“Aku tak boleh nak fokus banyak benda dalam satu masa. Sekarang aku cuma nak kurangkan liabiliti aku je. Nanti aku rebuild balik satu-satu apa yang aku mampu dan apa yang aku nak.”

Tangan Elena ditarik ke dalam genggaman.

“Kau tangguh pengajian aje dulu, El. Kerja dan kumpul duit untuk rumah dan pengajian kau nanti. Jangan terus berhenti, sayang sangat.”

Elena tunduk memandang tangan mereka yang bertaut. Terasa kemas genggaman tangan Rai pada tangannya itu. Ada satu semangat yang cuba Rai salurkan kepadanya. Lalu tanpa teragak-agak Elena angguk bersetuju dengan cadangan Rai.

“Bagus. Macam inilah kawan aku. Nanti aku teman kau jumpa dekan eh?”

Elena angguk dan kali ini berserta senyuman kelegaan. Lega apabila dapat luahkan semuanya kepada Rai.

Selesai mendengar masalahnya, mereka mula memandang ke hadapan. Baru sahaja mahu fokus pada acara yang sedang berlangsung, fokus Elena kembali terganggu saat melihat panel jemputan yang dijemput untuk memberikan ceramah .

Erk! Dia boleh cakap Melayu?

 

“APA AGENDA yang seterusnya Meen?”

“Untuk petang ini, tak ada bos.”

“Balik ofis Bard,” arah Maalik apabila tiada lagi urusan luar yang perlu dihadiri.

“Waktu bos dalam program tadi, Lady Maisha call nak bercakap dengan bos.”

“Kenapa nanna call?” Berkerut wajah Maalik apabila nama neneknya disebut oleh Meen.

“Tak pasti, bos. Bila saya cakap bos ada program Lady Maisha terus matikan panggilan.”

Tangan kiri naik mengusap dagu yang ditumbuhi bulu. Jarang nanna menghubungi dia secara terus begini.

Selalunya pembantu peribadi nanna yang menghubunginya jika neneknya ingin menyampaikan sesuatu perkara. Jika melibatkan soal kerja pula dia lebih banyak berurusan dengan ayahnya, Tuan Joseph.

Sedang Maalik memikirkan tentang Lady Maisha, matanya terpandangkan satu susuk tubuh yang berada di bahu jalan. Berjalan bersendirian tanpa peneman. Matanya mula mengecil dan saat kenderaan yang dinaiki mula menghampiri susuk tubuh yang dilihat itu, Maalik terus mengeluarkan arahan.

“Bard, berhenti depan tu.”

Bard dan Meen saling berpandangan melalui cermin pandang belakang. Pelik dengan arahan Maalik yang tiba-tiba itu. Seketika kemudian kereta yang dinaiki berhenti di bahu jalan. Pintu dibuka dan Maalik terus melangkah keluar dan menghalang langkah kaki gadis yang berjalan dengan kepala yang menunduk.

“Angkat kepala.”

Elena diam tidak bergerak. Sengaja dia berjalan dengan kepala yang menunduk, cuba mengelak daripada dilihat lelaki ini tetapi ‘kantoi’ juga. Dia perasan kenderaan VVIP itu di kawasan parkir ketika keluar dari auditorium. Untuk mengelak daripada terserempak, Elena bergegas berlalu dari situ. Berpisah dengan Rai apabila rakannya itu tidak dapat pulang bersama dengannya.

Tetapi nampaknya langkah dia tidak cukup besar untuk meninggalkan kenderaan mewah itu jauh di belakang. Akhirnya dia tertangkap juga oleh lelaki Inggeris yang mampu berbahasa Melayu ini.

Rambut yang berjuntaian diselitkan di celah telinga dan perlahan-lahan diangkat wajah memandang Maalik yang tegak di hadapannya sambil berpeluk tubuh. Wajah tanpa perasaan dipamerkan di hadapan lelaki itu.

“Memang you yang bersembang tak ingat dunia dekat dalam auditorium tu tadi.”

Mata Elena mula mengecil. Maknanya sejak awal lelaki ini sudah nampak dia di auditorium.

“Maaf, saya tak kenal tuan. Saya pergi dulu.” Baru saja Elena ingin melangkah, Maalik terus menghalang.

“Tunggu. Masih ada perkara yang belum selesai antara kita.”

Elena menahan rasa.

‘Lepas satu, satu Elena. Tak cukup dengan Salina, Amar dan Ikhwan, kau tambah pula lelaki mat salih depan kau ni. Kenapa kau mesti jumpa dengan manusia-manusia yang sentiasa tak puas hati dengan kau? Kenapa?’

“I nak tahu, kenapa you cakap macam tu waktu dekat kafe hari tu?”

Kening Elena mula bertaut.

“Cakap apa?”

“Perlu ke I ingatkan you semula?” Maalik mula berpeluk tubuh. Menanti kata-kata si gadis yang seterusnya.

“Okey, saya minta maaf,” putus Elena. Tiada gunanya dia terus berpura-pura. Tak nampak tanda-tanda lelaki ini akan berputus asa dengannya.

“Sekarang urusan saya dengan tuan telah selesai dan saya nak balik.” Sekali lagi dia cuba melangkah dan sekali lagi Maalik menghalang.

“Tuan? Kenapa tuan? Hari tu you panggil I apa?”

Elena kembali menahan rasa. Kalau tadi dia marahkan diri sendiri, sekarang marahnya beralih kepada lelaki di hadapannya ini pula.

‘Bapak ayam,’ jawab Elena dalam hati. Nak mampus jawab depan-depan begini. Silap hari bulan dia diheret masuk kereta, lepas tu kena campak ke dalam gaung.

“Bos, ada call.”

Serentak Maalik dan Elena berpaling ke arah Meen yang turut keluar dari kereta.

“Sekejap, Meen.” Tangan bergerak menyeluk poket lalu sekeping kad dikeluarkan dan dihulurkan kepada Elena.

“Ambil ni.”

“Kenapa?”

“Ambil ni dan jangan lupa hubungi nombor pada kad tu.”

“Tapi...”

I’ve got to go and don’t forget to call me.” Maalik terus berpaling dan berlari masuk ke dalam kereta yang terus menderu laju meninggalkan kawasan universiti tersebut.

Elena memandang kad di tangan.

Maalik Hughes

CEO of Hughes Corporation

Wajah diangkat memandang kereta Maalik yang semakin menghilang.

Call or not to call?

No comments:

Post a Comment