SETELAH selesai memberi salam kepada guru, masing-masing bergegas pulang ke rumah. Dhiya masih lagi duduk di kerusi. Tanpa sedar, dia mengeluh lemah. Pening kepala memikirkan cara untuk menjelaskan yuran sekolah pada tahun ini.
Bertambah serabut kepalanya memikirkan buku kerja dan latihan yang masih belum dibeli. Tahun ini Dhiya berada di tingkatan 1. Ternyata perbelanjaan sekolah semakin meningkat apabila berada di sekolah menengah.
Dia tidak sanggup menyusahkan ibu. Ibunya hanya bekerja di kedai makan dari pagi hingga ke petang dengan bayaran RM30 sehari. Dengan upah itu sahaja ibu menyara kehidupan mereka dua beranak.
Mahu saja Dhiya berhenti sekolah untuk menolong ibu. Tetapi disebabkan ibunya melarang keras, terpaksa dia menurut kerana tidak mahu menghampakan perasaan orang tua itu. Dengan langkah yang agak berat, Dhiya keluar dari kelas. Suasana di kawasan bangunan ini sudah agak lengang.
Dhiya nekad ingin menebalkan muka untuk berjumpa dengan guru kelasnya. Hanya dengan cara ini sahaja dia dapat meringankan beban ibu. Sampai sahaja di bilik guru, Dhiya menarik nafas lega apabila Cikgu Aziah masih belum pulang lagi.
Dengan lafaz bismillah, Dhiya masuk ke dalam bilik guru dengan perasaan gugup.
“Assalamualaikum, cikgu.”
“Waalaikumussalam. Eh, Dhiya. Kenapa tak balik lagi?”
Dhiya tersenyum tawar. Serba salah pula dia untuk berterus terang.
“Err... cikgu, saya ada hal nak bincang dengan cikgu. Pasal yuran tu... tak boleh ke kalau saya minta bantuan dari pihak sekolah? Saya tak mampu nak bayar. Tapi nanti kalau saya ada duit, saya akan bayar sikit-sikit.”
Wajah Cikgu Aziah jelas terkejut.
“Ibu bapa kamu tak bekerja ke?”
Dhiya tersenyum kelat.
“Ayah saya baru meninggal tahun lepas. Kemalangan. Sekarang ni, hanya ibu saya yang bekerja. Kalau cikgu boleh bantu saya, saya cuma nak minta tangguh dalam dua tiga bulan,” pinta Dhiya dengan bersungguh-sungguh.
Puan Aziah turut berasa simpati. Terasa ralat pula kerana dia sebagai guru kelas tidak mengambil tahu soal kebajikan pelajar di kelasnya.
“Macam nilah. Perkara ni cikgu akan bincang dengan pengetua. Tentang yuran tak perlu risau, cuma awak kena usahakan untuk beli buku kerja dan latihan secepat yang mungkin. Dah sebulan sesi persekolahan bermula. Cikgu tak nak awak ketinggalan.”
“Insya-Allah, saya cuba. Err... saya balik dulu, cikgu.”
Dhiya melangkah keluar dari bilik guru sambil menekur lantai. Makin rumit masalahnya sekarang. Kalaulah ada insan yang sudi menghulurkan bantuan, alangkah bertuahnya dia.
Dia yang hanya berjalan tanpa memandang ke hadapan, tidak sengaja terlanggar seseorang di luar bilik guru.
“Allah! Maaf, saya tak sengaja.” Lekas Dhiya mengutip beg sekolah yang terjatuh di atas lantai milik pelajar yang dilanggarnya. Beg itu diserahkan kepada pelajar tadi. Rupa-rupanya orang yang dilanggarnya tadi adalah rakan sekelasnya juga, Kayla. Tetapi Kayla tidak suka bergaul dengan sesiapa di dalam kelas.
Wajah Kayla jelas tidak berpuas hati dengan Dhiya. Beg itu diambil dengan kasar. Terkejut Dhiya dengan reaksi Kayla. Muka saja cantik tapi perangai...
“Maaf, awak. Saya tak sengaja langgar awak tadi.”
“Lain kali, kalau nak jalan tengok depan.”
“Err... ya. Saya Dhiya. Awak Kayla, kan?” Dhiya cuba beramah mesra.
“Ada aku tanya nama kau?” Kayla tersenyum sinis. Beg galasnya disapu bersih.
Terus berubah wajah Dhiya. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Malu juga disindir begitu.
“Saya balik dulu.” Lebih baik dia beredar. Jika orang tidak sudi berkawan, tak perlulah dia tersua-sua. Baru sahaja beberapa langkah Dhiya berjalan, namanya tiba-tiba dipanggil.
“Woi, Dhiya!”
Lekas Dhiya berpaling ke belakang. Terkebil-kebil matanya memandang Kayla yang sedang membetulkan cekak rambut di kepala. Di sekolah ini, hanya Kayla sahaja yang tidak memakai tudung.
“Kau tengok apa tu?”
“Ha?” Kantoi pula Dhiya menilik cekak rambut orang. Lekas dia berdeham menghilang rasa kekoknya.
“Ada apa awak panggil saya?”
Kayla membuat aksi geli-geleman. Pelik pula Dhiya dengan fiil Kayla. Terkena ulat bulu ke?
“Tak payahlah bersaya-awak. Geli aku dengar.”
Tercengang Dhiya. Ingatkan apalah tadi sampai menggeletis bagai.
“Aw... err... Kau nak apa?” Terpaksalah Dhiya mengikut cara panggilan Kayla.
