DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 4

TERLALU pantas masa berlalu. Tidak sedar kini mereka sudah berada di tingkatan 3. Tak sangka dalam tempoh beberapa tahun itu, Dhiya dan Kayla telah menjadi kawan baik walaupun persahabatan mereka dimulai dengan wang ringgit.

Pagi ini, Dhiya sampai ke sekolah hampir jam 7.25 pagi. Dari jauh dia sudah ternampak kelibat Kayla sedang berbual dengan Aryan di lobi kelas.

Hmm... tak habis-habis minah ni dengan Abang Yan dia. Tahun depan, angaulah kau Kayla bila Abang Yan belajar dekat luar,” bebel Dhiya seorang diri. Sampai sekarang rakannya itu masih setia dengan cinta monyetnya.

Masuk sahaja dalam kelas, beg galas diletakkan di atas meja. Kemudian kepala diletakkan di atas meja. Rasa mengantuk masih bersisa kerana semalaman menjaga ibu.

Woi!” Kayla menampar belakang tubuh Dhiya.

“Hesy, sakitlah!” Menyeringai wajah Dhiya menahan rasa perit. Bengang. Tiba-tiba sahaja dia dipukul tanpa sebab.

Kayla tayang wajah tak bersalah.

“Kau buat apa semalam sampai mengantuk sangat ni?”

“Semalam aku jaga ibu. Sakit dada dia tu datang lagi.”

Sejak ibu disahkan menghidap sakit jantung, ibunya sudah tidak mampu bekerja di kedai makan lagi. Kini, Mak Cik Asmah membuat kuih-muih dan nasi lemak untuk dihantar ke gerai.

Kehidupan Dhiya semakin sukar sejak dia sudah berada di tingkatan 3. Bayaran yuran juga semakin meningkat. Dhiya ada juga mencari duit sendiri dengan menjual barang-barang kitar semula.

“Kalau kau perlu apa-apa, beritahu aku.”

Dhiya menggeleng perlahan. Sudah acap kali Kayla membantu keluarganya. Tempoh hari, kawan baiknya ini sudah mengeluarkan wang sejumlah RM1000 dari akaun simpanan sendiri demi membiayai kos rawatan ibunya.

“Tak apa. Aku tak nak susahkan kau lagi. Kau pun ada masalah sekarang. Takut daddy kau mengamuk lagi.”

Teringat Dhiya saat Kayla mengadu yang daddy Kayla sudah menyekat duit perbelanjaannya. Semua ini gara-gara Kayla dituduh boros kerana mengeluarkan wang simpanan dengan banyak. Mahu saja Dhiya berjumpa dengan orang tua Kayla dan menjelaskan semuanya, tetapi Kayla melarang keras.

“Tak payah risaulah pasal daddy aku tu. Duit dia tu tak bawa ke mana pun.” Dingin nada suara Kayla ketika ini.

Jika sesiapa yang tidak mengenali Kayla, pasti akan menganggap Kayla seorang yang sombong. Namun, kata-kata kasar Kayla hanya sekadar di bibir sahaja.

“Kau janganlah bergaduh lagi dengan daddy kau. Kau untung masih ada daddy lagi.”

Sudah 4 tahun arwah abah Dhiya meninggal dunia. Sehingga sekarang, perasaan rindunya semakin menebal terhadap insan yang bergelar abah itu.

“Kau lagi untung Dhiya, boleh tengok muka mak sendiri. Aku ni, tak sempat nak tengok muka mummy lepas aku lahir.”

Terhenyak Dhiya dengan kenyataan itu. Ibu kandung Kayla meninggal dunia selepas melahirkan Kayla. Terasa bersalah pula dia kerana terlepas cakap.

Sorry, Kayla. Aku tak sengaja...”

“Dahlah. Tak payah cerita pasal ni lagi.” Kayla terus menekup wajahnya di atas meja.

Faham yang rakannya tidak mahu diganggu, Dhiya lekas mengeluarkan buku latihan. Teringatkan perbualan tadi, baru dia teringat lagi beberapa hari sahaja hari jadi Kayla.

Satu senyuman penuh makna terukir di bibirnya. Petang ini, dia akan mencari hadiah buat kawan baiknya itu.

 

SELEPAS PULANG dari sekolah, Dhiya bergegas membersihkan diri dan menunaikan solat zuhur terlebih dahulu. Dia mahu membawa barang-barang yang dikumpulnya selama seminggu itu untuk dijual.

