DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 10

HATI Elena semakin membengkak. Bangun pagi semalam, Maalik tiada. Yang ada cuma Kak Sofi yang sibuk menyediakan sarapan untuknya. Apabila ditanya, Maalik sudah berangkat ke Singapura atas urusan kerja selama 2 hari. Begitu sahaja lelaki itu pergi dan membiarkan dia terus terkurung di penthouse yang serba canggih ini.

Selama peninggalan Maalik, dia ditemani Kak Sofi. Seorang yang berat mulut pada mulanya. Semua soalan yang dia tanya, Kak Sofi biarkan tanpa jawapan. Masuk hari yang kedua, Kak Sofi sudah mula mesra dengannya. Rajin melayan dia bersembang. Tetapi satu yang Elena perasan, wanita itu lebih banyak mendengar daripada bercakap. Nampaknya orang gaji Maalik ini seorang yang sangat amanah dan dedikasi dengan tugasnya.

“Cik Elena, minum petang sudah siap.” Kak Sofi berdiri tegak tidak jauh dari tempat Elena berdiri. Sudah acap kali dia berpesan supaya jangan duduk dekat dengan tingkap kaca, bahaya. Tetapi gadis itu tetap juga menempel di situ.

“Dah hari kedua Kak Sofi teman saya dekat sini.” Elena berpaling ke arah Kak Sofi. “Masih panggil saya cik juga. Saya bukan majikan Kak Sofi, tak perlulah panggil saya macam tu.”

Kak Sofi senyum. Perwatakan Elena yang bersahaja itu membuatkan dia senang. Dia cuba meletakkan sempadan hubungan antara mereka seperti yang diarahkan majikannya, namun itu semua sia-sia tika berdepan dengan gadis seperti Elena. Tetapi soalan-soalan yang ditanyakan Elena tetap dia tidak jawab seperti yang diarahkan oleh tuannya.

“Jom makan,” ajak Kak Sofi lagi tanpa mengendahkan teguran Elena.

“Akak macam tahu je kesukaan saya. Dah lama tak makan makaroni bakar macam ni.” Kerusi ditarik untuk duduk. Walaupun yang terhidang itu adalah makanan kegemarannya, tetapi perut masih terasa sebu. Tiada selera.

“Akak masak apa yang ada dekat dapur saja. Bahan yang akak guna semua tu Alex yang belikan.”

Makaroni bakar disentuh dengan hujung sudu.

“Sedap akak,” puji Elena dengan sengihan. “Dah lama tak rasa masakan dari rumah yang sedap macam ni,” luahnya lagi.

Kak Sofi hanya diam mendengar bicara Elena. Dia lebih suka mendengar daripada bertanyakan soalan. Kerana itu jugalah dia kekal bekerja dengan Maalik sehingga ke hari ini. Kata Maalik dia tak ‘kepochi’ seperti orang lain.

“Kak Sofi dah lama kerja dengan Tuan Maalik?”

Kak Sofi angguk.

“Sejak mula Tuan Maalik pindah masuk ke sini.”

“Berapa lama tu akak?”

“7 tahun. Sebelum tu tuan tinggal kat tempat lain.”

Elena angguk dengan mata memandang ke atas. Mencongak tentang pelbagai perkara, bukan hanya tentang tempoh Kak Sofi berkhidmat di situ.

“Tapi akak bukan orang gaji yang sebetulnya orang gaji pun.”

“Maksud akak?”

“Tugas akak cuma datang mengemas penthouse tuan seminggu sekali. Kelmarin adalah kali pertama akak memasak dekat sini.”

Terkejut Elena yang mendengar.

“Jadi selama 7 tahun akak bekerja dengan Tuan Maalik, itu sajalah tugas akak?”

Kak Sofi angguk mengiakan.

“Hari lain akak ambil tempahan buat kuih dan sandwic. Tapi minggu ini akak cuti ambil tempahan sebab kena kerja lebih masa.”

Elena diam memandang permukaan meja.

“Sebab saya, Kak Sofi ikut kena berkurung dekat sini. Maaf sebab dah susahkan akak.” Kemudian dia mengangkat wajah memandang Kak Sofi.

