DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 5

TERCENGANG Dhiya setelah mendengar cerita Kayla. Langsung dia tidak menyangka Kayla difitnah oleh Jazli iaitu abang Murni, rakan sekelas mereka. Kasihan juga Dhiya melihat Kayla. Patutlah sejak pagi tadi sahabatnya itu asyik muram sahaja.

“Kau dengan Abang Yan tengah bergaduhlah sekarang?” Teringat pula Dhiya dengan lelaki yang diminati sahabatnya sejak dulu lagi. Sekarang, Aryan sedang menunggu tawaran belajar selepas mendapat keputusan SPM.

“Tak payahlah sebut nama dia. Buat sakit hati aku aje. Bengang betul. Boleh dia percayakan cakap orang lain daripada aku sendiri.”

Dhiya hanya mendengar sahaja. Tidak berani memberikan cadangan atau nasihat. Salah cakap, mahu dia disembur nanti. Sikap Kayla, kadangkala sukar dijangka.

Pap!               

Terhinggut bahu Dhiya apabila mejanya ditampar kuat. Mujurlah ketika ini hanya mereka berdua sahaja yang masih belum pulang.

“Kau ni dah kenapa? Dah kena sampuk ke?” Geram Dhiya dengan sikap Kayla ini.

“Aku nak ajar budak tu. Dhiya, esok aku ada tugas penting untuk kau.”

“Tugas apa pula ni? Kau jangan nak buat benda yang pelik-pelik...” Tercengang Dhiya. Habislah dia kali ini.

Risau juga Dhiya. Tahun ini, mereka berada di tingkatan 4. Tak sanggup Dhiya jika dia terpaksa digantung sekolah dengan melakukan kesalahan. Cukuplah dia pernah bersubahat dengan Kayla menyembunyikan rahsia tentang kemalangan yang menimpa diri penolong ketua pengawas sekolah mereka tahun lepas.

Gara-gara cemburu buta Kayla, dia sanggup menolak pelajar perempuan itu jatuh dari tangga. Seram juga Dhiya dengan Kayla. Hanya kerana cinta, kawan baiknya itu sanggup melakukan apa sahaja demi Aryan.

“Kau jangan risaulah. Aku nak ajar budak yang berlagak diri sesuci murni tu. Tak padan dengan nama Murni!”

Hampir terlepas ketawa Dhiya. Boleh pula Kayla mengejek nama Murni.

“Kali ni, kau nak bagi apa pula? Cicak lagi?” Dhiya sudah masak dengan perangai Kayla. Jika ada sesiapa yang cuba mendekati Aryan, pasti gadis itu akan menerima nasib yang malang.

“Kali ni, biar tangan aku ni yang ajar dia.”

Tertelan air liur Dhiya ketika ini. Kata-kata Kayla kedengaran begitu serius. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga membantu temannya itu.

“Kau suka sangat ke dengan Abang Yan tu?” Pertama kali Dhiya memberanikan diri untuk bertanya soalan itu.

Kayla di sebelah mengerling sekilas ke arah Dhiya. Tiba-tiba satu senyuman lebar terukir di bibirnya.

“Bukan setakat suka, tapi aku betul-betul dah jatuh cinta.”

Meremang bulu roma Dhiya mendengar pengakuan Kayla. Jatuh cinta?

“Hesy, kau ni! Tak rasa awal sangat ke? Kita ni kan muda lagi.”

Kayla menjeling tajam. “Kau apa tahu? Kalau kau dah jatuh cinta nanti, jangan nak tunjuk perangai angau kau tu dekat aku. Entah-entah, kau dulu yang kahwin sebelum aku.”

Bulat mata Dhiya memandang Kayla. Kahwin? Memang taklah!

“Tak nak aku. Lebih baik aku tolong ibu aku dulu.” Laju Dhiya membantah.

Di usia yang masih remaja ini, Dhiya tidak pernah memikirkan soal cinta. Disebabkan itu dia lebih senang berkawan dengan pelajar perempuan sahaja. Lagipun, dia bukannya cantik seperti Kayla.

Sedar kekurangan diri yang ada, Dhiya tidak mahu mengambil risiko. Dia bukan orang senang dan masih lagi mencari sesuap nasi untuk dia dan ibu. Jika benar dia berjodoh satu hari nanti, Dhiya berdoa semoga lelaki itu boleh menerima dia seadanya.

 

SUDAH BEBERAPA hari kejadian Kayla memberi ugutan terhadap Murni. Memang patut pun Murni diberi amaran kerana sengaja memfitnah Kayla. Lega hati Dhiya kerana Kayla tidak berkasar dengan Murni. Risau juga kalau sahabatnya itu ingin mencederakan Murni.

