“AKU terima nikah Aulia Izzatunnisa binti Halim dengan mas kahwinnya 5 ribu ringgit tunai.”
“Sah?”
“Sah!”
“Sah!”
Firas dan juga para tetamu mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh jurunikah. Sudah sah termeterai hubungan suami isteri antara dia dengan Aulia. Hanya dua minggu persiapan untuk majlis pernikahan mereka.
Firas bangun dan meminta izin untuk menunaikan solat di bilik tamu. Pernikahan mereka hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat kedua-dua belah pihak.
“Senyum sikit. Jangan buat malu daddy dengan mama. Depan mentua kamu jangan tunjuk sangat muka benci tu.” Puan Sri Ameena menggosok tangan Aulia. Sejak semalam lagi Aulia tayang muka cemberut. Malah sempat buat drama semasa disolekkan pagi tadi.
Dengan berat hati Aulia senyum ke arah mentuanya yang duduk di sudut sana. Rombongan Firas kecil sahaja. Hanya ada ibu dan kawan baiknya serta beberapa orang saudara-mara. Kata Firas nikah tergesa-gesa jadi ramai yang tidak dapat datang.
“Banyak jugak mas kahwin dia bagi.” Fazura berbisik di telinga Aulia. Agak terkejut dengan jumlah itu yang dia rasakan tidak sesuai dengan kerja Firas. “Dia ada beritahu kau nak bagi banyak tu?”
“Aku jumpa dia last masa kena tangkap basah hari tu. Mana aku tau dia nak bagi mas kahwin banyak mana.” Aulia sendiri pelik. Tapi mungkin juga Firas ada duit simpanan. Siapa tahu?
“Syhh... Firas dah datang.” Puan Sri Ameena menghentikan perbualan Aulia dan Fazura. Firas sudah muncul. Dan sekarang upacara menyarungkan cincin.
Firas memberi isyarat kepada ibunya agar mendekati Aulia. Dia sendiri terus sahaja duduk di hadapan isterinya. Terkaku sebentar tatkala matanya terpandang wajah Aulia. Sangat berbeza dengan apa yang dia lihat tempoh hari. Kuasa alat solek. Sangat cantik memakai tudung.
“Assalamualaikum.” Firas memulakan bicara dengan perasaan gemuruh. Dia tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Mungkin kalau perkahwinan mereka atas dasar suka sama suka, saat itu memang dia tersenyum gembira.
“Waalaikumussalam.” Aulia mengangkat muka. Dia memerhatikan Firas. Sangat kacak dengan baju Melayu putihnya. Pandangan mereka bertaut.
“Pengantin lelaki. Boleh serah mas kahwin ya.”
Firas dan Aulia sama-sama mengalihkan pandangan. Suara jurunikah tadi mengejutkan mereka. Firas pantas menoleh ke arah emaknya. Puan Salbiah menghulurkan bekas berisi duit mas kahwin yang sudah digubah cantik.
“Pengantin senyumlah sikit.”
Firas ukirkan senyum terpaksa sambil mencari siapa yang bersuara tadi. Dia terlihat Ken sedang tersengih di sebelah jurugambar. Mahu sahaja dia pelangkung Ken di situ. Bukan lelaki itu tidak tahu dia gemuruh.
“Dua-dua pengantin tak nak senyum. Habis rosak album kahwin nanti,” usik Ken lagi. Nama sahaja majlis nikah tapi suram. Kedua-dua pengantin bagaikan berkabung.
Aulia angkat muka pandang Ken dan tersenyum hambar. Seterusnya dia alihkan pandangan kembali ke arah Firas dan menyambut mas kahwin daripada lelaki itu. Sedaya upaya dia ikhlaskan senyuman untuk lelaki yang sudah bergelar suaminya itu.
Aulia hulurkan tangan kanan untuk majlis menyarungkan cincin. Rasa gementar saat mereka bersentuhan tanpa lapik. Sebaik selesai Firas sarungkan cincin Aulia mahu menyarungkan cincin ke jari suaminya pula. Namun ditahan Firas. Lelaki itu memberi isyarat agar dia hulurkan tangan sekali lagi. Kali ini Firas memakaikan seutas gelang tangan.