“Tak ada apalah cik, bukan masalah besar pun. Lagi pula Tuan Maalik dah bayar akak lebih, jadi tak ada hal.” Sempat Kak Sofi bergurau membuatkan Elena tersenyum.

“Tengok tu, panggil cik lagi.”

Kak Sofi hanya membalas teguran Elena dengan senyuman. Kemudian dia hanya diam memerhati Elena makan.

“Makan banyak sikit, cik. Tengah hari tadi pun sikit saja nasi yang cik makan. Akak risau kalau cik jatuh sakit lagi, nanti tuan marah sebab akak tak jaga Cik Elena betul-betul.”

Elena tunduk memandang makaroni dalam pinggan. Sejak dia dikurung di sini seleranya langsung mati. Namun memikirkan susah payah Kak Sofi memasak untuk dia, disentuh juga makanan yang terhidang itu. Demi menjaga hati pembantu rumah Maalik ini.

“Bila tuan balik akak?”

“Tuan cakap 2 hari saja dia dekat Singapura. Mungkin malam ni tuan balik. Tak pun esok.”

Elena angguk beberapa kali. Sisa makanan di dalam pinggan dikuis dengan sudu dengan fikiran yang ligat memikirkan tentang sesuatu.

“Kak Sofi...”

“Ya, Cik Elena.”

“Akak boleh tolong saya tak?”

“Tolong apa?”

“Tolong bawa saya keluar dari sini.” Terkebil-kebil mata Elena memandang Kak Sofi dengan penuh pengharapan.

Kak Sofi turut memandang Elena. Lama. Seketika kemudian bahunya melorot jatuh dan serentak itu kepala mula menggeleng.

“Akak minta maaf Cik Elena. Akak tak boleh.”

Bahu Elena turut jatuh. Satu-satunya harapan yang ada musnah begitu saja.

 

SELAMA 2 hari berada di Singapura, akhirnya mesyuarat yang dihadiri olehnya itu tamat juga. Kot slim fit yang terletak pada badan diperkemas. Barang miliknya sedang dikemaskan oleh Meen, pembantu peribadinya itu. Telefon dikeluarkan dari poket seluar lalu nombor telefon Kak Sofi dihubungi.

“Macam mana keadaan dia hari ini?” soal Maalik setelah panggilannya berjawab.

“Baik, tuan. Cik Elena baru selesai minum petang.”

“Dia ada tanya Kak Sofi apa-apa?”

Sesaat Kak Sofi diam memikirkan tentang soalan yang diajukan oleh Elena kepadanya.

“Dia tanya bila tuan nak balik.”

Tangan kanan naik mengusap bawah bibir.

“Malam nanti saya sampai KL.”

“Baik, tuan.”

Pack your belongings, Meen. Malam nanti kita balik KL,” arah Maalik setelah panggilan dimatikan.

“Baik, bos.”

“Esok I tak masuk ofis,” tambah Maalik ketika mereka beriringan melalui ruang lobi menuju ke arah lif.

“Baik, bos.” Hanya itu jawapan yang diulang Meen. Dia sendiri juga sudah penat untuk bercakap lebih dengan Maalik jadi dia setuju saja dengan apa yang bosnya itu katakan.

Baru sahaja pintu lif terbuka, wajah Tasha terus memenuhi ruang pandangan mata.

Hey Maalik, what a surprise!” Lebar senyuman di bibir Tasha saat melihat Maalik tercegat di hadapannya. Tidak dia sangka di kota singa ini dia terserempak dengan Maalik.

“Hei Tash. Lama tak jumpa.”

“Kan? You buat apa dekat sini Maalik?”

Got a meeting with my client for two days. You buat apa dekat sini?”

I just came back from New York. Singgah dekat sini  sekejap. Eh, jom teman I minum.”

“You naik dulu, Meen.” Barang miliknya diserahkan kepada Meen untuk dibawa naik ke atas. Kemudian Maalik mengikut Tasha ke coffee house.

“Buat apa dekat New York?” soal Maalik setelah mereka selesai membuat pesanan.

Tasha senyum.

“Memenuhi jemputan beberapa jenama di New York Fashion Week. I kan ikon fesyen untuk gadis berhijab. You tak tahu ke?”

Maalik menggeleng.

Tasha tersenyum pahit.

“Yalah, you bukan ambil tahu sangat pun tentang I, kan?”

