DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 10

SAKIT hati betul Dhiya dibuatnya. Dhiya fikirkan selepas berbuka puasa nanti lelaki itu akan beredar. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Tiba-tiba sahaja Ayie ingin menunaikan solat terawih di kawasan perumahannya.

Mak Cik Asmah yang sangat baik hati, lekas menyuruh Dhiya mencari kain pelekat dan baju Melayu milik arwah abah Dhiya yang masih elok.

Dengan hati yang tidak ikhlas, pakaian itu diserahkan kepada Ayie.

“Nah. Lepas ni, Ayie baliklah.”

Ayie menyambut pakaian itu sambil mengerling sekilas ke arah Dhiya. Melihat wajah Dhiya yang cemberut itu, dia tahu gadis itu tidak senang dengan kehadiran dia di sini.

“Kenapa kau nak halau aku? Suka hati akulah nak tidur sini atau nak balik.”

Tercengang Dhiya. Lekas dia berpaling ke belakang. Risau jika ibu mendengar kata-kata Ayie tadi.

“Tolonglah jangan mengarut. Saya dah masak tadi. Kira hutang kita dah selesai.” Dhiya mencerlung memandang Ayie.

Ayie tergelak lucu.

“Jangan pandang aku macam tu. Mata tu, kecilkan sikit.” Selamba sahaja Ayie berjalan melintasi Dhiya sambil melanggar bahu si gadis. Baru beberapa langkah, dia menoleh sedikit memandang Dhiya.

“Kau tak perlu risau. Lepas ni aku balik, tapi hutang kau masih tak selesai lagi.” Ayie kenyitkan mata dan segera masuk ke dalam bilik air.

Dhiya menghembus nafasnya dengan kasar. Tidak tahu apa motif lelaki ini masih berada di sini. Paling membuatkan dia marah, hutangnya masih belum selesai walaupun dia sudah menurut segala arahan lelaki itu.

Dhiya lekas pergi ke dapur untuk membersihkan peralatan di dapur. Malam ini, dia tidak mahu pergi ke masjid seperti tahun lepas kerana bimbang dengan kesihatan ibunya.

“Dhiya, tinggalkan pinggan-pinggan tu. Nanti ibu cuci. Dhiya pergi solat maghrib dulu.” Muncul Mak Cik Asmah yang baru usai menunaikan solat maghrib.

“Eh, tak apa ibu. Dah nak siap. Lagipun, Dhiya tak pergi masjid hari ni. Terawih dekat rumah aje. Kita terawih sama-sama ya.”

Mak Cik Asmah duduk di kerusi sambil merenung belakang tubuh anaknya. Satu-satunya harta yang dia ada selepas pemergian suami tercinta.

“Ibu dah baik sikit ni. Jangan risau. Pergilah ke masjid. Bulan baik ni, kan lebih baik beribadat dekat masjid.” Terkilan juga rasa di hati Mak Cik Asmah kerana tidak dapat ke masjid. Tubuhnya terlalu lemah dan tidak boleh berjalan terlalu jauh.

Dhiya membasuh tangan selepas siap mencuci pinggan. Tangan yang masih basah dilap pada kain yang bersih. Wajah ibunya dipandang dengan penuh kasih.

“Hati Dhiya tak tenang nak tinggalkan ibu. Di mana-mana pun boleh beribadat asalkan niat kita baik, ibu. Bila Dhiya pergi sekolah pun, hati Dhiya tak tenang. Cukuplah sekali Dhiya tengok ibu pengsan dulu.” Teringat lagi dia kejadian ketika dia pulang dari sekolah beberapa bulan yang lepas. Dia terkejut melihat ibunya sudah jatuh pengsan di ruang tamu.

Dengan bantuan jiran, ibunya dibawa ke hospital. Mujurlah ketika itu Kayla sudi menghulurkan wang untuk rawatan ibu.

Hanya ketika Dhiya ingin mencari rezeki sahaja, dia terpaksa keluar sebentar meninggalkan Mak Cik Asmah. Jika dia tidak keluar, dia tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan di sekolah. Bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya mampu menampung bayaran duit sewa rumah ini sahaja.

“Ibu minta maaf sebab dah banyak susahkan Dhiya.” Terbatuk-batuk Mak Cik Asmah menahan rasa sebak di dada.

