DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 16 April 2020

Gengster - Bab 6

“KELUAR pun kau!” Sunny menyengih. Hampir tergelak melihat wanita itu yang sudah lengkap berpakaian. Bija memakai body shirt dan seluar track bottom miliknya. Bolehlah... Sunny menggoyang tangan kanannya dua tiga kali melihat keserasian wanita itu memakai pakaiannya.

Bija menilik tubuhnya di cermin yang melekap di dinding berdekatan dengan sofa. Berpusing dua tiga kali. Hmm... dah nama pun baju pinjam.

“Dah, jom. Kita pergi hospital,” ajak Sunny sudah bersedia membawa Bija kembali ke hospital.

Bija menonong mengikuti lelaki itu dari belakang.

“Eh, kejap!” Sunny berhenti dengan tiba-tiba.

Bija yang menonong sambil menunduk tidak sempat membrek kakinya. Dahinya selamat tercium belakang lelaki samseng itu. Hesy, balik-balik dahinya juga menjadi mangsa! Daulat apa entah dengan samseng seorang ini. Bija menggumam dalam hati. Sebal!

“Kau ni...” Sunny hampir mencepuk dahi Bija dengan sikap kelam-kabut wanita itu. Namun Bija sudah bersiap sedia menyilangkan kedua belah tapak tangannya di dahi cuba melindungi dahinya daripada dicepuk lagi.

“Pandai!” Sunny tunjuk jari telunjuknya siap digoyang beberapa kali. Sebenarnya, dia terlupa sesuatu. Langsung dia ke biliknya dan keluar bersama sehelai sweater kelabu berhud.

“Nah!” Selamba dia menyangkut hud sweater di atas kepala Bija sebelum melangkah ke pintu.

Bija tarik sweater yang tersangkut di atas kepalanya dengan perasaan sangat sebal. Rambut yang terjuntai akibat dia menarik sweater tadi dihembus kuat-kuat, sengaja tunjuk protes. ‘Huh, samseng tu samseng juga. Kasar!’

“Pakai sweater tu, tutup rambut kau!”

Terdengar bicara lelaki samseng itu membuatkan langkah Bija terhenti tiba-tiba. Baru tersedar, kealpaan dirinya. Terasa jantungnya ditusuk duri halus. Ngilu.

Allah baru menduganya sedikit ujian, dia sudah alpa tidak menutup auratnya di depan bukan ajnabinya. Bija mengetap bibir kesal dengan diri. Perlahan disarung hud sweater itu. Sewaktu mahu mengezip sweater, dia baru perasan sweater itu mempunyai lambang S yang besar.

“Samseng minat Superman rupanya...” getus Bija sendiri lalu mencebik bibirnya. Tidak menyangka samseng minat dengan karakter Superman yang memakai seluar kecil di luar. Bija senyap-senyap sembunyi senyum agar tidak terlihat oleh lelaki itu. Yang penting, lelaki samseng itu tidak perasan dengan apa yang sedang dia fikirkan.

Bija melangkah ke pintu saat Sunny membukakan pintu untuknya. Amboi, gentleman pula. Eh, Bija baru perasan lelaki samseng itu juga mengenakan jaket kulit tertera lambang S. Tetapi, jaket kulit yang dipakai oleh lelaki samseng itu nampak lebih smart dan cool.

Sekali pandang macam mamat model kekwat. Dua kali pandang samseng tetap samseng juga. Matanya sudah lali melihat lelaki itu cedera di sana sini dan luka di sana sini. Teringat wajah comot lelaki itu dilumuri darah waktu pertama kali mereka berdua bertemu dengan jambang mengalahkan hero Hindustan mati bini. Apa nak dihairankan sangat! Bija mencebik lagi.

“Kau kutuk aku eh?” Tengkuk Bija dicengkam dari belakang. Sunny nampak mata wanita itu menjelingnya semacam sambil mulut tercebik-cebik. Mengutuk dialah tu!

