DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 9

“PENATNYA.” Firas hempaskan tubuh ke katil. Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Majlis nikah dibuat pada sebelah pagi. Diikuti majlis walimatulurus. Bapa mentuanya berpangkat Tan Sri, jadi jemputan yang datang merangkumi berbagai lapisan masyarakat. Paling dia tidak jangka kehadiran wakil rakyat kawasan itu. Dia pejamkan mata.

“Kenapa awak tidur kat sini?”

Baru dia hendak melayan kantuk. Muncul pula nenek tiri Cinderella ini. Pantas dia bangkit dan berdiri di sisi katil. Turun naik bebola matanya melihat Aulia. Hendak tergelak melihat isterinya memakai baju tidur dengan gambar kuda unicorn. Aulia juga memeluk patung unicorn.

“Salah ke saya tidur kat sini?”

“Mr. Bibik, awak tidur kat sofa sana. Bukan kat katil saya.”

“Katil tu besar boleh muat dua orang. Yang awak kedekut tu kenapa? Orang kedekut masuk neraka, tahu tak?” Firas buat tidak tahu. Selamba sahaja dia kembali baring di katil. Jangan Aulia fikir dia akan mengalah dan tidur atas sofa.

“Saya tak nak tidur dengan awaklah. Saya tak nak awak sentuh saya. Saya geli tau.” Aulia panjat katil dan duduk bersila. Sudahlah terpaksa berkahwin. Sekarang terpaksa tidur sekatil pula. Rasanya dialah perempuan paling malang di dunia saat ini.

Daripada berbaring, Firas duduk bersila menghadap Aulia. Gadis yang baru ditemuinya itu sudah sah menjadi isterinya siang tadi. Kalau dah nama jodoh, jumpa sekali pun sudah cukup untuk berkahwin. Comel sahaja Aulia yang sedang cemberut.

“Awak fikir geli awak. Saya pun gelilah nak sentuh awak... Dahlah pemalas.”

“Saya tak malaslah. Saya sibuk kat pejabat. Mana ada masa nak kemas rumah.” Aulia bengang. Tuduhan pemalas memang melampau walaupun ada benarnya kata-kata Firas.

“Alasan.”

Eei dia ni. Betullah.” Aulia ketap bibir geram. Patung unicornnya dicampakkan ke arah Firas namun pantas lelaki itu menepis.

“Alasan basi.”

Eeei... Mana ada alasan. Betullah.” Aulia geram. Dia mendekati Firas. Selamba sahaja dia tampar bahu suaminya. Bukan sekali tapi berkali-kali.

“Jangan sentuh sayalah. Geli.” Firas mengelak daripada terus ditampar Aulia. Sambil itu dia ketawa. Berasa lucu dengan gelagat Aulia. Nama sahaja berumur 27 tahun, tetapi perangai serupa kanak-kanak. Manja.

“Saya benci awaklah. Saya tampar awak sebab awak jahat.” Aulia tidak dapat lagi menampar bahu Firas. Dicubitnya pula lengan lelaki itu.

“Hei, apa ni nenek tiri Cinderella! Ganas!” Firas tarik tangannya dan baring. “Dahlah, saya nak tidur. Kalau awak tak suka saya, awaklah tidur kat sofa.”

“Saya benci awak. Turunlah dari katil ni.” Aulia berusaha menolak tubuh Firas. Namun gagal. Akhirnya dia baring di sebelah lelaki itu. Kali ini dia menendang kaki Firas. Namun lelaki itu tetap buat tidak tahu.

“Turunlah. Pergi tidur sofa sana.” Aulia semakin panas. Tidak pernah dia jumpa orang sedegil Firas.

“Pergilah tidur kat sofa sana.” Aulia sambil berbaring menolak tubuh Firas dengan tangannya. Namun kudratnya tidak seberapa. Tubuh lelaki itu tidak bergerak seinci pun. Malah tetap tersenyum tenang dengan mata tertutup.

Kerana terlalu geram, dia berniat hendak menggigit. Perlahan didekatkan mulutnya ke telinga lelaki itu. Baru sahaja dibuka mulut hendak menggigit, mata Firas terbuka luas. Tidak sempat hendak gigit, malah tidak sempat untuk menarik tubuhnya juga.

Aulia buat muka selamba dan kembali berbaring di tempatnya. Dia berpura-pura tiada apa yang berlaku.

“Awak nak cabul saya. Auw...” Firas menarik selimut menutup badannya hingga ke leher.

“Saya tak teringinlah nak cabul awak.” Aulia mengiring menghadap Firas. Tangan diangkat untuk memukul bahu suaminya sekali lagi, tapi dibatalkan niatnya tatkala melihat mata Firas menjegil.

“Habis tu awak nak buat apa tadi tu?”

Aulia diam. Takkan dia hendak beritahu yang dia mahu gigit telinga Firas? Digigit bibirnya sendiri. Geram! Kenapa mesti Firas celik saat dia mahu menggigit tadi? Kalau tidak, mesti dia dah dapat gigit telinga lelaki itu. Memang dia akan bersorak gembira.

Firas bangkit lalu mendekatkan wajahnya ke muka Aulia dan berbisik perlahan.

“Awak nak saya bayar nafkah ke? Nafkah batin...”

Bulat mata Aulia.

No!!! Kejinya awak ni!” Diambil bantal dan menutup dadanya. Risau kalau Firas ambil kesempatan.

Firas menggosok telinganya. Tidak menjangka Aulia akan menjerit sekuat itu.

“Hoi pengantin. Jerit tu slow-slow sikit!” kedengaran suara dari luar bilik.

Firas ketawa terbahak-bahak. Muka Aulia sudah merah padam. Dia kenal itu suara Ken. Apa pula lelaki itu buat di hadapan biliknya? Aulia tepuk dahi. Ken tidur di ruang keluarga kerana semua bilik digunakan.

“Awak sengaja kan.” Aulia luruskan telunjuk ke arah Firas. Lelaki ini memang sengaja menguji kesabarannya.

“Memang saya sengaja. Besok pagi sila tadah telinga ya. Dah, saya nak tidur. Jangan kacau.” Firas tarik selimut hingga menutup kepalanya.

“Awak jahat.” Dengan hati membengkak Aulia pusingkan tubuh membelakangkan Firas.

Setelah beberapa minit Firas singkap selimutnya. Dia tidak boleh tidur. Katil yang berbeza dan bau bilik juga berbeza. Perlahan dia mengiring menghadap Aulia. Sekejap sahaja, sudah kedengaran dengkuran halus dari isterinya. Mungkin terlalu penat.

“Satu... dua...” Firas mengira gambar unicorn pada baju isterinya. Baru dia perasan kenapa dia tidak boleh tidur. Lampu tidak dimatikan rupanya. Memang Aulia tidur dengan lampu terang agaknya.

Dia bangkit dan menyandar ke kepala katil. Malam pertamanya langsung tidak menarik. Awal-awal lagi dia sudah mencipta sengketa dengan isterinya. Besok pagi pasti Ken akan mengusik Aulia. Dia bukan sengaja mahu menyebabkan Aulia menjerit. Isterinya berlebihan menunjukkan reaksi terkejut. Mustahil Aulia tidak tahu apa maknanya malam pertama.

“Macam mana aku nak tidur ni? Terang sangat.” Tapi sebenarnya memang dia tidak boleh tidur. Suasana berbeza menyebabkan matanya enggan lelap.

Kata emak, jodoh ni datang dengan pelbagai sebab. Mungkin jodoh yang muncul ialah jodoh hingga akhir hayat kita. Jadinya jodoh sebegitu akan kekal rukun aman damai dan diwarnai kasih sayang sehingga ajal tiba. Dan adakalanya jodoh itu ialah ujian. Ujian bagi lelaki untuk menjadi imam yang baik. Dan ujian kepada seorang wanita untuk menjadi isteri yang baik. Terjadi perceraian kerana jodoh itu cuma ujian. Emaknya kalau bercakap kalah Shamsul Debat. Ada sahaja alasan emak. Entah dari mana emaknya mendapat ilmu tentang jodoh ini.

Jodoh dia, tidak tahu kategori mana. Mampukah dia menjadi nakhoda yang baik kepada bahtera rumah tangganya? Mampukah dia menunaikan impian seorang bapa yang mahu anaknya menjadi isteri solehah? Dia teringat akan arwah bapanya yang sudah bertahun-tahun meninggal dunia. Rindu dengan bapanya.

“Serabut betul.” Dia turun daripada katil. Terlebih dahulu dihidupkan lampu meja sebelum bergerak ke arah pintu tempat di mana letaknya suis lampu. Selepas menutup lampu, dia kembali ke katil.

“Barulah boleh tidur.” Bantal ditepuk perlahan. Dan selimut ditarik menutup tubuhnya. Dia membaca doa tidur terlebih dahulu.

Tiba-tiba Aulia berpusing.

Arrk!!!” Firas terjerit. Mukanya berkerut menahan sakit. Kaki Aulia mendarat tepat dia bahagian sensitifnya.

“Aktifnya korang dua!” terdengar jeritan dari luar.

Firas menolak kaki Aulia. Dia mengerekot menahan kesakitan. Mangkuk ayun punya Ken! Dia kesakitan, boleh pula lelaki itu salah sangka. Nafas ditarik dan dilepas berkali-kali. Setelah agak lama, barulah kesakitan itu beransur hilang.

Dasar nenek tiri Cinderella betul! Bahaya tidur dengan Aulia ni. Baik dia tidur di sofa sahaja. Silap-silap boleh jadi mandul dia kerana Aulia. Baru sahaja dia hendak bangkit, tangan Aulia tiba-tiba mendarat di atas perutnya. Tubuhnya ditarik perlahan.

“Nenek tiri Cinderella, apa kau buat ni?” Firas bercakap kuat-kuat. Bukannya Aulia bangkit, tetapi sebaliknya perempuan itu tersenyum manis. Memang isterinya tidur mati.

“Kau mimpi apa nenek tiri Cinderella?” tanya Firas. Terpaku seketika melihat senyuman itu walaupun dalam keadaan samar-samar.

“Mimpi putera kacak,” Aulia menjawab. “Suka dapat peluk putera kacak.”

Firas tersengih. Dia putera kacak ke? Okey, tak jadi hendak tidur di sofa. Dirapatkan tubuhnya dengan tubuh Aulia. Tangan diletakkan di pinggang isterinya. Tidak dapat jadi ‘perasmi’ malam ini tidak mengapalah. Dapat tidur berpelukan dengan nenek tiri Cinderella pun kira satu pencapaian yang bagus. Firas tersenyum dengan mata yang terpejam.

No comments:

Post a Comment