Maalik diam tidak menjawab dan serentak itu juga pesanan mereka tiba. Jadi soalan Tasha itu terus dibiarkan begitu sahaja.

“You buat apa lepas ni? Teman I dinner, Maalik?” Tasha menjeling jam di tangan, hampir ke pukul 7 malam.

Maalik menggeleng.

“I dah nak balik KL sekejap lagi.” Cawan diletakkan ke meja semula setelah kopinya itu dicecap beberapa kali.

“Cepatnya. Mesyuarat you dah habis ke?”

Yup, Tasha. You bila nak balik?”

“Mungkin lusa lepas habis mesyuarat dengan client.” Tasha bersandar ke belakang sambil memeluk tubuh sendiri.

Meeting?”

Tasha senyum sambil mencapai cawan di atas meja.

“Ya, Maalik.” Dicecap perlahan cappucino di dalam cawannya.

“Kenapa? You ingat I singgah Singapore semata-mata untuk bercuti?” duga Tasha. Melihat Maalik diam memandangnya meyakinkan bahawa telahannya benar belaka.

Do you know what’s the problem with our society? Suka buat kesimpulan sendiri dengan hanya melihat tanpa mendengar.”

“You nak cakap I pun macam tu?”

Tasha angkat bahu.

“You rasa?”

Maalik menggeleng sambil ketawa.

“Kesimpulan apa yang telah mereka buat terhadap you?”

“Netizen, biasalah. Lebih-lebih lagi warga net.” Tasha bersandar sambil memeluk tubuh sendiri. “Mereka samakan I dengan Crazy Rich Asians.” Mata dijulingkan ke atas. “They also said yang I tak perlu kerja beria-ia sebab keluarga I dah kaya. Sebab tulah I banyak berjalan ke luar negara. Habiskan duit parents I. That is too harsh, isn’t it?”

“Dari mana you tahu tentang semua tu?”

Come on Maalik, dekat Instagram Ilah. Berlambak komen negatif dekat situ.”

Maalik mencapai cawan yang berada di atas meja.

“You yang pilih untuk kongsikan tentang kehidupan peribadi you dengan umum. So bear with it, Tash,” ujarnya seraya kopi yang masih berbaki dicecap lagi.

“Dalam hidup ini kita harus sentiasa membuat pilihan dan setiap pilihan yang dibuat pasti ada kesan dan akibatnya.”

“Ya, I tahu. Kita ada pilihan untuk lebih positif jadi kenapa pilih untuk jadi negatif? Lagipun semua yang I kongsi dekat Instagram itu tentang kerja I. I bukan saja-saja travel, Maalik. I’m doing my work.”

Their thoughts are not ours to control. We can’t control them, Tash. Tapi kita boleh kawal diri kita. Kenapa pilih untuk terasa dengan kata-kata mereka sedangkan kita ada pilihan untuk tak pedulikannya?”

Tasha diam.

“I rasa you juga tergolong dalam golongan masyarakat sebegitu. Membuat kesimpulan dengan hanya melihat dan memilih untuk memandang dari sudut negatif.”

Berkerut kening Tasha.

“Maksud you?”

Maalik senyum.

“I cuma tanya dan you dah buat kesimpulan sendiri dengan reaksi I tadi.”

Tasha diam. Tidak berpuas hati dengan kata-kata Maalik.

This is why I don’t like social media.” Maalik bangun sambil mengemaskan pakaiannya. “I’ve got to go Tash.”

“Cepatnya.” Tasha ikut bangun. “Tak nak stay satu hari lagi? Teman I jalan-jalan lepas meeting?”

Maalik menggeleng. “Banyak kerja dekat ofis.”

Let’s plan for a holiday, Maalik. Dah lama kita tak pergi bercuti bersama.” Mereka mula beriringan ke arah lif.

“Kita pernah pergi bercuti bersama ke?”

Tasha menjulingkan mata ke atas.

“Hong Kong. Dah lupa ke?”

“Oh...” Maalik cuma ketawa.

 

MAALIK KELUAR dari lif dengan diekori Alex yang membawa beg pakaiannya. Penthouse miliknya itu terang benderang dengan lampu yang terpasang. Seketika kemudian, Kak Sofi keluar dari bilik dengan membawa beg pakaiannya.