Hari ini, Dhiya balik ke rumah dengan ditemani Kayla. Sudah acap kali juga Kayla datang ke rumahnya sejak mereka berkawan baik. Malah, hubungan ibu dan Kayla sangat baik.

“Tambah lagi, Kayla. Ini aje yang sempat ibu masak tadi.”

Lauk sambal telur dan sayur sawi goreng dihidangkan kepada mereka berdua. Berselera Kayla menikmati hidangan itu. Dhiya turut gembira melihat wajah ceria si ibu. Jarang ibunya tersenyum begini.

“Sedaplah ibu. Tengok ni, Kayla dah tambah dua kali,” kata Kayla sambil tersenyum manis.

Ketawa mereka saling bergabung. Suka benar Dhiya melihat Kayla melayan ibunya dengan baik. Dia bersimpati dengan Kayla yang kehilangan emak kandungnya semasa dia dilahirkan lagi. Sejak mereka berkawan baik, Kayla sudah menganggap ibu Dhiya seperti ibunya sendiri.

“Kayla datang sini ni, ayah Kayla tahu tak?” soal Mak Cik Asmah.

Senyuman Kayla berubah kelat.

Daddy tahu, ibu...” Perlahan saja suara Kayla. Hanya Dhiya sahaja yang tahu tentang perkara sebenar. Beberapa hari yang lalu, hubungan Kayla dan daddynya tidak begitu baik.

Setelah selesai makan, Dhiya membantu ibu mengemas rumah. Sementara Kayla duduk di luar rumah untuk mengambil angin. Sengaja Dhiya membiarkan sahabatnya bersendirian kerana dia tahu Kayla ketika ini masih bersedih dengan Aryan.

“Ibu, makan ubat ni.” Beberapa biji ubat diserahkan kepada ibu.

Mak Cik Asmah hanya menurut sahaja.

“Petang ni, Dhiya keluar cari barang lagi?” soalnya selepas meneguk air.

Setiap petang, Dhiya akan mencari barang-barang kitar semula di bangunan kedai-kedai. Puas ditegah tetapi anak gadisnya masih berdegil. Alasan Dhiya, katanya mahu membantu mencari duit belanja.

“Tak pergi, ibu. Kayla kan ada...” Hari ini dia tidak akan pergi mencari barang kitar semula. Lagipun, segan juga dia jika Kayla ingin mengikutnya ke sana.

“Kayla ada masalah ke?”

Err... tak adalah ibu. Kayla tu bosan. Tu yang dia datang rumah kita.” Dhiya terpaksa berbohong.

Rahsia Kayla tidak akan sesekali diceritakan kepada ibu. Malu dia soal cinta menjadi isu Kayla bersedih. Sudahlah umur mereka baru 16 tahun.

“Pergilah teman dia. Dah lewat ni. Takut keluarga dia mencari pula,” nasihat Mak Cik Asmah.

Dhiya melihat jam di dinding. Sudah hampir pukul 6 petang. Lekas dia keluar mencari Kayla. Hampir dia terlupa bas untuk pulang ke rumah Kayla akan lalu di kawasan rumahnya sebelum jam 6.15 petang.

“Kayla.”

Hmm.”

“Kau tak nak balik lagi ke? Dah lewat ni. Nanti bas terlepas.” Dhiya duduk di sebelah Kayla.

“Malaslah. Aku nak tidur sini.”

Hampir ternganga Dhiya. Budak ni sah sengaja cari pasal.

“Kau jangan nak merepeklah. Dahlah datang rumah aku tak beritahu daddy kau. Ni nak tidur pula. Jangan macam tu. Jom aku hantarkan kau balik dengan motor.”

Kayla memeluk tubuh sambil merengus kasar.

Dhiya masih lagi memujuk Kayla. Dia tidak mahu Kayla membuat sesuatu tanpa memikirkan perasaan ahli keluarganya yang lain.

“Yalah. Lagi setengah jam kita balik. Kau ni memang betul degil, kan. Aku dah cakap tak payah cari barang-barang busuk tu.” Jari telunjuk Kayla dihalakan ke arah tin-tin kosong dan besi buruk.

Dhiya julingkan mata. Tak sah kalau dalam sehari Kayla tak berperangai diva.

“Hobi aku...” Lebih baik Dhiya berikan jawapan seperti itu. Malas hendak bertikam lidah. Walaupun Kayla masih memberikan dia wang, Dhiya tetap akan berusaha untuk mencari duitnya sendiri.

No comments:

Post a Comment