“Hah, mana ada!” Bija memusingkan lehernya ke kiri dan ke kanan supaya lelaki samseng itu melepaskan cengkaman di lehernya. Matanya sengaja merenung sinis ke dada lelaki itu yang tertera lambang S.

“Apa? Aku tak boleh minat Superman eh?” Sunny dapat menelah apa yang difikirkan wanita itu sewaktu melihat lambang S di dadanya. So what?

“Eh, okey aje.” Bija mencebik sambil menjongket bahunya. Tidak dapat dia bayangkan lelaki yang kononnya diangkat sebagai superhero sejagat memakai seluar kecil di luar. Herokah? Bija mencebik lagi dan lagi.

“Helo... Superman dah berevolusi sekarang, dah tak pakai seluar kecil di luar lagi okey,” ujar Sunny cuba mengubah mentaliti Bija terhadap Superman.

“Okey.” Bija tarik senyum ke tepi bibir.

You don’t believe me, don’t you?” Sunny seperti menyirap dengan jawapan bersahaja Bija itu.

“Saya kata okey kan?” Boleh nampak lelaki samseng itu berperangai kebudakan. Marah kerana tidak mengiakan kata-katanya. Kelakar betul!

“Haa...” Dahi Bija dijentik geram sewaktu wanita itu leka menggelakkan dirinya.

Serentak itu Bija menyilangkan kedua-dua belah tapak tangannya bimbang jika ada serangan buat kali kedua. Bukan boleh percaya mamat samseng ini.

“Seronoklah kau dapat gelakkan aku, eh! Dah habis sedih kau tu?” Sunny sengaja menyakiti hati Bija. Tadi sedihnya macam orang mati laki. Sekarang, boleh pula gelakkan dia. Huh! Menyirap. Sepatutnya tadi mandikan Bija dengan air sirap.

Bija menjeling geram, bengang diperli. Siapa yang tidak bersedih jika dilayan begitu sadis dan dihina seperti anjing kurap. Dia manusia punya harga diri. Terus dia menonong mendahului samseng itu. Hatinya cukup terasa.

“Weh, umur kau berapa?” tanya Sunny. Selamba menyilangkan tangannya di belakang bahu wanita itu seperti tidak mahu lepas.

“Buat apa nak tahu?” Bija menggoyangkan bahunya ke kiri dan ke kanan supaya lelaki itu menjatuhkan tangannya. Dia tidak suka diperlakukan sesuka hati begitu.

“Jawab ajelah...” Sunny picit tengkuk Bija lagi. Susah sangatkah hendak menjawab? Bukan bayar duit pun! Itu yang selalu kena cepuk tak pasal-pasal tu!

“25 tahun...” jawab Bija tak ikhlas langsung!

Hmm... muda lagi ta...” Ayat Sunny terhenti.

“Muda lagi tapi dah jadi janda, macam tu?” Bija tolong sambung dengan nada tertahan dan geram. Sakit hati tetapi apabila mengenangkan lelaki itu sudah banyak menolongnya. Dia cuba bertenang dan sabarkan hatinya.

“Hei, relakslah. Aku tanya aje!” Ubun Bija dipicit lembut memujuk.

“Hesy!” Bija menolak tangan lelaki itu dengan menggelengkan kepalanya. Rimas! Tidak terfikir lelaki itu sebenarnya ingin memujuknya, apa yang dia nampak lelaki itu selalu nak menyakitkan hatinya.

Sunny pula yang sakit hati dengan tingkah Bija, tidak semena-mena menarik leher Bija lalu disekeh dahi wanita itu geram. Aksi saja terlebih, tetapi tidaklah dia buat sekuat mana pun. Saja mahu bergurau kasar!

“Hesy!” Bija bengang diperlakukan sesuka hati oleh lelaki itu. Mereka bukannya ada apa-apa hubungan, adik-beradik pun bukan, apatah lagi suami isteri. Samseng ini faham ke tidak batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan? Bija yakin sangat, memang taklah!

Habis rambut terburai, hoodie yang berada di atas kepala Bija sudah terjatuh ke bahu. Sunny yang menunduk betul-betul di depan Bija terpaku melihat wajah wanita itu dengan lebih dekat. Harum bau rambut yang masih basah membuatkan hatinya bergetar aneh. Bija pula terkelip-kelip memandang mata bundar Sunny itu. Alahai...