“Kau nak duit?”
Hampir ternganga Dhiya. Biar betul budak ni. Tiba-tiba sahaja bertanya tentang soal duit.
“Orang gila aje yang tak nak duit,” jawab Dhiya dengan selamba.
“Maksudnya, aku ni gilalah ya?” balas Kayla dengan wajah yang selamba.
Berkerut dahi Dhiya. Budak ni tak suka duit ke?
“Kau ikut aku sekarang.”
Terpinga-pinga Dhiya apabila Kayla memberi arahan begitu. Dia sebenarnya masih bingung dengan pertanyaan rakan sekelasnya itu.
“Cepatlah jalan. Lembab!”
Menyirap pula darah Dhiya dengan si Kayla ni. Nafas dihela kasar. Dia segera mengikut Kayla sehingga mereka masuk ke dalam kelas yang kosong.
Kayla mengeluarkan buku kerja dan latihan dari beg galasnya. Buku-buku itu dicampak ke atas meja berhadapan dengan Dhiya. Terkejut Dhiya dibuatnya.
“Tu, kerja rumah hari ni. Sebab kau tak ada buku kerja dan latihan, kau buat bagi pihak aku.”
Bukan main cantik lagi arahan yang diberi. Hampir sahaja Dhiya mencarut. Pasti Kayla ada terdengar perbualannya dengan Cikgu Aziah tadi. Tahu pula dia tidak mempunyai buku latihan.
“Ini menipu namanya!” Tinggi suara Dhiya kali ini.
Kayla tergelak halus.
“Aku cuma nak tolong kau aje. Bukan aku tak tahu kau nak sangat buat kerja rumah tu, cuma tak mampu beli aje kan?”
Wajah Dhiya berubah riak. Dia berasa sungguh terhina dengan kata-kata Kayla. Lama buku-buku itu dipandang. Memang dia teringin sangat untuk membuat latihan di dalam buku itu tetapi bukan dengan cara menipu.
“Aku bagi tawaran baik. Kau siapkan kerja rumah aku, esok aku settlekan yuran dan semua buku-buku sekolah kau.”
“A... apa?” Hampir terbeliak biji mata Dhiya. Biar betul!
Kayla berdecit perlahan.
“Kau bukan pekak pun nak aku ulang banyak kali. Aku nak balik. Buku tu, jangan lupa siapkan.” Dia terus berlalu pergi meninggalkan Dhiya.
Terpinga-pinga Dhiya ditinggalkan begitu. Sedar dia sudah lambat pulang ke rumah, lekas Dhiya memasukkan buku-buku itu ke dalam beg. Perjalanan dari sekolah ke rumahnya memakan masa hampir 15 minit dengan hanya berjalan kaki.
Dhiya semakin melajukan langkahnya. Perutnya sudah terasa sangat lapar. Waktu rehat tadi pun dia hanya menelan air masak sahaja. Hendak membeli makanan dia tidak mahu membazir.
Pin!
“Allahuakbar!” Terkejut Dhiya. Dia langsung tidak sedar ada sebuah motosikal di belakangnya. Boleh pula dia berjalan sehingga ke tengah jalan. Ralit sangat teringatkan makanan, inilah padahnya.
“Apa lagi kau buat ni Dhiya,” omel Dhiya seorang diri. Makin gementar saat penunggang motosikal itu berhenti di belakangnya.
“Ingat ni jalan kau punya ke? Tak tengok kiri kanan!” marah budak lelaki itu yang masih berpakaian seragam sekolah.
Pelik pula Dhiya dengan fesyen lelaki di hadapannya ini. Baju terkeluar dan tangan penuh dengan gelang. Bau badan pula dah macam bau asap aje.
“Woi, tak pernah tengok lelaki kacak ke?” Lelaki itu memetik jari di hadapan muka Dhiya.
Terkulat-kulat Dhiya dibuatnya. Muka lelaki itu sudahlah ditutup dengan helmet bercermin. Celah mana kacaknya entah. Tiba-tiba perut Dhiya berbunyi dengan kuat. Laju dia menekup perutnya dengan membulatkan biji matanya.
Tidak jadi budak lelaki itu memecut motosikal. Lama mereka saling berpandangan. Tiba-tiba, berdekah budak lelaki itu ketawakan Dhiya.
Bengang betul Dhiya. Malu usah dikata. Boleh pula perutnya membuat konsert di hadapan lelaki ini. Laju kaki Dhiya meninggalkan tempat itu kerana terlalu malu.
“Hoi, budak pendek!” Tudung Dhiya ditarik sedikit dari belakang.
Pantang sungguh Dhiya kalau ada yang berani menyentuh tudungnya. Mencerlung matanya memandang lelaki itu. Sejak bila pula lelaki ini sudah berada di belakangnya.
“Ambil ni!”
Sebungkus makanan dicampak ke arah Dhiya. Mujur sahaja Dhiya cekap menyambut bungkusan itu.
“Rezeki kaulah budak.” Kepala Dhiya sempat digosok dengan kuat sebelum lelaki itu beredar dengan motosikal.
Terpinga-pinga Dhiya seketika. Bau nasi ayam menyengat ke lubang hidungnya. Dia meraba kepala yang disentuh oleh lelaki tadi.
“Kenapa bertuah sangat aku hari ini?”
Kepala yang tidak gatal digarunya perlahan. Pelik dengan manusia yang ditemuinya hari ini. Sebentar tadi Kayla, sekarang lelaki selekeh pula.
Tidak mahu terus berdiri kaku di tengah jalan, segera Dhiya pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment