DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 6

USAI solat maghrib Firas keluar dari biliknya. Dia terus ayun langkah keluar dari rumah dan duduk di beranda. Fikirannya saat ini kusut. Tiba-tiba kena tangkap basah dan tiba-tiba kena kahwin paksa. Selalunya dia lihat dalam drama sahaja babak kahwin paksa. Tetapi sekarang dia sendiri menjadi watak dalam drama kahwin paksa.

Ting! Firas mengeluarkan telefonnya dari kocek. Pesanan WhatsApp daripada Ken. Besok dia akan mengisi borang perkahwinan secara online. Dia perlu juga melakukan ujian HIV. Tetapi paling penting sekarang, bagaimana dia hendak beritahu emaknya?

“Mak tunggu kamu kat meja makan, tapi tak muncul. Mak cari kat bilik, tak ada. Dah kenapa jadi pungguk rindukan bulan kat sini?” Puan Salbiah melabuhkan punggung di kerusi rotan sebelah anaknya.

Firas tidak menjawab. Apa yang harus dia jawab?

“Rindukan Arisya yang dah bahagia dalam pelukan lelaki lain?”

Firas senyum hambar. Nama Arisya sudah lama dia buang dari kamus hidupnya. Bukan dia membenci tetapi untuk apa dia kenang masa lalu yang menyakitkan? Bukan jodohnya dengan Arisya.

“Kalau bukan rindukan dia, ada apa?”

“Mak, orang kena kahwin paksa.” Firas beranikan diri bersuara.

“Kahwinlah.”

Firas terkejut dengan penerimaan emaknya. Boleh pula setenang air di kali. Selamba suruh dia kahwin.

“Orang kena tangkap basah masa kerja kat rumah anak Tan Sri ni.” Firas akhirnya berterus terang. Sebelum rahsianya terbongkar lebih baik dia beritahu emaknya.

“Balik tadi elok aje kering baju. Mana basahnya?”

“Mak... orang jadi mangsa, tahu tak? Anak Tan Sri tu baru 5 minit sampai, tiba-tiba aje Tan Sri tu muncul dengan tunang pompuan tu. Lepas tu orang kena paksa kahwin.” Firas tidak puas hati dengan penerimaan emaknya. Kenapa tiada reaksi terkejut atau marah? Emaknya siap buat lawak lagi.

“Anak Tan Sri tu lawa tak?” tanya Puan Salbiah.

“Lawa tapi pemalas,” jawab Firas spontan. “Mak ni kenapa tanya dia lawa ke tak? Sepatutnya mak tanya, anak mak ni okey ke tak?”

“Habis tu kamu nak mak buat apa? Nak serang Tan Sri tu sebab paksa kamu kahwin? Kena paksa kahwin aje pun, bukan kena paksa terjun bara api.”

Firas tepuk dahi. Sangkanya emaknya akan simpati dan membantu dia mencari jalan untuk mengelakkan perkahwinan paksa ini. Tapi emaknya bagi lampu hijau pula.

“Mak... Firas tak salah dalam hal ni. 5 minit aje...”

“Firas... 5 minit atau 5 saat, kamu tetap salah sebab berdua-duaan dengan perempuan yang tak ada ikatan dengan kamu. Orang tak tahu kamu duduk dalam tu 5 minit atau 5 saat. Apa yang orang tahu, kamu berdua-duaan dengan dia. Dan Tan Sri tu ada hak untuk minta kamu bertanggungjawab. Lagipun tu anak dia. Kalau emak kat tempat Tan Sri tu pun, mak akan buat benda yang sama.”

Terkunci mulut Firas. Kata-kata emak ada benarnya. Dia sendiri yang mengundang curiga. Sudahnya dia hanya tunduk sahaja.

“Tadi Tan Sri tu telefon. Dia dah ceritakan semuanya. Mak dah setuju. Majlis nikah sanding semua Tan Sri tanggung. Hantaran zero. Kamu sediakan mas kahwin aje.”

Firas ternganga. Patutlah emaknya selamba sahaja. Sudah tahu rupanya.

“Apalah yang Tan Sri tu pandang dekat kamu. Dahlah tak handsome. Poket kosong. Tak faham mak ni. Apa kamu nak bagi anak dia makan?”

“Mak, orang kena tangkap basah. Kena paksa kahwin.” Sekali lagi Firas tekankan.

“Eloklah tu. Jodoh dah sampai. Kalau tak kena tangkap basah, memang tak kahwinlah kamu tu sampai ke tua. Jadi pungguk rindukan bulan aje. Silap hari bulan, Arisya tu dah anak 5 pun kamu tak kahwin-kahwin lagi.” Puan Salbiah angkat punggung. Lama-lama di situ, perutnya bukan bertambah kenyang pun.

“Mak!!!”

“Dah, jangan nak menjerit kat situ. Jom, makan.”

 

“LIA TAK nak turun makan ke?”

Aulia tidak menjawab. Dia tidak pandang pun ibunya yang berdiri di jenang pintu. Mukanya disembamkan ke lutut sambil menangis. Entah berapa lama dia menangis dia pun tak pasti. Sejak balik dari kondo dia terus berkurung di dalam bilik. Pembantu rumah mamanya sudah berkali-kali menjenguk bilik, mengajak dia turun makan tapi dia buat tidak tahu. Sengaja tunjuk protes dengan keputusan ayahnya. Kali ini mama pula yang muncul.

Puan Sri Ameena mengeluh perlahan. Kaki melangkah masuk lalu duduk di birai katil. Perlahan tangan mengusap ubun-ubun kepala Aulia. Memang biasa anak tunggalnya itu mogok lapar kalau sedang marah. Bergaduh dengan suaminya tapi tukang pujuknya sudah tentulah dia.

“Bukan ke ini yang Lia nak? Lepas daripada Mukhriz?”

Tangisan Aulia bertambah kuat. Memang dia mahu lepas daripada Mukhriz. Tapi bukan dengan cara ini. Ditangkap basah oleh ayah sendiri dan dipaksa berkahwin dengan lelaki yang baru dia kenal. Entah siapa Firas dan apa asal usul lelaki itu dia tidak tahu. Kenapa ayahnya begitu mudah membuat keputusan hendak kahwinkan dia dengan lelaki itu? Perkahwinan bukan perjanjian perniagaan yang boleh dibatalkan suka hati. Ikatan perkahwinan kalau boleh dia mahu kekal sampai ke Jannah.

“Lia dah lepas daripada Mukhriz, kan?” Puan Sri Ameena mengulang kata-katanya tapi dengan ayat yang lebih kurang.

Aulia angkat kepala.

“Dia cuma orang gaji, ma. Mana Lia nak letak muka depan kawan-kawan Lia? Mama tak kisah ke orang cakap menantu Puan Sri Ameena orang gaji aje?”

“Tak.” Itu sahaja jawapan Puan Sri Ameena.

Aulia pandang mamanya dengan dahi berkerut. Tidak mungkin mamanya dapat menerima Firas semudah itu. Apa jampi yang lelaki itu pakai sehingga daddy dan mamanya pasrah dengan begitu mudah? Firas bakal menjadi menantu mereka bukan pekerja.

“Mama lebih malu kalau orang cakap menantu mama sombong, bongkak, hidung melangit, tak pandai hormat orang.”

Aulia faham siapa yang mamanya maksudkan. Mereka sekeluarga tidak pernah sukakan Mukhriz dan keluarganya. Walaupun sama-sama bergelar Tan Sri, ayah Mukhriz sering berlagak tentang harta keluarga mereka yang kononnya lebih banyak.

“Mama... mulut dia kalah mak cik bawang. Suka kutuk Lia. Mama dengar kan apa dia cakap tadi. Macam-macam dia kutuk. Urrgh!” Aulia ketap bibir geram.

“Tapi apa yang dia sebut betul kan.”

Hilang terus rasa geram Aulia. Pantas mata dilarikan memandang dinding. Bagaikan satu pukulan hebat yang menyebabkan mulutnya terkunci. Dia tidak mampu mematahkan kata-kata mamanya. Semua yang Firas sebut memang betul. Dia memang tak pandai hal kerja dapur. Rasanya boleh dikira dengan jari berapa kali dia mencuci pinggan makannya sendiri.

“Lepas ni dah jadi isteri, cuba belajar buat kerja. Jangan bagi peluang Firas kutuk Lia.”

Aulia mencebik. Dia tidak pasti Firas akan berhenti mengutuk walaupun dia sudah pandai nanti. Sejak awal pertemuan dia merasakan Firas bukan lelaki yang boleh dia buat kawan. Apatah lagi menjadi suami.

“Dah. Jangan nak buat muka macam tu. Dia bakal suami Lia jugak.”

Aulia mengeluh. Belum apa-apa mama dah sebelahkan Firas. Dah jadi suami nanti mesti Firas boleh geng dengan mama. Sama-sama kaki memasak. Memang kontra dengan dia. Harap-harap daddy tidak sebelahkan Firas. Dia sama seperti daddynya, workaholic.

“Dahlah... jom turun makan.”

Aulia menggeleng.

“Lia tak nak jumpa daddy... daddy jahat.”

“Janganlah macam tu. Daddy belum makan lagi dari tadi sebab risaukan Lia. Kesian daddy.”

Lambat-lambat Aulia turun dari katil. Daddy sengaja buat dia rasa bersalah kerana merajuk. Memang dia tidak boleh merajuk lama-lama dengan daddy. Sebaik dia turun dari katil, telefonnya menjerit. Pesanan WhatsApp. Cepat-cepat diambil telefon dan membuka kekunci. Sepantas kilat juga dia mencampakkan telefonnya ke katil.

“Siapa?” tanya Puan Sri Ameena.

“Bakal menantu tak jadi mama. Dia ajak Lia kahwin lari. Gila ke dia ni?”

“Apa agaknya dia mengadu kat Tan Sri nanti.”

 

“MUKHRIZ TAK kira. Cuma Aulia yang akan jadi menantu keluarga ni. Titik!”

Puan Sri Maryam melepaskan keluhan. Mukhriz dengan kepala degilnya lagi. Satu perkara gila yang anaknya minta membuat dia mengucap panjang. Meminta suaminya melarikan Aulia agar mereka menikah di luar negara.

“Papa tak nak menantu macam tu. Sesuka hati bawa masuk lelaki dalam rumah. Kalau kawan-kawan papa tahu macam mana? Takkan kamu nak ambil bekas orang!” Tan Sri Mahfuz sudah hilang sabar. Suaranya yang tadi lembut ditinggikan. Mukhriz benar-benar mencabar dirinya.

“Papa... please. Mukhriz sayangkan Aulia. Mukhriz cuma nak dia.” Mukhriz melutut di hadapan Tan Sri Mahfuz. Dia tidak sanggup kehilangan gadis itu. Dia sanggup menerima Aulia seadanya.

“Mukhriz... kali ni papa tak boleh nak tolong. Papa kena jaga air muka papa dan keluarga kita. Aulia kena tangkap basah dekat kondo dia sendiri. Ini bukan kes dia curang keluar dengan lelaki lain. Kalau itu papa boleh maafkan lagi. Ramai lagi perempuan lain yang lebih bagus daripada dia.”

“Papa tak faham...”

“Kalau Mukhriz ingkar, semua kemudahan yang papa bagi, papa akan tarik balik. Mukhriz boleh keluar dari rumah ni sehelai sepinggang. Kahwin dengan dia dan jangan jejakkan kaki balik ke rumah ni. Faham tu!” Usai berkata-kata Tan Sri Mahfuz segera angkat kaki. Dia tahu Mukhriz akan terus merayu. Tapi ini berkaitan maruah dan air muka. Kalau tersebar tunang Mukhriz kena tangkap basah, dia dan keluarganya akan malu.

Mukhriz longlai. Hidup sehelai sepinggang. Dia tidak tahu berapa lama akan bertahan hidup tanpa harta. Dari kecil dia hidup mewah.

Puan Sri Maryam bangun daripada duduknya dan mendekati Mukhriz yang sedang melutut. Tidak sangka sebegini besar pengaruh Aulia sedangkan gadis itu bukannya sukakan Mukhriz. Ditarik tangan Mukhriz untuk duduk di sofa manakala dia sendiri duduk di sebelah anaknya. Perlahan diusap kepala Mukhriz.

“Riz ikut cakap papa ya. Lama-lama nanti Riz akan lupakan Aulia. Nanti mama kenalkan dengan anak kawan-kawan mama.”

“Tapi ma...” Mukhriz masih tidak puas hati.

“Mukhriz pilih. Hidup sehelai sepinggang dengan Aulia atau...”

“Okey ma. Riz cuba lupakan dia.” Akhirnya Mukhriz akur. Dia terpaksa melupakan Aulia demi kelangsungan hidup.

No comments:

Post a Comment