“Ehem.” Sunny berdeham. Cuba membetulkan nawaitunya yang agak terpesong. Fitrah lelaki, kan...

Sunny tegakkan Bija. Hud yang terjatuh dia angkat lalu ditutup rambut Bija siap dicerut tali hoodie, nasib baik tidak tercekik leher wanita itu. Tangannya tidak berhenti di situ, ditarik pula telinga Bija supaya dekat dengannya.

Listen carefully, I only understand the clear and direct words, yes or no. I don’t understand anything else. So answer me, talk to me! Bahasa tubuh kau boleh buat aku berfikir lain nanti. Mulut jangan berat sangat dan... jangan buat muka macam tu.” Sunny tolak pipi kanan Bija sehingga terdorong ke tepi.

Sebenarnya, dia sedang menahan rasa yang menderu dalam dadanya. Wanita itu sangat mempengaruhi hatinya. Dia jadi susah hati. Kalaulah hilang akal warasnya, nafsu menerajui hati, selamat ibu Mia ini di tangannya nanti. Sunny bawa-bawa bersabar.

“Hah?” Bija ternganga. Janganlah bagi ayat-ayat tersirat begini. Banyak lagi perkara nak fikirlah. Bija tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Sunny. Samseng tetapi bahasanya mengalahkan ahli falsafah. Dia jadi keliru dengan identiti samseng yang sudah berjalan mendahuluinya. Bija mengekori dari belakang.

 

MIA MASIH tidur sewaktu dia datang. Bija memeluk dan mencium Mia bertalu-talu. Kemudian, duduk di kerusi sambil merenung si anak dengan perasaan sayu. Banyak perkara menyedihkan telah berlaku dalam hidupnya. Bertimpa-timpa.

Dia masih belum dapat melupakan hal yang telah terjadi siang hari tadi. Dia hampir kehilangan satu-satunya permata hatinya dan dia juga dihina sehina-hinanya oleh manusia yang berfikir mereka lebih baik dan mulia daripada segalanya. Perit hatinya apabila mengingati semua itu.

“Nanti Mia sihat, mama bawa Mia balik, okey?” Bija hampir menumpahkan air matanya lagi. Dia cuba menahan sendunya. Bagaimana ingin membawa Mia balik? Mereka dua beranak telah dihalau keluar dari rumah. Ke manakah mereka akan pergi?

Untuk mencari tempat tinggal baharu bukanlah mudah. Bija tertunduk lemah. Tiba-tiba terasa bahunya disentuh lembut. Dia menoleh, agak terkejut melihat lelaki samseng berada di situ. Ingatkan lelaki itu terus balik selepas menurunkan dia di lobi hospital tadi.

“Mia macam mana?” tanya Sunny lantas duduk di tepi katil. Rambut Mia dibelai lembut.

Bija agak tersentuh melihat lelaki samseng itu memberi perhatian terhadap anaknya. Rupanya lembut juga hati seorang samseng.

“Buat masa sekarang, okey. Tak membimbangkan,” ujar Bija dengan senyuman nipis. Harap-harap begitulah kerana Mia masih tiada tanda-tanda simptom lewat cerebral concussion seperti muntah-muntah atau tidak sedarkan diri.

“Oh, kalau Mia dah boleh balik, kau masih nak tinggal di sana lagi ke?” tanya Sunny. Dia merasakan Bija tidak lagi selamat jika masih ingin tinggal di sana. Tanpa sedar, Sunny bimbangkan wanita itu. Dia jeda dengan perasaannya sendiri. Tidak percaya dia boleh risaukan orang lain yang tiada kena-mengena dengan hidupnya.

“Saya akan cari tempat tinggal lain,” jawab Bija tetapi kedengaran seperti ragu-ragu dengan kata-katanya sendiri. Dia tak yakin yang dia boleh mencari rumah lain dalam masa terdekat ini dengan duit yang tinggal cukup-cukup makan. Bija tertunduk lemah. Dugaan yang dihadapi semakin hari semakin memeritkan.

Wajah sedih dan muram Bija membuatkan Sunny tidak tahan melihatnya.

“Senang cerita, kau tinggal dengan aku.” Selamba dia mengajak. Tidak pasti dengan ideanya tetapi yang lain-lain boleh difikirkan kemudian. Sungguh, tidak tahu kenapa, dia tidak boleh melihat wanita itu kesusahan lagi.

“Hah?” Bija ingatkan lelaki samseng itu bergurau tetapi wajah lelaki itu kelihatan serius. Tiada tanda-tanda berjenaka sengal seperti selalu.

Setelah diyakini Sunny maksudkan dengan kata-katanya tadi...

“Tak!” Cepat-cepat Bija menggeleng menolak sekerasnya. Gila apa mahu tinggal serumah dengan lelaki itu. Dia memang tersepit tetapi belum terdesak sampai sanggup tinggal serumah dengan lelaki yang tiada apa-apa hubungan dengannya.

“Kenapa? Rumah aku tu tak cukup besar ke? Lebih elok daripada rumah kau sekarang ni tau!” Sunny bengang kondo mewahnya diperlekehkan oleh Bija. Kondo mencecah angka jutaan ringgit itu tidak dapat menarik perhatian ibu tunggal itu? Biar betul!

“Awak nak kita duduk serumah? Awak nak semua orang pandang lagi serong terhadap saya? Bersekedudukan dengan lelaki, macam tu?” Bija meletup.

“Apa yang kau mengarut ni? Kau ingat aku hadap dengan perempuan macam kau ke?” Sunny pula yang meletup apabila niat baiknya dipandang serong. Badan sekeping macam itu? Tak mahunya dia!

“Habis tu, tadi awak cakap apa?” Bija mengingatkan Sunny dengan percakapannya tadi. Mudahnya Melayu samseng ini lupa!

“Kau ni ngok sangat dah kenapa? Kau tinggal aje kat rumah aku, bukannya suruh kau gadai body! Lainlah kalau kau nak... aku tak tolak...” Bibir Sunny herot ke tepi. Dia samseng bukan sebarang samseng. Samseng terhormat, bermaruah, bukan lelaki terdesak atau perosak. Dia tidak sesekali mengambil kesempatan dengan perempuan.

“Tak payah, saya cari rumah lain.” Bija tak akan sesekali menerima ajakan lelaki itu. Tidak!

“Tinggallah di rumah aku dulu sementara kau nak mencari rumah lain.” Suara Sunny bertukar lembut. Niatnya hanya hendak menolong.

“Tak apa, saya okey!” Dengan nada lebih tegas Bija tetap menolak.

“Okey ke? Tadi kau dah kena simbah dengan air, kena baling dengan telur, dengan tepung. Esok-esok, kena baling dengan batu, dengan kayu, entah apa-apa lagi. Kau sanggup ke?”

Bija terdiam seketika sebelum membuka mulutnya.

“Saya akan bercakap dengan mereka, berikan masa untuk saya keluar. Saya rasa mereka boleh faham,” ujar Bija. Sebenarnya dia juga ragu-ragu dengan kata-kata sendiri. Tidak pasti jiran-jirannya akan bertoleransi dengannya ataupun tidak.

“Kau degil boleh tahan juga ya!” Rasa hendak sekeh sahaja kepala wanita seorang ini. Degilnya! Sunny hanya mampu mengeluh.

“Habis tu awak nak suruh saya buat apa? Duduk serumah dengan awak tanpa apa-apa ikatan?” Bija rasa nak menjerit supaya lelaki samseng itu faham,

“Ikatan? Ikatan macam mana tu? Kahwin? Apa yang susah sangat, kita kahwin ajelah! Habis cerita.” Sunny seperti tidak sedar dengan kata-katanya sendiri.

Mudahnya lelaki itu berkata-kata. Bulat mata Bija memandang lelaki itu. Tergamam.

No comments:

Post a Comment