“Aku macam pernah tengok gelang ni,” Fazura berbisik di telinga Aulia. Gelang itu terdiri dari cantuman bintang-bintang kecil dan besar berwarna perak.
Aulia hanya senyum. Dia tidak tahu dan tidak ambil tahu. Kali ini giliran dia untuk menyarungkan cincin ke jari manis suaminya. Cincin perak dengan batu berwarna zamrud. Daddynya berikan kotak cincin itu sebelum majlis berlangsung tadi. Ikutkan hati dia, memang tiadalah cincin untuk Firas.
“Salam tangan suami. Cium tangan.”
Aulia mengikut sahaja arahan yang diberi. Pasti jurugambar yang sibuk beri arahan. Dia malas hendak ambil tahu. Semuanya diuruskan oleh daddy dan Ken.
Jantung Firas berdegup kencang saat dia diminta mencium dahi isterinya. Sentuh Aulia pun baru sebentar tadi, sekarang kena cium dahi pula. Perlahan dia labuhkan ciuman di dahi isterinya. Agak lama kerana mengikut arahan yang diberi.
“Nak lama-lama cium kena tunggu malam nanti.”
Firas menarik bibirnya. Manalah dia tahu. Jurugambar tak arahkan dia berhenti cium. Dia pandang Aulia yang hanya menunduk. Apa agaknya perasaan Aulia tadi. Malam nanti entahkan dapat atau tidak dia sentuh isterinya. Silap-silap Aulia tunggu hendak karate dia.
Selesai upacara menyarungkan cincin Firas berpusing untuk bersalam dengan Tan Sri Halim dan Puan Sri Ameena yang sudah bergelar mentuanya.
“Tolong jaga anak daddy elok-elok.” Tan Sri Halim memeluk tubuh menantunya. “Daddy tahu dia manja. Malah terlebih manja. Salah daddy sebab terlalu memanjakan dia. Tugas Firas sekarang nak bentuk dia jadi isteri solehah. Didik dia semampu Firas. Kalau dia degil dan Firas rasa tak mampu nak hadap kerenah dia, pulangkan balik kat daddy. Jangan sakitkan hati dia atau seksa dia. Pulangkan aje. Daddy akan terima dia dan tak akan salahkan Firas.”
“Insya-Allah daddy.” Firas terharu dengan kata-kata mentuanya. Perancangan Allah tidak pernah silap. Pasti ada hikmat di sebalik semua ini. Di sebalik ketegasan Tan Sri Halim, nampak kasih sayang yang tidak terhingga buat anak gadisnya. Walaupun perkahwinan mereka atas dasar paksa, dia tidak pernah lagi terfikir untuk menganiaya Aulia. “Firas tak janji, tapi Firas akan cuba yang terbaik.”
“Alhamdulillah, terima kasih Firas.” Tan Sri Halim mengesat air matanya. Anak kecil kesayangannya sudah bergelar isteri. Berat hati untuk melepaskan Aulia namun sudah tiba masa anak kecilnya menjadi dewasa.
Aulia pula. Kelu untuk berbicara dengan mentuanya. Dia bersalaman dengan Puan Salbiah. Terkejut dia bila tubuhnya ditarik dan dipeluk oleh Puan Salbiah.
“Firas tu nakal sikit. Kalau degil piat telinga dia,” perlahan Puan Salbiah berbisik di telinga menantunya.
Aulia tersengih. Emak mentua sudah bagi lampu hijau. Bukan setakat piat telinga, kalau boleh dia hendak smack down aje Firas.
“Alhamdulillah semua dah selesai. Jemputlah menjamu selera di khemah sana.” Tan Sri Halim menjemput semua tetamu untuk menjamu selera.
Firas bangun hendak keluar namun pantas ditarik oleh Ken. “Kau nanti dulu. Kena ambil gambar pengantin.”