“Kak Sofi dah siap?”

“Sudah, tuan.”

“Alex akan hantar Kak Sofi.”

Kak Sofi angguk.

“Makanan tuan saya sudah hidangkan di atas meja. Cik Elena ada dalam bilik.”

“Dia dah makan?”

“Belum, tuan. Siang tadi sikit saja yang dia makan.”

Maalik angguk faham.

“Terima kasih, Kak Sofi.”

“Sama-sama, tuan. Saya balik dulu.” Beg pakaiannya bertukar tangan dan Kak Sofi terus mengikut Alex masuk ke dalam lif. Buat seketika Maalik tegak memandang kedua pekerjanya sehingga hilang ke dalam perut lif.

Kemudian pintu ditutup rapat dan beg pakaian dicapai. Maalik terus berlalu untuk ke biliknya. Sedang dia berjalan menghampiri anak tangga, Elena tercegat memandang dia dari anak tangga kedua.

Mereka saling berpandangan sebelum Maalik terus mendaki anak tangga ke atas tanpa mengendahkan kehadiran Elena di situ. Terasa rimas dengan pakaian yang dipakai kerana itu dia ingin terus ke biliknya. Ingin mandi dan menukar pakaian kepada yang lebih selesa.

Elena masih tercegat di situ. Memandang pintu yang telah dikunci rapat oleh Maalik. Tiada lagi suara Kak Sofi yang kedengaran. Kini hanya tinggal dia berdua dengan lelaki itu, seperti 2 hari yang lalu.

Hujung bibir digigit. Sampai bilakah dia harus berkurung di sini dan kenapakah dia harus dikurung di sini? Dengan rasa tidak puas hati Elena mendaki anak tangga ke tingkat tiga yang menempatkan bilik tidur utama. Tanpa teragak-agak pintu bilik tidur Maalik dibuka.

We need to talk.”

Not now, I penat.” Terhenti pergerakan Maalik yang sedang membuka butang baju kemeja.

“Habis tu bila?” Tanpa sedar selangkah kakinya bergerak masuk ke dalam bilik tidur Maalik.

“Esok. We’ll talk about this tomorrow.” Maalik diam memandang kaki Elena yang bergerak setapak ke hadapan.

No!” Elena semakin melangkah ke dalam. “Saya nak selesaikan semuanya malam ini juga. Sampai bila tuan nak penjarakan saya dekat sini? Kenapa tuan buat macam ni?”

Look, I baru sampai dari Singapore dan I penat. Sekarang you turun bawah dan I nak you makan. Kak Sofi cakap you makan sikit saja siang tadi. Kenapa?”

Elena mencerun ke arah Maalik.

What do you expect, Tuan Maalik? Saya makan dengan berselera setelah dikurung seperti banduan dalam rumah besar tuan ni?”

“Kalau tak makan macam mana you nak sihat? Lepas tu pengsan lagi. Nak macam tu?”

“Baguslah kalau saya pengsan. Hantar saja saya ke hospital dan biarkan doktor dan jururawat dekat sana yang jaga saya. Tak perlu tuan kurung saya dekat sini lagi.”

“Turun makan, Elena.”

“Tak nak.” Selangkah Elena mara ke hadapan.

We’ll talk about this tomorrow. Kita akan selesaikan semuanya esok.”

“Saya tak percaya.”

Maalik hanya tunduk memandang kaki Elena yang masih melangkah. Nafas ditarik dalam lalu tanpa teragak-agak dia menarik tangan Elena keluar dari biliknya.

“Jangan pernah berani masuk ke dalam bilik tidur I. Know your limits, Elena.” Pintu ditutup rapat membuatkan Elena tercegat kebingungan di hadapan pintu bilik itu.

Keras nafas yang dihela dengan tangan kanan naik mengusap pelipis serta belakang leher. Butang kemeja dibuka dengan kasar sebelum dicampak ke lantai kemejanya itu.

Gadis itu... Maalik menggeleng dengan mata yang terpejam. Badan terasa panas dan penghawa dingin yang terpasang langsung tidak rasa mendinginkan. Lalu kaki terus diatur ke bilik mandi.

 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN APRIL 2020 ATAU HUBUNG/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment