DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 1


BUKU yang diambil dari rak disusun hampir ke paras dada sebelum diletakkan pada tempat yang disediakan. Meja harus ditinggalkan kosong sebelum keluar dari situ. Itu antara peraturan utama perpustakaan yang harus para pelajar patuhi.

“Ini buku untuk ulang kaji atau sekadar belek buat hilang bosan?” usik Ikhwan, salah seorang staf perpustakaan universiti.

“Terima kasih,” ucap Elena kepada lelaki itu kerana tolong menyusun kembali buku-buku itu ke atas rak. Tercarik sedikit senyuman di bibirnya. Kemudian dia terus berlalu dari situ, meninggalkan Ikhwan yang masih tidak lepas daripada memandangnya.

Sejak semester lepas, Ikhwan sudah semakin berani menunjukkan minatnya kepada Elena. Pelbagai usaha dilakukannya untuk menarik perhatian gadis itu tetapi sayangnya Elena buat tidak nampak sahaja segala usaha yang dilakukan oleh dia. Ada desas-desus yang mengatakan Elena sudah dimiliki tetapi hati Ikhwan tetap menidakkan kenyataan itu selagi Elena sendiri tidak mengakuinya. Pintu perpustakaan ditutup rapat sebelum dihela nafas kelegaan. Rimas. Tapi demi pelajarannya terpaksa juga Elena menapak ke perpustakaan ini. Tali tote bag ditarik kemas ke bahu. Serentak itu telefonnya berbunyi. Tangan mula menggagau iPhone di dalam beg.

“Haa, ada apa?”

“Ada apa kau tanya? Kau kat mana wei El? Semua orang dah ada ni.”

“Baru keluar library. Kau dekat mana?” Lambat-lambat Elena menuruni anak tangga di hadapan perpustakaan.

“Dekat padang kawad nilah, tercongok tengok orang berkawad sambil tunggu kau. Cepat sikit, Jessica dah bising.”

“Cakap dekat amoi tu sabar kejap, lagi 5 minit aku sampai.”

Okay, bye!”

Talian terus mati dan Elena mula mempercepatkan langkah.

Kebetulan yang menguntungkan mereka sekelas. Kelas yang sepatutnya dijadualkan pada malam ini batal dan malam ini mereka dijemput untuk menghadiri parti hari lahir salah seorang rakan sekelas mereka di hotel bertaraf 5 bintang. Tidak mahu melepaskan peluang keemasan, masing-masing teruja mahu mencari pakaian yang sesuai bagi menghadiri majlis itu nanti.

“You lambat 5 minit. Kalau tahu macam ni, lebih baik kami pergi dulu. Tak payah tunggu you!” Tidak menunggu lama, Jessica terus menyembur sejurus Elena terpacak di hadapan mereka.

“Aku dah cakap awal lagi yang dia ni lembab. Tapi  kau orang tak nak dengar.” Salina turut mencelah sambil memeluk badan sendiri. Sejak semester pertama lagi dia memang tidak sukakan Elena. Apabila ditanya kenapa, dia hanya menjawab; ‘Aku. Tak. Suka. Dia.’ Itu sahaja.

Elena dan Rai saling berbalas pandang dengan maksud yang berbeza.

“Kau orang bising dekat sini lagi lambat kita nak sampai mall.” Hanya itu jawapan Elena. Malas untuk terus bertegang urat di situ.

“Dahlah guys, jom.” Joi yang diam dari tadi mula bersuara. Lalu ditarik tangan Salina dan Jessica.

“Naik kereta aku je.”

Terus bercahaya mata Rai apabila Elena menawarkan untuk menaiki keretanya. Sebab inilah dia sayangkan Elena. Walau macam mana buruk sekalipun layanan yang diterima Elena tetap sahabatnya itu tetap bermurah hati membantu tidak mengira sesiapa.

“Haa, bagus-bagus. I dah penat berdiri dekat sini. Jomlah.” Tanpa rasa bersalah mahupun serba salah, Jessica bersetuju dengan cadangan Elena. Sedangkan sudah berbakul dia bebelkan Elena hanya kerana gadis itu lewat 5 minit.

Salina pula hanya memandang Elena dengan hujung mata. Dalam hati masih belum berpuas hati dengan Elena walaupun merasa lega dengan ajakan itu. Tidak perlulah dia bersusah payah menapak menaiki kenderaan awam bersama rakan-rakannya itu.

“Macam manalah aku boleh terjebak dengan geng kau ni,” bisik Elena ketika mereka melangkah menuju ke tempat parkir. Jessica sudah berjalan jauh di hadapan bersama Salina dan Joi. Meninggalkan dia berdua dengan Rai di belakang.

“Bukan geng aku. Diaorang kan rakan sekelas kita.”

Elena menjulingkan mata ke atas dengan jawapan polos Rai. Geram, rasa mahu luku sahaja kepala Rai yang bendul tu tapi sebaliknya apabila ditarik Rai rapat dan memeluk erat bahu rakannya itu. Kembali ceria bersama Rai yang sentiasa ada dengannya ketika susah dan senang.

 

ELENA HANYA diam memandang gelagat rakan-rakannya memilih pakaian di butik berjenama yang mereka masuki. Masing-masing teruja memilih pakaian mengikut saiz badan tanpa mempedulikan tahap ‘keseksian’ pakaian tersebut.

Kelihatan Salina sedang mengacukan sehelai dress yang agak terdedah di bahagian belakang. Boleh tahan daring juga pakaian pilihan Salina itu.

Tetapi apa hendak hairan, dia sudah maklum memang begitu fesyen yang menjadi pilihan rakan sekelasnya itu. Yang terdedah dan juga mengikut bentuk tubuh. Pensyarah juga sudah puas menjeling tetapi Salina tetap begitu. Langsung tidak terkesan dengan pandangan orang sekeliling. Kemudian Elena memandang ke arah Rai dan yang lain. Joi sedang sibuk mengacukan pelbagai jenis pakaian ke badan Rai dan kesemuanya menerima gelengan laju daripada sahabatnya itu. Bosan apabila Rai asyik menolak, Joi menyerahkan tugasan mencari pakaian Rai kepada Jessica pula tetapi jawapan Rai tetap sama. Menggeleng tidak berkenan dengan pilihan Jessica itu. Tidak dapat menahan rasa lucu, akhirnya Elena ketawa juga. Macam-macam kerenah!

Argh... aku pening!” Rai berdiri di sisi Elena dengan sebelah tangan naik memicit dahi.

“Pening kenapa?” Semakin melebar sengihan di wajah Elena saat melihat gelagat Rai.

Rai membulatkan matanya. “Kau tahu tak pakaian dekat sini semua mahal-mahal lepas tu jenis yang tak cukup kain pula tu. Tak berbaloi langsung. Kalau mak aku tengok aku pakai pakaian tak cukup kain macam ni, mahunya kena pancung aku nanti El.”

Elena ikut memandang sekeliling. Ada benarnya apa yang Rai katakan itu. Walaupun mereka berdua tidak menutup aurat sepenuhnya, tetapi pakaian mereka masih terjaga. Tidak terdedah sana sini.

“Banyak duit diaorang masuk butik ni. Setahu aku keluarga diaorang biasa-biasa saja, kan?”

“Itulah, aku ingatkan nak cari baju dekat AEON je. Kalau tahu nak masuk butik mewah macam ni aku tak ikut dah tadi.”

“Tak apalah Rai, boleh kita cuci mata sambil teman diaorang shopping.” Seperti tadi, tangan Elena naik merangkul bahu Rai.

“Betul juga tu. Tapi El, kau tak nak beli dress ke? Maksud aku, pakaian baru untuk ke parti tu nanti. Kalau kau tak nak beli yang tak cukup kain dekat sini, jom aku teman kau masuk butik lain.”

Laju Elena menggeleng.

“Aku pakai mana yang ada je nanti.”

“Tapi...”

Baru sahaja Rai ingin membalas, Salina terlebih dahulu mencelah.

“Jangan risaulah Rai. Baju aku semua masih baru dan sesuai nak bawa masuk hotel 5 bintang tu nanti.”

“Dah tahu tak mampu beli pakaian dekat sini, buat apa ikut kami.” Sambil berlalu dia mengutuk Elena sebelum meneruskan misinya mencari dress yang sesuai.

“Eh eh minah ni, sedapnya mulut bercakap. Macamlah dia mampu sangat. Tak mampu beli pun sekurang-kurangnya kau ada kereta sendiri, kan El? Dari dia tu, tumpang kereta kau juga.”

Elena tersenyum hambar mendengar kata-kata Rai.

 

ELENA MEREBAHKAN badannya di atas katil. Merenung kosong pada siling bilik sambil merehatkan belakang badan yang terasa lenguh setelah seharian berada di luar. Seperti selalu, sepi keadaan rumah teres satu tingkat itu. Tiada siapa yang menunggu kepulangannya dan dia juga tidak menunggu kepulangan sesiapa.

Terkebil-kebil mata dia memandang kekosongan pada siling bilik. Sekosong hatinya tika ini. Walaupun dalam hati terasa kosong, fikirannya tidak henti memikirkan apa rancangan dia selepas ini.

Badan digerakkan mengiring ke kanan. Sehelai selendang yang terdampar di atas katilnya itu ditarik ke dalam pelukan.

I miss you ibu,” bisik Elena.

Ibu pergi ketika dia masih perlukan ibu di sisi. Ibu pergi ketika dia masih mencari dirinya sendiri. Ibu pergi meninggalkan dia seorang diri. Dan pemergian ibu itu bukan cuma sebentar tetapi buat selama-lamanya. Jadi harus bagaimana dia meneruskan hidupnya ini sendiri?

Mata dipejam saat disapa rasa mengantuk. Sedang berkhayal melayan kantuk, ingatan dijentik dengan kata janji yang dilafazkan ketika menghantar rakan-rakannya pulang. Serentak itu juga matanya terbuka.

Oh crap! Dah pukul berapa ni?”

Detik demi detik jarum jam bergerak. Hampir ke pukul 7 malam. Elena bergegas bangun dan terus menghilang ke dalam bilik mandi.

Setengah jam kemudian dia keluar dengan kepala yang berbungkus tuala. Membelek satu per satu pakaian yang terdapat di dalam almari. Akhirnya Elena menarik keluar sehelai top berserta seluar jenama Shals pemberian ibunya setahun yang lalu. Kelihatan ringkas tetapi elegan. Sesuai dengan usia gadisnya.

Selesai bersiap dan bersolek ringkas, Elena bergegas keluar bagi menjemput rakan-rakannya. Walaupun agak menyampah dengan perangai masing-masing, tetap juga dia bermurah hati untuk menjadi pemandu rakan-rakannya itu.

Pesanan ibu supaya sentiasa berbuat baik tidak kira dengan sesiapa sentiasa terpahat di hatinya.

No comments:

Post a Comment