Lekas Dhiya duduk melutut di hadapan ibu. Belakang tubuh ibu digosok perlahan.

“Ibu tak pernah susahkan Dhiya. Dhiya memang buat semua ni untuk ibu. Kalau diberi pilihan, Dhiya rela berhenti belajar dan bekerja. Tapi Dhiya tahu, harapan ibu nak Dhiya belajar dan jadi orang berguna. Ibu jangan risau, demi ibu... Dhiya akan tunaikan impian ibu.”

Wajah Dhiya dielus lembut. Satu ciuman diberikan di dahi anak tunggalnya. Setiap hari Mak Cik Asmah berdoa semoga dipanjangkan umur agar dapat menjaga Dhiya. Dia risau jika Dhiya tinggal keseorangan nanti.

“Pergilah solat. Ibu rasa, kawan Dhiya tu mesti dah nak ke masjid.”

Dhiya baru teringat tentang Ayie. Lekas dia berdiri dan pergi ke hadapan. Dia juga mahu segera menunaikan solat maghrib.

Melihat pintu bilik air yang sudah terbuka luas, makin membuatkan Dhiya berasa hairan. Dia cuba mencari kelibat lelaki itu di dalam bilik tetapi hanya sekeping kertas yang ditinggalkan di atas katil. Lekas kertas itu diambil dan dibaca.

Aku balik dulu. Terima kasih untuk berbuka puasa tadi. Nanti aku datang untuk tuntut hutang lagi.

Mahu sahaja kertas itu direnyuk kasar. Dhiya makin pelik dengan kemunculan lelaki itu. Tidak dinafikan dia berasa bersyukur kerana bertemu dengan Ayie hari ini. Sekurang-kurangnya, dia dan ibu dapat menikmati juadah berbuka puasa yang lebih sedap.

Tanpa sedar, satu senyuman terukir di bibir Dhiya.

 

SUDAH 2 minggu mereka berpuasa. Ayie masih lagi berkeras untuk tidak mengikut ibu bapanya ke London. Baru-baru ini, dia diberitahu yang kedua ibu bapanya tidak jadi pulang beraya di sini.

Makin menyirap darah Ayie apabila disuruh datang ke London dengan sendiri. Malah tiket penerbangan sudah diuruskan oleh bapanya. Ayie sudah nekad, dia takkan sesekali mengikut kemahuan si bapa. Dia sudah berumur 18 tahun dan berhak membuat keputusan sendiri.

“Ni nak ke mana?” tegur Mak Su Sheila sebaik sahaja ternampak kelibat anak saudaranya ingin keluar.

“Nak lepak dengan kawan.” Topi dipakaikan di kepala dan jaket kulit dibawa bersama. Saat Ayie mahu membuka pintu rumah, lengannya dipegang kemas oleh mak su.

“Jangan buat perkara yang bukan-bukan, Ayie. Mak su tak suka. Sekarang dah pukul 11 malam. Kalau tok ma tahu, risau dia.” Mak Su Sheila masih lagi cuba memujuk.

“Ayie keluar sekejap aje. Ayie bosan terperap dekat rumah ni.” Pintu rumah dibuka. Lekas dia memakai kasut tanpa menghiraukan larangan mak cik saudaranya. Topi dicampak ke dalam raga motor. Segera dia menyarung helmet di kepala.

“Ayie.” Mak Su Sheila lekas mendekati Ayie.

“Ayie pergi dulu.” Motosikal dipecut laju. Ayie mahu beredar dari rumah itu untuk seketika. Fikirannya kusut dengan masalah keluarga. Terasa dirinya seperti bola yang sesuka hati dicampak ke sana dan ke sini.

Ayie menunggang motosikal di kawasan yang berhampiran dengan rumahnya. Tanpa sedar, dia melalui kawasan rumah Dhiya. Motosikalnya diberhentikan di hadapan rumah Dhiya.

Melihat keadaan rumah itu yang sudah bergelap, Ayie yakin penghuninya sudah tidur. Ada rasa menyesal di hati kerana meninggalkan rumah ini tanpa berjumpa dengan Dhiya terlebih dahulu.

Tempoh hari, dia tidak sanggup berlama di rumah ini setelah terdengar perbualan Dhiya bersama Mak Cik Asmah. Hatinya semakin tersentuh dengan kebaikan Dhiya yang sanggup berkorban demi ibu.