Mahu tidak mahu Firas terpaksa akur. Dia bergambar dengan Aulia mengikut arahan jurugambar. Disuruh peluk dia peluk. Disuruh cium dahi, dia cium. Aulia pun sama seperti dia. Beku sahaja semasa mengambil gambar.
“Gelang tu Swarovski kan?” Fazura bertanya kepada Hud.
“Haah. Monsun Bracelet Penelope Cruz. Itu pun dia beli daripada kawan dia. Kalau ikutkan, dah tak ada tu. Sanggup beli harga mahal. Bukan...” Hud terhenti. Mulutnya kalau bercakap memang tidak jumpa noktah. Cepat-cepat dia berdiri di sebelah Ken.
Fazura angguk. Entah kenapa dia curiga dengan kata-kata Hud tadi. Dia tahu gelang itu limited edition. Harga pun boleh tahan mahal. Mas kahwin sahaja sudah 5 ribu. Hantaran yang rombongan Firas bawa juga boleh dikatakan berjenama. Memang dia tidak percaya kalau Firas mengaku bekerja sebagai pemandu sahaja.
“Aulia! Jangan kahwin dengan dia.”
Firas yang sedang tersenyum di hadapan kamera, memanjangkan leher mencari arah suara itu. Terlihat Mukhriz di jenang pintu dengan muka yang bengis. Semua mata turut memandang ke arah Mukhriz. Di belakang Mukhriz ialah Tan Sri Halim.
“Mana Aulia?”
Aulia cepat-cepat lari bersembunyi di belakang Firas. Tangannya menggenggam baju Melayu suaminya. Tidak menyangka Mukhriz akan datang mengganggu. Tan Sri Mahfuz sudah memberi jaminan yang Mukhriz tidak akan mengganggu.
“Aulia!!!” Mukhriz berteriak.
Aulia menyembamkan mukanya di belakang Firas. Tubuhnya menggigil ketakutan. Dalam hati dia berdoa agar Firas tidak bergerak. Dia kecil molek sahaja berbanding Firas yang agak tegap. Mukhriz pasti tidak perasan akan dia.
“Mana Aulia?”
“Kau nak apa? Apa urusan kau dengan isteri aku?” Firas beranikan diri bertanya. Dia perasan Aulia seakan bersembunyi.
“Aku cari Aulia. Bukan kau.”
“Aulia isteri aku. Kau cari dia bermakna kau ada masalah dengan aku. Kalau kau datang nak meraikan kami, aku alu-alukan. Kalau kau datang bawa masalah, aku akan panggil polis,” Firas cuba berdiplomasi.
Sebut polis, Mukhriz agak gentar. Papanya tidak tahu dia datang ke sini. Kalau papa tahu memang dia akan kena. Tanpa sebarang kata-kata dia terus keluar dari situ.
Aulia menarik nafas lega. Dia masih lagi sembamkan mukanya di belakang Firas. Menunggu Mukhriz benar-benar menghilang.
“Babe. Dia dah blah.” Fazura menarik tubuh Aulia dari belakang Firas.
“Allah.” Lembik lutut Aulia saat ini. Hampir sahaja dia terjatuh kalau bukan kerana disambut Firas. Dia tersenyum sekilas ke arah Firas sebelum bangun dan memeluk Fazura.
“Hati-hati babe. Aku tak yakin dia akan biarkan kau.” Fazura menggosok belakang Aulia.
“Teman aku masuk bilik.”
Fazura angguk lalu memapah tubuh Aulia berlalu dari situ.
Firas hanya memandang kedua-dua sahabat itu berlalu. Kepalanya sarat dengan pertanyaan. Mukhriz nampaknya terlalu sayangkan Aulia. Tapi kenapa isterinya seakan trauma melihat lelaki itu. Apa sebenarnya yang terjadi antara mereka berdua? Adakah dia orang ketiga dalam cerita ini?
No comments:
Post a Comment