DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 3

DHIYA masih termenung di tempat duduknya sebaik sahaja tiba di sekolah. Sebentar lagi guru kelas mereka akan masuk. Dia mengeluh lemah saat memikirkan keadaan kesihatan ibunya di rumah.

Jika diikutkan hati, dia tidak mahu ke sekolah hari ini. Pagi ini, ibu demam dan hanya berbaring lemah di katil. Susah hati Dhiya membiarkan keadaan si ibu begitu. Hendak dibawa ke hospital, ibunya tidak mahu.

Krekk...

Terkejut Dhiya apabila melihat tempat kosong di sebelahnya sudah diduduki oleh Kayla. Setahu Dhiya, sepanjang sebulan dia berada di kelas ini, dia tidak mempunyai teman di sebelah.

Tiba-tiba Dhiya teringat tentang permintaan Kayla semalam. Lekas dikeluarkan buku-buku itu dari beg galasnya. Dia memandang sekeliling sebelum menyerahkan buku itu kepada Kayla.

“Nah, buku kau.”

Kayla mengambil buku itu tanpa memandang wajah Dhiya. Hampir ternaik kening Dhiya melihat gaya Kayla menyemak kerja rumah yang dibuatnya semalam. Memang gaya diva betul budak ni.

Hmm... pandai pula kau tiru tulisan aku.”

“Terpaksalah. Kalau tak sama, naya aku.”

Kayla sekadar menjuihkan bibir. Sakit hati pula Dhiya yang melihatnya.

“Rehat nanti, ikut aku.”

Tercengang Dhiya. Gaya Kayla mengarah macam ada makna aje.

“Eh, kenapa pula? Kerja aku kan dah selesai.” Dhiya cuba mengawal suaranya. Tidak mahu didengari oleh sesiapa. Sudahlah ketika ini ada beberapa pelajar sedang menjeling ke arah mereka berdua. Takut juga Dhiya kalau perbuatannya dikesan.

“Ikut ajelah. Kau kata nak duit.”

Dhiya mengeluh lemah. Hampir dia terlupa tentang perkara itu. Terpaksalah dia menurut arahan Kayla selagi dia tidak menerima upah.

“Kenapa kau duduk dekat sini pula?” Pelik pula Dhiya melihat Kayla masih setia duduk di sebelahnya. Tempat duduk Kayla yang asal di bahagian hadapan. Pasti cikgu mereka akan berasa pelik jika Kayla duduk di sini.

“Ada nama sesiapa ke dekat meja dan kerusi ni?”

Laju Dhiya gelengkan kepala.

“Jadi, suka hati akulah nak duduk dekat mana!” Kayla menjeling tajam.

Terkebil-kebil mata Dhiya memandang Kayla. Tak sangka dia pula yang dikenakan. Malas mahu melayan rakan sekelasnya itu, Dhiya hanya memandang ke luar tingkap.

Sepanjang sesi pembelajaran berjalan, makan hati juga Dhiya dibuatnya. Dirinya tak ubah seperti orang suruhan Kayla. Dia disuruh menyalin nota dan menyerahkan kepada Kayla sebelum pulang nanti. Jika tidak, dia tak akan diberi duit.

Ketika waktu rehat, Dhiya yang selalu melepak di perpustakaan terpaksa mengikut Kayla ke kantin. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke kantin sekolah.

“Nah, RM10. Kau belilah apa-apa pun untuk aku. Jangan lupa beli untuk kau sekali. Badan kau tu, dah sekeping aku tengok.”

“Mana ada sekeping. Okey aje.” Dhiya menilik tubuhnya dari atas ke bawah. Rasanya badan dia agak berisi juga.

“Hesy, pergilah cepat. Aku duduk dekat sana.”

Sebaik sahaja Kayla duduk di kerusi kantin, Dhiya lekas membeli makanan. Belum pernah lagi dia membeli makanan di sini. Agak kekok pula dia ketika beratur. Dhiya hanya membeli dua pinggan nasi lemak ayam bersama dua gelas air sirap.

Seterusnya, dulang makanan diletakkan di atas meja berhadapan dengan Kayla. Kayla masih lagi dengan aksi menggediknya bermain dengan rambut sendiri.

“Kita makan dulu, kejap lagi kita ke bilik guru.”

“Nak buat apa ke sana?”

Kayla julingkan biji mata. Wajah Dhiya dipandang dengan perasaan geram.

“Nak bayar yuran sekolah kaulah.”

Tercengang Dhiya. Tak sangka pula Kayla mahu membayar yuran sekolahnya sekali.

“Eh, tapi semalam kau cakap nak belikan buku aje?” Dia masih ingat lagi dengan tawaran Kayla.

“Ada ke aku cakap macam tu?” Kayla sudah menyuap nasi ke mulut.

Tertelan air liur Dhiya melihat Kayla sedang menjamu selera. Kali terakhir dia menjamah nasi adalah petang semalam. Malam semalam dia sekadar mengalas perut dengan biskut jagung sahaja.

“Aku bayar yuran kau, bukan free ya.”

Berkerut dahi Dhiya cuba memahami maksud kata-kata Kayla.

“Maksud kau, kau bagi aku pinjam dulu?” soal Dhiya inginkan kepastian.

Perlahan Kayla gelengkan kepala sambil tersenyum penuh makna.

“Kau tak perlu bayar, tapi sebagai pertukarannya aku nak kau jadi kawan aku.”

Makin bingung Dhiya. Nak berkawan pun sampai kena bayar ke? Tak pernah dibuat orang ni.

