DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 10

AULIA tersedar kerana bunyi loceng dari telefonnya. Malas hendak bangun, dia matikan loceng dengan mata terpejam. 5 minit lagi dia akan bangun. Dia sudah tetapkan jam locengnya berbunyi 5 minit sekali. Dipeluk patung unicornnya erat.

‘Kenapa lain macam pulak patung ni? Lebar.’ Aulia peluk lebih erat. Bau patungnya juga lain macam tapi sedap. Bau masam yang aneh. Tiba-tiba dia rasa patungnya bergerak. Hendak melompat dia apabila ada tangan melingkar di perutnya.

Aulia tutup mulutnya dari menjerit. Ken tidur di luar. Kalau dia menjerit sah Ken akan usik dia tiga kali ganda dari biasa. Bagaimana dia terlupa yang Firas tidur sekatil dengannya? Degil juga lelaki ini. Matanya turun ke bawah. Baju Melayu suaminya tersingkap sedikit.

“Tak ada chocolate bar. Tapi perut kempis. Nice.” Tangan Aulia menjalar ke perut Firas. Tidak berketul sangat tetapi tidak juga terlalu rata. Sedang-sedang sahaja. Dia tidak berniat untuk mengejutkan suaminya.

“Dalamnya pusat dia. Dah macam telaga di tengah tanah gersang.” Selamba sahaja dicucukkan jarinya ke pusat Firas. Dia ketawa perlahan. Tidak mahu Firas terjaga.

Aulia dekatkan mukanya ke muka Firas. Dalam samar cahaya bilik dia menilik wajah lelaki itu.

“Kau ni boleh tahan jugak ya Mr. Bibik. Kacak. Muka macam mix Jepun, macam Cina, tapi macam muka mat salih pun ya jugak.”

Selamba sahaja Aulia mencucuk pipi Firas. Kiri kanan dia cucuk pipi suaminya. Tetapi lelaki itu tidak terjaga langsung pun. Tidur mati agaknya. Aulia senyum. Kasihan Mukhriz. Pasti anak manja itu sedang menangis di bucu katil.

“Mandilah. Lepas mandi baru aku kejut kau Mr. Bibik.” Aulia mengalihkan tangan Firas. Perlahan dia bangun. Tuala mandi dan pakaian diambil lalu masuk ke bilik air.

Firas buka matanya setelah terdengar bunyi air. Dengan segera dia bangun. Diraba perutnya. Puas dia menahan rasa tadi saat Aulia meraba perutnya. Geli! Tidak pernah ada perempuan menyentuh tubuhnya selain emak.

“Hesy! Macam mana kau nak jadi suami kalau geli? Mujur raba perut aje. Esok-esok dia raba lain pulak. Takkan kau nak karate dia.” Firas kusutkan rambutnya. Fikiran dia juga kusut. Mulut kata benci. Aulia pegang rasa geli. Tapi boleh pula otak nakalnya berfikir isterinya akan meraba tempat lain pula.

“Kau gila Firas.” Dia hempaskan tubuhnya. Matanya ditutup sebaik sahaja terdengar bunyi tombol dipulas. Dia berpura-pura tidur dan menanti Aulia mengejutnya.

Aulia keluar dari bilik mandi dengan siap berpakaian. Dia tidak berani ambil risiko untuk memakai baju di hadapan Firas yang sedang tidur. Kalau dibuatnya lelaki itu berpura-pura tidur dan mengintip memang malang nasib dia.

“Dah nak Subuh. Baik aku kejut dia sekarang.” Aulia mendekati katil. Dia duduk berhampiran perut Firas.

“Mr. Bibik, bangun.” Perlahan bahu Firas dicucuk. Lelaki itu langsung tidak bergerak.

“Mr. Bibik. Bangunlah.” Kali ini dia menggoncang bahu Firas sedikit. Seperti tadi. Lelaki itu langsung tidak bergerak.

“Kali ketiga dah ni. Kau ingat aku ni tukang kejut kau ke?” Kali ini dia akan cuba cara ekstrem. Selamba sahaja dia menggeletek perut suaminya yang beralaskan baju.

Arggh! Geli!” Firas terus bangun. Perut merupakan bahagian yang paling sensitif. Memang dia akan menjerit jika digeletek.

“Pengantin! Tak habis lagi ke?” terdengar laungan dari luar.

Firas pandang Aulia.

“Awak balas dendam ya? Siaplah awak nanti.” Firas berpura-pura mahu mencubit pipi isterinya.

“Firas, saya ada wuduk.” Aulia sedikit menjauh.

Firas batalkan niatnya. Terus dia bangun dan mengambil tuala dan pakaian dari begnya. Mujur Aulia ada wuduk. Dia ayun langkah menuju ke bilik mandi. Tetapi selepas dua tapak dia menoleh ke belakang lalu menyengih. Aulia sedang leka. Perlahan dia mengundur.

Firas menyentuh pipi Aulia dengan sengaja. Dia tersengih tatkala melihat mata bulat isterinya.

“Firas!!!”

Sepantas kilat Firas berlari masuk ke bilik mandi. Kedengaran ketawa terbahak-bahak.

“Hoi, pengantin. Dah subuh. Stoplah dulu.”

Aulia kesat pipinya yang Firas sentuh. Dia hentakkan kaki ke lantai berkali-kali.

Eeei... aku benci kau Mr. Bibik.”

Pasti turun nanti tebal mukanya diusik saudara-mara. Nampaknya dia harus kebalkan telinga dari awal. Selepas sarapan mereka akan bertolak pula ke Melaka untuk majlis di sebelah Firas.

 

AULIA MENYENDUKKAN nasi lemak ke pinggan Firas. Mak long yang kuat mengusik sedang berbisik-bisik dengan Ken sambil pandang dia dan Firas. Sah Ken sedang bercerita tentang hal malam tadi. Mak long, sekejap tersenyum dan sekejap tersengih.

“Kau kenapa Ken? Mata panda pulak?” Ameer muncul dan terus menegur Ken. Ameer merupakan anak tunggal mak long. Belum berkahwin lagi kerana tidak berjumpa calon.

“Tak boleh nak tidur. Sekejap-sekejap ada orang menjerit. Bergilir-gilir menjerit.” Ken memberi jawapan dengan mata digosok. “Mengantuk lagi ni.”

Aulia dan Firas saling berpandangan. Sudah mereka jangka Ken akan mengusik. Apa yang berlaku sebenarnya hanya mereka berdua yang tahu. Aulia buat muka selamba. Dia tuangkan kopi pula untuk Firas. Ikutkan hati memang dia tidak mahu jejak dapur pagi ini. Namun air muka mama dan papa harus dijaga.

Mak long dan Ameer datang jauh dari Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Dalam masa yang singkat kedua-duanya masih sempat datang. Mak long dan ayahnya hanya dua beradik. Saudara-mara sebelah mama ramai yang tidak dapat cuti. Ada yang cuma berkesempatan datang semalam. Dan ada yang hanya akan menyertai konvoi ke rumah Firas sebentar lagi.

“Okeylah tu. Tak lama lagi meriah dengan suara baby menangis pulak,” mak long tidak ketinggalan mengusik.

Aulia hanya tersenyum. Dalam hati dia menyumpah Ken kerana bermulut celopar. Tunggulah bila mereka berdua. Memang dia akan belasah Ken cukup-cukup. Bukan dia tidak nampak senyuman nakal apek itu. Dia tunjuk penumbuk ke arah Ken.

Firas menarik hujung baju kurung isterinya. Dia memberi isyarat agar Aulia duduk. Tidak guna juga melawan. Lebih baik diam sahaja apabila diusik. Dan jangan lupa senyum. Dia tidak tahu apa hubungan Ken dengan keluarga Aulia. Sangkanya lelaki itu hanya pembantu bapa mentuanya.

“Dah beritahu semua kita nak jumpa kat mana?”

“Dah, papa. Sekejap lagi mak andam sampai untuk siapkan Aulia dengan Firas. Dah siap kita terus gerak. Yang lain-lain tunggu kat RnR Seremban. Lepas tu boleh terus gerak. Kat rumah Firas tak ada majlis sanding. Terus makan beradab lepas zuhur,” terang Ken panjang lebar.

Firas tidak tersalah dengar tadi Ken panggil papa. Tapi kenapa sebelum ini Ken panggil Tan Sri? Apa yang dia tidak tahu? Hendak bertanya kepada Aulia, isterinya sedang makan. Itulah padahnya main terjun masuk keluarga orang. Firas sambung makan.

“Firas makan banyak-banyak. Mak long ni tukang masak terkenal kat Kangar sana. Kalau pergi Perlis, sebut aje Nasi Lemak Hajah, semua orang tahu.”

Firas hanya angguk. Memang sedap pun nasi lemak yang dia makan. Lebih-lebih lagi sambal sotongnya. Sudah dua kali bertambah.

“Nah, hadiah dari Pahang untuk pengantin lelaki.”

Muncul seorang lelaki meletakkan bungkusan plastik di atas meja makan. Betul-betul di hadapan Aulia.

“Apa ni Razif?” tanya Aulia sambil membelek bungkusan tersebut.

Ops ni bukan untuk kau. Ini untuk encik abang kau. Untuk menambahkan tenaga kalau nak overtime malam-malam.” Razif tersengih. Bungkusan tadi diletakkan di hadapan Firas pula.

Firas segera menangkap maksud Razif. Dia hanya tersengih sahaja. Rasanya dia tahu apa bendanya di dalam plastik itu. Manakala Aulia kerut dahi tanda tidak faham. Dia seorang sahaja perempuan di situ. Mak long sudah ke hadapan.

“Bertambah bisinglah nanti.” Ken tepuk dahi.

Kata-kata Ken disambut oleh gelak ketawa oleh Ameer dan Razif. Aulia yang masih lagi belum faham maksud kata-kata mereka hanya kerutkan dahi. Hendak makan pun tidak senang.

“Insya-Allah anak kembar nanti,” Firas bersuara.

Ketiga-tiga lelaki itu bersorak mendengar kata-kata Firas. Aulia mula faham apa yang lelaki-lelaki itu perkatakan. Mahu sahaja dia beritahu perkara sebenarnya, tapi tidak sampai hati mahu merosakkan suasana. Dia hanya berdiam sahaja.

“Mak andam dan sampai!” kedengaran laungan dari ruang tamu.

Tepat pada masanya. Aulia segera bangun untuk membasuh tangan. Cepat-cepat dia berlari ke ruang tamu. Sakit hati dengan usikan sepupu-sepupunya.

Firas menggeleng. Pinggan makan sendiri pun dibiarkan di atas meja. Sekurang-kurangnya bawalah ke singki. Dia turut membasuh tangan. Pinggan Aulia diambil dan dibawa sekali bersama pinggannya. Sebelum itu, sempat lagi dia mengemaskan meja.

“Pandai kaulah nak bentuk mak nenek tu. Dia punya malas tak boleh nak bincang.” Ken berdiri di sebelah Firas yang sedang membasuh pinggan.

“Kau panggil Tan Sri papa?” tanya Firas.

“Aku ni kiranya anak angkat Tan Sri Halim. Bapak aku kawan baik dia. Mak aku pulak meninggal masa aku lahir. Sebab aku tak ada saudara-mara lain, Tan Sri jaga aku,” terang Ken. Selama ini dia merahsiakan statusnya daripada Firas.

“Kau orang Cina ke?”

“Mak bapak aku Cina. Tapi aku dah masuk Islam masa umur 18 tahun. Nama asal aku Kenny Lim. Nama Muslim aku Khaizuran Ardani.”

Firas mengangguk faham.

“Biarkan aje pinggan tu. Biar orang gaji buat. Kau kena bersiap. Nurul Huda sampai pukul berapa?” Ken melihat jam di tangannya. Sudah pukul 9 pagi.

“Kejap lagi sampailah tu.”

 

*** BOLEH DAPATKAN DI PASARAN, KELUARAN MEI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

 

No comments:

Post a Comment