“Nak pergi mana ni Dhiya?” Mak Cik Asmah keluar dari bilik sebaik sahaja dia melihat anaknya ingin keluar semula.

“Nak pergi kedai Ah Seng. Nak jual barang-barang ni. Dapatlah duit belanja sikit.” Guni yang sudah penuh dengan tin kosong itu diletakkan di atas raga motosikal. Surat khabar lama diikat dan diletakkan di belakang tempat duduk.

“Ibu minta maaf. Sepatutnya, ibu yang cari duit.” Sayu hati Mak Cik Asmah melihat anaknya yang begitu rajin mencari wang. Sudah beberapa hari dia tidak dapat membuat kuih-muih dan nasi lemak kerana tidak sihat.

“Ibu, janganlah cakap macam tu. Dhiya pun suka bantu ibu. Makanan ibu, Dhiya dah belikan tadi. Nanti jangan lupa makan. Dhiya pergi dulu.” Tangan ibu dicium dengan penuh kasih.

Mak Cik Asmah memandang sayu anaknya yang sudah pergi dengan menaiki motosikal milik arwah suaminya dulu. Sebagai seorang ibu, dia tidak pernah berhenti berdoa semoga Dhiya diberi kehidupan yang lebih baik kelak.

Dhiya menunggang motosikal dengan berhati-hati. Dia perlu berjaga-jaga kerana dia masih belum mempunyai lesen motosikal. Sebaik sahaja sampai di kedai Ah Seng, dia membawa barang-barang kitar semula itu dan diserahkan kepada Uncle Ah Seng.

Makin lebar senyuman Dhiya kerana dia menerima bayaran sebanyak RM60 dari hasil dia mengumpul barang-barang kitar semula itu selama seminggu. Dia sudah bercadang ingin singgah ke pasar raya sebentar untuk mencari bahan dapur dan hadiah Kayla.

Sampai sahaja di sebuah pasar raya, Dhiya mencari barang-barang dapur terlebih dahulu. Dia teringin memasak nasi ayam buat ibunya. Beras, minyak masak, telur dan beberapa barang asas diletakkan ke dalam troli. Di bahagian basah pula, Dhiya hanya mengambil empat ketul ayam sahaja memandangkan hanya dia dan Mak Cik Asmah sahaja di rumah.

Setelah selesai mencari bahan-bahan dapur, dia pergi ke bahagian cenderamata. Dhiya tertarik dengan satu kotak hiasan yang ada di rak itu. Lekas dia mencapai kotak hadiah tersebut untuk melihat tanda harga di belakang kotak itu. Dhiya tersenyum lega kerana harganya sangat berpatutan.

Setelah memastikan semua barang-barang sudah ada, Dhiya beratur di kaunter untuk membuat pembayaran. Sebaik sahaja tiba giliran Dhiya, barang-barang itu diletakkan di atas kaunter.

“Semua sekali 65.30 sen.”

Tercengang Dhiya. Wang yang dia ada hanya dalam RM60 sahaja. Dia tidak salah mengira tadi sebelum membuat pembayaran di kaunter.

Err... kenapa lebih? Tadi saya kira tak sampai RM60.”

“Mana saya tahu. Awak yang ambil barang-barang ni kan,” kata juruwang itu dengan wajah yang sombong.

Malu Dhiya ketika ini. Beberapa orang yang ada di situ sudah memandang ke arahnya. Setelah Dhiya melihat di skrin komputer juruwang itu, barulah dia perasan harga kotak hadiah itu bukan harga yang dilihatnya tadi.

Serba salah Dhiya dibuatnya. Hendak bertanya, gerun pula dia melihat wajah juruwang yang kelihatan bengis ini.

“Cepatlah dik. Orang dah beratur panjang tu.”

Dhiya garu kepala yang tidak gatal. Semakin tebal kulit wajahnya kerana dia tidak mampu membayar barang yang diambil tadi.

“Boleh tak akak cancelkan kotak hadiah ni? Saya tak cukup duit.” Terpaksa Dhiya berterus-terang walaupun dia berasa sangat malu.

“Menyusahkan orang aje! Kalau tak mampu, buat cara tak mampu.”

Berdesing telinga Dhiya saat ini. Hanya kerana dia memakai baju dan tudung yang lusuh, dia dihina seperti ini. Rasa menyesal pula singgah ke pasar raya besar ini.

Pap!

Terkejut Dhiya dan juruwang itu apabila ada beberapa barang diletakkan di atas kaunter secara kasar.

“Kira semua ni. Masuk dalam bil yang sama dengan budak pendek ni.”

Laju kepala Dhiya mendongak memandang lelaki yang memakai topi itu. Sempat lagi dia menilik tubuh lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Sakit mata pula Dhiya melihat pakaian pelik mamat ni.

Sudahlah lelaki itu hanya bersinglet dan berseluar pendek paras lutut sahaja. Tak pasal-pasal tercemar juga mata suci Dhiya saat memandang bahagian tubuh yang terdedah itu.

“Semua?” tanya juruwang itu untuk kepastian.

“Kau pekak ke? Aku cakap kira semua!” tegas lelaki itu bersuara.

“Eh, kenapa...”

“Kau diam! Dah tahu budak ni hina kau, kenapa tak melawan?”

Terkebil-kebil mata Dhiya memandang lelaki itu. Wajah lelaki itu kurang jelas kerana dilindungi dengan topi. Terkulat-kulat juruwang itu disindir.

Setelah selesai membuat bayaran, lelaki itu terus beredar dari kaunter. Dhiya lekas mengejar lelaki itu setelah meletakkan barang-barangnya ke dalam troli.

“Tunggu!”

Terhenti langkah lelaki itu sambil memandang Dhiya. Wajah lelaki itu masih lagi kelihatan tegang. Dhiya mengeluarkan kesemua wang dan dihulurkan kepada lelaki itu.

“Ni duitnya. Bagi nombor telefon awak. Nanti saya bayar baki wang awak.”

Tiba-tiba lelaki itu tergelak sinis.

“Ni nak mengurat aku ke apa, sampai minta nombor telefon?”

Tercengang Dhiya. Perasan betul mamat tak cukup kain ni. Sakit mata pula dia saat melihat lelaki itu mengangkat tangannya untuk membetulkan topi. Geli dia melihat bulu-bulu yang ada di tubuh lelaki itu.

“Saya tak nak berhutanglah dengan awak. Boleh tak awak jangan nak perasan!” Dhiya membulatkan matanya ke arah lelaki itu.

Tiba-tiba ketawa lelaki itu terhenti. Lama matanya memandang wajah gadis di hadapannya. Pelik pula Dhiya dengan reaksi lelaki itu.

“Ayie, cepatlah! Kau mengurat minah mana pula tu?”

Ayie dan Dhiya berpaling ke arah suara yang menjerit itu. Ada beberapa orang lelaki sedang berkumpul di hadapan kedai pakaian.

Ayie? Dhiya seperti pernah mendengar nama itu.

“Kejap!” Ayie memberikan isyarat tangan supaya empunya suara yang memanggilnya tadi menunggu. Dipandang si gadis dengan senyuman yang nakal. Selangkah dia mendekati tubuh itu.

Terundur beberapa langkah Dhiya dibuatnya kerana terlalu terkejut dengan reaksi lelaki itu. Nyaris sahaja dia terjatuh kerana terlanggar troli.

“Awak... awak nak buat apa ni?” gugup Dhiya menyoal. Wajah lelaki itu sudah terlalu hampir dengan wajahnya.

“Kau tak nak berhutang dengan aku, kan?” soal Ayie.

Perlahan-lahan Dhiya mengangguk.

“Kalau kita berjumpa lagi, aku akan tuntut bayaran, tapi bukan dengan duit.”

“Hah!”

“Kalau kau tak nak bayar, jangan bagi aku jumpa kau lagi.” Ayie kenyitkan mata sambil menepuk perlahan pipi gebu gadis pendek itu. Kemudian, dia lekas meninggalkan si gadis yang masih dalam keadaan terpinga-pinga itu.

Kaku tubuh Dhiya seketika. Cara lelaki itu menampar pipinya tadi, hampir sama dengan lelaki yang ditemuinya beberapa tahun yang lalu.

Saat lelaki itu berpaling ke belakang dengan menanggalkan topi dari kepala sambil tersenyum senget, laju Dhiya menekup mulutnya. Menggigil tubuh Dhiya kerana tidak sangka dia dapat berjumpa dengan pencuri ini lagi.

“Dia!”

No comments:

Post a Comment