“Makanlah cepat. Lepas ni aku nak jumpa dengan abang aku dulu. Kau kena ikut aku juga,” arah Kayla.

Tergesa-gesa Dhiya menjamah makanan.

Abang? Setahu Dhiya, Kayla ini anak tunggal. Tidak mahu menyerabutkan kepala, lebih baik dia menikmati nasi lemak ayam ini.

Bertuah lagi Dhiya hari ini.

 

DUIT BERJUMLAH RM300 masih berada di dalam poket baju sekolah. Menggigil juga dia apabila menerima sejumlah wang ini daripada Kayla. Kata Kayla, wang ini untuk kegunaannya membeli semua buku sekolah dan latihan.

Dhiya semakin pelik dengan sikap Kayla. Selepas Kayla membayar yuran sekolahnya, dia terpaksa menemani rakannya itu berjumpa dengan abang angkat. Baru hari ini Dhiya tahu salah seorang pengawas di sekolah mereka adalah abang angkat kepada Kayla.

Sebelum pulang, Kayla ada memberikan kepada dia satu sampul berisi wang. Semakin serba salah pula Dhiya kerana mendapat duit dengan cara begini.

“Betul ke apa aku buat ni? Kalau ibu tahu, mesti dia kecewa. Tapi aku tak nak susahkan ibu. Hmm... guna ajelah dulu. Nanti kau dah ada duit, kau bayar.” Akhirnya Dhiya mengambil keputusan untuk menggunakan wang itu untuk perkara yang penting sahaja.

Ketika di kedai buku, Dhiya hanya membeli beberapa buah buku yang diperlukan sahaja. Baki wang ini nanti dia ingin membeli barang dapur.

“Kau letaklah dalam beg sekolah kau.”

Tiba-tiba Dhiya terdengar suara lelaki sedang berbisik di belakang rak dia berdiri. Disebabkan Dhiya agak pendek, dia tidak nampak kelibat lelaki itu.

“Kau biar betul. Kalau kena tangkap, naya kita.”

Suara itu seperti pernah didengari Dhiya. Semakin tertanya-tanya Dhiya apa yang sedang dilakukan oleh kedua-dua lelaki itu. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke belakang rak tersebut.

Hampir bulat mata Dhiya melihat dua orang pelajar lelaki yang masih berpakaian sekolah sedang cuba meletakkan alat tulis ke dalam beg sekolah. Tanpa sengaja, buku-buku 23  yang berada di tangannya terlepas dan jatuh ke lantai.

Kedua pelajar lelaki itu terpaku memandang ke arahnya. Lekas Dhiya mengutip buku-buku itu untuk beredar dari situ. Belum sempat dia melarikan diri, lengannya ditarik sehingga wajahnya tersembam ke dada salah seorang pelajar lelaki itu.

Merah wajah Dhiya kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti ini. Makin menggigil tubuhnya saat melihat pelajar lelaki itu sedang merenung dia tajam.

Woi, Ayie. Kau buat apa tu?”

“Budak ni dah nampak kita tadi. Kau nak budak ni buat report pasal kita ke?”

Terkebil-kebil mata Dhiya memandang wajah lelaki yang berserabai itu. Tak mungkin dia?

“Kau nampak apa yang aku buat tadi?” soal Ayie.

Laju Dhiya gelengkan kepala.

Ayie tergelak sinis. “Jangan tipu.” Keras dia bersuara.

“Ya, sa... saya nampak. Tapi percayalah... saya takkan beritahu sesiapa,” rayu Dhiya.

“Ayie, kita ambil duit budak ni. Lepas tu blah.”

“Otak kau memang geligalah Lan.” Ayie sudah tergelak bersama Razlan.

Dhiya semakin risau. Tak mungkin dia akan menyerahkan duit ini. Bukan senang dia mendapat duit untuk membeli buku.

“Bagi aku semua duit kau yang ada,” arah Ayie.

“Tak boleh. Duit ni saya tak boleh bagi. Tolong jangan ambil. Saya bukan orang kaya. Duit ni saya nak beli buku dan makanan. Ibu saya sakit sekarang.” Tubir mata Dhiya sudah mula bergenang.

“Kau jangan nak melawan ya. Bagi ajelah duit kau.” Razlan menunjal kepala budak itu.

Ayie yang melihat aksi kasar Razlan itu lekas menarik Dhiya ke sebelah kirinya. Tidak mahu Razlan berada dekat dengan Dhiya.

“Kau keluar dulu, Lan.”

“Hah! Kau jangan cakap nak makan sorang aje duit budak ni.”

“Aku cakap kau keluar.”

Razlan merengus kasar. Terpaksalah dia mengalah. Sebaik sahaja Razlan beredar, Ayie lekas melepaskan lengan Dhiya.

Dhiya masih berdiri kaku sambil memeluk erat buku yang berada di tangannya.

“Aku lepaskan kau. Tapi ingat, jangan nak beritahu apa yang kau nampak tadi.” Pipi Dhiya ditepuk berkali-kali.

Tak berkelip mata Dhiya memandang Ayie.

“Kau dengar tak budak?”

Laju Dhiya mengangguk.

Ayie tersenyum senget. Dia lekas keluar dari kedai buku itu bersama barang yang dicuri tadi.

Hampir rebah Dhiya selepas sahaja pelajar lelaki itu beredar. Mujurlah dia sempat berpaut pada rak buku.

Bersyukur sangat kerana wang yang ada di tangannya masih selamat. Dhiya berharap sangat lelaki yang memberikan dia makanan semalam, bukan lelaki yang sama.

No comments:

Post a Comment