“Ayie ke tu?”

Hampir terlompat Ayie dibuatnya kerana terlalu terkejut. Wajah Dhiya yang manis bertudung bawal itu dipandang dengan renungan tajam. Tiba-tiba sahaja boleh muncul di sini.

“Kau buat apa dekat sini?”

“Ni kan rumah saya. Mestilah saya ada dekat sini.” Dhiya membuka pagar rumah yang tidak berkunci itu.

“Aku tahulah. Maksud aku, dah lewat malam macam ni, kau buat apa lagi dekat luar?” Bengang Ayie dengan jawapan gadis itu.

“Oh... saya dari kedai hujung simpang tu. Beli Panadol. Ibu tak sihat.”

Mendengar berita itu, lekas Ayie turun dari motosikal. Risau juga jika keadaan Mak Cik Asmah semakin teruk.

“Sakit apa?” Laju dia menyoal.

“Demam lagi. Hari tu dah baik. Mungkin sebab ibu banyak sangat buat kerja semalam. Nak pergi klinik, dah lewat. Sebab tu saya pergi beli Panadol.”

Ayie merengus kasar.

“Bahaya malam-malam macam ni kau keluar. Tak takut ke kalau ada orang jahat dekat luar?”

Terkebil-kebil mata Dhiya memandang Ayie.

Err... saya dah biasa.”

Ayie lekas ingin masuk ke dalam rumah. Lebih baik dia membawa ibu Dhiya ke klinik sekarang.

“Eh, tunggu... mana boleh masuk. Kalau ibu saya nampak, pelik pula dia.” Lekas Dhiya menghalang Ayie dari masuk ke dalam rumah. Sudahlah hari lewat malam. Satu kerja pula dia untuk memberikan alasan kepada ibu nanti.

Ayie terdiam seketika. Dia baru tersedar tentang perkara itu. Logik juga alasan Dhiya.

“Pagi esok kau tak sekolah, kan?” soal Ayie.

Dhiya mengangguk perlahan. Memandangkan esok hari Sabtu, memang dia tidak bersekolah.

“Bagi aku telefon kau?”

Berkerut dahi Dhiya. Perlahan-lahan telefon bimbit miliknya diserahkan kepada Ayie.

Hampir ternganga Ayie melihat telefon Dhiya. Sah, hanya boleh digunakan untuk mengirim mesej dan membuat panggilan sahaja.

Ayie mengambil telefon miliknya dan diserahkan kepada Dhiya.

“Ambil ni, simpan. Esok aku call. Jangan tak jawab pula.”

Dhiya masih enggan mengambil telefon itu. Dia tidak tahu apa tujuan Ayie terlalu baik dengannya. Risau juga kalau dia terlalu terhutang budi.

“Tak nak. Saya ada telefon sendiri.” Kedua-dua tangan Dhiya disembunyikan di belakang.

Ayie lekas menarik tangan Dhiya dan meletakkan telefon itu di tangan si gadis.

“Kau jangan nak perasan. Aku bukan bagi. Telefon ni, aku bagi pinjam. Esok aku call, jawab. Kita pergi klinik.”

Tidak mahu bersoal jawab lagi, lekas Ayie menaiki motosikalnya kembali. Dia mahu pulang ke rumah dengan segera.

“Kenapa Ayie baik dengan saya? Kalau pasal hutang tu, saya akan bayar. Tapi tolong, saya tak nak tambahkan hutang tu lagi.”

Tidak jadi Ayie menghidupkan enjin motosikalnya. Wajah Dhiya yang mendung itu ditatap lama.

“Betul kau tak nak berhutang dengan aku lagi?”

Tersentak Dhiya dengan soalan itu. Perlahan-lahan dianggukkan kepala.

“Baik. Aku nak kau jelaskan hutang aku sekarang. Tapi aku tak nak duit.”

Hampir bertaut kening Dhiya. Dia cuba menghadam maksud kata-kata Ayie. Takut pula dia jika Ayie meminta perkara yang bukan-bukan.

“Kalau bukan duit, Ayie nak apa?”

“Jadi adik angkat aku.”

Keras kejung tubuh Dhiya dengan permintaan lelaki itu. Sah, lelaki ni sudah hilang akal! 

 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN MEI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***
019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment